Categories
AGENDA NASIONAL

Aliran trafik di lebuh raya utama bergerak perlahan petang ini

KUALA LUMPUR, 6 FEB: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama menuju Lembah Klang mulai perlahan dan sesak menjelang petang ini susulan orang ramai mula pulang ke ibu kota selepas cuti Tahun Baharu Cina.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) ketika dihubungi Bernama berkata kesesakan berlaku di laluan menghala ke selatan iaitu sebelum masuk Plaza Tol Juru di Pulau Pinang dan laluan dari Tapah ke Bidor di Perak.

Selain itu, kesesakan juga dilaporkan di laluan sebelum keluar Plaza Tol Gombak menghala ke ibu kota.

“Terdapat kereta terbakar di KM41.3 Bukit Tinggi-Genting Sempah menghala ke Kuala Lumpur yang menyebabkan lorong kecemasan turut terhalang,” katanya.

Menurut jurucakap itu, trafik di kedua-dua arah sepanjang lebuh raya termasuk di sekitar plaza tol utama seperti Karak dan Kuala Terengganu masih lancar dan terkawal, begitu juga di selatan seperti Sungai Besi dan Skudai.

Katanya aliran trafik di semua lebuh raya utama lancar pada sebelah pagi namun bergerak perlahan bermula tengah hari ini dan dijangka berlarutan sehingga lewat petang.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Aliran trafik meningkat di lebuh raya utama menuju Lembah Klang

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Aliran trafik yang meningkat dan perlahan dijangka berlarutan sehingga tengah malam ini atau awal pagi esok di lebuh raya utama menuju ke Lembah Klang susulan orang ramai mula pulang ke ibu kota selepas cuti Tahun Baharu Cina.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) ketika dihubungi Bernama berkata setakat 4.30 petang tadi, trafik perlahan di laluan ke arah barat di Bentong Timur menuju ke Bukit Tinggi dan laluan sebelum keluar Plaza Tol Gombak ke Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

“Kesesakan turut dilaporkan dari arah selatan dari RNR (kawasan Rehat dan Rawat) Tapah ke Bukit Beruntung, dan dari arah barat ke arah ibu kota di laluan Bentong Timur ke Plaza Tol Bentong,” katanya,

Selain itu aliran trafik juga didapati perlahan di laluan selepas Plaza Tol Bentong ke Lentang terus ke Bukit Tinggi berikutan jumlah kenderaan yang meningkat di jalan raya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1-800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik .

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

LLM: Syarikat konsesi diminta buat persediaan tampung aliran trafik Tahun Baharu Cina

KUALA LUMPUR, 29 JAN: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengarahkan kesemua syarikat konsesi lebuh raya untuk membuat persediaan rapi agar perjalanan pengguna selamat dan lancar sepanjang cuti hari minggu dan Tahun Baharu Cina bermula 28 Jan hingga 7 Feb.

Ia berikutan jangkaan berlakunya peningkatan jumlah aliran trafik yang menggunakan lebuh raya sehingga 4.6 juta kenderaan sehari.

LLM dalam kenyataan semalam memaklumkan bahawa semua kerja pembaikan dan penyelenggaraan melibatkan penutupan lorong di laluan utama lebuh raya akan dihentikan kecuali bagi kerja-kerja yang melibatkan kes kecemasan sahaja.

“Semua lorong di plaza tol akan beroperasi dan lorong berlapis tambahan disediakan di plaza tol yang dikenal pasti bakal berlaku kesesakan. Petugas tambahan juga ditempatkan bagi membantu melancarkan transaksi tol,” katanya.

Pusat Pengurusan Trafik LLM akan beroperasi selama 24 jam. Pengguna lebuh raya boleh mendapatkan maklumat keadaan trafik atau bantuan dengan menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752.

Maklumat keadaan trafik juga boleh diperolehi menerusi laman Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia atau di Twitter @LLMinfotrafik.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

121 insiden tanah runtuh di seluruh negara sepanjang musim monsun

KUALA LUMPUR, 29 DIS: Sebanyak 121 insiden tanah runtuh dilaporkan berlaku di seluruh negara sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) 2021/2022, berdasarkan laporan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan JMG dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah dan sedang mengambil tindakan sewajarnya berhubung perkara itu.

“Pihak JMG dan JKR telah diminta untuk menyelaras pelaporan tanah runtuh supaya lebih menyeluruh dan turut melibatkan kawasan cerun di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, NADMA memaklumkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Selangor serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan diarah mengenal pasti kaedah penyelesaian terbaik bagi menempatkan penduduk yang perlu mengosongkan rumah sudah tidak selamat didiami berikutan tanah runtuh.

Sementara itu, susulan ramalan amaran hujan lebat berpanjangan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang dilanjutkan hingga 3 Jan, kenyataan itu memaklumkan JPBN dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) diarah untuk meningkatkan kesiapsiagaan bagi memastikan operasi pengurusan bencana berjalan lancar.

Menurut NADMA, Polis Diraja Malaysia selaku komander Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) perlu menyelaras persediaan menghadapi banjir yang dijangka berlaku bersama semua agensi responder terlibat.

Berikutan banjir yang dilaporkan mula berlaku di Sipitang, Sabah, semua agensi responder di negeri berkenaan turut diarah bersiap siaga untuk bertindak dan membuka PKTK.

Penduduk terutama di kawasan dijangka banjir diminta berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa, selain boleh mendapatkan maklumat dan amaran semasa di laman web publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook: PubliclnfoBanjir dan twitter @JPS InfoBanjir.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Aliran trafik lengang di beberapa lebuh raya utama

KUALA LUMPUR, 20 JULAI: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama di sekitar Lembah Klang dilaporkan lancar dan terkawal pada pagi sambutan Hari Raya Aidiladha hari ini.

Menurut jurucakap PLUS Malaysia Berhad dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) setakat 11 pagi tadi, aliran trafik di kedua-dua arah Lebuhraya Utara Selatan juga lancar berikutan aliran trafik yang rendah.

“Trafik masih lengang di sepanjang Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT 2 termasuk lokasi di sekitar Plaza Tol Gombak, Bentong, Karak dan Kuala Terengganu berikutan aliran trafik yang rendah,” demikian menurut jurucakap LLM.

Tinjauan Bernama di Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Sungai Besi hari ini juga mendapati jalan raya lengang dari kedua-dua arah.

Selain itu, beberapa sekatan jalan raya di sekitar ibu negara khususnya di sempadan negeri yang sebelum ini berlaku kesesakan juga lancar dan terkawal.

Sebelum ini media melaporkan berlaku peningkatan aliran trafik di lebuh raya menghala ke timur beberapa hari sebelum Aidiladha yang disambut hari ini.

Pada Ahad lepas, Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menerima dokumen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebagai kelulusan pergerakan sah bagi tempoh empat hari mulai 18 hingga 21 Julai ini, untuk pergerakan rentas negeri susulan terdapat individu menyalah guna surat itu untuk pulang ke kampung menyambut Aidiladha.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

LLM diarah sedia laporan insiden perancah besi jatuh dalam seminggu

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan jurutera perunding iaitu Zaidun Leeng Sdn Bhd (ZLSB) diarah menyediakan laporan lengkap dalam tempoh seminggu berhubung insiden perancah besi jatuh di kawasan pembinaan Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH), semalam.

Kementerian Kerja Raya (KKR) memaklumkan, laporan daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) berhubung insiden yang berlaku di persimpangan bertingkat Kota Damansara, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) pada 7.15 malam itu juga akan diteliti sebelum tindakan lanjut diambil.

Menurut kementerian itu, kejadian tersebut berlaku di lokasi kelima daripada keseluruhan 14 lokasi di kawasan itu yang sedang menjalankan kerja-kerja dengan mengguna pakai kaedah kejuruteraan yang sama dengan empat daripadanya dilaporkan telah siap.

“Untuk makluman, semasa kerja-kerja menuang konkrit dijalankan, kawasan pembinaan adalah ditutup sepenuhnya kepada pengguna sepertimana prosedur yang telah ditetapkan.

“Semakan awal LLM menunjukkan reka bentuk perancah adalah teratur dan disahkan jurutera perunding. Baki kerja melibatkan 10 lokasi hanya boleh diteruskan setelah laporan audit oleh pihak Jurutera Perunding Bebas (ICE) dikeluarkan,” maklum kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

KKR yang kesal dengan kejadian itu juga telah mengarahkan pihak konsesi iaitu Projek Lintasan Damansara Shah Alam Sdn. Bhd. (PLDSASB) menghentikan serta-merta kerja yang melibatkan struktur sementara.

Selain itu, syarikat berkenaan juga diminta memberikan bantuan yang sewajarnya kepada dua pekerjanya yang cedera dalam kejadian itu.

Sebagai langkah keselamatan, lorong kanan kedua-dua hala di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) di kawasan berkenaan juga ditutup sepenuhnya.

Dalam kejadian pada 7.15 malam semalam, dua pekerja warga Bangladesh berusia 20-an dan 40-an cedera selepas perancah besi runtuh di tapak pembinaan DASH.

Sementara itu, PLDSASB yang merupakan pemaju bagi projek pembinaan DASH dalam kenyataan berasingan memaklumkan operasi pembersihan perancah besi berkenaan yang masih berjalan akan bersambung esok apabila terpaksa dihentikan pada 3 petang tadi kerana hujan lebat.

PLDSASB juga menasihati pengguna lebuh raya berkenaan supaya berhati-hati ketika melalui kawasan terlibat yang lorong kanan dari kedua-dua arah Lebuhraya NKVE ditutup dan laluan kontra telah diaktifkan untuk melancarkan trafik, selain pengguna dinasihatkan mematuhi arahan pengawal trafik serta papan tanda penunjuk arah yang disediakan di lokasi.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) Datuk Mohammad Azlan Abdullah menjelaskan Prolintas selaku pemaju DASH secara konsisten mengingatkan kontraktor terlibat supaya sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) serta mengambil langkah bersesuaian dalam aspek keselamatan pembinaan lebuh raya.

“Hasrat dan objektif kami sangat jelas untuk memastikan projek ini dibina dengan cara yang paling selamat, siap pada waktunya dan mengikut standard amalan kejuruteraan tertinggi.

“Bagaimanapun, insiden yang berlaku pada petang semalam amat mendukacitakan dan kami bersama kontraktor terlibat iaitu MRCB Builders Sdn Bhd akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, serta akan terus menambah baik proses dan pelaksanaan projek yang sedia ada,” katanya.

Kenyataan tersebut turut memaklumkan untuk rekod, pembinaan DASH melibatkan lapan kontraktor utama di samping penglibatan secara menyeluruh oleh jurutera perunding bebas dalam reka bentuk, pengawasan dan penyeliaan daripada pelbagai aspek.

Untuk sebarang maklum balas atau pertanyaan, orang ramai boleh hubungi mana-mana saluran komunikasi Prolintas menerusi hotline -1 300 88 5522 dan e-mel ke [email protected].

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

LLM: Lebuh raya terus diurus dengan baik ketika pandemik, PKP

KUALA LUMPUR, 24 FEB: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) meneruskan peranannya menguruskan infrastruktur lebuh raya dengan baik sepanjang menghadapi pandemik Covid-19 di negara ini.

Ketua Pengarah LLM Datuk Mohd Shuhaimi Hassan berkata infrastruktur lebuh raya adalah penting kepada kerajaan dan negara yang turut menjadi laluan utama pengangkutan vaksin Covid-19 sejak 21 Feb lepas.

“Lebuh raya berperanan sebagai laluan kritikal untuk urusan penghantaran barangan perubatan, pergerakan kumpulan perubatan dan perkhidmatan penting serta laluan utama dan terpantas, bagi mereka yang masih perlu melakukan pergerakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Oleh itu, kami memahami cabaran dan pengorbanan semua petugas barisan hadapan seperti kakitangan perubatan dan keselamatan dalam menghadapi pandemik ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata warga kerja industri lebuh raya seperti pasukan ronda, petugas plaza tol dan penyelenggaraan lebuh raya adalah kakitangan barisan hadapan dalam sektor lebuh raya, yang sentiasa berusaha menjaga pelanggan dengan baik.

Sementara itu, beliau berkata Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) dengan kerjasama LLM menyampaikan sumbangan makanan dan minuman kepada kira-kira 1,500 petugas barisan hadapan, yang bertugas di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) di MAEPS Serdang.

Sumbangan itu disampaikan bersama oleh Pengerusi LLM Datuk Abdul Rasyid Asari dan Yang Dipertua PSKLM Datuk Azman Ismail kepada Pengarah PKRC Dr Shahabuddin Ibrahim.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Trafik perlahan, kenderaan meningkat arah utara, selatan petang ini

KUALA LUMPUR, 25 DIS: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dari ibu kota menuju ke utara dan selatan bergerak perlahan petang ini berikutan orang ramai masih membuat perjalanan bersempena cuti Hari Krismas.

Jurucakap PLUS Malaysia Berhad berkata setakat 5 petang ini, trafik perlahan dari Ipoh ke Terowong Menora di Perak dan Bukit Tambun ke Juru di Pulau Pinang.

“Trafik turut perlahan di Slim River ke Sungkai dan Bidor ke Gopeng (di Perak) berikutan pertambahan kenderaan,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata trafik perlahan arah selatan membabitkan Port Dickson ke Senawang dan Senawang menuju ke Pedas Linggi.

Maklumat trafik terkini boleh diperoleh dengan menghubungi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter, www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter, www.twitter.com/llminfotrafik.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Aliran trafik perlahan pagi Hari Krismas

KUALA LUMPUR, 25 DIS: Aliran trafik di lebuh raya utama negara setakat 10 pagi ini, bergerak perlahan berikutan jumlah kenderaan yang meninggalkan ibu kota mula bertambah di beberapa tempat pada pagi Hari Krismas yang juga cuti umum.

Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Lebuhraya Plus Expressways Sdn Bhd berkata aliran trafik mula perlahan di lebuh raya terutama dari Kuala Lumpur menghala ke utara pada pagi ini.

“Setakat ini, keadaan trafik dari Slim River menghala ke Sungkai dan di Km 444.9 Rawang Selatan menghala ke Rawang bergerak perlahan akibat kemalangan.

“Trafik juga bergerak perlahan di Sungai Buloh menuju ke Rawang, Bukit Beruntung menghala ke Bukit Tagar dan Tapah ke Gopeng,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, dari selatan ke arah utara pula trafik bergerak perlahan dari Senai ke Kulai, Senawang ke kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Senawang, dan dari utara ke arah selatan trafik juga perlahan dari Putra Mahkota menuju ke Nilai.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia pula berkata trafik turut perlahan sebelum memasuki Terowong Genting Sempah arah timur.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafikm atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik .

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Aliran trafik lancar, tiada kesesakan luar biasa – polis

KUALA LUMPUR, 12 DIS: Tiada kesesakan luar biasa di kebanyakan lebuh raya utama negara selepas seminggu kerajaan membenarkan pergerakan rentas daerah dan negeri.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata pemerhatian pihaknya mendapati aliran trafik lancar sejak dua hari lepas dan perkara tersebut dijangka berterusan.

“Kita menjangkakan tiada kesesakan luar biasa di semua lebuh raya dan pemerhatian sejak dua hari lalu mendapati aliran trafik seperti biasa sama ada menuju ke utara, timur atau selatan tanah air,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Bagaimanapun, anggotanya tetap berada dalam keadaan bersiap sedia dalam memantau aliran lalu lintas di semua lebuh raya dan juga jalan utama, termasuk jalan persekutuan dan negeri di seluruh negara.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, laluan di kedua-dua arah LPT 1 dan LPT 2 dilaporkan lancar setakat 2.30 petang ini.

Bagaimanapun, aliran trafik perlahan di beberapa laluan seperti KM 42.3 hingga KM 41.0 hala barat (Bukit Tinggi-Genting Sempah) berikutan terdapat kerja-kerja pengalihan kenderaan yang terbabit kemalangan.

“Trafik perlahan dari PGA ke Pusat Bandar dan Puchong Perdana ke Puchong Intan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap PLUS Malaysia Berhad ketika dihubungi berkata aliran trafik ke utara dan selatan adalah lancar.

Pada 5 Dis lepas, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pergerakan merentas daerah dan negeri dibenarkan di seluruh negara, kecuali di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD), bermula Isnin lalu.

Polis juga tidak melaksanakan sekatan jalan raya, sebaliknya menguat kuasa pematuhan tatacara operasi piawai (SOP).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Aliran trafik beberapa lebuh raya utama perlahan

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Aliran trafik dilaporkan bergerak perlahan di beberapa lebuh raya utama setakat pagi ini, berikutan orang ramai mula pulang ke rumah masing-masing selepas cuti sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

Jurucakap PLUS Malaysia Berhad berkata setakat 10.30 pagi ini, trafik di utara perlahan dari Changkat Jering ke Kuala Kangsar (kawasan mendaki Bukit Berapit), kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak ke Terowong Menora dan Simpang Pulai ke Gopeng ekoran pertambahan trafik.

“Trafik menghala ke selatan masih terkawal dan bergerak lancar,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata trafik menuju ke pantai timur bergerak perlahan dari R&R Genting Sempah ke Terowong Genting Sempah arah barat, sebelum Plaza Tol Bentong arah Barat, dan sebelum Plaza Tol Karak arah Barat

Maklumat trafik terkini boleh didapati menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter, www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter, www.twitter.com/llminfotrafik.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama perlahan pagi ini

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Aliran trafik dilaporkan perlahan di beberapa lebuh raya utama setakat 9 pagi ini berikutan orang ramai pulang ke kampung sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata trafik menuju ke pantai timur bergerak perlahan dari Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR 2) menuju Plaza Tol Gombak sehingga ke Genting Sempah.

“Bagaimanapun, aliran trafik dilapor bergerak lancar di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan 2,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, jurucakap PLUS Malaysia Berhad berkata trafik perlahan dari Slim River ke Sungkai serta Nilai ke kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban berikutan pertambahan jumlah kenderaan.

Maklumat trafik terkini boleh didapati menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter, www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter, www.twitter.com/llminfotrafik.

 

-BERNAMA