Categories
AGENDA NASIONAL

JPJ pantau aktiviti konvoi ganggu lalu lintas, langgar peraturan

IPOH, 31 JAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menempatkan anggotanya di beberapa kawasan percutian terkenal seperti di Cameron Highlands, Genting Highlands serta Port Dickson bagi memantau kenderaan berkonvoi supaya tidak melanggar peraturan dan undang-undang jalan raya.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Aedy Fadly Ramli berkata tindakan pemandu seperti berhenti dan meletakkan kenderaan di lorong kecemasan bukan sahaja membahayakan diri sendiri malah pengguna jalan raya lain, serta mengganggu kelancaran trafik.

“Apabila cuti perayaan atau persekolahan, banyak kenderaan berkonvoi ke tempat percutian seperti di kawasan tanah tinggi, kawasan pantai atau di negeri utara.

“Berkonvoi itu tidak salah tetapi apabila mereka berhenti beramai-ramai di tempat yang tidak dibenarkan seperti mahu mengambil gambar sebab ia bukan sahaja satu kesalahan malah mengundang bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Op Tahun Baharu Cina (TBC) 2022 Peringkat Negeri Perak yang turut dihadiri Pengarah JPJ Perak Mohammad Yusoff Abustan di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini hari ini.

Baru-baru ini, sekumpulan individu dipercayai ahli sebuah kelab kereta menerusi akaun mereka di Facebook memuat naik beberapa gambar menunjukkan deretan kenderaan dipercayai milik ahli kelab berhenti di lorong kecemasan kedua-dua arah di Lebuhraya Temiang-Pantai di Seremban untuk mengambil gambar yang didakwa merupakan sebahagian daripada aktiviti lepak santai mereka.

Dalam perkembangan lain, Aedy Fadly berkata sebanyak 1,329 notis dan saman dikeluarkan JPJ Perak atas pelbagai kesalahan jalan raya sepanjang operasi bersepadu TBC bermula 25 Jan lepas sehingga hari ini.

Menurutnya ia adalah hasil pemeriksaan yang dijalankan terhadap 3,680 kenderaan sepanjang tempoh berkenaan di seluruh negeri ini.

“Menerusi operasi tersebut, seramai enam individu didapati memandu di bawah pengaruh dadah hasil ujian air kencing yang dilakukan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan yang turut menyertai operasi ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata seramai 162 anggota penguat kuasa JPJ Perak ditugaskan sepanjang operasi TBC tahun ini dengan tumpuan penguatkuasaan termasuk memastikan kelancaran perjalanan pengguna jalan raya.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengguna diminta tidak solat di lorong kecemasan lebuh raya

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Pengguna Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dinasihat agar tidak menunaikan solat di lorong kecemasan lebuh raya itu atas faktor keselamatan.

Menurut kenyataan media pemegang konsesi KLK dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), Anih Berhad memaklumkan tindakan itu dikhuatiri boleh menyebabkan penunggang motosikal atau kenderaan lain yang mungkin tidak menyedari kehadiran individu di lorong kecemasan tersebut.

“Kami amat menghargai kesabaran pengguna Lebuhraya KLK dan juga ketaatan umat Islam menunaikan ibadah solat ketika dalam perjalanan ke Pantai Timur pada setiap kali musim perayaan dan cuti umum.

Namun, kami sebagai pengendali Lebuhraya KLK juga ingin memohon kesabaran dan penelitian wajar daripada pengguna jalan raya agar tidak menunaikan ibadah solat di atas jalan raya iaitu di lorong kecemasan atas faktor keselamatan,” menurut kenyataan itu.

Baru-baru ini, tular di media sosial foto yang menunjukkan pengguna lebuh raya menunaikan solat Subuh di lorong kecemasan di Lebuhraya KLK akibat kesesakan lalu lintas untuk pulang ke kampung halaman bagi sambutan Hari Raya Aidiladha.

Sementara itu, Anih Berhad berharap pengguna lebuh raya dapat merancang perjalanan dan persinggahan untuk bersolat atau berhenti rehat di hentian rehat dan rawat sepanjang LPT1 dan LKL ketika pulang ke Lembah Klang.

“(Tindakan itu sebagai langkah persediaan dalam) menjangkakan peningkatan jumlah kenderaan mendadak dan kesesakan yang bakal ditempuhi kelak,” menurutnya.

-BERNAMA