Categories
GLOBAL NASIONAL

22 pelancong Malaysia terperangkap di kawasan air terjun Lombok

JAKARTA, 17 MAC: Sebanyak 22 pelancong rakyat Malaysia dilaporkan terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di kawasan Air Terjun Tiu Kelep, Senaru Baru, Lombok Utara.

Kejadian tanah runtuh di kawasan air terjun itu terjadi selepas berlaku gempa bumi bersaiz melebihi 5 skala Richter yang menggegarkan Pulau Lombok, Indonesia, petang tadi.

Ketua Protokol dan Sekretariat Pemerintah Lombok Utara, Mujaddid Muhas dalam satu kenyataan berkata terdapat 40 pengunjung sedang beriadah di kawasan berkenaan ketika kejadian.

“Setakat ini dua orang disahkan meninggal dunia, proses menyelamat dan evakuasi masih dilakukan,” katanya.

Gempa pertama bermagnitud 5.8 Skala Richter berlaku pukul 2.07 petang waktu Indonesia Barat, berpusat di 24km timur laut Timur Lombok – Nusa Tenggara Barat.

Menurut Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika (BMKG) Indonesia, ia disusuli dengan satu lagi gempa bermagnitud 5.2 Skala Richter, berpusat di 7km barat laut Lombok Timur- Nusa Tenggara Barat, pukul 2.09 petang.

Gegaran gempa itu dirasakan di Lombok Utara, Lombok Tengah, Lombok Barat dan sehingga ke Denpasar, Pulau Bali.

Sementara itu seorang ejen pelancong di Mataram, Lombok yang dikenali sebagai ” Pak Arno” berkata, pelancong Malaysia itu menginap di sebuah hotel di Mataram.

Beliau berkata, pihak berkuasa sedang melakukan evakuasi terhadap semua mangsa yang terbabit dalam kejadian itu.

Sementara itu, jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta berkata pihak kedutaan sedang berkoordinasi dengan pihak berkuasa tempatan berhubung kejadian itu.

“Beberapa orang (pelancong Malaysia) dilaporkan masih hilang,” katanya. -BERNAMA

Categories
NASIONAL PELANCONGAN

Gili Trawangan di Lombok sepi

LOMBOK, 5 NOV: Destinasi pelancongan popular, Gili Trawangan, di Lombok Utara ‘sepi’ dengan jumlah pelancong berkurangan selepas gempa bumi melanda kepulauan itu, tiga bulan lalu.

Kawasan pelancongan yang sebelum ini meriah dengan kehadiran pengunjung tempatan dan luar negara kelihatan sunyi serta hanya dipenuhi penduduk tempatan.

Bercakap kepada BERNAMA, pengusaha bot laju, Laluh Juliado (he), 28, perniagaan dan pendapatannya berkurangan akibat kemerosotan jumlah pengunjung susulan bencana alam.

Beliau yang sudah menjalankan perniagaan berkenaan lebih 10 tahun berharap pengunjung akan membanjiri semula pulau berkenaan pada musim cuti sekolah nanti.

“Bukan tiada orang datang tetapi tidak meriah seperti sebelumnya.

“Kadang-kadang saya dapat pelancong, ada hari langsung tiada. Kebiasaannya sehari saya boleh buat dua atau tiga kali trip tetapi selepas musibah ini agak perit sekali,” katanya.

Terdahulu, BERNAMA mengikuti misi bantuan #peduligempalombok6.0 anjuran Global Peace Mission (GPM) Malaysia, di sini.

Seorang peniaga Nindi, 42, berkata mata pencariannya terjejas susulan kekurangan pelancong yang kemungkinan takut akibat gempa bumi yang meragut ratusan nyawa itu.

“Kami sendiri masih berasa trauma, kemungkinan orang lain juga seperti itu (trauma) untuk datang dan bercuti ke sini, namun dengan berniaga di sini sahaja saya dapat mencari rezeki.

“Keadaan pengunjung memang sangat berbeza daripada sebelum dan selepas gempa, selalunya pada waktu ini pengunjung sudah ramai sehingga bulan Januari,” kata wanita yang berniaga sayur-sayuran di pasar Gili Trawangan itu.

Sementara itu, Ketua Misi GPM Ahmad Hamizan Ahmad Horman berkata, selepas meninjau pulau berkenaan, beliau mendapati banyak kerosakan terutama di kedai dan pihaknya sedia menghulurkan bantuan jika diperlukan.

Katanya, sebagai sukarelawan, pihaknya sentiasa bersedia menghulurkan bantuan kepada pihak memerlukan.

Lombok kini dalam fasa baik pulih, selepas digegarkan dengan gempa berukuran 6.4 magnitud, pada 29 Julai lalu, disusuli gegaran kedua, pada 5 Ogos berukuran 7 magnitud.

Rakyat Malaysia yang ingin menyalurkan bantuan boleh membuat sumbangan dalam talian www.billplz.com/peduligempalombok atau deposit kepada akaun GLOBAL PEACE MISSION, Maybank (5642 2161 1602) atau Bank Islam (1402 3010 02922 4).

Categories
GLOBAL

Korban gempa di Lombok meningkat kepada 555 mangsa, 1,500 cedera

JAKARTA 25 OGOS: Siri gempa bumi yang menggegarkan Pulau Lombok di Indonesia pada musim panas tahun ini membunuh seramai 555 orang dan mencederakan hampir 1,500 lain, manakala beratus-ratus ribu penduduk hilang tempat tinggal.

Pulau yang terletak berdekatan destinasi percutian popular, Bali itu digegarkan dua gempa dahsyat pada 29 Julai dan 5 Ogos lepas. Pada Ahad lalu pula, Lombok dilanda gegaran baharu dan sejumlah gempa susulan dengan gegaran terkuat berukuran 6.9 magnitud.

Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) berkata semalam bahawa keba­nyakan kematian berlaku di utara Lombok, sementara sebilangan penduduk juga maut di pulau berdekatan, Sumbawa.

Ramai mangsa mati akibat ditimpa serpihan ketika gempa menggegarkan seluruh pulau itu dan mengakibatkan kemusnahan meluas. Seluruh kampung ranap dengan jalan-jalan merekah, manakala banyak kediaman dan bangunan runtuh.

Menurut BNPB, kira-kira 390,000 orang hilang tempat tinggal selepas siri gempa bumi itu.

“Kami mengerahkan askar ke kampung-kampung yang sukar dimasuki,” kata jurucakap BNPB, Sutopo Purwo Nugroho dalam satu kenyataan.

“Terdapat banyak perkampungan yang sukar dimasuki walaupun menggunakan motosikal. Bantuan terpaksa dihantar dengan berjalan kaki,” tambahnya.

Kos pembinaan semula pula dianggarkan melepasi angka 7 trilion rupiah (RM1.9 bilion).

Indonesia berada dalam Lingkaran Api Pasifik di mana plat bumi berlanggar. Kawasan itu mencatatkan banyak kejadian gempa bumi dan letusan gunung berapi.

Pada tahun 2004, gempa bumi kuat bermagnitud 9.1 melanda perairan Sumatera dan mencetuskan ombak besar tsunami yang mengorbankan 220,000 orang di seluruh rantau ber­kenaan termasuk 168,000 di Indonesia.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Gempa bumi kuat skala 6.3 magnitud gegar Lombok

LOMBOK, Indonesia 19 OGOS: Gempa bumi berkekuatan 6.3 magnitud menggegar pulau ini, hanya beberapa minggu selepas gegaran yang mengorbankan lebih 460 orang, kata Pusat Penyelidikan Amerika Syarikat (USGS).

USGS berkata, gegaran yang berpusat di barat bandar Belanting, di Lombok timur itu berada pada kedalaman tujuh kilometer agak cetek.

Menurut penduduk, gegaran kuat dapat dirasakan di Lombok Timur.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Korban gempa Lombok meningkat kepada 387 mangsa

MATARAM, Indonesia 12 OGOS: Kematian akibat gempa bumi di Pulau Lombok meningkat kepada 387 orang, kata pihak berkuasa semalam, manakala ribuan mangsa di pusat perlindungan berdepan kekurangan bekalan air bersih, makanan dan perubatan sejak seminggu lalu.

Gempa sekuat 6.9 magnitud itu telah meranapkan beribu-ribu rumah, masjid dan premis perniagaan di seluruh Lombok, hanya seminggu selepas satu gegaran susulan di pulau ber­kenaan menyebabkan 17 orang terbunuh.

Kebanyakan mangsa kini terpaksa tidur di bawah khemah atau kain rentang berhampiran rumah mereka yang rosak.

Malah, enam hari selepas gempa bumi itu, sejumlah mangsa dipercayai masih belum menerima sebarang bantuan terutamanya yang tinggal di kawasan pergunungan di utara Pulau Lombok.

“Masalah utama ialah pengagihan bekalan kepada beribu-ribu mangsa yang ditempatkan di khemah perlindungan. Kebanyakan jalan di utara Pulau Lombok telah musnah akibat gempa bumi berkenaan,” kata jurucakap agensi bencana kebangsaan Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho.

Menurutnya, pihaknya meramalkan angka kematian berkemungkinan akan terus meningkat memandangkan masih ada beberapa mangsa yang tertimbus di bawah tanah runtuh dan serpihan runtuhan.

“Terdapat beberapa penemuan mangsa yang masih belum direkodkan dan dilaporkan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Kawasan di sekitar utara Pulau Lombok dilaporkan terjejas teruk dengan hampir 200,000 orang terpaksa meninggalkan rumah mereka dan 13,000 orang mengalami kecederaan, menurut perangkaan rasmi terbaharu.

Sutapo berkata, tempoh res­pons kecemasan telah dilanjutkan kepada 14 hari sekali gus membenarkan pihak berkuasa menangani pelbagai masalah yang masih wujud di situ.

SUMBER: AFP

Categories
NASIONAL

Gempa bumi Lombok: Malaysia sedia hulur bantuan kepada Indonesia

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 8 OGOS: Kerajaan Malaysia bersedia untuk menghulurkan bantuan kepada Indonesia yang kini berhadapan musibah gempa bumi di Lombok.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail berkata, beliau membuat panggilan telefon kepada Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla petang ini untuk mengucapkan takziah di atas tragedi gempa bumi yang berlaku di Lombok baru-baru ini yang mengorbankan lebih daripada 100 nyawa dan mengakibatkan lebih 200 mangsa mengalami kecederaan parah.

“Kita juga memaklumkan kesediaan Malaysia untuk memberikan apa jua bentuk bantuan yang diperlukan oleh Kerajaan Indonesia dalam operasi mencari dan menyelamat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga mengucapkan terima kasih atas bantuan kerajaan Indonesia dalam menyerahkan kapal mewah ‘Equanimity’ yang telah selamat tiba di Pelabuhan Kelang pada kira-kira jam 1 petang semalam.

Selain itu, Wan Azizah turut menyatakan penghargaan kepada Kerajaan Indonesia di atas bantuan dalam penghantaran pulang jenazah rakyat Malaysia Allahyarhamah Siti Nur Ies’ Mawida binti Ismail yang meninggal dunia akibat ditimpa runtuhan tembok bangunan semasa gempa bumi di Lombok, Indonesia pada 29 Julai 2018.

Categories
GLOBAL

Serantau Muslim bawa bantuan bencana gempa bumi Lombok Sabtu ini

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 8 OGOS: Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar melancarkan Tabung Bantuan Bencana Lombok menerusi NGO Serantau Muslim serta menyampaikan sumbangan peribadi berjumlah RM10,000.

Katanya, Kerajaan Malaysia merakamkan takziah dan rasa simpati terhadap bencana gempa bumi sekuat 7 skala ritcher yang melanda Lombok, Indonesia yang dikhabarkan menyebabkan kematian lebih dari 113 orang, lebih 866 orang cedera, 20,000 penduduk menjadi pelarian dan lebih 8,000 buah rumah rosak.

“Gempa melanda Indonesia bukanlah perkara baru, namun tragedi yang meragut jiwa ini tidak menyebabkan kita memandang sepi perkara ini. Atas dasar itu, saya komited bertindak pantas menghulurkan bantuan peribadi saya melalui NGO dan agensi yang terbabit langsung dalam memberikan bantuan kecemasan kepada mangsa gempa bumi tersebut.

“Saya memuji usaha NGO Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim yang mengumpul dana dari orang ramai untuk disalurkan terus kepada mangsa gempa” katanya dalam sidang media di Lobi Parlimen.

Dalam sidang media sama, Ahli Jawatankuasa Serantau Muslim, Siti Fatyhah Sulaiman berkata mereka akan berangkat ke Lombok, Sabtu ini bagi membawa bantuan kepada mangsa bencana.

Beliau berkata, setakat ini kutipan derma fasa pertama yang dimulakan sejak minggu lalu berjaya mengumpul hampir RM20,000.

Manakala fasa kedua akan bermula pada September hadapan.

“Kita akan bekerjasama dengan NGO tempatan. Dari segi barangan, ada yang kita akan beli dari sini dan beli disana.

“Antara bantuan kecemasan yang diperlukan ialah bekalan air bersih, makanan yang dimasak, pek makanan untuk bayi dan pesakit, ubat ubatan, pakaian dan selimut, alas tidur dan pek kebersihan diri,” katanya.

Categories
GLOBAL

Mangsa terperangkap diselamatkan di Lombok

PEMENANG, Indonesia 8 OGOS: Seorang wanita dikeluarkan dalam keadaan masih hidup dari sebuah bangunan yang runtuh di Pulau Lombok semalam, dua hari selepas gempa bumi kuat membunuh lebih 100 orang, memusnahkan perkampungan dan me­ngakibatkan ribuan penduduk hilang tempat tinggal.

Pada masa sama, petugas-petugas penyelamat turut menggali runtuhan sebuah masjid di utara Lombok, pulau yang digegarkan oleh gempa bermagnitud 6.9 pada Ahad lepas.

Mereka berharap sekurang-kurangnya seorang daripada empat mangsa yang terperangkap di bawah timbunan konkrit masih hidup.

Wanita tersebut, Nadia Reva­nale, 23, sedang membeli barangan keperluan di sebuah pasar mini di di sini ketika gempa berlaku, yang kedua melanda Lombok dalam masa seminggu.

Jiran-jiran terdengar suara meminta tolong dari celah runtuhan lalu menghubungi pasukan penyelamat. Mereka mengambil masa empat jam untuk mengeluarkan mangsa.

“Pada mulanya, kami menggunakan tangan kami untuk membersihkan serpihan, kemudian tukul, pahat dan mesin untuk mengalihkan konkrit,” kata sukarelawan penyelamat, Marcos Eric kepada agensi berita Reuters selepas sebuah ambulans membawa mangsa ke hospital.

“Kami mengambil masa beberapa jam dan kami bersyukur mangsa ditemui dalam keadaan selamat,” tambahnya.

Ia merupakan antara segelintir detik gembira sejak gempa bumi itu meragut sekurang-kurangnya 105 nyawa termasuk dua di Bali, pulau yang berjiran dengan Lombok.

Pulau Lombok sebelum ini dilanda gempa bumi kuat bermagnitud 6.4 pada 29 Julai lalu yang mengorbankan 17 orang dan mengakibatkan ratusan pendaki terperangkap di lereng Gunung Rinjani.

Sementara itu, beribu-ribu pelancong meninggalkan Lombok sejak petang Ahad lepas kerana bimbang gempa akan berlaku lagi. Sebahagian mereka menaiki penerbangan dan sebilangan lagi menaiki feri menuju ke Pulau Bali.

Menurut pihak berkuasa, lebih 3,000 pelancong dibawa keluar dari Kepulauan Gili yang terdiri daripada tiga pulau kecil di barat laut Lombok menjelang petang kelmarin, manakala ramai lagi masih menunggu untuk dipindahkan.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

Gempa Bumi: Bot, pesawat tumpuan pelancong Lombok

MATARAM 7 OGOS: Pelancong yang ketakutan selepas gempa bumi kedua melanda Lombok dalam tempoh seminggu, berusaha meninggalkan pulau itu dengan menaiki pesawat atau bot.

Ketika ini, pasukan penyelamat masih bertungkus lumus untuk menyalurkan bantuan makanan dan tempat tinggal kepada mangsa, terutama di kawasan pedalaman.

Gempa bumi berukuran 6.9 magnitud pada Ahad lalu, mengorbankan sekurang-kurangnya 105 mangsa dan memusnahkan ratusan bangunan di Lombok, iaitu beberapa hari selepas gempa bumi pertama yang meragut nyawa 17 individu.

Sementara itu, pasukan penyelamat meneruskan usaha mengesan mangsa yang terselamat dalam kediaman, masjid dan sekolah yang runtuh akibat gempa bumi terbaru itu.

Lebih 200,000 penduduk dipercayai hilang tempat tinggal, dengan 236 daripadanya mengalami cedera parah dan pihak berkuasa merayu supaya lebih ramai pegawai perubatan dan bekalan asas dihantar ke Lombok.

Gempa terbabit dilaporkan berlaku ketika umat Islam, iaitu penduduk majoriti di pulau berkenaan sedang menunaikan solat Maghrib.

SUMBER: AFP

Categories
NASIONAL

Jenazah mangsa gempa Lombok dijangka tiba petang ini

JAKARTA, 31 JUL – Jenazah rakyat Malaysia yang terkorban dalam kejadian gempa bumi di Lombok, Allahyarham Siti Nur Ismawida Ismail, diterbangkan dari Lombok ke Jakarta sebelum dibawa pulang ke Malaysia, petang ini.

Jenazah Siti Nur Ismawida, 30, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Lombok menggunakan pesawat Garuda GA0435 pada jam 9.40 pagi tadi ke Lapangan Terbang Soekarno Hatta, Jakarta, lapor BERNAMA.

Sementara itu, Timbalan Duta Besar Malaysia di Indonesia, Zamshari Shaharan berkata, selepas itu jenazah Allahyarham akan dibawa ke Kuala Lumpur menerusi penerbangan Garuda GA0816 dari Jakarta pada jam 1.40 tengah hari dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), jam 5 petang (waktu Malaysia).

“Jenazah diiringi suaminya, Mohd Hafiz Mohd Kassim dan saudara kepada Mohd Hafiz, Saiyid Abdallah Syahir Aledrus,” katanya.

Difahamkan, jenazah akandibawa ke Masjid Ar-Rahimah, Desa Pandan, sebaik tiba di KLIA sebelum dikebumikan, di Tanah Perkuburan Islam Batu Muda, Kuala Lumpur.

Allahyarham dilaporkan terkorban dihempap runtuhan tembok bangunan dalam kejadian gempa bumi 6.4 skala richter yang menggoncang wilayah Nusa Tenggara Barat dan Lombok, pada 5.47 pagi, 29 Julai lalu.

Categories
GLOBAL

Lebih 500 pendaki termasuk 21 dari Malaysia masih terperangkap di Gunung Rinjani

JAKARTA 30 JUL: Lebih 500 pendaki termasuk 21 dari Malaysia dilaporkan masih terperangkap di gunung berapi Rinjani di Lombok Timur.

Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) Indonesia menyatakan pasukan penyelamat kini berusaha melakukan evakuasi mengeluarkan semua pendaki terbabit dari gunung itu.

Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat BNPB, Sutopo Purwo Nugroho berkata, berdasarkan data pihak berkuasa Indonesia, seramai 524 pendaki iaitu 358 daripadanya warga negara luar dan 166 warga Indonesia masih terperangkap di gunung itu selepas kejadian gempa bumi semalam.

“Proses evakuasi mengalami sedikit kesulitan kerana berlaku runtuhan tanah di akses jalan utama ke gunung itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, operasi untuk mengeluarkan semua pendaki itu disertai pasukan tentera Indonesia, polis dan pasukan perubatan.

Dalam kejadian gempa berkekuatan 6.4 Skala Richter di Lombok, Nusa Tenggara Barat Indonesia semalam itu, seramai 14 mangsa dilaporkan terkorban setakat ini, termasuk seorang warga negara Malaysia, Siti Nur Ismawida Ismail, 30.

Gunung berapi Rinjani, gunung berapi kedua tertinggi di Indonesia itu dengan ketinggian 3,726 meter merupakan destinasi popular dalam kalangan pelancong dan pendaki yang terkenal dengan keindahan semulajadinya.

Gempa bumi kuat berukuran 6.4 skala Richter menggoncang wilayah Nusa Tenggara Barat dan Lombok jam 5.47 pagi semalam menyebabkan penduduk kawasan itu bertempiaran meninggalkan kediaman dan bangunan. Setakat ini lebih 1,000 rumah dan bangunan dilaporkan musnah.

Sutopo Purwo berkata, beberapa jaringan telekomunikasi seperti Indosat dan H3I tidak dapat digunakan di kawasan itu ketika ini berikutan terputusnya bekalan elektrik.

“Pasukan evakuasi memulakan proses menyelamat bermula jam 8 pagi ini,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Jenazah Siti Nur Ditempatkan di Mataram sebelum dibawa pulang

JAKARTA, 30 JUL: Jenazah Allahyarham Siti Nur Ismawida Ismail yang terkorban dalam kejadian gempa bumi di Lombok, Nusa Tenggara Barat (NTB), Indonesia kini ditempatkan di Rumah Sakit Umum Daerah (RSUD) Provinsi NTB sebelum dibawa pulang ke Malaysia.

Timbalan Duta Besar Malaysia di Indonesia, Zamshari Shaharan berkata usaha dan urusan proses berkaitan untuk membawa pulang jenazah masih dilakukan.

“Ahli-ahli kumpulan yang lain (17 lagi ahli kumpulan dengan Allahyarham) ditempatkan di beberapa hotel di Mataram dan kedutaan sedang berusaha untuk membolehkan mereka menaiki pesawat penerbangan pulang ke Kuala Lumpur,” katanya.

Siti Nur Ismawida terkorban akibat dihempap runtuhan bangunan, manakala enam lagi cedera dalam kejadian gempa bumi kuat di Lombok semalam.

Allahyarham dalam program mendaki gunung berapi Rinjani di Lombok Timur.

Zamshari berkata mereka yang cedera juga kini menerima rawatan susulan di RSUD Provinsi NTB di Mataram.

Beliau berkata pihak kedutaan juga dihubungi satu lagi kumpulan pelancong dari Malaysia iaitu seramai 11 orang.

“Kumpulan seramai 11 orang itu kini berada dalam keadaan selamat di Pulau Gili Trawangan, Lombok Utara,” katanya.

Semalam, satu lagi kumpulan pendaki gunung Rinjani dari Malaysia seramai 19 orang dilaporkan selamat di Senaru, Lombok Utara dan pihak berkuasa Indonesia membawa membawa mereka ke Senggigi di Barat Lombok.

“Kedutaan masih terus berusaha untuk mendapatkan maklumat rakyat Malaysia lain yang terjejas susulan gempa bumi ini,” katanya.

Rakyat Malaysia yang berada di Lombok dan memerlukan bantuan konsular atau keluarga mereka diminta menghubungi pihak kedutaan menerusi emel [email protected]/ [email protected] atau nombor telefon +62215224947 dan +6281380813036 (whatsapp).

SUMBER: BERNAMA