Categories
AGENDA NASIONAL

Tiga LRA mula operasi, bekalan air di 11 kawasan pulih sepenuhnya

SHAH ALAM, 20 DIS: Tiga Loji Rawatan Air (LRA) yang terpaksa dihenti tugas susulan banjir memulakan operasi selain 11 kawasan menerima bekalan air sepenuhnya setakat jam 4 petang tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata bekalan air melibatkan LRA Semenyih 2 diagihkan secara berperingkat dan dijangka pulih sepenuhnya jam 10 malam ini.

“Bagi LRA Sungai Langat dan LRA Langat 2, operasi dimulakan sepenuhnya dan bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada jam 11 malam hari Rabu.

“Jangkaan untuk LRA Cheras Batu 11 beroperasi sepenuhnya masih belum dapat dipastikan buat masa ini,” katanya menerusi Facebook.

Tambah Air Selangor, pengguna boleh mendapatkan senarai kawasan terlibat menerusi laman sesawang https://hentitugas.airselangor.com/ dan aplikasi Air Selangor.

Peningkatan paras sungai akibat banjir di Selangor kelmarin menyebabkan LRA Semenyih 2, Sungai Langat, Langat 2 dan Cheras Batu 11 terpaksa dihenti tugas.

Susulan itu, sebanyak 472 kawasan di Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerja naik taraf loji rawatan siap, air disalur berperingkat mulai 5 petang

KUALA LUMPUR, 14 OKT:  Kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) telah siap dilaksanakan 5 pagi tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri dalam kenyataan memaklumkan, setakat 6 pagi sistem rawatan air di LRA SSP1 telah distabilkan dan bekalan air telah mula disalurkan ke sistem agihan bekalan air.

“Bekalan kepada para pengguna akan mula disalurkan secara berperingkat-peringkat pada jam 5 petang ini,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas, berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

Penduduk di 998 kawasan sekitar Lembah Klang mula mengalami gangguan bekalan air bermula semalam berikutan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan berkenaan, dengan daerah terlibat antaranya Wilayah Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Elina berkata Air Selangor terus menggerakkan bantuan air alternatif melalui lori-lori tangki ke premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis, Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) dan pusat pemberian vaksin (PPV) serta untuk upacara pengebumian.

Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau mengajukan sebarang pertanyaan dan aduan di Pusat Bantuan di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Air tercemar kolam kilang haram disedut elak henti tugas loji

HULU LANGAT, 14 FEB: Kerajaan Negeri sedang menjalankan kerja menyedut air tercemar dari kolam takungan sebuah kilang haram di Jalan Sungai Lalang bagi mengelakkan henti tugas loji rawatan air (LRA).

EXCO alam sekitar berkata tindakan itu dilaksanakan segera Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) susulan jaraknya dengan Sungai Semenyih sejauh 2.3 kilometer (km) dan jarak ke muka sauk Jenderam Hilir ialah 22 km.

Hee Loy Sian berkata MPKj mengesan limpahan air berwarna hitam di longkang Taman Semenyih Permata pada 11 Februari lalu dan siasatan awal mendapati limpahan itu berpunca dari kilang memproses sisa besi secara haram untuk dijadikan logam.

“Disebabkan itu, kita sudahpun menyita kilang terbabit dan pemilik premis boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

EXCO Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian melihat sampel yang di ambil anggota Jabatan Alam Sekitar (JAS) ketika meninjau sebuah kilang memproses sisa besi secara haram di Jalan Sungai Lalang, Semenyih pada 14 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Selaras dengan Seksyen 79 Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (Luas), (Pindaan) 2020, pencemar sumber air boleh disabit kesalahan dengan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun dan denda tidak kurang RM200,000 dan tidak lebih RM1 juta,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Loy Sian sebelum itu meninjau kilang yang dibina secara haram di Jalan Sungai Lalang bersama Pemangku Pengarah Luas, Haslinah Amer.

Turut hadir anggota MPKj, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) dan Jabatan Alam Sekitar (Jas).

Mengulas lanjut, Loy Sian berkata siasatan di tapak lokasi juga mendapati berlakunya peleburan sisa besi sehingga menghasilkan serbuk karbon kehitaman dan kemudian dibuang ke kolam berhampiran.

EXCO Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian meninjau kolam takungan air yang didapati tercemar dengan sisa besi ketika melawat kilang tersebut di Jalan Sungai Lalang, Semenyih pada 14 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Buat masa ini sampel dari kolam berkenaan sudah dihantar ke Jabatan Kimia, selepas keputusan diperoleh baru kita akan putuskan cara untuk melupuskan sisa-sisa dari kolam
berkenaan.

“Diseru orang ramai untuk laporkan aktiviti mencurigakan yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air agar insiden pencemaran dapat dielakkan,” katanya.

Semalam media melaporkan ada pihak tidak bertanggungjawab menjadikan kawasan hutan di Jalan Sungai Lalang berhampiran kawasan perundustrian Hi-Tech 6, Semenyih sebagai tapak pemprosesan timah.

Bagaimanapun taktik itu berjaya dikesan setelah MPKj mengesan terdapat kesan pencemaran di longkang berdekatan taman perumahan di situ.

Tindakan segera pihak berkuasa itu berjaya mengelakkan henti tugas di LRA seterusnya berpotensi berlakunya gangguan bekalan air.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Air Selangor rancang bina LRA baharu di hilir Sungai Klang

SHAH ALAM, 13 FEB: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) merancang untuk membina loji rawatan air (LRA) baharu di hilir Sungai Klang.

Agensi memaklumkan pembinaan loji berkenaan bakal menyalurkan bekalan air tambahan kepada pengguna pada masa akan datang.

“Abstraksi air dari Sungai Klang sebenarnya bertujuan untuk mengoptimumkan penggunaan sumber air mentah di hilir sungai tanpa dibazirkan masuk ke laut.

“Ia selari dengan trend terkini operator air global yang turut mengabstrak air mentah di hiliran sungai dan kemudiannya dirawat secara biologikal di kolam takungan sebelum dirawat di LRA berdekatan,” katanya di Facebook.

Kenyataan itu dibuat susulan ramai pengikut media sosial meragui kualiti air Sungai Klang untuk dijadikan sumber air baharu pada masa akan datang.

Sementara itu, jurucakap Air Selangor ketika dihubungi memaklumkan perkembangan lanjut berkaitan perkara tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat.

Gambar menunjukkan aliran air Sungai Langat yang melalui kolam takungan sebelum diabstrak di LRA. Foto Facebook Air Selangor.
Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Sungai Langat hampir tercemar, tindakan pantas halang LRA dihenti tugas

KAJANG, 3 FEB: Tindakan pantas agensi penguatkuasa serta pihak berkuasa tempatan (PBT) berjaya mengekang henti tugas loji rawatan air (LRA) susulan penemuan 19 tong berisi 165 liter cecair kimia di tanah rizab sungai di Jalan Reko, dekat sini, kira-kira 10 meter dari Sungai Langat, semalam.

EXCO alam sekitar berkata cecair seakan bahan pelarut dan penipis cat ditemui kakitangan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) selepas menerima aduan orang awam terletak 13 kilometer (km) dari Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih 2 dan 24 km dari LRA Bukit Tampoi.

“Siasatan dilakukan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) di lokasi mendapati tumpahan cecair terbabit tidak mengalir masuk ke laluan Sungai Langat.

Pengambilan sampel dilakukan petugas Jabatan Alam Sekitar (JAS) di kawasan pembuangan bahan kimia di rizab Sungai Langat yang terletak di Taman Seri Reko, Kajang pada 3 Februari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Susulan tindakan pantas yang diambil berjaya mengelakkan berlakunya henti tugas LRA. Bahan itu sepatutnya dilupuskan di kawasan ditetapkan selaras Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” kata Hee Loy Sian pada sidang media selepas meninjau lokasi berkenaan.

Menurutnya, pihak yang membuang cecair terbabit sudah dikenal pasti namun siasatan lanjut dijalankan sebelum tindakan diambil.

“Jika bersalah hukuman berat akan dikenakan mengikut Enakmen LUAS (Pindaan) 2020, sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih tiga tahun dan denda tidak kurang RM200,000 dan tidak lebih RM2 juta.

“Pemberi maklumat akan diberikan ganjaran RM20,000 sekiranya pelaku ditahan dan dijatuhkan hukuman kerana mencemarkan sungai,” katanya.

 

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

50 peratus kawasan terjejas terima bekalan air

SHAH ALAM, 8 DIS: Sebanyak 50 peratus daripada 861 kawasan terjejas menerima bekalan air sehingga jam 6 petang tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata kawasan berdekatan dengan loji rawatan air (LRA) di Kuala Selangor menerima bekalan sebanyak 94 peratus.

“Bekalan air di Kuala Lumpur pula pulih 75 peratus, Petaling (67 peratus), Gombak (42 peratus) dan Klang/Shah Alam (21 peratus).

“Kawasan Hulu Selangor dan Kuala Langat pula masih belum menerima bekalan air,” katanya dalam kenyataan.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang http://www.airselangor.com atau aplikasi Air Selangor. Mereka juga boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi syarikat itu di media sosial Facebook, Instagram dan Twitter.

LRA Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas akibat pencemaran Sungai Selangor mulai tengah malam tadi. Namun dalam tempoh lima jam, semua loji ini berjaya beroperasi semula selewat-lewatnya jam 5 pagi tadi.

Kawasan-kawasan yang menerima air berperingkat selepas bekalan distabilkan seperti dimuatkan di Facebook syarikat berkenaan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih 60 peratus bekalan pulih di KL, keseluruhan 242 kawasan terima air

SHAH ALAM, 8 DIS: Sebanyak 62 peratus daripada keseluruhan 247 kawasan di Kuala Lumpur sudah menerima bekalan air sehingga jam 3.30 petang hari ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata kawasan berdekatan dengan LRA melibatkan kawasan di Kuala Selangor sudah menerima bekalan sebanyak 94 peratus.

Agensi itu berkata sebanyak 28 peratus melibatkan 242 kawasan daripada jumlah keseluruhan 861 kawasan terjejas menerima bekalan air sepenuhnya.

“Pengguna yang menerima bekalan air dinasihatkan untuk menggunakan air secara berhemat bagi memastikan pelan pemulihan bekalan air berjalan lancar seperti yang dijadualkan,” katanya dalam kenyataan.

Air Selangor berkata sebanyak 30 peratus kawasan di Petaling pulih manakala di kawasan Shah Alam/Klang sebanyak 12 peratus, Gombak (7 peratus).

Sementara itu 23 kawasan di Hulu Selangor dan 10 kawasan di Kuala Langat masih belum menerima bekalan.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang http://www.airselangor.com atau aplikasi Air Selangor. Mereka juga boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi syarikat itu di media sosial Facebook, Instagram dan Twitter.

LRA Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas akibat pencemaran Sungai Selangor mulai tengah malam tadi. Namun dalam tempoh lima jam, semua loji ini berjaya beroperasi semula selewat-lewatnya jam 5 pagi tadi.

Kawasan-kawasan yang menerima air berperingkat selepas bekalan distabilkan seperti dimuatkan di Facebook syarikat berkenaan.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Lebih 60 peratus cemar sumber air dikawal, elak henti tugas LRA

SHAH ALAM, 26 NOV: Lebih 60 peratus kes pencemaran sumber air berjaya dikawal agensi Kerajaan Negeri bermula Januari hingga 30 Oktober lalu.

EXCO infrastruktur dan kemudahan awam berkata bagi tempoh berkenaan, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berjaya mengesan 20 kes pencemaran.

Ir Izham Hashim menjelaskan, daripada jumlah itu, 13 kes pencemaran dapat ditangani lebih awal sekali gus berjaya mengelakkan loji rawatan air (LRA) di henti tugas, sementara tujuh lagi tidak berjaya.

“Antara jenis-jenis pencemaran yang dikesan ialah sembilan kes akibat tumpahan minyak, tujuh kerana pencemaran bau, tiga babitkan efluen industri dan akualkultur dan satu kes kerana kekeruhan.

“Bagaimanapun sebenarnya, baru-baru ini Luas berjaya mengawal beberapa pencemaran serta mengelakkan henti tugas LRA termasuk semalam di Bandar Bukit Mahkota,” kata Ir Izham Hashim.

Beliau berkata demikian ketika Sesi Taklimat Perancangan Penyelesaian Masalah Bekalan Air di Sungai Selangor dan Sungai Semenyih Akibat Pencemaran Bersama Media, di Bangunan Annex Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Hadir sama EXCO Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Hee Loy Sian.

Pada 30 Oktober lalu, Izham berkata taklimat kepada media dilakukan bagi memaklumkan langkah-langkah awal dilaksanakan Kerajaan Selangor bagi mengatasi masalah pencemaran sumber air pada tahun depan.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Tiada gangguan air, LRA Rantau Panjang beroperasi semula

SHAH ALAM, 18 NOV: Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang yang dihenti tugas pada jam 7.10 malam tadi telah beroperasi semula, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata susulan itu tiada gangguan bekalan air kepada pengguna kerana loji dihenti tugas selama beberapa jam sahaja.

“LRA Rantau Panjang mula beroperasi semula jam 9.30 malam tadi setelah isu pencemaran yang dikesan berjaya diselesaikan dan mencapai tahap sifar TON (nombor bau nilai ambang),” katanya menerusi Facebook.

LRA berkenaan dihenti tugas selepas Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengesan pencemaran bau pada jam 7 malam tadi.

Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dalam kenyataan berkata terdapat bau seakan bahan pelarut dengan bacaan satu TON di muka sauk loji.

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Pencemaran bau dikesan, LRA Rantau Panjang dihenti tugas

SHAH ALAM, 18 NOV: Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang dihenti tugas pada jam 7.10 malam tadi susulan pencemaran bau dikesan pada muka sauk loji.

Lembaga Urus Air Selangor (Luas) berkata tindakan itu susulan laporan dari Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) pada jam 7 malam.

“Terdapat bau seakan bahan pelarut dengan bacaan satu TON (nombor bau nilai ambang).

“Luas, Air Selangor dan pihak terlibat menjalankan siasatan dan tindakan mitigasi segera. Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” kata agensi menerusi Facebook.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pencemaran bau empat LRA capai satu TON

SHAH ALAM, 10 NOV: Tahap pencemaran di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang serta LRA Sungai Selangor Fasa (SSP) 1, 2 dan 3 berkurangan mencapai satu TON (nombor bau nilai ambang).

Perkembangan itu dimaklumkan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi kenyataan di Facebook jam 11 malam tadi.

Sementara itu, Air Selangor menggalakkan pengguna mengambil bantuan bekalan air alternatif di pili-pili awam dan Pusat Khidmat Setempat (PKS).

“Air Selangor menasihatkan pengguna untuk mematuhi peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semasa mengambil bekalan air daripada lori tangki dan pili awam yang disediakan,” katanya.

Pengguna boleh mendapatkan maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang di http://www.airselangor.com.

Categories
AGENDA NASIONAL

Empat loji rawatan air dihenti tugas akibat pencemaran

SHAH ALAM, 10 NOV: Empat loji rawatan air (LRA) negeri ini dihenti tugas susulan pencemaran bau pelarut dikesan di Sungai Selangor awal pagi tadi.

Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dalam kenyataan memaklumkan loji tersebut ialah Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3.

“Dimaklumkan LRA tersebut dihenti tugas antara jam 12.20 hingga 12.45 tengah hari tadi disebabkan oleh pencemaran bau seakan-akan pelarut di Sungai Selangor.

“Bau dikesan sekitar lapan TON (nombor bau nilai ambang). Berdasarkan pemantauan jam 6 pagi tadi, rekod bacaan terakhir pada tahap sifar TON,” kata agensi itu di Facebook.

Berikutan itu, Luas berkata pihaknya bersama Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) sedang giat menjalankan siasatan dan tindakan mitigasi segera.

“Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya lagi.