Categories
AGENDA NASIONAL

Pemimpin utama HARAPAN temui PM, bangkit isu lompat parti, rasuah dan banjir

SHAH ALAM, 20 JAN: Pemimpin utama Pakatan Harapan (HARAPAN) mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Parlimen hari ini.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Facebook memaklumkan pertemuan turut melibatkan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Berdasarkan perkongsian Anwar yang juga pengerusi HARAPAN, parti itu membangkitkan soal Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang dibentang dalam sesi Parlimen akan datang.

Beliau juga memaklumkan turut dibincang perihal rasuah yang semakin menggila serta langkah pascabanjir yang dihadapi.

Terdahulu Ahli Parlimen menghadiri Mesyuarat Khas Penggal Keempat Parlimen ke-14 bagi membincangkan perkara berkaitan kepentingan negara iaitu banjir dan pascabanjir.

Selain mendengar penerangan perdana menteri mengenai situasi bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini, beberapa isu turut dibahaskan seperti perancangan jangka panjang kerajaan dalam menghadapi banjir.

 

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Isu lompat parti antara pindaan perlembagaan dibentang hingga Julai depan

KUALA LUMPUR, 15 NOV: Beberapa siri pindaan Perlembagaan Persekutuan akan dibentang dalam tempoh sekarang hingga Julai 2022 termasuk isu lompat parti, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pindaan juga akan menyentuh tempoh mengehadkan jawatan Perdana Menteri.

“Ini dalam CSA (Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan) kita yang saya dikehendaki melaksanakannya, sekurang-kurangnya mesti dibentangkan sebelum atau semasa persidangan Julai nanti,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat dasar.

Beliau berkata perkara kritikal lain termasuk isu kerakyatan anak warganegara Malaysia (sama ada ibu atau ayah) yang lahir di luar negara turut diambil kira dalam pindaan Perlembagaan Persekutuan itu.

Mengulas lanjut, beliau berkata pindaan berhubung isu kewarganegaraan ini hendaklah mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja berdasarkan Fasal (5) Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan dan sokongan sekurang-kurangnya dua pertiga Ahli Parlimen.

“Sekiranya cadangan pindaan menyentuh hak orang yang lahir sebelum Hari Malaysia untuk menjadi warganegara oleh sebab perhubungan mereka dengan Sabah dan Sarawak atau jaminan layanan sama rata antara yang lahir dan bermastautin di negeri-negeri Borneo dengan yang lahir dan bermastautin di negeri-negeri Melayu, persetujuan Yang di- Pertua Negeri Sabah dan Sarawak hendaklah diperoleh,” katanya.

Wan Junaidi berkata dalam hal in, mesyuarat pramajlis dan Mesyuarat Majlis Raja-Raja telah dijadualkan pada 23 dan 24 Nov ini.

Beliau berkata Jemaah Menteri pada 24 Sept lepas telah bersetuju supaya Peguam Negara menyembah maklum kepada Majlis Raja-Raja mengenai keputusan kes Suriani Kempe & Ors lwn Kerajaan Malaysia & Ors (2021) 8 CLJ 666 berhubung isu kewarganegaraan.

Menyentuh saranan supaya pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan diteliti satu jawatankuasa dwipartisan, Wan Junaidi mencadangkan ia diteliti oleh jawatankuasa sedia ada yang ditubuh di bawah Parlimen.

-BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Cabang terus kukuh meski ahli parlimen keluar parti

SHAH ALAM, 15 MAC: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor yakin cabang setiap kawasan akan terus kukuh di sebalik tindakan segelintir pemimpin keluar parti.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negerinya Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kerusi Dewan Undangan Negeri dalam Parlimen itu juga kekal milik parti berikutan sokongan rakyat terus utuh.

“Kita tetap jadi tiang seri di Selangor dan jadi pilihan ramai. Selagi dalam kerangka reformasi, kita akan menang.

“Dalam politik kita tidak boleh terus berpuas hati walaupun sudah menang sebaliknya terus bekerja.. terus bergerak untuk rakyat. Pengundi lebih penting dari calon dan jentera,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis makan malam KEADILAN Shah Alam di Pusat Konvensyen Shah Alam malam tadi.

Majlis sempena siri jelajah Kita Selangor turut dihadiri Timbalan Pengerusi negeri, Hee Loy Sian; Ketua Wanita negeri, Rodziah Ismail dan Ketua Angkatan Muda negeri, Najwan Halimi.

Pada Sabtu, KEADILAN Selangor memberi jaminan untuk meneruskan agenda memanfaatkan rakyat selain menyeru seluruh penyokong parti istiqamah dengan perjuangan.

Kenyataan itu susulan tindakan Ahli Parlimen Kuala Langat Dr Xavier Jayakumar yang juga ketua cabang mengumumkan keluar parti dan memberi sokongan penuh kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sebelum ini, KEADILAN mendakwa kerajaan PN cuba mengugut wakil rakyat pembangkang untuk mengalihkan sokongan.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KEADILAN teliti calon lebih ketat, elak khianat

SHAH ALAM, 14 MAC: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) akan membuat penelitian lebih ketat dalam memilih calon pilihan raya bagi memastikan masalah pemimpin lompat parti tidak berulang.

Presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pengkhianatan, sogokan wang dan kedudukan mengakibatkan sebilangan pemimpin hilang pertimbangan dan daya tahan perjuangan.

“Sekarang ini janji ke, baiah ke terlingkup semua. Kadang-kadang kita ada keterbatasan. Saya mengaku ada kelemahan sama ada daripada proses saringan dan menilai tokoh-tokoh.

“Saya kira asas agama, akhlak dan akal budi itu harus ditekankan,” katanya dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia.

Semalam, Ahli Parlimen Kuala Langat Dr Xavier Jayakumar mengumumkan keluar parti dan memberi sokongan penuh kepada Perikatan Nasional (PN).

Ketua pembangkang juga menjelaskan KEADILAN belum memuktamadkan calon pilihan raya sebaliknya fokus membangunkan pimpinan muda dan wanita.

“Kalau tiada campur tangan langsung daripada pimpinan, mungkin akan tersisih angkatan muda dan wanita kerana kita lihat ada keperluan menonjolkan tokoh baru dan profesional,” kata Anwar.

Categories
AGENDA NASIONAL

MB: Hubungan KEADILAN dan AMANAH di Selangor utuh

SHAH ALAM, 3 MAC: Hubungan antara Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dengan Parti Amanah Negara (AMANAH) di Selangor masih utuh walaupun terpalit isu pemimpin lompat parti, kata pengerusi negeri.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata prinsip perjuangan dan agenda reformasi menjadi kunci keteguhan pentadbiran Pakatan Harapan (PAKATAN) yang terus dijunjung pentadbiran negeri.

“Sekiranya berlaku sedikit ketegangan dalam parti atau PAKATAN, ia perkara biasa dan seingat saya pada 2008 kita hampir berpecah namun akhirnya kita kembali menyusun serta menjunjung mandat rakyat.

“PAKATAN Selangor akan mempertahankan hubungan antara parti serta tidak terperangkap dengan permainan politik,” kata Dato’ Menteri Besar ketika melawat Pusat Operasi Pintar C5i Selangor (SSOC) di Dewan Jubli Perak hari ini.

Sebelum ini, lima Ahli Dewan Negeri (ADN) AMANAH termasuk tiga dari Johor bertindak keluar parti dan berhasrat untuk menyertai KEADILAN.

Mereka ialah ADN Senggarang, Khairuddin A Rahim; ADN Serom, Faizul Amri Adnan serta ADN Mahkota, Muhamad Said Jonit.

Selain tiga ADN dari Johor, turut didakwa bertindak keluar parti adalah dua ADN dari Selangor.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad menyifatkan tindakan ADN terbabit menyertai KEADILAN tidak seserius berbanding jika mereka menyertai Perikatan Nasional (PN).

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia perlu akta antilompat parti, elak gugat kestabilan kerajaan

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Malaysia perlu menggubal satu undang-undang berkaitan Anti Lompat Parti bagi mengatasi “pandemik politik” dalam negara, kata Presiden Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah Malaysia Datuk Seri Akhbar Satar.

Beliau berkata kes-kes lompat parti yang kerap berlaku dalam kalangan wakil rakyat di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri tidak boleh lagi dibiarkan berterusan kerana ia menggugat kestabilan kerajaan.

“Selain itu perbuatan lompat parti itu juga akan membawa kepada amalan rasuah,” katanya dalam satu program wawancara di saluran berita Astroawani semalam.

“Apabila mereka melompat dari satu pati ke parti yang lain, ia juga boleh membawa kepada tumbangnya sebuah kerajaan yang memerintah, dan mereka melakukan ini kerana mereka dibayar untuk melakukannya,” katanya.

Akhbar berkata berdasarkan ‘Global Corruption Barometer 2020’ yang dijalankan oleh Transparency International (TI), ahli parlimen adalah antara kumpulan yang paling terdedah kepada rasuah.

“Sekiranya ahli politik dipandang sedemikian rupa, dan dilihat sebagai mereka yang memiliki standard serta integriti yang rendah, ini mencerminkan keadaan negara hari ini dan juga generasi masa depan,” kata Akhbar, yang merupakan bekas Presiden TI-Malaysia dalam wawancara yang diadakan sempena Hari Anti Rasuah.

Beliau seterusnya berkata undang-undang mengenai dana politik bagi ‘semak dan imbang’ risiko rasuah dalam kalangan ahli politik yang telah lama diperdebatkan, juga perlu digubal segera, tanpa bertangguh lagi.

Akhbar berkata undang-undang sedemikain akan menjadi cara yang berkesan untuk membendung penyalahgunaan kuasa dan pendanaan politik yang tidak terkawal.

“Kita mendapati ada sebahagian besar sumbangan dana politik dimasukkan ke dalam akaun peribadi. Ini adalah perbuatan keji dan pecah amanah. Kita memang amat memerlukan Akta Pembiayaan Politik ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

KEADILAN tunggu keputusan PAKATAN isu lompat parti

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 1 NOV: KEADILAN akan menunggu keputusan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PAKATAN) berhubung isu lompat parti, sebelum mengeluarkan kenyataan berkenaannya.

Ketua Whipnya, Datuk Johari Abdul berkata, isu berkaitan mendapat perhatian kepimpinan PAKATAN dengan satu mesyuarat akan diadakan Sabtu ini bagi mencapai keputusan antara semua parti gabungan.

“Seperti kita tahu, Majlis Presiden PAKATAN akan bermesyuarat berkenaannya kemungkinan dalam minggu ini atau Sabtu dan akan keluarkan kenyataan berhubung keputusannya sama ada ia dilihat wajar atau sebaliknya.

“KEADILAN tidak akan mengeluarkan kenyataan atau mendahului kepimpinan PAKATAN dalam perkara ini,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Johari yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani berkata, isu lompat parti itu juga baginya harus diteliti sebelum sesuatu rumusan dibuat.

“Ia bergantung kepada keadaan dan dari situ kita boleh memutuskannya,” katanya.

Isu lompat parti menjadi perhatian umum apabila mantan ahli Umno iaitu Ahli Parlimen Jeli, Datuk Mustapa Mohamed menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) baru-baru ini.

Ia diperkuatkan lagi dengan desas-desus terdapat kira-kira 40 Ahli Parlimen parti pembangkang itu akan mengambil tindakan sama dengan menjadi wakil rakyat Bebas sebelum menyertai PPBM.

TERUS TERANG : Bersama YB MANIKAVASAGAM-Lompat Parti?


Sinopsis:

Rancangan Ini telah Disiarkan Secara Langsung Pada Hari Sabtu 2 Jun 2012 Jam 9 Malam. Tetamu jemputan adalah Yb Manikavasagam (Ahli Parlimen Kapar). Isu yang dibincangkan dalam Terus Terang kali ini adalah Isu Lompat Parti. Sejauh mana kebenaranya? Sama-sama kita dengarkan Sendiri Kenyataan Beliau Dalam Program Terus Terang minggu ini.

Artikel Berkaitan: http://bm.selangorku.com/?p=8334