Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lima beradik yatim piatu terima tablet, kad SIM percuma

SHAH ALAM, 2 NOV: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyumbang tablet kepada lima beradik yatim piatu akibat Covid-19.

Ketua tanggungjawab sosial korporat Ahmad Azri Zainal Nor berkata pihaknya turut menyerahkan kad modul pengenalan pelanggan (SIM) percuma untuk kemudahan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Tempoh hari menerusi lawatan Dato’ Menteri Besar beliau ada menyatakan komitmen untuk membantu lima beradik ini daripada sudut pembelajaran.

Muhammad Hadhrami, 11, (tengah) bersama adik-adiknya melihat tablet dan kad sim Data Internet Selangor yang disumbangkan oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di Kampung Melayu Subang Tambahan, Shah Alam pada 2 November 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Oleh demikian, hari ini kita datang serahkan lima tablet beserta kad SIM percuma dengan kemudahan data internet had kuota 15GB,” katanya.

Terdahulu beliau melawat Muhammad Hadhrami, 11; Husna Humaira, sembilan; Muhammad Harraz, lapan; Muhammad Hawwas, enam; dan Hannan Humaira, tiga, kehilangan bapa Mohd Nasir Tahal, 46, pada 11 Ogos.

Manakala, ibu mereka Ida Haryanie Abdul Razak, 38, menghembus nafas terakhir pada 8 Oktober lalu selepas 64 hari ditidurkan di Hospital Putrajaya.

Mereka kini dijaga datuk Abdul Hamid Basirun,67 dan nenek, Kintan Sulaiman, 63.

Pada 11 Oktober lalu, Dato’ Seri Amirudin Shari ditemani isteri Datin Seri Masdiana Muhammad meluangkan masa kira-kira sejam untuk memberi sokongan kepada adik beradik tersebut di kediaman mereka di Seri Kembangan.