Categories
AGENDA NASIONAL

Lori bawa minyak masak terbabas, lebuh raya sesak lima kilometer

NILAI, 18 FEB: Pengguna Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) terperangkap dalam kesesakan lalu lintas sejauh lima kilometer hari ini berikutan sebuah lori minyak masak terpakai terbabas di Kilometer 278.8 arah utara dari Bandar Ainsdale ke Nilai.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Fazley Ab Rahman berkata kemalangan pada 6.45 petang itu menyebabkan muatan minyak masak terpakai di dalam tujuh tong mengalir hingga ke lorong keempat lebuh raya lalu menyebabkan kesesakan.

Beliau berkata siasatan awal mempercayai lori jenis Hino berwarna putih itu terbabas akibat tayar belakang kenderaan itu pecah.

“Kejadian berlaku di lorong kedua dari kanan, pasukan bomba dan penyelamat sedang membersihkan laluan tersebut.

“Pemandu lori itu telah dibawa orang awam ke hospital terdekat untuk rawatan manakala kelindannya, seorang lelaki berusia 39 tahun hanya cedera ringan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Mohd Fazley, kemalangan itu disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

— BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Jumlah jentera, lori ditambah percepat proses bersih sampah di Sri Muda

SHAH ALAM, 1 JAN: Jumlah jentera dan lori mengangkut sampah di Taman Sri Muda ditambah bagi mempercepatkan proses pembersihan pascabanjir.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata proses pembersihan di lokasi itu juga berjalan lancar dan akan ditingkatkan.

“Kerajaan Negeri juga mengalu-alukan bantuan jentera dan lori daripada sukarelawan, syarikat swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi mempercepatkan proses pembersihan di Sri Muda.

“Usaha Kerajaan Negeri ketika ini adalah bertumpu kepada proses pembersihan dan pemulihan. Semoga usaha ini memberi manfaat buat rakyat di Taman Sri Muda,” katanya.

Terdahulu, Amirudin meninjau proses pembersihan di Taman Sri Muda dan melawat Sekolah Kebangsaan Taman Sri Muda yang merupakan lokasi beliau bersama 1,000 mangsa banjir terkandas pada minggu lalu.

Lokasi penempatan sementera Pusat Transit Sisa Banjir Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Foto Facebook Amirudin Shari

Dalam pada itu, Amirudin turut meninjau pusat transit sisa banjir di Seksyen 35 bagi mempercepatkan proses pembersihan.

“Saya menggesa pihak lain yang terlibat dengan proses pembersihan untuk mengangkut sampah ke pusat pengumpulan ini dan tidak meninggalkannya di tepi jalan mahupun kawasan tertentu.

“Ini bagi memudahkan proses pengumpulan dan memudahkan kerja pihak berkuasa tempatan serta KDEB Waste Management (KDEBWM),” katanya.

Sehingga Khamis, kerja pembersihan bermula 25 Disember di Sri Muda mencapai kira-kira 35 hingga 40 peratus dan bakinya dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh seminggu lagi.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Elak tapak lupus sampah terbakar, penduduk digesa awasi lori mencurigakan

SHAH ALAM, 3 MAC: Orang awam khususnya penduduk sekitar Kampung Tradisi Pulau Indah, Pelabuhan Klang diminta melaporkan segera kepada pihak berkuasa jika menyedari kehadiran lori mencurigakan di kawasan itu.

Wakil rakyat Pelabuhan Klang berkata kenderaan terbabit berkemungkinan membawa muatan sampah untuk dibuang di tapak pelupusan haram yang menjadi punca kebakaran kerap berlaku di kawasan berkenaan.

“Mereka boleh menyalurkan maklumat kepada polis, bomba, pihak berkuasa tempatan atau pejabat tanah dan daerah termasuk saya sendiri supaya aktiviti pembuangan sampah haram dapat dihentikan.

“Saya kesal kerana tanah milik kerajaan diceroboh sebegitu rupa sehingga merosakkan alam sekitar selain mengganggu ketenteraman penduduk,” kata Azmizam Zaman Huri kepada SelangorKini.

Beliau turut memberi amaran keras kepada pihak tertentu supaya menghentikan kegiatan tidak bertanggungjawab itu sebelum tindakan lebih tegas diambil.

Jumaat lalu, sebuah tapak pelupusan sampah haram dipercayai tanah jenis gambut di kampung berkenaan terbakar dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam.

Kejadian di tapak berkeluasan lebih empat ekar disyaki berpunca daripada aktiviti pembakaran sisa plastik haram.

Categories
AGENDA NASIONAL

Penunggang basikal wanita maut dirempuh lori

PUTRAJAYA, 19 DIS: Seorang wanita maut apabila basikal yang ditungganginya dirempuh sebuah lori dari arah belakang di atas jambatan berdekatan Kelab Tasik Putrajaya, Presint 8 kira-kira 9.40 pagi.

Saksi kejadian, Mohd Shukri @ Budiman Hassan, 43, berkata ketika kejadian itu berlaku, kenderaannya berada di belakang lori terbabit yang dibawa perlahan.

“Tiba-Tiba lori berkenaan terbabas dan naik di atas penghadang jalan dan saya nampak ada benda tergolek. Saya bunyikan hon berulang kali supaya lori berkenaan berhenti.

“Bila saya turun, rupanya objek yang saya mulanya sangka terjatuh itu adalah basikal,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Shukri berkata beliau kemudian mendekati mangsa serta memeriksa nadinya dan mendapati nadi wanita itu amat lemah sebelum menghubungi talian kecemasan.

“Ambulans tiba kira-kira 10 minit kemudian dan selepas menjalankan pemeriksaan, pegawai perubatan mengesahkan wanita berkenaan sudah meninggal dunia,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Putrajaya Superintenden S Vijaya Rao ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.

Beliau berkata mayat mangsa yang berusia 34 tahun itu dihantar ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat.

“Kita telah menahan pemandu lori dan lori tersebut untuk siasatan dan kes tersebut disiasat di bawah kesalahan trafik mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

-BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

MPKj sita 11 lori buang sampah secara haram

SHAH ALAM, 29 NOV: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menyita 11 lori terlibat dalam aktiviti pembuangan sampah haram di daerah itu sepanjang bulan ini.

Yang Dipertua Dato’ Zul-kefli@Zulkefli Khalid berkata tindakan dibuat menerusi operasi gempur Unit Alam Sekitar dari Jabatan Perkhidmatan Perbandaran dan Kesihatan MPKj.

“Tiga lori disita di Jalan Kuari Sungai Long, Sungai Serai, Hulu Langat manakala lapan lagi di lain-lain kawasan seluruh MPKj yang tidak dijalankan secara komersial.

“Sebanyak 31 kompaun dikeluarkan atas kesalahan itu mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 4 dan UUK 13(1) Pembuangan, Pemungutan dan Pelupusan Sampah Sarap MPKj 2007,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata jumlah itu berkurang berbanding beberapa bulan sebelum ini berikutan operasi statik di pintu masuk tapak sampah haram.

Menurutnya, pihak berkuasa tempatan itu sentiasa komited membanteras kegiatan pembuangan sampah haram bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat di kawasan berkenaan.

Categories
AGENSI SELANGOR

Polis cari pemandu lori terlibat kes langgar lari di Puchong

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Polis sedang mengesan pemandu lori disyaki terlibat dalam kes langgar lari yang menyebabkan kematian seorang pegawai bomba di Jalan Puchong-Dengkil, Puchong, Selangor, petang tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor Supt Azman Shari’at berkata mangsa Anuar Harun, 42, yang juga Penguasa Kanan Bomba, Ketua Zon Daerah Petaling maut di tempat kejadian selepas skuter ditunggangnya bergesel dengan lori terbabit.

“Mangsa maut akibat cedera parah di kepala dipercayai digilis oleh lori tersebut dalam kejadian yang berlaku di lokasi sebelum jejambat Batu 14 di jalan berkenaan ketika bergerak menghala ke Puchong.

Motosikal (skuter) mangsa jenis Yamaha NVX rosak di bahagian hadapan sisi kanan manakala butiran lori yang melarikan diri ke arah Sunway masih belum diketahui dan masih dalam usaha pengesanan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Azman berkata setakat ini pemandu lori itu belum membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu tampil membantu polis bagi mengesan pemandu terlibat.

-BERNAMA

 

Categories
SELANGOR

Pameran alat ganti lori perluas maklumat jentera berat

OLEH AFIX REDZUAN

SETIA ALAM, 11 NOV: Pameran lori dan alat ganti jentera berat yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia Alam, hari ini boleh dicadangkan menyertai ekspo antarabangsa Selangor, pada masa akan datang.

Exco Pelaburan, Perindustrian & Perdagangan, Industri Kecil & Sederhana (IKS) dan Pengangkutan, Datuk Teng Chang Khim berkata, hal itu kerana industri pengangkutan penting sebagai penyumbang kepada ekonomi negeri.

“Saya berharap perkara ini akan diteruskan dan saya sempat berbincang secara ringkas supaya mereka bekerjasama dengan Kerajaan Negeri.

“Sebelum ini kita menganjurkan konvensyen antarabangsa berkenaan barangan pengguna, mungkin kita boleh masukkan pameran peralatan pengangkutan dalam ekspo akan datang,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, Chang Khim hadir memeriahkan sambutan ulang tahun ke-30 Persatuan Pemilik Lori Semenanjung Malaysia 1987 (PMLOA 1987), di sini.

Beliau yang diiringi Presiden PMLOA, Anthony Tan Boon Siong dan Pengerusi Persekutuan Trak ASEAN, Yoo Chien Yuen Yong Pong meluangkan masa kira-kira sejam melawat hampir 30 gerai pameran yang menampilkan pelbagai peralatan lori dan jentera berat.

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Negeri Sungai Pinang itu berkata, pameran terbabit memberi pelbagai maklumat berkenaan penyelenggaraan lori selain menawarkan harga kompetetif kepada pengguna.

“Ini membuka mata kita berapa banyak jenama lori, tayar dan alat ganti enjin, malah saya juga memperoleh pelbagai maklumat.

“Kebanyakan alat ganti ini dari China dan Thailand yang akan membantu pemilik lori menjaga serta menyelenggara kenderaan mereka dengan tawaran harga kompetetif selain mengurangkan kos operasi,” katanya.

Antara yang mengambil bahagian ialah Petronas Dagangan Berhad, Nippon Paint (M) Sdn Bhd, Shell Malaysia Trading Sdn Bhd, Isuzu Malaysia Sdn Bhd, Puspakom Sdn Bhd, Highclass Technics Sdn Bhd dan Ce Asia Heavy Machinery Sdn Bhd.

Categories
GLOBAL SAINS & INOVASI

UK bakal uji konvoi lori tanpa pemandu

UNITED KINGDOM 26 OGOS: Britain bakal melaksanakan ujian ke atas projek konvoi lori tanpa pemandu di jalan raya utama di negara ini menjelang tahun depan.

Agensi Berita Antarabangsa BBC NEWS melaporkan, Makmal Penyelidikan Pengangkutan (TRL) Britain diberi tanggungjawab melaksanakan ujian itu.

Berdasarkan perancangan dilakukan, konvoi itu bakal melibatkan formasi tiga lori dan pergerakannya termasuk pe­utan dan brek dikawal sebuah kenderaan utama dipandu manual oleh manusia.

TRL akan melaksanakan ujian teknologi pada trek percubaan dan kesemua ujian ini di jangka dilakukan di jalan raya utama menjelang akhir 2018.

Kerajaan merancang projek berkenaan sejak 2014 dan mengumumkan untuk melaksanakan ujian percubaan pada tahun lalu sebelum menangguhkannnya berikutan beberapa usahawan lori Eropah menolak untuk menyertai projek tersebut.

Ujian lori tanpa pemandu sudah dijalankan di beberapa negara lain di seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat (AS), Jerman dan Jepun.

Bagaimanapun, pelaksanaan ujian berkenaan menimbulkan kebimbangan dalam konteks keselamatan.

Presiden Persatuan Permotoran British AA, Edmund King berkata, semua pihak ingin mempromosi kaedah menjimatkan penggunaan petrol dan mengurangkan kesesakan lalu lintas, namun tidak melihat lori tanpa pemandu sebagai jalan penyelesaian terbaik.

“Konvoi lori boleh menyebabkan pemandu lain tidak dapat melihat jalan raya dengan jelas, selain tidak sesuai dilakukan di jalan raya yang sibuk.

“Konvoi itu boleh dilakukan di jalan raya yang lengang dan panjang seperti di Arizona atau Nevada, namun ini bukan AS,” katanya.
SUMBER: AGENSI

Categories
SELANGOR

45 usahawan asnaf terima lori bergerak RM55,000

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 12 MAC: Seramai 45 orang usahawan asnaf fakir dan miskin membabitkan sembilan daerah menerima bantuan lori bergerak bernilai RM55,000 setiap satu dari Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Pemberian itu adalah satu usaha LZS membangunkan asnaf fakir dan miskin yang berpotensi dalam perniagaan bukan hanya dari segi kewangan tetapi turut dibekalkan dengan kursus juga latihan supaya dapat meningkatkan keusahawanan dalam kalangan mereka.

mohd naim bin hamzah48Peniaga, Mohd Naim Hamzah, 48, berkata dia kini mampu menyara keluarga dan keluar dari kepompong kemiskinan dengan bantuan lori bergerak daripada LZS itu.

“Saya bersyukur LZS menyumbang lori bergerak untuk memudahkan saya berniaga dan mengembangkan lagi perniagaan sedia ada.

“Terima kasih kepada LZS dan MAIS kerana memberi peluang kepada saya untuk keluar daripada golongan asnaf,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini

Peniaga makanan, Siti Mariam Mohamat, 44, berkata pelbagai pekerjaan yang dia usahakan untuk menyara enam orang anaknya yang masih bersekolah.

siti mariam by mohammad“Alhamdulillah, saya sangat berterima kasih terutama kepada pembayar zakat dan LZS yang banyak membantu dalam mengubah hidup kami sekeluarga berbanding dahulu.

“Sumbangan lori bergerak ini sangat membantu saya sekeluarga untuk berusaha pergi lebih jauh dalam meningkatkan pendapatan,” katanya.

Katanya, asnaf yang terlibat dapat bergerak lebih jauh untuk melebarkan perniagaan mereka melalui penyerahan bantuan zakat berkenaan.

IMG_6144Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Hussin Mohd Ali berkata, LZS sentiasa usaha melaksana penambahbaikan melalui perbincangan bersama seluruh anggota kerja, selain kerjasama ejen untuk memastikan agihan itu sampai kepada penerima.

“Saya menyeru kepada semua masyarakat untuk memberikan sokongan kepada peniaga usahawan mobil ini supaya terus berkembang dan kekal dalam perniagaan mereka,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Azmin tahan lori buang sampah haram lagi

Oleh: Naeem Raffi

KUALA LANGAT, 10 OKT: Aduan rakyat berhubung jalan rosak di sepanjang dua kilometer dari Kampung Jaya Sepakat menghala ke Bandar Saujana Putra dan Kampung Lombong mendapat perhatian Datuk Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.

Kesempatan Program Turun Padang ke Daerah Kuala Langat hari ini, Azmin tidak melepaskan peluang meninjau sendiri masalah yang berlarutan hampir enam tahun di lokasi tersebut.

MB Azmin lori“Dalam lawatan ini saya memanggil Pengarah JKR dan Pengarah JPS untuk melihat bagaimana kita boleh menaik taraf semula jalan yang rosak ini pada kadar segera,” jelasnya.

Jalan tersebut merupakan laluan utama penduduk kampung dan pengguna dari kawasan Puchong, Saujana Putra dan Klang.

Ia merupakan laluan alternatif yang lebih pendek dan cepat serta menjimatkan kos berbanding menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite).

Selain dihimpit masalah jalan mendap dan berlubang, penduduk juga berdepan dengan masalah pembuangan sampah secara haram ditebing sungai.

Sumber memberitahu, aktiviti itu dilakukan secara agresif oleh pihak tertentu kononnya bertujuan menambak tebing sungai dari terus terhakis.

Kini kawasan tersebut dipenuhi timbunan sampah seperti sisa binaan, tiang konkrit, kanvas dan plastik, bahkan sinki, atap genting termasuk perabot rosak memenuhi tebing sungai tersebut.

“Walaupun lokasi ini diluar kawasan pentadbiran MDKL, kita minta jasa baik mereka untuk meneliti masalah sampah di sini.

“Fokus kita, pastikan jalan ini dapat digunakan semula dan memastikan tebing sungai tidak terhakis untuk memberi keselesaan kepada penduduk menggunakan jalan ini kelak,” jelasnya.

Dalam sesi lawatan tersebut, Azmin sempat menahan beberapa lori yang disyaki ingin membuang sampah di lokasi tersebut.

Manakala sebuah lori sarat dengan muatan sisa binaan ditinggalkan dibahu jalan tanpa pemandu.

Pertemuan dengan beberapa penduduk di situ, Mohamed Azmin menggesa mereka untuk bekerjasama dengan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.

“Saya yakin ini aktiviti sindiket, jadi sebagai penduduk tolong beri kerjasama maklumkan kepada pihak berkuasa agar tindakan sewajarnya dapat diambil.

“Bayangkan, sindiket ini raih keuntangan puluhan ribu tetapi kampung kita yang kotor. Ini tidak betul dan ia patut dibanteras,” katanya.

EZY