Categories
AGENDA NASIONAL

PTPTN wujud perbualan dalam talian urusan pinjaman, simpanan

KUALA LUMPUR, 29 JAN: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperkenalkan perkhidmatan ‘Live Chat PTPTN’ sebagai saluran alternatif untuk pelanggan berurusan ketika negara berdepan pandemik Covid-19.

PTPTN dalam kenyataan hari ini memaklumkan menerusi saluran berkenaan pelanggan dapat membuat semakan, pertanyaan dan aduan bagi urusan pinjaman pendidikan, bayaran balik pinjaman dan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

“Pelanggan hanya perlu melayari portal rasmi PTPTN di http://www.ptptn.gov.my dan klik pada ikon ‘Live Chat’ untuk membolehkan pelanggan berhubung terus secara langsung dengan pegawai PTPTN yang sentiasa bersedia untuk memberikan maklum balas.

“Pelanggan juga tidak perlu mempunyai sebarang akaun media baharu untuk menggunakan kemudahan ini,” menurut kenyataan itu.

PTPTN menjelaskan Perkhidmatan Live Chat PTPTN mula beroperasi pada 14 Sept tahun lepas, setiap Isnin hingga Jumaat bermula 9 pagi hingga 5 petang dengan dikendalikan 16 pegawai bertugas termasuk seorang penyelia.

Menurut kenyataan itu, sehingga 31 Dis lepas, sebanyak 75,433 pengguna memilih perkhidmatan berkenaan dengan purata harian 993 pengguna.

“Live Chat ini turut mematuhi Akta Perlindungan Data Peribadi (APDP) 2010 bagi memberi perlindungan kepada data peribadi pelanggan. Sebelum memulakan perbualan, pelanggan perlu melengkapkan lima maklumat iaitu nama, nombor kad pengenalan, nombor telefon bimbit, e-mel dan kategori pertanyaan.

“Selain itu, pelanggan juga boleh menggunakan saluran e-Aduan melalui portal rasmi PTPTN atau menghubungi pegawai khidmat pelanggan serta eksekutif pemasaran PTPTN seluruh negara melalui nombor telefon yang dipaparkan di pautan https://www.ptptn.gov.my/hubungi-ptptn.

“Talian Careline PTPTN di 03-2193 3000 juga kekal beroperasi setiap Isnin hingga Jumaat dari 9 pagi hingga 5 petang,” menurut kenyataan itu.

PTPTN menyarankan agar pelanggan menggunakan kaedah transaksi secara dalam talian bagi urusan bayaran balik pinjaman, pembukaan akaun atau penambahan deposit SSPN serta pinjaman PTPTN.

Pada masa sama, PTPTN memaklumkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), waktu operasi pejabat PTPTN negeri dan cawangan di seluruh negara terhad pada 9 pagi hingga 3 petang, manakala cawangan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) atau pasar raya dibuka seperti biasa berdasarkan kelulusan masa pengoperasian pihak pengurusan berkenaan.

-BERNAMA