OLEH NAZLI IBRAHIM
GOMBAK, 9 MEI: Litar BMX Gombak Permai di Batu Caves bersedia menjadi gelanggang pertandingan lumba basikal sukan lasak itu pada temasya Sukan Asia Tenggara (SEA) 2017 jika ia dipertandingkan.
Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata ia ekoran ciri litar terbabit sudah mendapat perakuan badan lumba basikan dunia, UCI (Union Cycliste Internationale).
“Trek ini boleh dianggap mencapai tahap Asia Tenggara dan berpotensi ke tahap dunia, jika dinaik taraf pada masa depan kita dapat menyediakan asas yang sangat baik.
“Di Malaysia memang tidak banyak trek seperti ini. Sarawak sendiri baru hendak bina untuk persediaan menghadapi Sukan Malaysia, Terengganu ada satu dan Perlis sudah tidak boleh guna. Kita boleh dianggap sudah jauh ke depan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri pertandingan BMX Jemputan Terbuka Malaysia 2016 di Litar BMX Gombak Permai di sini, semalam.
Pada masa sama, Amirudin berkata, perlumbaan BMX akan dipertandingkan pada Sukan Malaysia (Sukma), namun masih menunggu status untuk Sukan SEA pada Jun nanti.
Katanya, sehingga kini Kerajaan Negeri sudah membelanjakan kira-kira RM100,000 bagi menaik taraf pelbagai kemudahan dan spekfikasi yang memenuhi piawaian antarabangsa.
“Tahun lepas kita peruntukkan sekitar RM100,000 daripada peruntukan Adun dan juga Kerajaan Negeri.
“Mereka ada permohonan RM600,000 hingga RM700,000. Saya akan lihat peruntukan sedia ada mahu pun peruntukan akan datang untuk menaik taraf trek ini,” katanya.
Sementara itu, Pertandingan BMX Jemputan Terbuka Malaysia 2016 yang berlangsung selama dua hari berjaya menarik penyertaan pelumba tempatan dan antarabangsa seperti Sarawak, Melaka, Terengganu, Johor, Thailand, Singapura, Indonesia dan lain-lain.
-AA-