Categories
ADN SELANGOR

50 murid terima kelengkapan sekolah sumbangan DUN Kampung Tunku, NGO

SHAH ALAM, 16 FEB: Seramai 50 murid sekolah rendah yang tinggal di Pangsapuri Sri Aman, Petaling Jaya menerima perkakasan sekolah, kelmarin.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku berkata bantuan bagi meringankan beban ibu bapa yang masih terkesan Covid-19 itu disumbangkan badan bukan kerajaan (NGO) For The Kids dan Angkatan Demokrat.

“Antara barangan yang diberikan seperti botol minuman, bekas makanan, perkakasan menulis, peralatan mewarna dan cecair pembasmi kuman.

“Semoga sumbangan ini dapat meringankan beban ibu bapa dan membantu si anak-anak kecil dalam mengejar ilmu,” kata Lim Yi Wei ketika dihubungi SelangorKini.

Sebelum ini dilaporkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Tunku telah mengagihkan lebih 2,000 bakul makanan kepada penduduk sekitar yang terkesan susulan Covid-19.

Yi Wei berkata bantuan itu mula diberi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan berterusan demi memastikan tiada pihak terputus bekalan asas.

Categories
ADN SELANGOR

Lebih 2,000 bakul makanan diagih kepada penduduk Kampung Tunku

PETALING JAYA, 19 SEPT: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Tunku telah mengagihkan lebih 2,000 bakul makanan kepada penduduk sekitar yang terkesan susulan Covid-19.

Ahli Dewan Negeri (ADN)nya berkata bantuan itu mula diberi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan berterusan demi memastikan tiada pihak terputus bekalan asas.

“Kita tidak hanya fokus kepada bakul makanan tetapi turut membantu individu mengalami masalah kesihatan seperti pembelian ubat-ubatan.

“Selain itu kita juga akan menumpukan bantuan lampin pakai buang dan susu kepada bayi, warga emas dan pesakit kritikal,” kata Lim Yi Wei selepas meninjau program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak DUN Kampung Tunku.

Pada 23 Ogos, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor mengingatkan semua wakil rakyat untuk turun padang mengesan penduduk memerlukan bantuan.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah golongan ini perlu sentiasa dicari, bukan hanya ketika ingin mendapatkan undi sewaktu pilihan raya.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sambutan luar jangka, Kerajaan Negeri disaran tambah kuota dos vaksin percuma

PETALING JAYA, 18 SEPT: Kerajaan Negeri disaran menambah kuota dos vaksin percuma dalam program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak kerana masih ramai belum mendapat suntikan pelalian.

Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku Lim Yi Wei berkata ini kerana bilangan individu berdaftar di SELangkah melebihi kuota dos vaksin ditetapkan dalam program Selvax bergerak.

“Setakat jam 12 tengah hari tadi lebih separuh dos vaksin daripada 600 jumlah pelalian diperuntukkan untuk kawasan Kampung Tunku habis diguna.

“Rata-rata peserta yang hadir adalah dalam kalangan warga asing, apabila mereka divaksin kita rasa lega kerana secara tidak langsung turut melindungi diri kita daripada wabak,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif menambah dos vaksin percuma dalam program Selvax akan mempercepat usaha negara mencapai imuniti kelompok.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program Selvax bergerak di tapak pasar malam Sungai Way, Jalan SS9A/12, di sini hari ini.

Program Selvax bergerak dijalankan sejak 12 September bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian.

Inisiatif itu membabitkan 11 Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai permulaan dari jam 9 pagi hingga 5 petang selama seminggu.

Selain Kampung Tunku, DUN terlibat Hulu Bernam, Bandar Baru Klang, Batu Tiga, Tanjung Sepat, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Batang Kali, Banting, Teratai dan Dengkil.

 

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

MB rancakkan pendigitalan, bantu peniaga depani Covid-19

SHAH ALAM, 22 JUN: Inisiatif pendigitalan yang dirancakkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sepanjang tiga tahun pentadbirannya memacu sektor ekonomi negeri meski berdepan wabak Covid-19.

Memberi contoh, exco perdagangan berkata platform Grab Selangor dan Platform Selangor (PLATS) disusuli kempen e-Bazar Raya Selangor yang dibangunkan memastikan peniaga kecil terus dapat mencari rezeki.

“Mulai saat itu, Kerajaan Negeri mendaftar ramai pengusaha kecil dan sederhana yang sebelum ini dilihat ‘menjauhi’ e-dagang dan pendigitalan. Kita berikan insentif baucar pendaftaran serta geran padanan.

“Dari segi pencapaian juga agak baik, program e-Bazar Raya dan Tahun Baharu Cina merekodkan kesan ekonomi RM2.3 bilion,” kata Dato’ Teng Chang Khim mengulas ulang tahun ketiga pentadbiran Amirudin pada Sabtu lalu.

Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku Lim Yi Wei pula menyifatkan inisiatif Amirudin dalam bidang pendigitalan membuka pandangan baharu masyarakat terhadap Selangor sebagai sebuah negeri pintar.

“Bila berlaku pandemik Covid-19, Dato’ Menteri Besar agak agresif. Hasilnya penjaja dapat berniaga manakala kami wakil rakyat boleh terus menjalankan tugas, ini benar-benar dikatakan negeri pintar.

“Saya gembira Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) mengambil inisiatif membuat penerangan tiga bahasa dalam aspek pendigitalan sekali gus lebih ramai audien dicapai,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

PKP penuh: Wakil rakyat hulur bantuan, ringan beban penduduk

SHAH ALAM, 3 JUN: Wakil rakyat di negeri ini mula bergerak menghulurkan bantuan kepada penduduk terjejas di kawasan masing-masing susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh sejak Selasa lalu.

Selain golongan kehilangan mata pencarian terutama yang berpendapatan harian, sumbangan turut disalurkan kepada mereka tidak dapat keluar kerana sedang dikuarantin berikutan dijangkiti Covid-19 atau menjadi kontak rapat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer, Mohd Sany Hamzan berkata pusat khidmatnya memperkenalkan program ‘Ziarah Lockdown’ dan ‘Ziarah Kuarantin’ sepanjang PKP penuh dengan menghantar pek makanan mengandungi beras, tepung, mihun dan kicap.

“Mungkin kali ini jumlah memerlukan bantuan lebih ramai kerana ada pertambahan pesakit Covid-19, seperti contoh ada 136 orang dikesan dijangkiti wabak (menerusi Saringan Komuniti Covid-19 anjuran Kerajaan Selangor).

“Mereka tidak boleh keluar membeli barang, kalau yang dirawat di hospital atau pusat kuarantin ahli keluarga pula perlu dibantu kerana menjadi kontak rapat dan menjalani kuarantin,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

ADN Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi turut menumpukan kawasan berlaku peningkatan wabak dan kumpulan pertama penerima membabitkan 13 keluarga yang terputus bekalan makanan di Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Seksyen 16.

Mohd Najwan Halimi menyerahkan bantuan makanan kepaada salah satu daripada 13 keluarga yang terputus bekalan pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh di Flat PKNS Seksyen 16, Shah Alam. Foto Mohd Najwan Halimi

“Kita juga bantu mereka yang mencari rezeki sebagai penjaja kecil, ramai golongan itu terjejas kerana perniagaan tidak berjalan seperti biasa dan pendapatan tidak seberapa,” katanya.

Sementara itu, ADN Kampung Tunku, Lim Yi Wei berkata pusat khidmatnya sudah mula menghubungi 400 orang dalam senarai kumpulan memerlukan bantuan yang dikumpulkan sejak PKP 1.0 dengan kebanyakannya bergaji hari seperti pemandu dan kelindan lori.

Lim Yi Wei membantu seorang warga emas untuk dibawa ke pusat pemberian vaksin menerusi program GoVax. Foto Lim Yi Wei

“Kami akan menghantar keperluan seperti makanan, lampin pakai buang serta susu untuk orang dewasa dan kanak-kanak selepas sahaja proses penelitian selesai.

“Sepanjang PKP penuh ini juga, kami melaksanakan program GoVax yang menyediakan pengangkutan membawa warga emas dan orang kurang upaya menerima vaksin di lima pusat pemberian vaksin berhampiran,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

DUN Kampung Tunku ajak masyarakat bantu mangsa banjir Pahang

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 9 JAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Tunku mengalu-alukan orang ramai untuk turut serta membantu dan menderma kepada mangsa banjir di Pahang.

Ahli Dewan Negerinya berkata pihaknya menjalin kerjasama dengan badan bukan kerajaan, Persatuan Sukarelawan dan Kebajikan Tulus bagi mengumpul sumbangan membantu mangsa bencana tersebut.

 

“Orang ramai boleh menyumbang barangan seperti air mineral, biskut, mee segera, minyak masak dan beras.

“Syarikat swasta atau agensi korporat juga dialu-alukan bagi membantu kepada mangsa bencana ini,” kata Lim Yi Wei ketika dihubungi.

Sumbangan boleh dibuat menerusi dalam talian ke akaun Pertubuhan Sukarelawan dan Kebajikan Tulus 5643 0623 9265 (Maybank) dan emel penyata pembayaran ke [email protected] .

Selain itu, barangan bantuan juga boleh ditempatkan di Pejabat DAP Selangor, No 24, Jalan 20/9, Taman Paramount, 46300 Petaling Jaya yang dibuka setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

Categories
ADN SELANGOR

ADN: Tambahan lapan lot parkir di Kampung Tunku, mudahkan OKU

SHAH ALAM, 3 DIS: Sebanyak lapan lot tempat letak kereta orang kelainan upaya (OKU) ditambah di kawasan komersial di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Tunku.

Ahli Dewan Negerinya berkata kemudahan terbabit mendapat kerjasama dan kelulusan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk disediakan di Taman Paramount, Seksen 20 serta Sea Park, Seksyen 21.

“Tempat letak kereta ini bertujuan memudahkan pergerakan golongan tersebut ketika berkunjung di kawasan berkenaan.

“Namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hanya tiga lot dapat disiapkan di Taman Paramount manakala lima lagi di Sea Park masih dalam proses pelaksanaan,” kata Lim Yi Wei menerusi kenyataan di Facebook.

Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai bertimbang rasa dan tidak menyalahgunakan kemudahan parkir untuk golongan OKU berkenaan.

Yi Wei berkata OKU yang mahu mendapat keistimewaan tersebut boleh memohon pelekat OKU percuma di Jabatan Kemasyarakatan, Tingkat 7, Menara MBPJ.

“Pelekat ini untuk tempoh dua tahun dan boleh diperbaharui. Pemohon hanya perlu membawa kad OKU dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Berdasarkan rekod MBPJ, bagi 2018 terdapat 215 permohonan pelekat tempat letak kereta OKU diikuti 227 (2019) dan 144 (hingga November lalu).

 

Categories
ADN SELANGOR

ADN: 40 penjaja, pekerja pasar jalani saringan Covid-19

SHAH ALAM, 29 OKT: Kira-kira 40 penjaja dan pekerja Pasar Sea Park, Petaling Jaya menjalani ujian saringan Covid-19 dikendalikan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling semalam.

Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku Lim Yi Wei berkata saringan bermula 9.30 pagi hingga 1 petang diadakan susulan seorang penjaja di pasar berkenaan disahkan positif wabak.

“Mereka dijangka memperoleh keputusan dalam tempoh 48 jam dan diharap semuanya negatif (Covid-19) namun pengesanan kontak rapat seterusnya akan diperluaskan sekiranya terdapat kes positif,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata buat masa ini pasar berkenaan masih belum dibenarkan beroperasi sehingga satu tempoh akan diumumkan kelak.

“Kita sedang tunggu keputusan PKD (untuk benarkan Pasar Sea Park beroperasi),” katanya.

Pada 23 Oktober, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya memutuskan menutup operasi Pasar Sea Park bagi membolehkan pelaksanaan kerja pembersihan dan sanitasi selepas seorang penjaja diuji positif Covid-19.

Categories
ADN SELANGOR

ADN Kampung Tunku disahkan positif Covid-19

SHAH ALAM, 5 OKT: Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku disahkan positif Covid-19 hasil keputusan ujian saringan kedua dijalankan Pejabat Kesihatan Daera (PKD) Petaling Jaya.

Lim Yi Wei berkata pengesahan itu diterima hari ini iaitu menerusi ujian dijalaninya pada 2 Oktober lalu.

“Berdasarkan saranan PKD, saya menjalani ujian itu dan menyambung pengasingan kendiri sehingga dimaklumkan keputusannya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Yi Wei berkata ujian tersebut dilakukan selepas beliau mengalami gejala pada 1 Oktober walaupun sehari sebelum itu disahkan negatif Covid-19 dan diminta hadir untuk dibuka gelang merah jambu.

Beliau menempuh ujian saringan pertama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Klia2) sejurus tiba dari Sabah pada 27 September lalu dan menjalani kuarantin diri.

“Saya memohon maaf kepada semua kakitangan Kementerian Kesihatan, sahabat perjuangan dan semua yang terkesan walaupun semua langkah berjaga-jaga dipatuhi semasa berkempen dan pengasingan kendiri sejak hari pertama.

“Semua kontak rapat dengan saya sejak 14 hari lalu juga diseru menjalani ujian saringan di klinik kesihatan yang terdekat,” katanya.

 

Categories
ADN SELANGOR

Lakar potret MB guna elemen nasi lemak di Jom Daftar Undi

PETALING JAYA, 16 OGOS: The Rojak Projek mempamer kreativiti dengan menghasilkan potret Dato’ Menteri Besar menggunakan elemen nasi lemak.

Pengasasnya, Faye Lim menyiapkan lakaran wajah Dato’ Seri Amirudin Shari dalam tempoh hampir sejam menggunakan cebisan daun pisang.

Beliau yang ditemui pada program Jom Daftar Undi anjuran pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunku berkata hampir 500 potret menggunakan elemen makanan telah dihasilkan di negeri yang dikunjunginya.

“Sempena kemerdekaan kali ini kami memilih nasi lemak sebagai elemen dalam penghasilan potret Dato’ Menteri Besar dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Tunku, Lim Yi Wei.

“Ini juga merupakan projek penyatuan berteraskan makanan. Kami akan sunting potret yang telah siap sebelum dicetak menjadi sekeping poskad,” katanya ketika ditemui di Gelanggang Bola Keranjang SS2 di sini.

Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku, Lim Yi Wei (dua dari kanan) melihat orang awam mendaftar pada Program Jom Daftar Undi di SS2 Basketball Court, Petaling Jaya pada 15 Ogos 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sementara itu, Yi Wei berkata program seumpama itu pernah dianjurkan sebelum ini di pejabatnya dan Pangsapuri Sri Aman.

Beliau menambah pihaknya bekerjasama dengan Team Selangor dan The Rojak Project untuk menghasilkan potret khas untuk 100 pendaftar pertama program terbabit.

“Ini merupakan usaha merapatkan rakyat Malaysia menerusi makanan. Mereka (The Projek) akan susun ramuan dalam nasi lemak seperti ikan bilis, kacang dan nasi untuk membentuk sebuah potret,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Jalan SS4 rosak, lurang gagal tampung limpahan air hujan

SHAH ALAM, 22 JULAI: Kegagalan lurang (lubang periksa saliran) menampung limpahan air hujan menyebabkan banjir kilat di Jalan SS4/A, Petaling Jaya petang tadi.

Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku Lim Yi Wei berkata insiden tersebut turut merosakkan struktur jalan raya dan laluan kenderaan terpaksa dilencongkan.

“Air naik satu kaki dari aras jalan dan merosakkan turapan. Pengguna yang ingin menuju ke SS2 dan Lebuhraya Damansara-Puchong perlu menggunakan laluan di Jalan SS4/6 dan keluar di Jalan SS4/10,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata pembersihan dilaksana petang tadi manakala kerja pembaikan oleh Jabatan Kejuruteraan Majlis Bandaraya Petaling Jaya dibuat malam ini.

Sebelum itu, Yi Wei turun padang melihat lokasi kejadian yang dikongsi meluas di laman sosial.

Categories
ADN SELANGOR

Skim Peduli Sihat DUN Kampung Tunku dibuka untuk daftar

SHAH ALAM, 14 JULAI: Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Tunku dipelawa menyertai program Skim Peduli Sihat yang dibuka sejak semalam hingga 31 Julai ini.

“Pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian di https://member.pedulisihat.com/site/createMember atau hadir ke Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kampung Tunku,” kata Ahli Dewan Negerinya Lim Yi Wei menerusi Facebook.

Bagi yang mendaftar di pusat khidmat, mereka perlu membawa dokumen:
1. Borang Permohonan Program Kasih Ibu Smart Selangor (jika ada)
2. Salinan Kad Pengenalan
3. Salinan Kad Pengenalan, MyKid atau Surat Kelahiran
4. Salinan Slip Gaji / Pencen (untuk penjawat awam / pesara)
5. Salinan Penyata EA* atau KWSP* (untuk pekerja swasta)
6. Salinan Sijil Kematian / Bercerai (untuk ibu tunggal)
7. Bukti penerima Bantuan Sara Hidup bagi kategori pendapatan bawah RM2,000 atau bukti tersenarai sebagai golongan miskin/miskin tegar dalam pengkalan data eKasih.

Tawaran ini hanya dibuka kepada pengundi DUN Kampung Tunku.

Untuk mereka yang mengundi di DUN lain, boleh berkunjung ke pejabat ADN berkenaan. Maklumat mengenai kawasan mengundi boleh disemak di https://pengundi.spr.gov.my.