Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

UPM kekal universiti paling lestari di Malaysia

KUALA LUMPUR, 17 DIS: Universiti Putra Malaysia (UPM) terus cemerlang sebagai universiti paling lestari di Malaysia apabila merangkul kedudukan pertama di negara ini dalam Ranking Universiti Dunia UI-GreenMetric 2021, 12 tahun berturut-turut.

Menurut UPM dalam satu kenyataan, universiti itu juga berjaya meningkatkan kedudukan kepada tangga ke-27 dalam “Top 50 Sustainable Universities in The World” (50 Universiti Lestari Terbaik di Dunia) bagi penarafan berkenaan pada tahun ini dan juga disenaraikan sebagai universiti ketiga terbaik di Asia.

Naib Canselor UPM Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman dalam kenyataan itu berkata universiti itu akan terus komited mendukung usaha kelestarian dan menyebarluaskan pengetahuan dengan memfokus kepada pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar.

“Usaha-usaha kelestarian akan terus dilaksanakan oleh warga kampus dalam menyahut hasrat UPM iaitu “Menggema Seruan Al-Falah Dari Menara Ilmu” dan memastikan Pelan Strategik UPM 2021-2025 mampu dicapai,” kata Mohd Roslan.

Penarafan kampus lestari meliputi skop infrastruktur, tenaga dan perubahan cuaca, sisa buangan, air, pengangkutan dan pendidikan.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBSA rangkul anugerah bandar lestari alam sekitar

SHAH ALAM, 28 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berjaya merangkul anugerah bandar lestari alam sekitar dari pihak Asean Working Group for Environmentally Sustainable Cities (AWGESC) Indonesia.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Shahrin Ahmad berkata pengiktirafan The 5th Asean Environmentally Sustainable Cities itu diterima secara dalam talian pada 21 Oktober lalu.

“Beberapa bandar di Malaysia turut tercalon termasuk MBSA yang diiktiraf sebagai bandar yang memiliki udara, air dan tanah bersih.

“Anugerah ini juga sebagai tanda penghargaan menjadikan bandar Asean sebagai bandar lestari dan pada masa sama dapat berkongsi amalan tempatan terbaik dalam memastikan bandar bersih, hijau dan berdaya huni,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Shahrin proses pencalonan MBSA itu dibuat dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Kementerian Alam Sekitar.

Kriteria untuk pemilihan calon bandar di Malaysia adalah melibatkan petunjuk yang diguna menerusi Sistem Penggredan Pihak Berkuasa Tempatan dan Rangkaian Petunjuk Nasional Luar Bandar Bandar Malaysia untuk Pembangunan Mampan (MURNInets 2.0) di bawah KPKT dan PLANMalaysia.