Categories
AGENDA NASIONAL

Jawatankuasa pemulihan tangani projek rumah terbengkalai

SHAH ALAM, 27 OGOS:  Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif untuk menangani isu 111 projek terbengkalai melibatkan 15,010 unit rumah yang belum mempunyai kontraktor atau pemaju penyelamat.

EXCO Perumahan berkata projek itu dipantau Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai di bawah Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor dan Jawatankuasa Kecil Pemulihan  Projek Terbengkalai Pihak Berkuasa Tempatan.

“Kerajaan Negeri bertindak sebagai fasilitator dalam usaha memulih atau menyelesaikan isu projek terbengkalai walaupun bidang kuasa pihaknya terhad.

“Antara tindakan yang diambil adalah mengadakan rundingan dengan pembeli rumah, pemilik tanah, tuan tanah, pemaju asal, Jabatan Insolvensi secara berkala bertujuan mencari kaedah penyelesaian terbaik.

“Perbincangan dengan semua jabatan teknikal juga diambil bagi mempercepatkan pemulihan projek dengan mengenakan syarat minima serta kos tambahan kecil tanpa mengabaikan isu keselamatan,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan wakil rakyat Kuala Kubu Baharu, Lee Kee Hiong mengenai isu projek perumahan terbengkalai.

Rodziah dalam pada itu memaklumkan daripada 111 projek bermasalah, daerah Klang merekod 39 projek membabitkan 4,392 unit.

“Daerah Petaling pula lima projek membabitkan 299 unit, Gombak pula 11 projek (3,066 unit), Hulu Langat 13 projek (3,303 unit) dan Sepang sembilan projek (256 unit).

“Kuala Langat pula sebanyak 20 projek (752 unit), Kuala Selangor empat (140 unit), Hulu Selangor sembilan (2,772) dan Sabak Bernam satu (30 unit),” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Ribuan pemandu bas, teksi terima bantuan makanan LPHS

SHAH ALAM, 5 MAC: Seramai 7,919 pemandu bas dan teksi di negeri ini akan menerima sumbangan makanan daripada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

Pengarah eksekutifnya berkata turut dibantu penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) seliaan Kerajaan Negeri membabitkan 2,635 unit dan 3,004 unit PPR Lembah Subang 1.

Dato’ TPr Dr Juhari Ahmad menjelaskan sebanyak RM1 juta diperuntuk bagi menjayakan program Bingkisan Mesra Selangor LPHS mulai Februari hingga Julai.

“Penerima mendapat bantuan sekitar RM50 hingga RM100, ada juga dalam bentuk kupon bernilai RM50 untuk dibelanjakan di pasar raya 99 Speedmart,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata pelaksanaan program melalui Pakej Kita Selangor bagi meringankan beban golongan yang terkesan susulan Perintah Kawalan Pergerakan.

Pada 18 Februari, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan sebanyak RM4.35 juta diperuntuk untuk menjayakan program Bakul Makanan kepada penduduk terjejas.

 

Categories
EXCO SELANGOR

PBT diminta bantu pesuruhjaya bangunan atasi isu berbangkit bawah JMB

SHAH ALAM, 23 DIS: Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memberi keutamaan kepada pesuruhjaya bangunan (COB) untuk menyelesaikan isu berbangkit di bawah badan pengurusan bersama (JMB).

EXCO perumahan berkata pelbagai isu timbul tidak dapat diuruskan dengan baik memerlukan pembabitan COB yang mahu Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor(LPHS) menekan PBT supaya meletakkan perkara itu di bawahnya untuk senarai semak utama.

“Jadi COB menjadi perkara pertama untuk saya selesai tahun hadapan. Kita akan lihat masalah berbangkit dalam JMB dan bagaimana untuk tangani supaya tidak timbul isu tuding-menuding antara satu sama lain,” kata Rodziah Ismail pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Perumahan Selangor Bilangan 2/2020 di Hotel De’Palma di sini semalam.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya berdepan isu membabitkan perumahan yang bertukar daripada kediaman kepada hotel suite dan kondominium hotel (Kondotel).

“Ini antara perkara baharu sejak dua tahun kebelakangan ini kerana ada pihak pada asalnya memohon bina hotel tetapi berubah dan begitu juga unit apartment yang dipromosikan sebagai Airbnb.

“Justeru, kita berasakan perlu ada jalan penyelesaian dengan mewujudkan dasar baharu untuk isu seperti ini,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pinda syarat Rumah Selangorku, lagi 30,000 unit bakal dibina

Pindaan syarat Rumah Selangorku jenis A, B, C dan D kepada jenis E dijangka menambahkan kerancakan pembinaan unit rumah berkenaan.

Insentif dalam Belanjawan Selangor 2021 bakal menambah 30,000 unit Rumah Selangorku dan menjadikan jumlah keseluruhan 60,000 unit dalam tempoh tiga tahun.

Kemudahan itu juga dijangka menarik minat pemaju untuk mempercepat pembinaan Rumah Selangorku Idaman dan Harapan yang berkeluasan 1,000 kaki persegi pada harga maksimum RM250,000 seunit.

Kelengkapan asasnya pula meliputi kabinet dapur, penghawa dingin dan almari baju di semua bilik serta pemanas air (semua bilik mandi). Ia lebih memberi keselesaan kepada pembeli berbanding jenis A dan B yang cuma dilengkapi kipas, lampu dan pintu jeriji.

Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) Dato’ Dr Juhari Ahmad berkata permohonan dibuka untuk dua tahun sehingga 31 Disember 2022. Pemaju perlu membina unit Rumah Selangorku dalam tempoh tersebut.

“Pemaju disyaratkan memperuntuk 15 hingga 30 peratus daripada kehilangan/pindaan Rumah Selangorku jenis A dan B kepada LPHS secara percuma sebagai kontra atas pengecualian pindaan itu,” katanya.

Semua permohonan akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Induk Rumah Selangorku untuk dibincang sebelum diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Pembinaan Rumah Selangorku menjadi keutamaan Kerajaan Negeri bagi memastikan rakyat negeri ini berpeluang memiliki kediaman sendiri. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Jenis pindaan

Bagi menggalakkan pemaju yang komited membina Rumah Selangorku, LPHS membenarkan mereka memohon pindaan dari satu jenis ke satu jenis Rumah Selangorku.

Contohnya, kelulusan asal bagi membina 100 unit Rumah Selangorku jenis A boleh dipinda kepada 100 unit rumah jenis C. Jawatankuasa Induk Rumah Selangorku boleh memberi pertimbangan terhadap syor itu.

Namun, pemaju perlu membayar 10 hingga 20 peratus daripada nilai perbezaan sebagai sumbangan kepada Kerajaan Negeri yang disalur semula ke program berkaitan perumahan.

Rumah Selangorku diperkenal pada 2014 iaitu rumah mampu milik untuk golongan isi rumah berpendapatan rendah, sederhana rendah dan sederhana yang menggantikan dasar Rumah Kos Rendah (RKR).

Penjenamaan semula Rumah Selangorku pada 2015 dilihat memberi keselesaan kepada pembeli daripada segi saiz, reka bentuk atau komunitinya berdasarkan kemampuan isi rumah pada harga RM42,000 sehingga RM250,000 seunit.

Rumah Selangorku dijenamakan lagi pada 2018. Ia perlu dibina mengikut spesifikasi lebih terperinci bagi memastikan harganya terkawal iaitu bawah RM250,000.

Ada lima kategori kelayakan berdasarkan pendapatan isi rumah pemohon iaitu maksimum RM3,000 sebulan bagi jenis A manakala maksimum hingga RM10,000 untuk jenis B, C, D, E.

Kriteria kelayakan:

  • Jenis A: Maksimum pendapatan isi rumah RM3,000 sebulan
  • Jenis lain: Pendapatan bulanan bawah RM10,000 sebulan
Categories
AGENDA EXCO NASIONAL SELANGOR

Giat usaha bantu penduduk luar bandar miliki rumah – EXCO

SHAH ALAM, 10 NOV: Kerajaan Negeri menerusi Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) menggiatkan usaha membantu penduduk luar bandar memiliki kediaman sendiri.

EXCO perumahan berkata antara yang dilaksanakan termasuk memaklumkan pejabat Ahli Dewan Negeri (ADN) berhubung unit Rumah Selangorku yang belum terjual.

Rodziah Ismail berkata langkah itu membolehkan wakil rakyat memanjangkan maklumat tersebut kepada penduduk setempat seterusnya membolehkan mereka membeli rumah berkenaan.

“Antara usaha lain ialah mengadakan program penawaran Rumah Selangorku secara terbuka berdasarkan merit bagi mempercepatkan urusan pembelian rumah.

“Pada masa sama, promosi menerusi media cetak dan elektronik juga sedang digiatkan,” katanya ketika menjawab soalan lisan ADN Sijangkang, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Menerusi Belanjawan Selangor 2021, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan sebanyak RM20 juta bagi Program Skim Smart Sewa menggunakan dana Tabung Amanah Pengecualian Syarat Kuota Bumiputera.

Insentif lain ialah pengenalan Smart Sewa to Ownership (2STAY) untuk membantu golongan B40 dan individu sukar mendapatkan pembiayaan untuk memiliki rumah pertama.

Program 2STAY itu membabitkan Rumah Selangorku diperoleh daripada unit kontra percuma di bawah Program Rumah Selangorku Idaman dan Rumah Selangorku Harapan.

Categories
SELANGOR

LPHS bendung kegiatan sewa Rumah Selangorku

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 JAN: Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) akan berbincang dengan Pesuruhjaya Bangunan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengkaji kaedah dalaman (house rules) bagi membendung kegiatan penyewaan Rumah SelangorKu.

Pengarah Eksekutifnya, Sr Nazmi Osman berkata, ia selaras dengan fungsi Badan Pengurusan Bersama di bawah Seksyen 3 (4) Jadual 3 peraturanpengurusan strata (penyelenggaraan dan pengurusan) 2015 supaya pemantauan serta penyeliaan dibuat bagi memastikan mana-mana harta bersama di tahap keselamatan dan kesihatan pemilik atau penghuni.

Katanya, LPHS juga akan mengeluarkan notis kepada pemilik rumah yang bertindak menyewakan unit mereka kepada pihak ketiga atau warga asing.

“LPHS memandang serius perkara ini dan akan mengambil beberapa tindakan antaranya mengeluarkan notis kepada pemilik unit.

“Selain itu, LPHS akan memaklumkan kepada PBT untuk mengambil tindakan penguatkuasaan di bawah garis panduan perumahan (kapasiti isi rumah) dan garis panduan asrama,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Nazmi berkata, LPHS dan Unit Pesuruhajaya Bangunan Majlis Perbandaran Klang memohon justifikasi daripada pemaju berhubung caj penyelenggaraan yang dikenakan.

Justeru, katanya, sebanyak 22 peratus kadar caj diturunkan pemaju semasa penyerahan pemilikan kosong diserahkan kepada pembeli.

Terdahulu, penduduk Pangsapuri Azaria tidak berpuas hati terhadap sesetengah pemilik yang bertindakan menyewakan unit Rumah Selangorku kepada pihak ketiga dan warga asing untuk dijadikan asrama pekerja.

Categories
SELANGOR

80 pemaju disenarai hitam laksana pembangunan di Selangor

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 DIS: Sebanyak 80 pemaju disenarai hitam Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) daripada menjalankan pembangunan, di negeri ini.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, pemaju bermasalah berkenaan tidak lagi dibenarkan mendaftar pembangunan pemajuan mereka melalui Sistem Pendaftaran Pemaju (SPEM).

Katanya, ia sebagai langkah awal bagi memastikan pemaju tidak melaksanakan sebarang pembangunan, di Selangor.

“LPHS pernah menyenaraihitam dan mengedarkan nama Ahli Pengarah pemaju yang bermasalah kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan melalui carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

“Senarai hitam ini bertukar-tukar sehingga sekarang dan Kerajaan Negeri tidak mempunyai halangan jika ia dipamerkan dalam laman sesawang LPHS,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Kuala Kubu Bahru, Lee Kee Hiong, pada sidang Dewan Negeri Selangor, di sini.

Pada masa sama, Haniza berkata, SPEM dikuat kuasa bermula pada 2007 dan sehingga November tahun ini, jumlah pemaju perumahan berdaftar di LPHS adalah 1,426 membabitkan 2,495 projek.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

JMB/MC perlu berintegriti urus sumber kewangan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 JUL: Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) perlu berintegriti dalam mengendalikan sumber kewangan bagi melancarkan pengurusan sesebuah pemajuan berstrata.

Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, hal itu kerana sumber kewangan adalah nadi bagi memastikan ianya tidak menjejaskan operasi, penyelenggaraan fasiliti dan bangunan.

“Ilmu pengurusan kewangan membabitkan pelbagai aspek dan situasi antaranya integriti. Amanah ini ditakrifkan sebagai berintegriti, akauntabiliti dan Kebolehpercayaan.

“Pihak ini perlu diberi kefahaman dan kekuatan ilmu supaya mereka boleh melaksanakan tugas sekali gus, mengurangkan permasalahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Seminar Pengurusan JMB/MC Selangor Siri 1/2018, di Dewan Jubli Perak, SUK, di sini.

Haniza berkata, selain itu, pihak JMB/MC juga perlu adil dalam menyalurkan perbelanjaan supaya tidak menimbulkan perselisihan faham antara pengurusan dan penduduk.

“Ada kes JMB/MC banyak kumpul duit, namun tidak digunakan untuk perkara memanfaatkan pemilik. Ini menimbulkan pergaduhan dan menyebabkan pemilik tidak mahu lagi membayar caj bulanan semasa.

“Selain itu, pihak pengurusan juga perlu memahami aspek merancang perbelanjaan dan aspek teknikal serta pelaksanaan yang perlu dipelajari,” katanya.

Pada masa sama, Haniza turut mahu aspek pendidikan komuniti tidak diabaikan semua pihak.

Katanya, semua pihak perlu memberikan kesedaran secara berterusan kepada pemilik berstrata supaya mereka mendisiplinkan dan menjelaskan bayaran.

“Kerajaan Negeri menyediakan platform kepada semua JMB/MC supaya mereka berkongsi pengalaman.

“Tidak semua gagal dalam melaksanakan kutipan tetapi boleh diikuti dan mempelajari sesama mereka yang mendapat kutipan melebihi 60 peratus,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

LPHS beri kesedaran bentuk komuniti strata bersih, ceria dan harmoni

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 JUL: Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) komited memberi kesedaran kepada Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) dalam memangkin pembentukan komuniti pemajuan strata.

Pengarah Eksekutifnya, Sr Nazmi Osman berkata, kepentingan mempunyai sumber kewangan stabil supaya nilai hartanah meningkat penting memastikan komuniti bersih, ceria dan harmoni.

Katanya, LPHS dengan kerjasama Pesuruhjaya Bangunan (COB) di semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan mengadakan beberapa siri seminar yang memfokuskan kepada pendidikan pengurusan kewangan optimum.

“Terdapat sejumlah 6,172 kawasan pemajuan strata membabitkan 655,547 unit petak di Selangor.

“Manakala, 1,346 kawasan pangsapuri kos rendah terdiri daripada 219,806 petak.

“Ini memberi gambaran permasalahan pengurusan pemajuan strata yang sering dipaparkan media, sekiranya tidak ditangani secara cekap, ia akan menjadi isu negeri dan nasional yang sangat serius.

“Oleh itu, LPHS secara agresifnya tahun ini terbabit dengan lebih mendalam dengan menyediakan kursus atau seminar pengurusan strata pelbagai topik,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Seminar Pengurusan JMB/MC Selangor Siri 1/2018, di Dewan Jubli Perak, SUK, di sini.

Nazmi berkata, tiga kompenan utama dalam pengurusan kewangan yang perlu diberi penekanan utama antaranya pengurusan caj kutipan bulanan yang efektif, pelaksanaan perbelanjaan berimbang dengan hasil kutipan dan mengawal gejala vandalisme.

Katanya, kompenan utama itu perlu bagi memastikan JMB/MC mempunyai sumber kewangan mencukupi supaya dapat mengurus akan pangsapuri dengan baik.

“Sehubungan itu, LPHS turut membuat pemantauan secara berterusan dan berkala ke atas JMB/MC supaya matlamat ini akan tercapai,” katanya.

Dalam seminar itu, kira-kira 300 menghadiri seminar berkenaan yang bertujuan memberi pendedahan dalam menggunapakai tatacara kerja kewangan.

Seminar itu juga dijadikan sebagai platform dalam membincang dan menyelaras isu kewangan semasa, permasalahan yang wujud serta tindakan penyeragaman atau cadangan penambahbaikan berdasarkan perundangan Akta 757.

Categories
SELANGOR

LPHS komited laksana penubuhan Badan Pengurusan Bersama

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 20 MAC: Dalam usaha membantu menyelesaikan masalah dihadapi komuniti berstrata, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) komited mempergiatkan penubuhan Badan Pengurusan Bersama bagi setiap pemajuan rumah bertingkat.

Pengarah Eksekutifnya, Norzaton Aini Kassim berkata, pendekatan itu dijalankan secara kerap kerana yakin dengan tadbir urus yang baik akan melahirkan masyarakat harmoni dan mewujudkan kehidupan selesa.

Katanya, LPHS dengan kerjasama Bahagian Pesuruhjaya Bangunan (COB) di setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga akan merancang pelbagai program rangsangan pembangunan komuniti.

“Ia dilaksanakan bagi tujuan membentuk masyarakat berdaya saing dan harmoni melalui pemilikan perumahan selesa.

“Malah pelaksanaan itu meliputi pengurusan fizikal, pengurusan komuniti dan pengurusan kepimpinan bagi membincangkan agenda memperkasa kehidupan masyarakat di rumah bertingkat.

“Pada masa sama, kita ingin menggalakkan perpaduan dan menanam sifat kendiri melalui inisiatif yang disusun atur,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri Selangor, di Auditorium Dewan Jubli Perak, di sini, semalam.

Menyedari hakikat itu kata Norzaton, LPHS menggariskan beberapa Key Performance Indicator (KPI) bagi program utama merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri memacu pembangunan negeri.

“Kita menerapkan aspek kerohanian, kemanusiaan, dan amalan tadbir urus yang baik bagi menjamin keadilan sosial untuk segenap lapisan masyarakat.

“Selain itu, elemen anjakan paradigma untuk membangunkan smart people turut ditekankan ke arah mendukung visi Kerajaan Negeri mewujudkan Smart Selangor,” katanya.

Terdahulu, beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak atas sokongan dan kerjasama sepanjang penubuhan 15 tahun LPHS.

Beliau berharap kerjasama erat itu tetap diteruskan supaya dapat menyumbang kepada pembangunan perumahan dan hartanah di Selangor.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Pameran Hartanah Selangor: 3,000 mohon Rumah SelangorKu

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 20 NOV: Kira-kira 3,000 permohonan diterima bagi pemilikan rumah mampu milik, Rumah SelangorKu sepanjang tempoh tiga hari Pameran Hartanah Selangor 2017.

Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), Norzaton Aini Mohd Kassim berkata, permohonan itu termasuk 33 pemohon yang berjaya mendapat surat tawaran rumah SelangorKu dalam pameran terbabit.

“Kita meletakkan syarat sama kepada semua pemohon ini iaitu mereka yang tidak pernah memiliki rumah, dapat mengemukakan dokumen sokongan lengkap serta bergantung kepada kekosongan unit dipohon.

“Dari senarai permohonan ini, kita juga akan semak dan lihat dahulu sama ada mereka layak atau tidak untuk membeli Rumah SelangorKu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup pameran tersebut di Setia City Mall, di sini.

Norzaton berkata, pameran berlangsung dari 17 hingga 19 November itu melibatkan sebanyak 16 pemaju perumahan.

“Menerusi pameran ini, pemohon boleh membuat permohonan terus atau pun secara dalam talian di mana kita bersedia membantu memberikan maklumat lanjut mengenai permohonan mereka.

“Diharapkan menerusi pameran ini kita berjaya mempromosikan Rumah SelangorKu kepada rakyat di mana pada 2020 nanti, kira-kira 21,000 rumah akan siap untuk diduduki.

Katanya, sejak dilancarkan pada 2014 lalu, sebanyak 145,000 pemohonan diterima bagi pemilikan Rumah SelangorKu setakat ini dengan 40 peratus daripadanya terdiri daripada golongan belia.

“Daripada jumlah permohonan itu, sebanyak 19,000 lebih berjaya mendapat tawaran rumah Selangorku,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih RM110 juta bangunkan fizikal pangsapuri

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 4 OKT: Lebih RM110 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi menjayakan program pembangunan fizikal bagi pangsapuri di seluruh Selangor, sejak 2012.

Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor, Norzaton Aini berkata, ia termasuk RM88.9 juta diberikan menerusi Skim Baik Pulih Negeri Berkebajikan (Caring Government For Residents Improvement Aid-Ceria) dengan 248 projek.

Katanya, sejumlah RM30 juta pula diperuntuk bagi Program Smart Life (Smart Lift Improvement for Quality Life), bagi tahun ini.

“Menerusi Smart Life, setakat ini, kita meluluskan perbelanjaan untuk membaik pulih 112 unit lif di 24 pangsapuri.

Kerja Kosong Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS)“Selain itu, kita juga membuat bayaran fee kepada firma kompeten bagi kontrak penyenggaraan lif komprehensif di 88 unit lif di 21 pangsapuri,” katanya.

Skim Ceria merupakan skim perkongsian kos antara penghuni pangsapuri kos rendah dengan Kerajaan Negeri dalam usaha menceriakan kawasan persekitaran pangsapuri.

Menerusi Ceria, Kerajaan Negeri membiayai 80 peratus kos kerja dan selebihnya ditanggung penduduk.

Ia bertujuan menyemai rasa kepunyaan kepada setiap penduduk dalam menjaga dan menjamin harta bersama bagi tempoh masa panjang.

Smart Life diperkenal bagi menyediakan kemudahan lif berkualiti kepada pangsapuri kos rendah.

=EZY=