Categories
AGENDA NASIONAL

Bantuan lori tangki air digerakkan ke premis kritikal

SHAH ALAM, 20 NOV: Bantuan air alternatif melalui lori-lori tangki terus digerakkan di kawasan terlibat insiden penurunan paras air di Kolam Air Sime UEP, USJ.

Menurut Air Selangor keutaman bantuan diberikan kepada premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengkebumian.

Syarikat itu menerusi Facebook juga meminta pengguna mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mengambil bekalan air daripada lori-lori tangki.

Pagi tadi, Air Selangor memaklumkan berlaku masalah teknikal atau ‘air lock’ pada paip agihan utama yang menyalurkan air ke kolam Kolam Air Sime UEP dekat Kampung Kenangan Puchong.

Insiden itu menyebabkan kawasan USJ 1 hingga USJ 27 di Petaling alami gangguan bekalan.

Setakat jam 12 tengah hari tadi, kerja-kerja meningkatkan paras air di Kolam Air Sime UEP masih lagi giat dijalankan.

Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya tengah malam ini.

Maklumat terkini akan dimaklumkan melalui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Twitter, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 atau Help Centre di aplikasi Air Selangor.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Air Selangor gerakkan 29 lori tangki ke kawasan terjejas

SHAH ALAM, 6 APRIL: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menggerakkan 29 lori tangki air ke kawasan terjejas susulan kerja penggantian injap pada jajaran paip air mentah di Empangan Klang Gates.

Ketua Komunikasi Korporat Elina Baseri berkata pihaknya memberi keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis serta upacara pengebumian.

“Air Selangor turut menyediakan kemudahan pembelian air kepada pihak industri atau pelanggan komersial dengan membuat pembayaran di kaunter khidmat pelanggan.

“Pelanggan perlu menyediakan kenderaan atau lori tangki yang disewa sendiri. Pengambilan air boleh dilakukan di dua stesen di Jalan TPP 5/17, Taman Perindustrian Puchong 5/17 dan stor Air Selangor Hulu Langat, Seksyen 13, Jalan P/4 Bandar Baru Bangi,” katanya dalam kenyataan.

Elina menambah pusat khidmat setempat turut dibuka bersebelahan padang bola Hospital Kuala Lumpur dan kawasan letak kenderaan My Capital, Jalan Jejawi, Bangsar bagi memudahkan pengguna membuat aduan serta berhubung terus dengan pegawai khidmat pelanggan.

Sementara itu, beliau memaklumkan kerja penggantian injap yang bermula jam 9 pagi tadi dijangka selesai jam 9 malam ini manakala loji dan sistem agihan akan distabilkan sebelum bekalan air disalur kepada pengguna.

“Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas secara berperingkat dan berbeza bergantung jarak lokasi premis pengguna serta tekanan air pada sistem agihan,” katanya.

Sebelum ini, agensi memaklumkan 58 kawasan membabitkan Gombak dan Kuala Lumpur mengalami gangguan air berjadual antara 48 hingga 68 jam bermula hari ini berikutan kerja penyelenggaraan beberapa aset utamanya tahun ini.

Pengguna boleh melayari https://www.airselangor.com/scheduled-water-supply-disruption-notice/ bagi mendapatkan maklumat lanjut atau menerusi media komunikasi rasmi Air Selangor.

Antaranya aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram serta laman sesawang http://www.airselangor.com.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Air Selangor gerak 84 lori tangki ke premis kritikal

SHAH ALAM, 10 NOV: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menggerakkan 84 lori tangki air ke premis kritikal dan kawasan perumahan terjejas susulan gangguan bekalan air sejak 6 petang tadi.

Ketua komunikasi korporat berkata pihaknya juga menyediakan 17 Pusat Khidmat Setempat (PKS) bagi membolehkan pengguna mendapatkan bekalan air alternatif di kawasan masing-masing bermula 8 malam ini.

“Semua pengguna dinasihatkan mematuhi peraturan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika mengambil bekalan air daripada lori tangki dan pili awam yang disediakan,” kata Elina Baseri dalam kenyataan.

Beliau berkata sehingga jam 7 malam, tahap pencemaran bau di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang pada tahap empat TON (nombor bau nilai ambang).

Tambahnya, bacaan di muka sauk LRA Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 pula pada tahap tiga TON dengan keempat-empat loji belum boleh beroperasi buat masa ini.

“Henti tugas ini menyebabkan Air Selangor tidak dapat menghasilkan air sebanyak 2,857 juta liter sehari dan menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual kepada pengguna di 1,279 kawasan,” katanya.

Air Selangor akan mengemas kini maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang di http://www.airselangor.com.