Categories
AGENDA GLOBAL

Bahan kimia bahaya dijumpai di Pelabuhan Beirut

BEIRUT, 25 OGOS: Pakar ketenteraan Lubnan dan rakan mereka dari Perancis menemukan 79 bekas mengandungi bahan kimia berbahaya di Pelabuhan Beirut, lokasi berlakunya tragedi letupan maut awal bulan ini.

“Antara 14 dan 22 Ogos, sebanyak 25 bekas mengandungi asid hidroklorik dijumpai, serta 54 bekas bahan kimia lain dan andai berlaku kebocoran ia boleh mencetuskan bencana,” kata tentera Lubnan dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada 4 Ogos, ibu kota Lubnan digemparkan dengan letupan kuat menyaksikan seluruh daerah berdekatan dengan kawasan pelabuhan turut mengalami kemusnahan, lapor agensi berita Sputnik.

Kejadian itu disebabkan 2,750 tan ammonium nitrat tidak disimpan dengan baik di Pelabuhan Beirut, mencetuskan letupan mengorbankan lebih 170 orang manakala lebih 40,000 yang lain cedera. Ada beberapa laporan media baru-baru ini mengatakan jumlah kematian seramai 220 orang dan lebih 100 masih hilang.

Berikutan itu, kerajaan Lubnan mengisytiharkan darurat di Beirut. Kira-kira seminggu selepas kejadian kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri Hassan Diab umum mengundurkan diri berikutan kemarahan rakyat, menyebabkan ribuan penunjuk perasaan mengadakan bantahan menggesa beliau meletakkan jawatan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Jumlah kematian letupan Beirut meningkat kepada 177

BEIRUT, 14 OGOS: Angka kematian akibat letupan besar di Pelabuhan Beirut minggu lalu meningkat kepada 177 orang, lapor Agensi Anadolu, memetik Menteri Kesihatan Lubnan, Hassan Hamad pada Khamis.

Mengambil kira 30 individu masih hilang selepas letupan maut di ibu kota itu, Hamad memberitahu siaran televisyen tempatan jumlah kematian berkemungkinan boleh mencapai 200 orang.

Tentera Lubnan dalam satu kenyataan berkata diplomat asing telah dimaklumkan mengenai mekanisme pengagihan bantuan berikutan kejadian berkenaan.

Maklumat mengenai bagaimana bantuan yang diterima oleh Lubnan akan sampai kepada mangsa letupan juga telah dikongsi dengan para diplomat, tambah kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata keperluan pusat kesihatan dan hospital di negara itu akan ditentukan sebelum pengagihan bantuan perubatan dilakukan.

Bantuan perubatan akan diedarkan selaras dengan koordinasi antara Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertahanan negara itu, manakala bantuan makanan akan diedarkan dengan kerjasama tentera dan organisasi bukan kerajaan, katanya.

Tentera Lubnan berkongsi mekanisme penyaluran bantuan yang diterima oleh negara itu secara telus dengan diplomat asing berikutan tuduhan rasuah terhadap pemerintah negara itu oleh aktivis media sosial dan rusuhan yang menganjurkan tunjuk perasaan di Beirut.

Letupan kuat menggegarkan Beirut pada 4 Ogos setelah timbunan 2,750 tan metrik ammonium nitrat yang diabaikan di gudang terbakar.

Gelombang letupan meruntuhkan bangunan berhampiran dan menyebabkan kerosakan harta benda yang meluas di ibu negara, menyebabkan ratusan ribu orang kehilangan tempat tinggal.

Rusuhan ganas berterusan walaupun Perdana Menteri Hassan Diab dan barisan menterinya telah mengundurkan diri sebagai kerajaan.

Presiden Lubnan Michel Aoun pada Rabu menyatakan kerosakan harta benda daripada letupan itu boleh menelan belanja lebih dari US$15 bilion, menurut pertubuhan berita rasmi Lubnan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Letupan Beirut: Tiada laporan mangsa dari Malaysia

KUALA LUMPUR, 13 OGOS: Belum ada laporan mengatakan terdapat mangsa letupan besar di Beirut, Lubnan membabitkan rakyat Malaysia setakat ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Beliau berkata sehingga kini, kesemua rakyat Malaysia yang berada di ibu negara Lubnan dilapor selamat walaupun jumlah korban akibat kejadian yang berlaku seminggu lepas itu mencecah 160 orang manakala 5,000 lagi cedera dan 60 orang dilapor masih hilang.

Mohd Redzuan berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (DAP-Bandar Kuching) yang ingin tahu sama ada terdapat rakyat Malaysia yang terkesan dengan insiden itu, pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri hari ini.

Insiden dua letupan besar dilapor menggegarkan ibu negara Lubnan itu pada 4 Ogos dipercayai berpunca daripada bahan kimia yang disimpan di sebuah gudang di Pelabuhan Beirut kira-kira 6.10 petang waktu tempatan.

Menjawab soalan asal Dr Kelvin mengenai rancangan kerajaan menyalurkan bantuan kepada negara berkenaan, Mohd Redzuan berkata Malaysia setuju untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan sebanyak RM1 juta seperti mana diumum Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 8 Ogos lepas.

“Agensi Pengurusan Bencana Negara pada 10 Ogos telah mengeluarkan surat kebenaran berbelanja kepada Kementerian Luar bagi bayaran sumbangan berkenaan kepada Pertubuhan Palang Merah Lubnan (LRC).

“Kementerian Luar sedang meneliti beberapa kaedah yang boleh dilaksanakan bagi menyalurkan sumbangan ini kepada Pertubuhan Palang Merah Lubnan dan perkara ini akan dimuktamadkan dengan kadar segera,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia sumbang RM1 juta, bantu rakyat Lubnan

KUALA LUMPUR, 8 OGOS: Kerajaan Malaysia menghulurkan bantuan kemanusiaan sebanyak RM1 juta kepada rakyat Lubnan susulan tragedi letupan di Pelabuhan Beirut, Selasa lalu.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sumbangan tersebut, yang disalurkan menerusi Pertubuhan Palang Merah Lubnan (LRC), dibuat atas semangat persaudaraan akrab antara Malaysia dan Lubnan.

“Kerajaan dan rakyat Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Lubnan dalam tragedi letupan di Pelabuhan Beirut yang menyebabkan kemusnahan besar pada 4 Ogos lalu.

“Kami berkongsi kesedihan dan penderitaan dengan saudara kami di Lubnan,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya, hari ini.

Menurut Muhyiddin, beliau mewakil kerajaan dan rakyat Malaysia menzahirkan rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang kehilangan orang tersayang serta mendoakan kesembuhan kepada mangsa yang mengalami kecederaan.

“Malaysia yakin dan percaya rakyat Lubnan mampu mengatasi impak tragedi dan meneruskan kehidupan dengan kekuatan semangat serta perpaduan berterusan,” katanya.

Agensi Anadolu melaporkan tragedi letupan yang dipercayai berpunca daripada amonium nitrat yang disimpan di gudang di Pelabuhan Beirut itu telah mengakibatkan sekurang-kurangnya 135 orang terkorban, 5,000 cedera manakala puluhan lagi masih hilang.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Lubnan tahan 16 pekerja pelabuhan Beirut, bantu siasatan tragedi letupan

BEIRUT, 7 OGOS: Pihak berkuasa Lubnan menahan 16 pekerja Pelabuhan Beirut, susulan kejadian letupan besar yang membunuh sekurang-kurangnya 135 orang dan hampir 5,000 lagi cedera, lapor Agensi Anadolu, memetik media tempatan pada Khamis.

Kenyataan mahkamah tentera yang disiarkan Agensi Berita Nasional (NNA) menyebut pekerja berkenaan ditahan sebagai sebahagian siasatan yang dijalankan sejak kejadian letupan berlaku pada Selasa.

Asap tebal memenuhi ruang di kawasan kejadian letupan di Beirut, Lubnan pada 4 Ogos 2020. Foto REUTERS

Selain itu, keterangan turut diambil daripada 18 pekerja termasuk pegawai lembaga eksekutif pelabuhan, pihak berkuasa kastam, kakitangan penyelenggaraan dan pekerja di gudang No.12 bagi membantu siasatan.

Puluhan lagi mangsa masih hilang dalam kejadian itu.

Menurut kerajaan letupan itu perpunca daripada amonium nitrat yang disimpan di gudang di pelabuhan Beirut, siasatan masih berjalan dan hasilnya akan diumum dalam masa lima hari.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pemilik kilang kimia digesa patuh SOP, ambil iktibar insiden Beirut

SHAH ALAM, 6 OGOS: Pemilik kilang berasaskan kimia di negeri ini diingatkan supaya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) semasa mengendalikan bahan itu bagi mengelak insiden tidak diingini.

Dato’ Menteri Besar berkata pengusaha perlu mengutamakan aspek keselamatan premis masing-masing tanpa bergantung kepada penguatkuasaan Kerajaan Negeri.

“Saya percaya, kesedaran pencegahan bukan hanya dibebankan kepada Kerajaan Negeri tetapi semua pemilik gudang dan kilang harus pastikan SOP dipatuhi ketika proses (pengendalian bahan kimia) di kawasan mereka,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Idaman Warisan di sini hari ini.

Beliau memberi reaksi sedemikian susulan tragedi letupan dasyat yang berlaku di ibu kota Beirut, Lubnan baru-baru ini sehingga mengakibatkan lebih 100 penduduk terkorban manakala ribuan lagi cedera.

Amirudin turut mengimbau insiden letupan dan kebakaran kilang mercun Bright Sparkler di Sungai Buloh pada 7 Mei 1991 yang mengorbankan 26 mangsa termasuk kejadian gas ammonia bocor di sebuah kilang ais di Shah Alam pada 16 Ogos 2018.

Katanya, usaha pencegahan diperketatkan dari semasa ke semasa dengan berbincang bersama EXCO bertanggungjawab jika wujud masalah.

“Sudah pasti kita lihat secara terperinci dan Unit Pengurusan Bencana Selangor paling maju malah sebahagian SOP di peringkat persekutuan atau kaedah diadaptasi oleh Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara) merupakan (SOP) yang mula-mula ditubuhkan di Selangor,” katanya lagi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pakar: Letupan di Lubnan tiada kaitan aktiviti keganasan

KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Insiden letupan besar di Beirut, Lubnan tidak mempunyai kaitan dengan aktiviti keganasan sebaliknya berkemungkinan akibat kegagalan kerajaan negara itu mengawal dan menguruskan bahan letupan amonium nitrat dengan baik.

Pakar Kajian Strategik dan Antikeganasan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Profesor Madya Dr Mohd Mizan Mohammad Aslam berkata lebih memburukkan keadaan, negara itu mempunyai pelbagai masalah dalaman menjadikan situasi di Lubnan semakin mencengkam seterusnya memberi kesan yang besar.

“Apa berlaku di Beirut merupakan satu malapetaka besar, ini kerana negara itu sebenarnya mempunyai pelbagai masalah terutama perang saudara selama 15 tahun, ditambah dengan isu kemiskinan yang mana Lubnan juga antara negara miskin kerana hampir 50 peratus rakyat mereka berada pada paras kemiskinan.

“Negara itu juga mempunyai hutang yang sangat besar, ditambah pula dengan isu lain seperti pembunuhan bekas Perdana Menteri Rafiq Hariri pada 2005 dan Perdana Menterinya yang baharu, Hamad Hassan menghadapi pelbagai isu dalaman politik selain isu Covid-19,” katanya ketika dihubungi semasa program ‘Malaysia Petang Ini’ terbitan Bernama TV hari ini.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan insiden letupan itu akan memberi peluang kepada kumpulan pengganas dan pihak yang tidak bersekutu dengan Lubnan untuk menyerang negara tersebut dalam tempoh ini.

Pakar Pengurusan Projek dan Bahan Tahan Impak Letupan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Profesor Madya Ir Dr Mohammed Alias Yusof pula tidak menolak kemungkinan letupan yang berlaku adalah disebabkan kebakaran dan letupan kecil pada amonium nitrat yang disimpan dalam gudang.

Beliau berkata ammonium nitrat, yang merupakan komponen utama baja dan digunakan dalam industri pertanian, mudah terbakar dan ia tidak boleh meletup tanpa peledak.

“Kemungkinan disebabkan ada bahan letupan dalam kuantiti yang banyak disimpan di bawah gudang dan ia mengeluarkan gas atau gelombang pada kelajuan amat tinggi seterusnya meranapkan bandar dan kawasan sekelilingnya,” kata beliau.

Media antarabangsa hari ini melaporkan dua letupan besar menggegarkan Pelabuhan Beirut, Lubnan pada Selasa menyebabkan sekurang-kurangnya 100 orang terbunuh dan lebih 3,000 lagi cedera.

Letupan itu yang berlaku di sebuah gudang di Pelabuhan Beirut pada kira-kira 6.10 petang waktu tempatan, menggegarkan hampir kesemua bangunan di seluruh bandar selain menyebabkan banyak nyawa terkorban dan kerosakan.

Punca sebenar letupan belum diketahui namun Menteri Dalam Negeri Mohammad Fahmi berkata ia mungkin disebabkan bahan kimia yang disimpan di gudang pelabuhan itu meletup.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Letupan Beirut: Gabenor anggar kerosakan hingga RM20.97 bilion

KAHERAH, 5 OGOS: Gabenor Beirut Marwan Abboud menganggarkan jumlah kerosakan akibat letupan di pelabuhan bandar itu sekitar RM12.58 ke RM20.97 bilion (US$3 ke 5 bilion), lapor agensi berita Sputnik.

Letupan berkenaan menggegarkan bandar itu pada Selasa. Menurut pihak berkuasa, ia disebabkan oleh penyimpanan 2,750 tan metrik ammonium nitrat dengan cara yang salah.

“Anggaran kerosakan antara US$3 dan 5 bilion,” kata gabenor seperti yang dipetik oleh penyiar LBCI dan ia berkemungkinan lebih tinggi.

Menurut pegawai itu, ratusan penduduk tidak mempunyai rumah setelah letupan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong titah rakyat Malaysia di Beirut perlu kekal waspada

KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bertitah rakyat Malaysia di Beirut, Lubnan perlu kekal waspada dan menghubungi Kedutaan Malaysia untuk sebarang bantuan, pertanyaan dan maklumat terkini, selain mematuhi perintah yang dikeluarkan oleh kerajaan Lubnan demi keselamatan diri.

Al-Sultan Abdullah selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia turut menasihati anggota tentera Pasukan Pengaman Batalion Malaysia 850-7 (MALBATT 850-7) yang ditempatkan di Lubnan supaya sentiasa waspada terhadap keselamatan diri ketika menjalan tugas dan operasi di negara itu.

“Seri Paduka Baginda menyarankan anggota MALBATT 850-7 supaya berada dalam keadaan siapsiaga untuk memberikan bantuan bencana dan kemanusiaan serta menghadapi sebarang kemungkinan,” menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini.

Kesemua 850 anggota tentera Pasukan MALBATT 850-7 berada di Lubnan sejak Oktober lepas bagi menyertai misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) selama setahun.

Tambahnya, Seri Paduka Baginda amat prihatin terhadap keselamatan rakyat Malaysia di negara Asia Barat berkenaan dan susulan daripada laporan terkini Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa syukur kerana tiada rakyat Malaysia terjejas dan mengalami sebarang kecederaan berikutan letupan itu.

Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah menasihati kakitangan Kedutaan dan pelajar-pelajar Malaysia, supaya sentiasa berwaspada, memantau perkembangan terkini dan berada di dalam rumah untuk mengelakkan sebarang risiko pada keselamatan diri sehingga situasi kembali normal.

“Seri Paduka Baginda mendoakan agar seluruh rakyat Malaysia di Lubnan terus dilindungi daripada semua bentuk ancaman dan kesusahan serta dikurniakan rahmat dan keselamatan,” tambahnya.

Pada petang Selasa, satu letupan kuat berlaku di sebuah gudang di pelabuhan ibu kota Lubnan yang telah meragut lebih 70 nyawa dan mencederakan lebih 3,000 orang.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Jumlah kematian letupan Beirut meningkat 100

BEIRUT, 5 OGOS: Ketua Setiausaha Palang Merah Lubnan pada Rabu berkata mangsa letupan di Pelabuhan Beirut pada Selasa meningkat kepada 100 orang dan lebih 4,000 lagi cedera, lapor Agensi Anadolu.

Dalam kenyataan yang disiarkan di televisyen Lubnan, LBC, George Kettaneh berkata hospital-hospital Beirut tidak lagi mampu menampung jumlah korban yang semakin meningkat.

Beliau menambah sebahagian mangsa yang terkorban masih berada di bawah runtuhan.

– BERNAMA