Categories
AGENDA SUKANKINI

Yusri letak jawatan ketua jurulatih Skuad Projek FAM-MSN

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Jodoh bekas pemain kebangsaan Yusri Che Lah bersama Skuad Projek FAM-MSN tidak kekal lama apabila beliau meletak jawatan sebagai ketua jurulatih pasukan itu.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Mohd Saifuddin Abu Bakar dalam kenyataan hari ini memaklumkan peletakan jawatan itu dibuat oleh Yusri selepas beliau mendapat tawaran lain bagi meneruskan karier kejurulatihannya musim depan.

Mohd Saifuddin berkata meskipun kontrak pengendali berusia 45 tahun itu masih berbaki setahun bersama pasukan berkenaan, FAM dan Yusri mencapai kata sepakat untuk menamatkan kontrak membimbing skuad yang ditubuhkan pada Disember tahun lepas.

Justeru, beliau berkata FAM dan Majlis Sukan Negara (MSN) akan menemu duga beberapa calon dalam masa terdekat bagi mengisi kekosongan jawatan yang ditinggalkan Yusri bagi mengharungi saingan Liga Premier 2022.

FAM juga, katanya, akan membuat pengumuman berhubung pengganti Yusri sejurus keputusan temu duga itu dicapai.

“FAM menzahirkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Yusri atas khidmatnya sepanjang semusim mengendalikan Skuad Projek FAM-MSN bagi saingan Liga Premier 2021 dan mendoakan agar beliau berjaya dengan karier baharunya nanti,” kata beliau.

Pasukan itu menamatkan saingan Liga Premier 2021 di tangga tercorot dengan mencatat hanya satu kemenangan, tiga seri dan 16 kekalahan dalam 20 aksi liga.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kabinet serah surat letak jawatan, menteri sampaikan ucapan akhir

SHAH ALAM, 16 OGOS: Semua anggota Kabinet menghantar surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong setelah kerajaan Perikatan Nasional hilang sokongan majoriti.

Beberapa menteri menyampaikan ucapan terakhir selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat khas dan terakhir kabinetnya di Putrajaya pagi ini sebagai tanda berundur daripada jawatan perdana menteri.

“Jemaah menteri menyampaikan surat peletakan jawatan kami kepada Yang di-Pertuan Agong. Terima kasih atas peluang, sekali lagi, berkhidmat untuk negara. Semoga Allah merahmati Malaysia,” tulis Khairy Jamaluddin menerusi Instagram.

Selain menteri penyelaras vaksin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyifatkan peletakan jawatan tersebut sebagai “pengunduran atas tanggungjawab bersama bukan ‘rasa bersalah kolektif”.

“Terima kasih atas segalanya, yang pahit menjadi ubat, yang manis menjadi pengubat. Negara selamat semua terubat,” kata menteri hal-ehwal parlimen dan undang-undang di Twitter.

Sementara itu Menteri Kanan Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga mengucapkan selamat tinggal di laman media sosial sama.

“Adalah suatu kebanggaan dan keistimewaan untuk berkhidmat kepada negara kita yang tercinta dan rakyatnya. Semoga Allah SWT merahmati kita semua,” katanya.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata mesyuarat kabinet terakhir kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah selesai.

“Tawakal kepada Allah selepas bertekad seusai mesyuarat,” katanya di Facebook.

Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatannya secara rasmi melalui siaran langsung jam 3 petang. Dalam ucapan itu, beliau berharap kerajaan baharu dibentuk segera dan segala yang sudah dirancang tidak terjejas.

Categories
AGENDA NASIONAL

PM tiba di Perdana Putra, buat mesyuarat khas

KUALA LUMPUR, 16 OGOS: Pergerakan Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menjadi tumpuan rakyat Malaysia khususnya petugas media susulan perkembangan politik semasa negara.

Perdana Menteri ketika dibawa keluar dari kediamannya di Bukit Damansara pada 7.42 pagi ini dilihat melambai ke arah media yang telah berada di sekitar kawasan itu sejak awal pagi.

Beliau kemudian tiba di bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada 8.07 pagi, dijangka untuk menghadiri mesyuarat khas Kabinet.

Turut kelihatan tiba di bangunan itu, kenderaan-kenderaan membawa Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun.

Di Putrajaya, Muhyiddin yang tiba di bangunan Perdana Putra melambai ke arah petugas media yang berkumpul sejak 7 pagi.

Turut kelihatan kenderaan-kenderaan yang membawa Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang tiba di bangunan itu.

Menurut Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali semalam, satu mesyuarat khas Kabinet akan diadakan pada Isnin (hari ini) tanpa memperincikan agenda pertemuan tersebut.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof dilaporkan berkata Muhyiddin dijangka membuat satu pengumuman khas hari ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Umno terus serang Muhyiddin, seorang lagi menteri letak jawatan

SHAH ALAM, 6 OGOS: Seorang lagi menteri Umno meletak jawatan susulan keputusan Majlis Tertinggi (MT) parti itu menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, yang juga ahli parlimen Parit Sulong, dalam kenyataan hari ini berkata peletakan jawatannya sebagai menteri pengajian tinggi berkuat kuasa serta-merta.

“Saya sebagai ketua Wanita Umno akur dengan keputusan parti dan meletak jawatan sebagai menteri pengajian tinggi, ahli jemaah menteri kerajaan persekutuan berkuat kuasa serta-merta,” katanya.

Pada 3 Ogos, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah meletak jawatan sebagai menteri tenaga dan sumber asli sejurus selepas partinya mengumumkan keputusan tersebut dengan alasan kerajaan ingkar titah Yang di-Pertuan Agong.

Pada 29 Julai, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa “amat dukacita” terhadap kerajaan PN yang membatalkan Ordinan-ordinan Darurat tanpa perkenan Baginda dan tidak mematuh titah agar ia dibentang dan diungkai dalam perbahasan Parlimen.

Sementara itu, dua ahli parlimen Umno yang didakwa masih menyokong perdana menteri menafikan kenyataan naib presiden parti dan juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media hari ini.

Tan Sri Noh Omar dan Datuk Seri Azeez Abdul Rahim dalam dua sidang media berasingan selepas itu dilaporkan sedia mematuhi arahan Umno yang mendesak semua wakil rakyatnya meninggalkan kerajaan.

Dua tokoh Umno tersebut sebelum ini dilaporkan bersama presidennya Datuk Seri Zahid Hamidi tetapi Ismail yang sepentas dengan 21 wakil rakyat parti itu, MCA dan MIC menyatakan kedua-duanya masih bersama PN.

Sehari selepas keputusan Umno, seorang lagi naib presidennya Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin pula mengumumkan peletakan jawatan sebagai pengerusi Boustead Holding Berhad berkuat kuasa semalam.

Ahli MT Razlan Rafii pula meletak jawatan sebagai ahli lembaga pengarah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) pada 5 Ogos.

Ketua Pemuda Umno Sabah Abdul Aziz Julkarnain juga meletak jawatan sebagai pengarah bebas dan bukan eksekutif Boustead Plantation Bhd berkuat kuasa semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) hari ini tiba-tiba menetapkan keputusan Umno menangguhkan pemilihan MT, bahagian dan cawangan selama 18 bulan adalah tidak sah.

“Berdasarkan minit mesyuarat MT Umno pada 7 Julai 2021 untuk menangguhkan pemilihan MT, bahagian dan cawangan Umno selama 18 bulan, ROS berpandangan bahawa keputusan tersebut adalah tidak sah,” katanya.

ROS menegaskan ia mesti memastikan aktiviti dan pentadbiran semua pertubuhan berjalan sejajar dengan perlembagaan masing-masing yang tidak bercanggah dengan Akta Pertubuhan 1966 atau undang-undang negara.

Susulan itu tersebar di media sosial imej surat ROS kepada Umno bertarikh 19 Julai yang menunjukkan ia telah meluluskan penangguhan pemilihan sejajar dengan Fasal 10.16 perlembagaan parti berkenaan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Menteri tenaga letak jawatan, sokong Umno tolak Muhyiddin

SHAH ALAM, 3 OGOS: Susulan keputusan Umno menarik balik sokongan terhadap kerajaan, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah meletak jawatan sebagai menteri tenaga dan sumber asli hari ini.

“Mengambil kira beberapa keputusan dan pendirian parti, maka sebagai ahli Umno yang patuh dan setia kepada parti, saya dengan ini meletakkan jawatan sebagai ahli jemaah menteri kerajaan persekutuan,” katanya.

Dr Shamsul Anuar, ahli parlimen Lenggong, membuat keputusan mengejut itu setelah Umno menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Namun setakat ini masih belum jelas berapa ramai lagi menteri Umno dan wakil rakyat parti itu yang masih menyokong kerajaan pusat.

Selepas mesyuarat Majlis Tertinggi, presidennya Datuk Seri Zahid Hamid berkata nama-nama ahli parlimen yang menarik sokongan telah dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut senarai wakil rakyat Umno tetapi sebahagian daripada mereka turut hadir ketika mengumumkan keputusan parti itu secara langsung di Facebook.

Sepuluh ahli parlimen yang berdiri di belakang Zahid tadi, antaranya, Datuk Najib Razak, Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Azalina Said Othman, Tengku Razaleigh Hamzah dan Datuk Seri Ahmad Maslan.

Categories
GLOBAL

Perdana Menteri letak jawatan sokongan merosot

TAIPEI 5 SEPT: Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen telah menerima peletakan jawatan Perdana Menteri, Lin Chuan, satu tindakan dikatakan mempunyai kaitan dengan penurunan sokongan rakyat terhadap Presiden.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan menurut laporan, Presiden sering kali didesak untuk menggantikan Perdana Menteri sekiranya sokongan rakyat mulai menurun.

Chuan berdepan tekanan selepas sokongan terhadap Ing-Wen merosot kepada 29.8 peratus pada bulan lalu, jelas tinjauan yang dilakukan baru-baru ini.

“Ing-wen telah menerima peletakan jawatan Perdana Menteri selepas mengadakan perbincangan secara telus,” kata Parti Progresif Demoktratik (DPP) pimpinan Ing-Wen dalam kenyataan dikeluarkan.

taiwansmallerDalam pada itu, William Lai, Datuk Bandar Tainan yang popular dan merupakan tokoh terkemuka dalam DPP, dijangka mengisi kekosongan jawatan Perdana Menteri.

Ketika dilantik pada Mei tahun lalu, Ing-wen memuji Chuan kerana pandai berkomunikasi.

Bagaimanapun, beberapa isu yang berbangkit seperti pembaharuan pencen dan hubungan dingin dengan China menyebabkan Chuan dipaksa berundur.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Sembunyi rekod dalaman, Menteri Pertahanan Jepun letak jawatan

TOKYO, 28 JULAI: Menteri Pertahanan Jepun, Tomomi Inada mengemukakan surat peletakan jawatan pada Jumaat berikutan skandal membabitkan tugasan harian Pasukan Pertahanan Jepun yang berkhidmat di bawah misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, di Sudan Selatan.

inadaPerkara berkenaan diumumkan Perdana Menteri, Shinzo Abe dan menerima peletakan itu.

Memetik BERNAMA, peletakan jawatan Inada dikemukakan menjelang rombakan kabinet yang dirancang perdana menteri minggu depan, lapor agensi berita China Xinhua.

Bagaimanapun, beliau menafikan terbabit dalam skandal berkenaan.

Inada didakwa membantu menyembunyikan rekod dalaman mendedahkan bahaya dihadapi pasukan pengaman Jepun yang ditempatkan, di Sudan Selatan.

Categories
KENYATAAN MEDIA

MB: Hormati keputusan Rosman dan Sivasundaram

 

8 OGOS 2016

Saya telah menerima tawaran perletakan jawatan daripada Saudara Rosman Bin Ibrahim selaku Setiausaha Agung dan Dato’ S. Sivasundaram selaku Bendahari Kehormat Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).

Saya telah berbincang dengan YB Amirudin Shari berhubung perkara ini dan berpendapat menghormati keputusan yang diambil oleh mereka.

FAS mengucapkan terima kasih kepada Saudara Mohd Rosman dan Dato’ Siva Sundaram di atas khidmat dan sumbangan mereka terhadap perkembangan bolasepak Negeri Selangor.

FAS sedang merencana langkah-langkah yang proaktif untuk mengekalkan kegemilangan sukan bolasepak Negeri Selangor. Ini termasuklah penswastaan pasukan dan program pembangunan komprehensif yang akan dibincangkan dalam Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAS minggu hadapan.

Saya memberi jaminan bahawa FAS akan terus melalui proses reformasi sukan bersesuaian dengan aspirasi penyokong yang senantiasa memberi dorongan dan sokongan kepada pasukan bolasepak Negeri Selangor.
DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI

Categories
SELANGOR

MB: ‘Tiada syarat jika kalah pemilihan parti perlu letak jawatan’

Oleh: NORHAYATI UMOR

PELABUHAN KLANG, 28 JUN: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak akan berundur sebagai orang nombor satu di negeri itu walaupun didesak pelbagai pihak.

Abdul Khalid berkata demikian bagi mengulas jika beliau kalah dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi merebut jawatan Timbalan Presiden.

Katanya, tidak ada syarat mengatakan jika kalah dalam jawatan parti maka seseorang itu perlu meletak jawatan.

Abdul Khalid“Itu tidak perlu. Tidak ada dalam syarat jika kalah, maka seseorang perlu mengakhiri tugasnya.

“Jika kamu memegang jawatan yang sudah dilantik, maka masih lagi perlu menjalankan tanggungjawab itu sehingga pilihan raya akan datang,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan sempena Ramadan, di Kampung Perigi Nenas, di sini, hari ini.

Abdul Khalid menegaskan beliau akan meneruskan jawatannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen dan Menteri Besar.

Sebelum ini, pelbagai pihak mendesak Abdul Khalid meletak jawatan sebagai Menteri Besar ekoran kononnya beliau gagal menyelesaikan beberapa isu negeri dan berkemungkinan gagal merebut jawatan Timbalan Presiden.

pemilihan 2014Abdul Khalid juga gagal mempertahankan jawatan sebagai Ketua Cabang PKR Kuala Selangor dalam pemilihan PKR kali ini.

Dalam pemilihan Timbalan Presiden, Abdul Khalid berdepan dengan penyandang Timbalan Presiden, Azmin Ali dan Datuk Saifuddin Nasution.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Krisis berterusan, 3 orang kuat MAS perlu letak jawatan segera

SUBANG, 17 MEI: Kesatuan Pekerja-pekerja Sistem Penerbang MAS (MSUE) menggesa Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya; Pengarah Sumber Manusia, Zahrah Zaid dan Pengarah Jurutera, Azhari Dahlan meletak jawatan dengan segera.

Setiausaha Eksekutif MASUE, Mohd Jabarullah Abdul Kadir, berkata pihaknya turut meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak campur tangan bagi memastikan tiga ornag kuat syarikat penerbangan itu meletak jawatan bagi memastikan MAS tidak mengalami kerugian berterusan.

“Najib perlu campur tangan dalam pentadbiran MAS dengan melantik kepimpinan baharu yang lebih arif dalam industri penerbangan dan mengugurkan tiga individu terbabit.

mas2“Dalam masa tiga tahun tidak ada sebarang keuntungan, pelbagai masalah dalaman termasuk kerugian terbesar RM2.52 bilion yang dialami MAS ,pada 2011 merencatkan reputasinya sebagai syarikat penerbangan ulung negara, sejak 40 tahun lalu,” katanya pada sidang di pejabat MASUE, di sini.

Memetik Harakah Daily, Jabarullah berkata, apabila seseorang itu tidak mempunyai kepakaran dalam mengetuai bidang penerbangan, maka adalah sukar untuk memastikan MAS terus maju dalam persaingan industri penerbangan.

“MASUE tidak mahu melihat MAS terus mengalami kerugian dan kita mahu perkara ini diselesaikan dengan segera.

“Kami berpendapat tiga individu ini sudah diberikan masa yang cukup untuk membuktikan apa yang mereka boleh lakukan terhadap MAS, tidak perlu ada lanjutan masa lagi dan yang terbaik kami gesa mereka letak jawatan dengan cara terhormat,” tegasnya.

mas-a380-1-webBeliau turut menyatakan MAS adalah maruah rakyat negara ini dan perlu diselamatkan.

“Kami minta semua pihak menyokong desakan ini tidak kira apa juga lapisan masyarakat atau fahaman politik. Ini adalah maruah rakyat Malaysia dan ia perlu diselamatkan daripada mereka yang tidak mempunyai sebarang kepakaran.

“Dalam MAS, ramai individu yang mampu dan mempunyai kepakaran untuk kendali syarikat ini tetapi mereka tidak dipandang pihak tertentu,” katanya.

Pada masa sama, MASUE akan menganjurkan piket di hadapan Bangunan MAS Subang Jaya bagi mendesak tiga individu itu melepaskan jawatan jam 5 petang, pada 26 Mei lalu.

Krisis dalaman MAS bukan sahaja berdepan dengan tragedi MH370 tetapi membabitkan masalah yang serius apabila hampir 300 kru kabinnya meletak jawatan yang menyebabkan syarikat itu mengalami kerugian hampir RM30 juta dalam tempoh dua tahun.

-NFN-