Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Teladani Liverpool, semangat berpasukan atasi Covid-19, isu ekonomi

SUBANG JAYA, 6 OGOS: Semangat berpasukan yang dipamer Liverpool, juara Liga Perdana Inggeris (EPL), harus diteladani dalam menangani penularan Covid-19 mahupun kesukaran ekonomi.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kesungguhan tidak putus-putus pasukan itu hingga berjaya mengakhiri penantian 30 tahun untuk kembali muncul sebagai juara juga wajar dicontohi.

“Saya ingin sebutkan bagaimana semangat melawan yang ada pada Liverpool itu membawa kejayaan kepada pasukan,” katanya pada pelancaran jersi baharu Liverpool di kedai sukan Al-Ikhsan di Sunway Pyramid di sini hari ini.

“Rakyat Malaysia baik penyokong Liverpool atau bukan kena faham dan (semangat juang) baik untuk kita ikuti untuk diterap dalam melawan Covid-19 dan (membangunkan) ekonomi.”

Liverpool beberapa kali hampir menjuarai EPL tetapi kecewa pada saat akhir pada 2013 selepas tewas kepada Chelsea dan 2019 kepada Manchester City dengan perbezaan satu mata.

Namun, kehadiran pengurus Jurgen Klopp sejak 2015 mengubah dimensi The Reds, nama jolokan pasukan itu, apabila meraih kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah, Piala Dunia Kelab dan terbaru, kembali mengungguli EPL.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SUKANKINI

Bangunkan Selangor cara Liverpool, cipta mentaliti menang

SHAH ALAM, 27 JUN: Kejayaan Liverpool menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) semalam menjadi inspirasi kepada Dato’ Menteri Besar untuk membawa Selangor ke arah lebih baik.

Menulis di Twitter, Dato’ Seri Amirudin Shari kagum dengan kepimpinan pengurus Jurgen Klopp yang merangkul kejuaraan kali ke-19 dalam liga berkenaan sekali gus mengakhiri penantian tiga dekad.

“Saya harap dapat menerapkan pembelajaran penting bagaimana FSG (Fenway Sports Group) dan Klopp mencipta pasukan dan mentaliti menang serta menggunakannya untuk membantu saya menjadikan Selangor lebih baik kepada semua.

“Kita adalah satu pasukan. Bersatu kita tak terkalahkan. Marilah kita bersama membangun bangsa berbudaya serta negeri yang makmur sentosa,” tulisnya dengan tanda pagar YNWA (You’ll Never Walk Alone) dan Selangor Maju Bersama malam tadi.

Amirudin turut memuji kesungguhan The Reds, nama jolokan Liverpool, mencipta pelbagai kejayaan meskipun berdepan situasi ‘menyakitkan’ dalam era EPL.

“Penantian itu amat menyakitkan tetapi bermakna bagi kita semua. Tahniah Liverpool FC. Terima kasih Klopp dan pasukan, terima kasih pemain, terima kasih semua orang di kelab, terima kasih FSG, terima kasih bandar Liverpool dan terima kasih kepada semua yang selalu percaya,” tulisnya lagi.

Pemenang enam kali kejohanan Liga Juara-Juara Eropah dinobat sebagai juara tanpa menendang bola selepas Chelsea menewaskan Manchester City 2-1 awal pagi semalam. Sebelum kejohanan terhenti akibat Covid-19, Liverpool memiliki kelebihan 25 mata berbanding  pasukan di tempat kedua.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Klopp: Tindakan Mane sudah diselesaikan

SHAH ALAM, 1 SEPT: Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp menjelaskan pasukannya kekal tenang walaupun penyerangnya, Sadio Mane melepaskan kemarahan selepas dikeluarkan pada pertemuan menentang Burnley, awal pagi tadi.

Katanya, reaksi dipamerkan Mane itu jelas tetapi semuanya sudah dibincangkan dalam bilik persalinan selain memuji persembahan pemainnya.

“Itu jelas (kemarahan) dan ia tidak boleh disembunyikan tetapi kita sudah bercakap mengenainya dan semuanya baik.

“Mereka (pemain) mempamerkan persembahan baik dan bukan mudah menembusi lawan yang beraksi dengan formasi 4-4-2,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Keengganan rakan sepasukan, Mohamed Salah menolak bola kepadanya ketika Liverpool berpeluang untuk menggandakan jaringan menyebabkan pemain Senegal itu berang selepas dikeluarkan pada minit ke-85.

Bagaimanapun, keadaan itu berjaya ditenangkan James Milner dan Roberto Firmino yang turut dikeluarkan selepas menghasilkan gol ketiga buat The Reds di bangku pemain simpanan.

Liverpool mengekalkan rekod bersih selepas mencatatkan empat kemenangan untuk meneraju liga apabila menang 0-3 di gelanggang lawan.

The Reds merekodkan 13 kemenangan liga berturut-turut tanpa keputusan seri atau kalah di samping Firmino menjadi pemain Brazil pertama menjaringkan 50 gol dalam Liga Perdana Inggeris.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Liverpool julang Piala Super Eropah kali keempat

SHAH ALAM, 15 OGOS: Liverpool menjulang Piala Super Eropah buat kali keempat dalam sejarah selepas menewaskan Chelsea 5-4, melalui sepakan penalti, pagi ini.

Kedua-dua pasukan terikat 2-2 selepas aksi 120 minit perlawanan yang berlangsung di Stadium Vodafone Park, Istanbul, Turki.

Chelsea terlebih dahulu di hadapan 0-1, melalui jaringan Olivier Giroud selepas tenang menewaskan penjaga gol The Reds, Adrian San Miguel del Castillo hasil hantaran Christian Pulisic, pada minit ke-36.

Awal babak kedua kemudian menyaksikan Liverpool berjaya menyamakan kedudukan 1-1, melalui Sadio Mane yang memanfaatkan umpanan Roberto Firmino, pada minit ke-48.

Tanpa tambahan jaringan selepas tamat masa sebenar perlawanan, Mane sekali lagi meledak jaringan kedua Liverpool pada babak pertama masa tambahan di minit ke-95 hasil gerakan bersama Firmino bagi kedudukan 2-1.

Selang enam minit kemudian, penjaga gol Liverpool, Adrian melakukan kesilapan menjatuhkan penyerang Chelsea, Tammy Abraham dan pengadil, Stephanie Frappart tidak teragak-agak untuk menghadiahkan sepakan penalti.

Jorginho tidak mensia-siakan peluang untuk menyamakan kedudukan 2-2 bagi memastikan perjuangan Chelsea diteruskan.

Kedudukan 2-2 kekal sehingga tamat masa tambahan menyaksikan pemenang terpaksa ditentukan melalui sepakan penalti.

Adrian menebus kesilapan sebelum ini apabila menyelamatkan sepakan penalti kelima The Blues yang diambil Abraham bagi memastikan skuad kendalian Jurgen Klopp menjulang kejuaraan buat kali keempat.

Sebelum ini, Liverpool berjaya menjulang trofi sama pada 1997, 2001 dan 2005.

Categories
SUKANKINI

UCL: Amukan Liverpool singkirkan Barcelona di Anfield

OLEH AFIX REDZUAN

ANFIELD, 8 MEI: Liverpool melakar satu lagi sejarah kebangkitan mengagumkan dalam kancah Liga Juara-Juara Eropah (UCL) apabila menewaskan Barcelona 4-0 untuk mara ke pentas akhir di Madrid dengan agregat 4-3.

Ketinggalan 0-3 menerusi agregat susulan kekalahan pada separuh akhir pertama dan tanpa kelibat Mohamed Salah serta Roberto Firmino, The Reds memastikan semua itu boleh diatasi dengan sorakan padu penyokong sendiri.

Divock Origi memulakan pesta di Anfield dengan gol pertama tuan rumah pada minit ketujuh selepas menolak masuk bola yang gagal ditampan kemas penjaga gol, Ter Stagen bagi gol pertama The Reds.

Barcelona cuba bangkit dengan percubaan Lionel Messi tetapi gagal menemui jaringan dan kedudukan 1-0 kekal pada babak pertama.

Malang buat Liverpool apabila kehilangan khidmat pertahanan kiri, Andy Robertson yang cedera dan Jurgen Klopp terpaksa membawa masuk Georginio Wjanaldum.

Kemasukan bintang Belanda itu membuahkan hasil apabila menjaringkan gol kedua tuan rumah pada minit ke-54 apabila menyambut hantaran Trent Alexander-Arnold bagi kedudukan 2-0.

Selang dua minit kemudian, Wjanaldum menjadikan kedudukan 3-0, sekali gus menyamakan agregat 3-3 apabila melonjak tinggi untuk menanduk hantaran Xherdan Shaqiri.

Messi cuba untuk menghasilkan gol menerusi sepakan percuma seperti yang dilakukan di Nou Camp minggu lalu tetapi benteng pertahanan yang diketuai Vigil Van Dijk berjaya menafikannya.

Gol keempat yang dicari Liverpool akhirnya menjelma pada minit ke-79 sekali lagi menerusi Origi apabila dia mudah menampan sepakan penjuru Alexander-Arnold bagi kedudukan 4-0.

Benteng Liverpool berjaya menyerap tekanan sehingga tamat masa tambahan lima minit bagi memastikan mereka mara ke final UCL buat kali kesembilan dalam sejarah kejohanan.

Setakat ini Liverpool sudah menjulang lima trofi UCL dan kali terakhir pada 2005 di Istanbul, Turki.

Kredit Foto: UEFA Champions League

Categories
SUKANKINI

Steve McManaman yakin Liverpool mampu tewaskan Barcelona

OLEH AFIX REDZUAN

DAMANSARA, 19 APR: Steve McManaman yakin Liverpool mampu mencipta kemenangan ke atas Barcelona untuk mara ke pentas akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) walaupun tidak diletakkan sebagai pasukan pilihan.

Lagenda Liverpool itu berkata, pelbagai pihak melihat keupayaan Lionel Messi ketika membantu pasukannnya menewaskan Manchester United di peringkat suku akhir tetapi The Reds akan berusaha untuk meraih keputusan positif dalam dua perlawanan secara timbal balik itu.

“Liverpool akan menang,” katanya ketika sesi bersama media sempena LFC World Kuala Lumpur di pusat membeli belah 1 Utama, hari ini.

McManaman yang beraksi di Anfield selama sembilan musim bermula pada 1990 dan pernah memenangi trofi UCL bersama Real Madrid berkata, rekod memberangsangkan beraksi di laman sendiri dan tempat lawan dalam peringkat Eropah musim ini juga tidak boleh dipandang mudah.

Katanya, Jurgen Klopp pastinya mempunyai strategi tersendiri untuk mara ke pentas akhir dan beliau yakin pengendali dari Jerman itu akan kekal lama di Anfield.

Keyakinan sama turut dilaungkan Jason McAteer yang menyifatkan trio serangan Sadio Mane, Roberto Firmino dan Mohamed Salah akan cuba memecahkan kekebalan Barcelona.

“Liverpool mempunyai (Virgil) Van Dijk di bahagian pertahanan dan dibantu oleh rakan-rakan lain pastinya akan cuba mengekang Messi. Harus diingat, rekod jaringan barisan serangan musim ini juga baik pada peringkat pusingan 16 pasukan terbaik dan suku akhir (UCL),” katanya.

Bagi Sami Hyypia pula, Liverpool mempunyai barisan pertahanan terbaik musim ini yang diketuai Van Dijk dan akan terus bersaing sehingga perlawanan

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)

Categories
SUKANKINI

LFC World tunggu kehadiran peminat di One Utama

OLEH AFIX REDZUAN

DAMANSARA, 19 APR: Peminat Liverpool berpeluang untuk memenangi sehelai jersi ‘Home Kit’ musim 2019/2020 dengan menyertai cabutan bertuah pada sesi tayangan perlawanan menentang Cardiff City di pusat membeli belah One Utama, Ahad ini.

Peluang keemasan itu sebagai tanda penghargaan kepada peminat di Malaysia sempena kunjungan LFC World di Kuala Lumpur selama tiga hari bermula hari ini dan tempahan boleh dibuat menerusi proticket.com.my

Kehadiran LFC World untuk musim kali ini menampilkan tiga pemain lagenda The Reds iaitu Jason McAteer, Sami Hyypia dan Steve McManaman.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Standard Chartered Malaysia, Abrar A Anwar berkata, pihaknya berbangga untuk bekerjasama dengan Liverpool sebagai sebuah kelab bola sepak yang mempunyai jumlah penyokong besar di negara ini.

“Kami amat teruja untuk menyediakan pelbagai aktiviti yang memberikan manfaat kepada penyokong Liverpool seperti peluang bertemu pemain lagenda, pemberian cenderahati dan tiket perlawanan ke Anfield kepada komuniti, pelanggan, kakitangan Standard Chartered serta peminat Liverpool.

“Peminat yang mendaftar untuk kad kredit Standard Chartered edisi Liverpool FC sebelum 30 April ini akan layak diberikan pulangan tunai sebanyak dua kali ganda pada Mei depan,” katanya.

Peminat yang hadir ke jelajah Liverpool di Kuala Lumpur berpeluang merasai suasana di Anfield melalu rekaan khas ‘Shankly Gates’ dan ‘This Is Anfield’ yang menjadi mercu tanda ikonik di sana serta berpeluang memenangi pelbagai hadiah ditawarkan menerusi pelbagai aktiviti menarik sepanjang program berlangsung.

Tambahan, pengunjung juga boleh bergambar seperti berada di bilik persalinan Liverppol dengan jersi pemain kegemaran antaranya Sadio Mane, Roberto Firmino, Virgil Van Dijk dan Mohamed Salah.

Penyokong bertuah juga berpeluang memenangi hadiah istimewa berkunjung ke Anfield untuk menyaksikan perlawanan membabitkan Liverpool pada 2019/20 secara langsung yang ditaja khas Standard Chartered.

Sesi pertemuan bersama pemain lagenda turut diadakan pada 20 April yang menampilkan Steve McManaman (12 – 1 tengah hari) dan Jason McAteer (3 – 4 petang) manakala Sami Hyypia pada 21 April (1 tengah hari – 2 petang).

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)

Categories
NASIONAL

Bob Paisley inspirasi ‘Home Kit’ Liverpool 2019/20

OLEH AFIX REDZUAN

ANFIELD, 18 APRIL: Liverpool menjadi kelab Liga Perdana Inggeris pertama melancarkan jersi bagi musim 2019/2020 dengan warna merah kekal menjadi pilihan ‘Home Kit’.

Perkara itu diumumkan menerusi laman rasmi Liverpool.com sekitar 4 petang hari ini waktu Malaysia.

Jersi keluaran New Balance untuk musim hadapan memberi penghormatan kepada legenda Bob Paisley, pengurus paling berjaya dalam sejarah kelab, pada ulang tahun ke-100 kelahirannya.

Sebagai penghormatan khas kepada legasi Paisley, setiap jersi mempunyai tandatangannya di bahagian dalam leher dan ‘tag swing’.

‘Home Kit’ ini dijual pada harga £59.99 (RM324) untuk lengan pendek dan £64.99 (RM351) bagi lengan panjang.

Warna merah ‘Home Kit’ itu dipadankan dengan warna hitam untuk penjaga gol dan tempahan awal boleh dibuat menerusi store.liverpoolfc.com/kit/home-kit.

Categories
GLOBAL SUKANKINI

UCL: Liverpool sahkan tempat bertemu Barcelona

OLEH AFIX REDZUAN

PORTO, 18 APR: Liverpool tidak berdepan masalah untuk mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) apabila menang selesa 1-4 mengatasi FC Porto di gelanggang lawan awal pagi tadi.

Kemenangan menerusi agregat 6-1 dimulakan dengan gol pertama pada minit ke-27 menerusi Sadio Mane yang menampan masuk hantaran Mohamed Salah.

Porto cuba membantah jaringan itu tetapi hasil semakan video bantuan pengadil (VAR) jelas Mane tidak berada dalam posisi offside.

Bersambung babak kedua, giliran Salah menjadikan kedudukan 0-2 buat The Reds apabila mudah menewaskan penjaga gol, Iker Casillas pada minit ke-65 hasil lorongan Trent-Alexander Arnold.

Eder Militao merapatkan kedudukan 1-2 buat Porto selang empat minit kemudian hasil sepakan penjuru Alex Telles sebelum Roberto Firmino menambah jaringan ketiga buat Liverpool menerusi tandukan pada minit ke-77.

Virgil Van Dijk mematikan sisa perjuangan pasukan tuan rumah pada minit ke-84 apabila menanduk masuk gol keempat Liverpool untuk membawa skuad kendalian Jurgen Klopp ke separuh akhir untuk dua musim berturut-turut.

Liverpool dijadualkan bertemu Barcelona yang menewaskan Manchester United di peringkat separuh akhir semalam.

KREDIT FOTO: UEFA CHAMPIONS LEAGUE

Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

Mane, Salah hampakan Chelsea

OLEH AFIX REDZUAN

ANFIELD, 15 APRIL: Liverpool terus berjuang memburu trofi Liga Perdana Inggeris buat pertama kali dalam tempoh 29 tahun apabila menewaskan Chelsea 2-0, di Anfield awal pagi tadi.

The Reds bermula garang menerusi percubaan Mohamed Salah, pada minit kelima tetapi rembatannya terus ke dakapan penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga.

Chelsea yang turun dengan formasi lima pemain tengah turut mengancam kubu Liverpool menerusi rembatan Willian tetapi tersasar.

Peluang terbaik tuan rumah hadir menerusi rembatan Sadio Mane tetapi beliau gagal merembat tepat ke gawang lawan.

Bersambung babak kedua, Mane akhirnya menebus kesilapan apabila menjaringkan gol pertama Liverpool, pada minit ke-51.

Berpunca daripada hantaran Jordan Henderson, Mane yang tidak dikawal mudah menanduk masuk bola melepasi jangkauan Kepa.

Belum sempat Chelsea memperkemas permainan, Salah menggamatkan Anfied dua minit kemudian menerusi rembatan padu ke sebelah kanan gawang lawan untuk menjadikan kedudukan 2-0 buat Liverpool.

Eden Hazard mempunyai dua peluang keemasan untuk mengecewakan Liverpool tetapi percubaannya sekadar singgah di tiang gol dan berjaya dikawal penjaga gol, Allison Becker.

Kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat permainan dan Liverpool kembali ke puncak liga mengatasi Manchester City yang sebelum itu menang 1-3 ke atas Crystal Palace dengan kelebihan dua mata selepas beraksi 34 perlawanan.

City yang kurang beraksi satu perlawanan berpeluang untuk memintas Liverpool jika mereka berjaya menang ke atas Tottenham Hotspur.

Kredit Foto: Facebook Premier League & Liverpool FC

Categories
GLOBAL SUKANKINI

PL: Gol sendiri bantu Liverpool ke puncak liga

OLEH AFIX REDZUAN

ANFIELD, 1 APR: Liverpool kembali ke puncak Liga Perdana Inggeris dengan kelebihan dua mata di hadapan pesaing, Manchester City apabila menang tipis 2-1 ke atas Tottenham Hotspur di Anfield, awal pagi tadi.

Roberto Firmino membuka tirai jaringan 1-0 buat The Reds pada minit ke-16 menerusi tandukan tepat hasil hantaran lintang Andy Robertson.

Sadio Mane hamppir menggandakan jaringan buat Liverpool tetapi percubaan dari luar kotak penalti tidak menepati sasaran.

Selepas 70 minit permainan, Spurs akhirnya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Lucas Moura yang mudah menolak masuk hantaran Christian Eriksen.

Ketika perlawanan bakal ditamatkan, kesilapan Toby Alderweireld yang tertampan bola ke gawang sendiri mengundang padah apabila memberikan gol kemenangan buat skuad bimbingan Jurgen Klopp.

Kemenangan itu menyaksikan Liverpool mengumpul 79 mata manakala Manchester City 77 mata tetapi kurang satu perlawanan.

Kredit Foto: Facebook Liverpool FC

Categories
GLOBAL SUKANKINI

UCL: Liverpool singkir Bayern, Barca menang mudah

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 14 MAC: Liverpool melenyapkan kritikan pelbagai pihak dengan mempamerkan aksi terbaik apabila menyingkirkan Bayern Munich 1-3, di Allianz Arena awal pagi tadi untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Tanpa sebarang jaringan pada perlawanan pertama di Anfield, Sadio Mane membuka jaringan pertama buat Liverpool, pada minit ke-26 apabila tenang mengawal hantaran jauh Virgil Van Dijk dan memperdaya penjaga gol Bayern, Manuel Neuer, sebelum mudah melambungkan bola ke gawang tuan rumah.

Bayern kembali bangkit menceriakan penyokong sendiri apabila menyamakan kedudukan 1-1, pada minit ke-39 menerusi jaringan sendiri Joel Matip yang tertampan hantaran Serge Gnabry.

Bersambung babak kedua, Van Dijk memberikan kelebihan buat The Reds dengan gol kedua apabila menanduk masuk sepakan penjuru James Milner, pada minit ke-69 bagi kedudukan 1-2.

Tuan rumah cuba untuk bangkit tetapi disiplin pertahanan Liverpool yang merantai pergerakan penyerang Bayern, Robert Lewandowski, menyukarkan mereka mencari gol penyamaan.

Sebaliknya, skuad bimbingan Jurgen Klopp membunuh sisa perjuangan pendahulu Bundesliga itu dengan gol ketiga, pada minit ke-84 apabila Mane sekali lagi menanduk masuk hantaran Mohamed Salah bagi kedudukan 1-3.

Kejayaan Liverpool itu sekali gus menyaksikan empat kelab daripada Liga Perdana Inggeris; Manchester United, Manchester City dan Tottenham Hotspurs berjaya menempatkan diri di peringkat suku akhir UCL musim ini.

Dalam satu lagi perlawanan, Barcelona mudah membenam Lyon 5-1 di Nou Camp dengan Lionel Messi menjadi tunjang utama kejayaan apabila menyumbang dua gol.

Barcelona akan bersama FC Porto, Juventus dan Ajax Amsterdam dalam undian suku akhir yang akan berlangsung Jumaat ini.

Kredit Foto: UEFA Champions League