Categories
SELANGOR

L’oreal Malaysia pasang sistem penapis air pertama di taman rekreasi

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEMENYIH, 5 JUL: L’oreal Malaysia memasang sistem penapis air yang pertama seumpamanya di taman rekreasi negara ini.

Pengurusnya, Malek Bekdache berkata, sistem berkenaan ditaja sepenuhnya oleh L’oreal Malaysia kepada Taman Eko Rimba Sungai Tengkala.

“Program Tanggungjawab Sosial (CSR) ini diadakan bersempena dengan L’oreal Citizen Day yang diadakan seluruh dunia dengan melibatkan 60 kakitangan L’oreal Malaysia.

“Kami berbangga kerana dapat menyediakan sistem air terawat buat pengunjung rekreasi di sini, diharapkan supaya bekalan air bersih ini dapat menjadikan rakyat di sini lebih sihat,” katanya ketika ucapan perasmian L’oreal Citizen Day di Taman Eko Rimba Sungai Tengkala.

Hadir sama Pengarah Jabatan Perhutanan Selangor, Datuk Dr Puat Dahalan dan Pengarah LESTARI Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Raihan Mohd Taha.

Selain memasang penapis air yang mencecah kos lebih RM10,000 itu, kakitangan L’oreal Malaysia turut bergotong royong membersihkan Taman Eko Rimba Sungai Tengkala yang berkeluasan lapan hektar itu.

Sementara itu Puat berharap supaya pengunjung memanfaatkan sepenuhnya penggunaan air terawat berkenaan.

“Inilah kali pertama sistem penapis air dipasang di taman rekreasi Selangor dan sekiranya ia memberi impak positif, kemungkinan ia akan turut dipasang di beberapa buah taman lain.

“Jabatan Perhutanan memuji CSR L’oreal ini dan berharap supaya terus bekerjasama dengan mereka untuk tahun hadapan,” katanya.