Categories
AGENDA NASIONAL

LKIM belanja RM1 juta bantu nelayan terjejas banjir

BUKIT GANTANG, 10 JAN: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memperuntukkan geran RM1 juta menerusi Skim Bantuan Bencana Alam, untuk membantu nelayan yang terjejas akibat banjir di seluruh negara.

Pengerusi LKIM Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, ia melibatkan bantuan kerosakan bot, peralatan dan rumah akibat bencana alam tersebut, namun setakat ini LKIM belum menerima laporan mengenai jumlah nelayan terlibat.

Katanya pegawai LKIM dan Persatuan Nelayan setiap negeri sedang membuat pemantauan, bagi mengesan dan membantu nelayan berdaftar, serta menilai kerugian yang dialami.

Menurut beliau, menerusi skim tersebut nelayan yang layak akan mendapat bantuan sebanyak RM10,000 jika bot mereka rosak, sementara kerosakan pukat dan lain-lain peralatan (RM3,000), rumah (RM10,000) dan lain-lain peralatan rumah (RM1,000).

“Selain itu bantuan bekalan makanan sebanyak RM20,000 dan peralatan pembersihan serta keperluan asas sebanyak RM20,000 juga akan dipertimbang kepada nelayan yang layak,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyampaian Skim Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan di Persatuan Nelayan Matang di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 22 nelayan menerima bantuan antara RM300 dan RM1,000 setiap seorang membabitkan peruntukan berjumlah RM11,400, selepas rumah mereka di Kampung Matang Gelugor, Matang dan Kuala Sepetang dilanda banjir baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata, LKIM percaya tidak ramai nelayan yang terjejas dengan banjir di Pantai Timur, kerana kebanyakan kawasan terjejas tidak melibatkan penempatan nelayan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata walaupun berlaku banjir di Pantai Timur, bekalan ikan adalah mencukupi.

“Pendaratan ikan berlaku macam biasa dan kita mempunyai bekalan mencukupi. Pendaratan ikan 60 peratus dari laut, 20 peratus dari ternakan akuakultur dan 20 peratus diimport.

Terdahulu dalam ucapannya, Syed Abu Hussin berkata LKIM memperuntukan RM1.066 juta bagi melaksanakan bantuan baik pulih rumah nelayan di bawah program khas perumahan, membabitkan 82 buah rumah di seluruh negara tahun lepas.

“Untuk bina baharu pula, sebanyak 30 dilaksanakan tahun lepas dengan peruntukan RM1.6 juta,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

LKIM kaji skim bantu nelayan uzur

PASIR PUTEH, 24 NOV: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sedang mengkaji kemungkinan mewujudkan skim pencen atau bantuan bagi membantu meringankan beban kira-kira 60,000 nelayan yang terpaksa berhenti turun ke laut disebabkan faktor usia atau sakit.

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata kajian itu membabitkan beberapa faktor terutama dari aspek undang-undang dan kekangan kewangan negara.

“Ketika turun padang, saya melihat sendiri bagaimana mereka menderita kesempitan hidup terutama yang masih menanggung keluarga,” katanya kepada pemberita selepas berucap pada Majlis Ramah Mesra dengan penduduk Skim Penempatan Semula Nelayan Tok Bali di sini, hari ini.

Lebih 100 nelayan kawasan itu menyertai majlis berkenaan yang turut dihadiri Pengarah LKIM Kelantan, Zarina Abd Latiff.

Muhammad Faiz berkata, bantuan itu perlu memandangkan mereka terutama nelayan tradisional tidak berupaya menghadapi risiko meredah ombak dan ribut dalam keadaan uzur dan lanjut usia.

Beliau berkata, golongan nelayan yang hidup seharian mereka ibarat ‘kais pagi makan pagi’ agak ketinggalan berbanding petani dan pekebun kecil yang mempunyai pelbagai sumber pendapatan lain.

Sehubungan itu, beliau berharap Kerajaan Kelantan turut membantu menyelesaikan isu status pemilikan 300 buah rumah nelayan Tok Bali yang memerlukan kelulusan kerajaan negeri.

Muhammad Faiz berkata, ini disebabkan kerajaan negeri mempunyai kuasa penuh terhadap tapak rumah berkenaan yang telah didiami hampir 280 nelayan dari Tumpat, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh sejak enam tahun lepas.

Katanya, akibat ketiadaan kelulusan, kadar bayaran balik hutang rumah yang sepatutnya RM150 sebulan kepada kerajaan tidak dapat dilaksanan sebaliknya mereka hanya dikenakan caj penyelenggaraan RM20 sebulan.

“Ini merugikan nelayan kerana mereka terpaksa mengambil masa lebih lama untuk melunaskan hutang tidak sebagaimana yang ditetapkan dalam tempoh 35 tahun,” katanya.

Muhammad Faiz berkata, LKIM terpaksa menanggung kos hampir RM200,000 setahun bagi penyelenggaraan termasuk bekalan elektrik dan air.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Lebih 300 nelayan terima manfaat Skim Insurans LKIM

KUALA PERLIS, 12 JAN: Seramai 353 nelayan di seluruh negara menerima manfaat Skim Insurans Nelayan Berkelompok Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berjumlah RM1.52 juta, sehingga Ogos tahun lalu.

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, nelayan yang berdaftar dengan LKIM di bawah Program Elaun Sara Hidup (ESHN) berumur 18 hingga 75 tahun sahaja layak menyertai skim itu.

Sehingga kini, seramai 52,399 nelayan mendaftar di bawah skim perlindungan itu dengan hanya membayar premium RM100 setahun.

Terdahulu, beliau ditemui semasa menziarahi keluarga pasangan nelayan Allahyarham Mohamad Zaini Panjang Karim dan isterinya, Allahyarhamah Azizah Yatim yang dipercayai mati lemas setelah terjatuh ke dalam laut, semasa memukat ikan di perairan Kuala Perlis, pada 5 Januari lalu.

Dalam kunjungan itu, Muhammad Faiz menyampaikan cek Skim Perlindungan dan Kebajikan Nelayan bernilai RM10,000 kepada anak kedua daripada tiga orang anak pasangan itu, Mohamad Noor Affandy, 25.

*Sumber: BERNAMA

Categories
NASIONAL

LKIM tapis 8,000 nelayan tidak tulen

KUALA LUMPUR, 5 NOV: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengenal pasti hampir 8,000 nelayan tidak tulen dan dikeluarkan daripada senarai penerima Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN).

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, proses pemutihan yang dijalankan terhadap lebih 40,000 nelayan berdaftar yang menerima elaun itu akan diteruskan bagi memastikan ESHN hanya diberikan kepada yang benar-benar layak.

“Nelayan tulen dalam akta LKIM ini perlu turun ke laut 120 hari setahun sebagai syarat utama, justeru kita buat pemutihan untuk menapis nelayan yang tidak memberikan fokus penuh atau menjadikan pekerjaan itu sebagai kerja sampingan atau tidak turun ke laut lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup Persidangan Persatuan Nelayan 2018, di sini, hari ini, lapor BERNAMA.

Bagaimanapun katanya, mereka yang tidak terpilih boleh membuat rayuan.

Menurut data Jabatan Perikanan Malaysia, terdapat lebih 133,000 nelayan di seluruh negara, pada masa ini.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) bagi membincangkan penstrukturan insentif diberikan kepada warga nelayan.

“Kita akan mencari kaedah penstrukturan semula insentif elaun sara hidup, insentif tangkapan ikan dan elaun subsidi petrol,” katanya.

MOA menerima peruntukan RM98.5 juta bagi Insentif Bersasar Nelayan menerusi Belanjawan 2019.

Categories
SELANGOR

Pengerusi LKIM jangan salahkan Kerajaan Negeri

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 JAN: Kerajaan Negeri membidas tindakan berdiam diri Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang masih gagal mengemukakan permohonan lengkap kepada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berhubung status tanah jeti, di bawah seliaannya.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, LUAS sudah mengeluarkan surat pemakluman kelulusan kepada LKIM, pada 26 Januari 2016 dan mereka perlu mendapat kelulusan daripada pentadbir tanah sebelum mengeluarkan lesen jeti.

Bagaimanapun, katanya, sehingga hari ini, LUAS masih belum menerima permohonan lengkap atau pelan ukur bagi semua jeti termasuk di Klang daripada LKIM untuk pengoperasian jeti.

“Permohonan jeti di bawah seliaan LKIM sebanyak 51 buah diluluskan secara dasar dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Jeti Selangor Bil.4/2015, pada 7 Disember 2015.

“Dakwaan pengerusinya, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim terhadap sikap berdolak-dalik Kerajaan Negeri, khususnya berkenaan status tanah bagi jeti LKIM dan pusat pendaratan ikan di perairan Selangor amat menghairankan serta jelas menampakkan kelemahan beliau mengendalikan agensi di bawah seliaanya,” katanya.

Zaidy berkata, LUAS juga sudah membuat pemakluman kepada semua agensi dan pihak berkepentingan di setiap daerah yang terbabit dengan bancian semula bagi mendapatkan maklumat sebenar di tapak untuk langkah pemutihan jeti dilaksanakan.

Katanya, permohonan 86 jeti bagi kawasan Sekinchan sudah mendapat kelulusan LMS melalui MMKN Bil 20/2017 bagi tempoh dua tahun sehingga tanah yang dipohon diwartakan.

Manakala bagi kawasan Sungai Besar dalam peringkat penyediaan pelan ukur sebelum tindakan lanjut kelulusan tanah dibuat Pejabat Tanah Sabak Bernam.

“Pendaftaran jeti ini selaras Seksyen 43 dan Seksyen 70 Enakmen LUAS 1999 sebagai langkah kawalan terhadap aktiviti berhampiran sumber air.

“Pada masa sama, kelulusan penggunaan tanah melalui Lesen Pendudukan Sementara (TOL) atau Permit Penggunaan Tanah perlu diperolehi pemohon daripada Pejabat Daerah/Tanah dan Jabatan Perhutanan Selangor, sementara tapak terbabit diwartakan dengan kadar caj ditetapkan agensi berkenaan.

“Selain itu, kebenaran merancang atau kelulusan lain juga perlu diperolehi daripada Pihak Berkuasa Tempatan,” katanya.

 

Categories
KENYATAAN MEDIA

Pengerusi LKIM gagal kendali agensi seliaannya

Dakwaan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) terhadap sikap berdolak-dalik Kerajaan Negeri Selangor melalui kenyataan Sinar Harian pada 31 Disember 2017 yang lalu khususnya mengenai status tanah bagi jeti-jeti LKIM dan pusat pendaratan ikan yang ada di perairan negeri Selangor amat menghairankan, jelas menampakkan kelemahan beliau sendiri mengendalikan agensi dibawah seliaanya.

Permohonan jeti bagi keseluruhan jeti-jeti di bawah seliaan LKIM iaitu sebanyak 51 buah jeti telah diluluskan secara dasar di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Jeti Negeri Selangor Bil.4/2015 yang diadakan pada 7 Disember 2015.

Kerajaan Negeri Selangor melalui LUAS telah mengeluarkan surat pemakluman kelulusan kepada LKIM pada 26 Januari 2016 di mana LKIM perlu mendapatkan kelulusan penggunaan tanah daripada Pentadbir Tanah sebelum Lembaga mengeluarkan lesen jeti.

Sehingga hari ini, LUAS masih belum menerima sebarang permohonan lengkap atau pelan ukur bagi semua jeti termasuk jeti di Klang daripada LKIM untuk pengoperasian jeti.

LUAS juga telah membuat pemakluman kepada semua agensi dan pihak berkepentingan di setiap daerah yang terlibat. Bancian semula telah diadakan di setiap daerah bagi mendapatkan maklumat sebenar di tapak untuk langkah pemutihan jeti dilaksanakan.

Permohonan jeti sebanyak 86 buah jeti bagi kawasan Sekinchan telah mendapat kelulusan LMS melalui MMKN Bil 20/2017 bagi tempoh 2 tahun sehingga tanah yang dipohon diwartakan.

Manakala kawasan Sungai Besar dalam peringkat penyediaan pelan ukur sebelum tindakan lanjut bagi kelulusan tanah dibuat oleh Pejabat Tanah Sabak Bernam.

Pendaftaran jeti ini adalah selaras dengan Seksyen 43 dan Seksyen 70 Enakmen LUAS 1999 yang mana ianya adalah sebagai langkah kawalan terhadap aktiviti yang berhampiran dengan sumber air.

Dalam masa yang sama, kelulusan penggunaan tanah melalui Lesen Pendudukan Sementara (TOL) atau Permit Penggunaan Tanah perlu diperolehi oleh pemohon daripada pihak Pejabat Daerah/Tanah dan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor sementara tapak tersebut diwartakan dengan kadar caj yang ditetapkan oleh kedua-dua agensi/jabatan tersebut.

Selain itu, kebenaran merancang atau kelulusan lain yang berkaitan juga perlu diperolehi daripada Pihak Berkuasa Tempatan.

Kerajaan Negeri begitu komited dalam menyelesaikan masalah rakyat lebih-lebih lagi menjaga kebajikan mereka yang meningkatkan pendapatan sektor pertanian yang terdiri daripada petani, pesawah, peladang, penternak dan juga nelayan.

Tuduhan yang dilemparkan oleh Pengerusi LKIM, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim itu amatlah tidak wajar bahkan seolah-olah cuba mengelirukan rakyat dalam soal isu status tanah tersebut.

Sekian, terima kasih.

ZAIDY ABDUL TALIB

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam,

Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani

Isu yuran letak sampan di jeti LKIM tinggi, Kerajaan Negeri bantu cari penyelesaian


Usai solat Jumaat bersama kariah Sungai Nibong, Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali meluangkan masa mendengar luahan nelayan berkenaan kebimbangan mereka apabila dikenakan yuran khas untuk meletakkan sampan di jeti LKIM.

Categories
NASIONAL

Noh Belakangi Undang-Undang Komanwel

SHAH ALAM, 4 APR: Tindakan Menteri Pertanian dan Asas Tani menggesa Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyaman pihak yang mendakwa pembinaan jeti LKIM di Kuala Selangor kerana tidak mempunyai plan yang diluluskan bertentangan dengan undang-undang tubuh negara Komanwel yang dianggotai Malaysia.

Menurut Naib Presiden PKR, N. Surendran, Menteri Pertanian, Datuk Seri Noh Omar mengarahkan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berbuat demikian merupakan suatu tindakan berasaskan kepentingan.

“Ia juga tidak pernah berlaku dalam mana-mana negara yang mengamalkan sistem demokratik yang telus dan adil sebab demokrasi apakah itu sekiranya kerajaan menyaman rakyatnya apabila disoal? Demokrasi hutan?’ Ujar beliau lagi.

Katanya tindakan Noh mengarahkan LKIM untuk mengambil tindakan saman dalam isu ini amat memalukan dan membuktikan campurtangan kuasa politik dalam agensi-agensi kerajaan.

“Yang keduanya, mengapa Noh Omar boleh beri arahan kepada LKIM. LKIM sepatutnya menjalankan tugasnya secara bebas dan bukan diberi arahan seperti ini oleh menteri.

“Ini nampaknya Umno sekali lagi mempergunakan institusi awam seperti LKIM dan sebagainya untuk tujuan politik mereka sendiri.

“Sama seperti dalam kes Felda, PM sendiri menggunakan Felda untuk tujuan politik dengan mengarahkan felda menyaman suara keadilan, PKR dan sebagainya.

“Kami melihat perkembangan ini amat merbahaya dan tidak baik.  Kita lihat semakin hari semakin banyak badan kerajaan yang ditembusi atau dipengaruhi Umno BN atas sebab-sebab kepentingan politik mereka,” katanya yang juga seorang peguam.

Menurut beliau Badan kerajaan, badan yang ditubuhkan menggunakan dana rakyat tidak boleh membawa saman fitnah ke atas rakyatnya sendiri kerana menyoal tentang apa-apa isu kepentingan awam yang timbul.

“Ia adalah sesuatu yang kita panggil ‘againts public policy’ atau menentang polisi awam sebab itulah ada prinsip undang-undang seperti itu.

“Ini prinsip undang-undang yang amat jelas, dalam kes felda pun kita pernah timbulkan isu ini.”jelas beliau

Katanya, sebagai anggota Komanwel Malaysia yang mengikut sistem perundangan United Kingdom memang tidak membenarkan kerajaan menyaman rakyatnya.

“Memang tak boleh kerana rasionalnya jelas, badang-badan kerajaan yang ditubuhkan menggunakan dana rakyat,” ujar pengamal perundangan itu.

Menurut beliau isu ini mula menjadi satu trend tidak sihat yang dibawakan oleh Umno dan BN.

“Takkanlah bila rakyat menyoal mereka pula boleh menyaman malu atau saman fitnah rakyatnya yang menyoal kerajaan yang uruskan dana rakyat sendiri.

“Ia adalah trend tidak sihat yang dibawakan oleh Umno dan BN,” ujar beliau yang juga merupakan Naib Presiden PKR.

“Kami melihat perkembangan ini amat merbahaya dan tidak baik.  Kita lihat semakin hari semakin banyak badan kerajaan yang ditembusi atau dipengaruhi Umno BN atas sebab-sebab kepentingan politik mereka,” katanya lagi.

Sebelum ini dalam sebuah artikel bertajuk ‘Jeti Haram LKIM Di Tanjung Karang’, akhbar Selangor Kini telah menyiarkan pendedahan oleh Ketua Cabang Tanjung Karang PKR, Yahaya Shari.

Menurut Shaari, projek tersebut didapati tidak memiliki pelan kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan sebelum memulakan pembinaannya dan disahkan oleh Setiausaha Majlis Daerah Kuala Selangor, Azhari Sirin.

Categories
NASIONAL

Projek untuk habuan Kroni Akhirnya Terbengkalai


TANJUNG KARANG, 12 MAC: Gara-gara obses dengan projek pembangunan yang menjanjikan pulangan lumayan untuk parti, kroni dan diri, undang-undang tidak lagi menjadi persoalan bagi pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN).

Projek yang sepatutnya melalui prosedur dan kelulusan pihak tertentu sebelum kerja pembinaan dimulakan juga dipandang sebelah mata sekaligus menjadikan kemudahan yang dibina bakal menjadi satu lagi projek gajah putih BN.

Terbaru, projek pembinaan Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Bagan Pasir Penambang yang hampir 90 peratus siap juga tidak mendapat kelulusan mana-mana pihak termasuk kelulusan kerajaan negeri.

Menurut Penyelaras Pusat Khidmat Rakyat Dun Permatang, Mohd Yahya Mat Sahri hari ini, projek yang menelan kos lebih RM22 juta itu juga tidak memiliki pelan yang diluluskan oleh pihak Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS).

“Sebelum sesuatu projek pembangunan dijalankan mestilah kemukakan Permohonan Kebenaran Merancang dari pihak kerajaan tempatan dan pihak berkaitan dengan mengemukakan Pelan Pendirian Bangunan dan Pelan Susunatur.

“Contohnya kelulusan Jabatan Alam sekitar, Jabatan Penilaian, Jabatan Kawalan Bangunan, Jabatan Pembangunan, Indah Water, TNB, Jabatan Mineral dan Geosains, Pejabat Tanah dan Galian, Jabatan Perancangan Pembangunan dan kesemuanya lebih kurang ada 19 pihak perlu meneliti sesuatu projek.

“Oleh kerana ia melibatkan pembinaan jeti, projek ini juga mesti dapatkan komen dan kelulusan dari jabatan maritim atau pun marin.

“Komen-komen dari jabatan-jabatan atau agensi yang saya sebutkan ini amat penting sebab ia melibatkan struktur bangunan itu sendiri supaya tidak timbul isu keselamatan atau bangunan runtuh apabila diduduki nanti.

“Jadi bila dah tak ada kelulusan pelan pembinaan, macamana pihak MDKS nak bagi sijil menduduki (CF) bila siap nanti sebab dah tentu mereka tahu tiada jaminan jeti itu selamat digunakan.

“Saya pasti Jeti itu nanti akan jadi satu lagi projek gajah putih BN sebab tak boleh dapat CF.

“Ini memang jelas, kalau tanya pada pihak majlis pun, mereka akan ‘confirm’ tiada kelulusan” ujar Yahya.

Tindakan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengeluarkan peruntukan RM22 juta terhadap projek yang tidak mendapat

kelulusan RM22 juta juga menimbulkan pelbagai tanda tanya.

“Kenapa Menteri Pertanian, tergesa-gesa mengeluarkan peruntuk yang besar tanpa mahu berbincang dengan kerajaan negeri dan menunggu pemeriksaan pihak berkuasa tempatan untuk dapatkan kelulusan?

“Adakah semata-mata mahukan projek ini jalan supaya dapat habuan untuk kroni, parti dan diri sendiri sahaja, maklumlah sekarang dah dekat pilihan raya dah ni.

“Sekiranya projek ini beri manfaat kepada rakyat Selangor dan mematuhi undang-undang saya pasti pihak kerajaan negeri tentunya tidak akan menghalang,” katanya lagi.

Selain itu Yahya turut mempersoalkan infrastruktur yang belum dibina meskipun proses pembinaan bangunan tersebut telah mencapai lebih 80 peratus.

Menurut beliau lagi, keadaan ini berlaku disebabkan ketiadaan pelan perancangan yang diluluskan.

Yahya turut menggesa pihak SPRM, Jabatan Audit Negara dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) segera campur tangan dalam isu yang melibatkan kepentingan awam ini.

Dalam isu yang sama, Setiausaha MDKS, Azahari Sairin memberitahu TVS hari ini, permohonan kelulusan pelan yang dihantar oleh pemaju telah tidak mendapat kelulusan pihak MDKS.

“Pemaju ada hantar pelan perancangan tetapi pihak MDKS kembalikan kerana didapati tidak menepati piawaian.

“Lepas itu mereka tak hantar semula untuk penilaian MDKS hinggalah sekarang yang menyebabkan pelan pembangunan Jeti LKIM tu memang tak diluluskan MDKS,” ujar beliau.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kampung, Tokong, Bakal Diroboh Untuk ‘Satu Lagi Projek BN’.

TANJUNG KARANG, 9 MAC: Gara-gara kerakusan sebuah agensi Kementerian di bawah tanggungjawab Datuk Seri Noh Omar, masyarakat Kampung Bagan Pasir Penambang bakal dihalau dari kediaman mereka sendiri untuk memberi jalan kepada sebuah jeti.

Turut bakal dirobohkan ialah Tokong Sei Ling yang terdapat di kampung terbabit bagi membolehkan kerja membina jalan masuk ke Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pasir Penambang.

Menurut ketua Kampung Bagan Pasir Penambang Lim Eng Wan, rata-rata penduduk mengutamakan kediaman berbanding pampasan wang tunai.

“Kita bukannya nak ganti rugi duit tetapi yang buat kami susah hati ialah kalau suatu hari nanti kena halau, tak ada rumah nak duduk.

“Kalau mereka bagi pampasan RM15 ribu nak buat apa? Bukan sahaja nak bina rumah tak cukup, nak buat jamban pun tak boleh.

“Orang kampung sini bukan orang kaya dan kebanyakkannya sudah tua-tua, nak buat pinjaman bank beli rumah, bank pun tak nak layan sebab tak layak,” beritahu beliau ketika ditemui TVSelangor hari ini.

Eng Wan berkata pada peringkat awal penempatan mereka di sini, ada pihak MCA yang memberi jaminan bahawa tanah tersebut bolehdiduduki.

Menurut Eng Wan, penduduk juga telah memperolehi Lesen Pendudukan Sementara (TOL).

“Kami sudah tinggal di sini bukan dua, tiga tahun tetapi sudah berpuluh tahun dan dah ada TOL.

“Bila kita bayar TOL dan berjaya mengusahakan tanah selama tiga tahun patutnya geran dah boleh dikeluarkan.

“Tiba-tiba saya dapat tahu geran dah dikeluarkan kepada pihak lain iaitu sebuah syarikat,” katanya lagi.

Bimbang dengan nasib penduduk kampung tersebut, Eng Wan berharap agar Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim campur tangan bagi membela nasib penduduk.

Menurut Penyelaras Pusat Khidmat Rakyat Dun Permatang, Mohd Yahya Mat Sahri, status jeti tersebut diragui kerana ia tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan.

Mohd Yahya melahirkan kebimbangan sekiranya bangunan itu tidak mendapat kelulusan, ia tidak akan dapat sijil layak diduduki.