Oleh: SYASYA SUFIAN
SHAH ALAM, 1 JAN: Pengisian Liqa’ Ukhwah yang sarat dengan pelbagai program ilmiah dan keagamaan memberi manfaat kepada orang ramai terutamanya golongan bekeluarga.
Pengajar, Norziana Md Ali, 45, berkata pengajuran program seumpama itu wajar diperbanyakkan dan usaha Kerajaan Negeri yang sentiasa menyajikan program ilmiah dipuji.
“Permulaan yang bagus untuk tahun baru mengadakan program ini dengan adanya ceramah dari penceramah yang terkenal. Berbeza dengan sesetengah majlis ilmu yang memerlukan bayaran masuk tetapi hari ini ia percuma,” katanya sewaktu program Liqa’ Ukhwah di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, hari ini.
Bertemakan ‘Memperkasa Azam, Merapatkan Ukhuwah’, acara sehari itu secara khusus mengupas cabaran kewangan, ekonomi dan juga isu keharmonian masyarakat yang berlaku masa ini.
Antara program menarik yang berlangsung adalah ceramah dari Profesor Dr Muhaya, Ustaz Pahrol Mohamad Juoi, Imam Muda Asyraf dan Ustazah Sharifah Khasif.
Pengunjung juga berpeluang melihat pameran dan juga berkongsi pandangan bersama Zahariz Khuzaimah, Pengembara solo berbasikal merentasi benua Asia.
Sementara, golongan kanak-kanak pula dihiburkan dengan pelbagai aktiviti melalui zon Khalifah Kecil bersama Upin dan Ipin.
Pengunjung, Wan Zulaiha Wan Zabidi, 36, berkata beliau sangat menantikan penceramah daripada Dr Muhaya dan Ustaz Pahrol kerana pengisiannya yang terkesan untuk sesebuah keluarga.
“Program ini lebih baik dan harus di teruskan berbanding diadakan konsert yang melekakan anak muda.
“Pihak penganjur perlu baiki dalam mempromsikan supaya lebih terkesan kerana program pada hari ini sangat menarik dan harus dihebahkan kepada orang ramai tetapi kurang diketahui umum,” katanya.
Sementara itu, Operator, Mohd Salman, 47, berkata Liqa’ Ukhwah mampu membantu masyarakat mendapatkan ilmu daripada para penceramah yang disegani.
“Kita dapat bertanya bersoal jawab dengan Ustaz Paharol tentang perkara yang kurang jelas secara berdepan.
“Saya berharap Kerajaan Negeri akan meneruskan program yang bersifat keilmuan ini di masa akan datang,” katanya.
-nR-