Categories
AGENDA NASIONAL

Masalah teknikal, kegagalan komunikasi antara punca nahas LRT

PUTRAJAYA, 10 JUN: Masalah teknikal dan kegagalan komunikasi antara Pusat Kawalan Operasi (OCC) dengan pemandu (hostler) adalah antara punca berlakunya pelanggaran tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya pada 24 Mei lepas, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata dapatan itu terkandung dalam laporan Jawatankuasa Siasatan mengenai insiden nahas dua tren LRT antara stesen Kampung Baru dan KLCC itu yang dibentangkan kepada Kabinet semalam.

Berkongsi laporan itu dalam sidang media secara maya hari ini, Wee berkata insiden itu melibatkan pertembungan tren bernombor 40 tanpa penumpang yang menghadapi masalah teknikal dan tren 81 dengan 213 penumpang yang melakukan perjalanan tanpa mendapat pengesahan tepat.

Menghuraikan urutan insiden itu, Wee berkata tren 40 mengalami masalah teknikal pada jam 6.26 petang pada hari kejadian (24 Mei) melibatkan salah satu daripada dua sistem Komunikasi On-Board Vehicle (VOBC).

Menurutnya, apabila satu VOBC gagal berfungsi dan hilang komunikasi dengan OCC maka tren perlu dikosongkan di stesen berikutnya serta dikeluarkan daripada perkhidmatan untuk penyelenggaraan di depoh Lembah Subang menerusi kawalan automatik iaitu Automatic Train Operation (ATO) ketika VOBC kedua masih berfungsi.

Namun, VOBC kedua tren 40 itu juga gagal berfungsi pada jam 8.13 malam ketika dalam perjalanan ke Lembah Subang dan terkandas di antara stesen LRT KLCC dan Kampung Baru.

“OCC tidak dapat mengawal tren 40 apabila kedua-dua VOBC tidak berfungsi. Justeru, pemandu diarahkan untuk mengendalikan tren 40 secara manual ke stesen berdekatan iaitu Dang Wangi bagi tujuan ‘reset’ untuk berada dalam mod ATO,” katanya.

Sejumlah penumpang mengalami kecederaan apabila dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) terlibat dalam kemalangan berhampiran stesen Kampung Baru di bawa keluar bagi dibawa ke hospital pada 24 Mei 2021. Foto BERNAMA

Menurut Wee, siasatan mendapati ketika proses pemindahan tren 40 untuk diset semula dan dikembalikan kepada ATO, kedua-dua pemandu dan pengawal OCC telah mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) kritikal tertentu dan ini secara tidak sengaja mengakibatkan tren 40 bergerak secara manual ke arah Gombak di arah utara dan bukannya ke selatan menuju ke depoh.

Pada masa sama, katanya, tren 81 sedang ditahan di stesen KLCC dan meletakkan keadaan status Manual Route Reservation (MRR) iaitu perlindungan kepada tren 40 sebelum dapat dikendalikan secara ATO.

“Namun, tren 81 dilepaskan untuk melakukan perjalanan meninggalkan stesen KLCC menuju ke stesen Kampung Baru tanpa mendapat pengesahan tepat yang mengatakan tren 40 telah diset semula kepada ATO. Keadaan ini seterusnya mengakibatkan berlaku pertembungan antara tren 40 dan tren 81,” katanya.

Wee berkata tindakan pemandu itu adalah tidak disengajakan kerana pada ketika itu maklumat mengenai ‘track section number’ tidak mencukupi, di mana pelaporan secara berkala dengan OCC sepatutnya berlaku.

Wee menegaskan objektif siasatan adalah untuk menentukan keadaan dan punca sebenar nahas dengan tujuan mengelakkan insiden daripada berulang serta menambahbaik perkhidmatan pengangkutan awam dan bukan bertujuan membuktikan kesalahan atau liabiliti terhadap mana-mana pihak.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Isham Ishak, yang mengetuai Jawatankuasa Siasatan itu, berkata hasil siasatan mendapati penyelenggaraan dijalankan oleh Prasarana adalah teratur dan mengikut manual.

Katanya, tiada sebarang percanggahan dan anomali dalam penyelenggaraan tren namun SOP itu tidak diikuti sepenuhnya kerana perlu ada senarai semak bagi mengelak kejadian seumpama itu berlaku.

“Kegagalan VOBC tidak berlaku setiap hari, ia jarang berlaku. Tetapi apabila ia berlaku, mesti ada SOP di mana semua orang faham dan ikut cara mengendalikan kereta api secara manual,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penumpang terlibat insiden LRT diminta tampil terima bantuan ihsan

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) meminta penumpang yang terlibat dalam insiden kemalangan tren perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Isnin lepas supaya menghubungi pihaknya jika masih belum berbuat demikian, untuk menyelaras bantuan kepada mangsa.

Prasarana dalam kenyataan hari ini berkata sehingga pukul 8.00 pagi ini, masih ada 83 penumpang yang tidak berjaya dikesan, dan mereka diminta menghubungi saluran khas 014-7371330 atau e-mel [email protected] bagi tujuan berkenaan.

“Prasarana akan memberikan sumbangan ihsan atau ‘goodwill payment’ kepada para penumpang yang terlibat dalam insiden itu. Jumlah bayaran dan hak penerimaan akan ditentukan sebaik butiran penumpang dapat dilengkapi,” menurut kenyataan itu.

Menurut Prasarana daripada 130 penumpang yang berjaya dikesan, 12 merupakan warga asing dari negara Indonesia, Filipina, Iran, Bangladesh serta Timur Tengah, dan pihak kedutaan negara-negara berkenaan telah pun dihubungi.

Sementara itu daripada 67 individu yang mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur, 62 dibenarkan keluar, lima masih di hospital dengan dua daripadanya dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) serta tiga ditempatkan di wad biasa, dan dijangka dibenarkan discaj dalam tempoh dua hingga tujuh hari.

“Saya juga memohon maaf atas sebarang kekhilafan dan kepincangan kami dalam menangani insiden ini. Fokus utama Prasarana pada waktu ini adalah untuk memberikan sokongan dan bantuan yang sewajarnya kepada para penumpang terbabit serta keluarga mereka,” menurut Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Datin Norlia Noah.

Prasarana juga memberi jaminan akan memberi kerjasama penuh dan telus kepada Jawatankuasa Siasatan oleh Kementerian Pengangkutan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), di samping berhubung rapat dengan Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat.

Dalam kejadian 8.33 malam itu, sebuah tren yang tidak membawa penumpang telah bertembung dengan sebuah lagi tren yang membawa 213 orang penumpang di dalam terowong antara stesen LRT Kampung Baru dan KLCC.

Dalam kenyataan terbaharu, Prasarana memaklumkan pihaknya menawarkan khidmat kaunseling untuk membantu mangsa insiden kemalangan itu yang mengalami trauma.

Menurutnya Prasarana bekerjasama dengan Lembaga Kaunselor Malaysia bagi membantu mangsa yang memerlukan khidmat kaunseling.

“Para penumpang yang memerlukan perkhidmatan kaunseling kerana trauma atau tekanan perasaan boleh menghubungi kami,” menurut kenyataan itu.

Penumpang yang ingin mendapatkan perkhidmatan berkenaan boleh menghubungi 014-7371330 atau e-mel [email protected] bagi mendapatkan janji temu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua tren LRT terlibat kemalangan dibawa keluar – menteri

KUALA LUMPUR, 27 MEI: Dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) yang terlibat kemalangan berjaya dibawa keluar pagi tadi, lebih awal dari tempoh tiga hari seperti dijanjikan, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Wee berkata proses mengeluarkan kedua-dua tren tersebut dapat dilakukan lebih awal selepas kakitangan bekerja tiga syif tanpa henti.

“(tren) TR40 telah selamat sampai ke depoh Subang pada 3.45 pagi manakala TR81 pula telah sampai di Gombak tail track pada 4.51 pagi. Pihak Prasarana akan menumpukan kepada kerja-kerja pembaikan track dari Stesen Kg Baru ke Stesen KLCC.

Petugas Rapid Rail menjalankan tugas pembaikan membawa keluar gerabak daripada lokasi kemalangan di laluan Kelana Jaya. Foto Facebook Wee Ka Siong

“…akan tetapi, team recovery terpaksa ‘power down’ (menutup pembekalan kuasa) untuk seluruh stretch yang terlibat iaitu dari stesen Dang Wangi ke stesen Damai yang mana ia melibatkan lima buah stesen LRT sepanjang stretch akibat daripada ‘power down’,” katanya, menambah lima stesen yang terlibat ialah Damai, KLCC, Ampang Park, Kampung Baru dan Dang Wangi.

Beliau berkata Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan membuat pemeriksaan bagi mengesahkan tahap keselamatan penggunaan landasan terbabit sebaik sahaja kerja-kerja pembaikan stretch selesai.

“Untuk pengoperasian LRT pada hari ini, memandangkan kesan ‘power down’ dan juga masih terdapat satu landasan yang ditutup selepas kejadian, maka terdapat ‘bottleneck’ kerana hanya beroperasi dengan satu landasan dari Stesen Damai ke Stesen Pasar Seni (tujuh buah stesen LRT) dan masa yang diambil untuk sesebuah tren melalui stretch berkenaan adalah 16 minit.

“…akan tetapi, kaedah ‘platoon’ akan digunakan bagi dua tren memasuki landasan ke arah yang sama untuk mengurangkan kesan ‘bottleneck’,” menurut catatan itu.

Selain itu, Wee berkata 58 tren LRT untuk laluan Kelana Jaya akan beroperasi sepenuhnya tanpa pengurangan frekuensi seperti yang beliau umumkan semalam selepas melawat Pusat Kawalan Operasi (OCC).

Beliau turut memberi jaminan Prasarana akan bertungkus-lumus membaiki landasan hari ini agar perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya dapat dipulihkan sepenuhnya dalam tempoh terdekat.

Wee berkata setelah landasan dibaiki, tiada lagi kesan ‘bottleneck’ dan perkhidmatan LRT akan beroperasi pada tahap 50 peratus kapasiti seperti disyaratkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dengan tatacara operasi piawai (SOP) diperketat sehingga 7 Jun tanpa mengurangkan frekuensinya.

Dalam kejadian 8.45 malam Isnin lepas, sebanyak 47 penumpang dilaporkan cedera parah manakala 166 mengalami kecederaan ringan, apabila sebuah tren membawa penumpang dan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji, bertembung di dalam terowong antara stesen LRT Kampung Baru dan KLCC.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

LRT bertembung: Masihkah selamat pengangkutan tren?

Oleh Nurqalby Mohd Reda

KUALA LUMPUR, 27 MEI: Perkhidmatannya yang sistematik, cekap dan laju serta sangat efisien dalam membantu menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya di dalam bandar, menjadikan Transit Aliran Ringan (LRT) sebagai pilihan utama pengangkutan awam dalam kalangan warga kota di Lembah Klang sejak lebih dua dekad lepas.

Sangat diyakini pengguna atas khidmat terbaik yang diberikan selama 23 tahun beroperasi, menyebabkan ramai yang terkejut sebaik mengetahui kemalangan membabitkan dua tren LRT laluan Kelana Jaya pada Isnin, 24 Mei lepas.

Daripada 213 penumpang di dalam tren itu, 47 mengalami cedera parah manakala 166 lagi cedera ringan dalam insiden di laluan terowong berdekatan Stesen LRT KLCC dan Kampung Baru yang secara tidak langsung mencalarkan rekod sifar kemalangan selama ini.

Sejumlah penumpang mengalami kecederaan apabila dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) terlibat dalam kemalangan berhampiran stesen Kampung Baru di bawa keluar bagi dibawa ke hospital pada 24 Mei 2021. Foto BERNAMA

Ternyata, insiden itu telah membuka mata orang ramai bahawa perkhidmatan LRT yang dianggap paling selamat itu sebenarnya turut tidak terkecuali daripada berlakunya kemalangan.

Meskipun begitu, jika melihat kepada statistik kemalangan antara sistem pengangkutan darat dengan pengangkutan rel, tiada siapa yang boleh menafikan bahawa perkhidmatan rel seperti LRT jauh lebih selamat.

Ini boleh dilihat berdasarkan statistik kemalangan jalan raya pada 2019, apabila sebanyak 567,516 kes kemalangan dilaporkan yang telah meragut nyawa seramai 6,167 orang dengan kadar kehilangan nyawa adalah setiap 85 minit.

Keadaan tersebut berlaku kerana sistem pengangkutan jalan darat dikongsi bersama dengan pelbagai jenis kenderaan yang mempunyai kelajuan berbeza sehingga mengundang risiko kemalangan yang tinggi, menurut Profesor Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Kulanthayan KC Mani.

Berbeza dengan sistem rel, ia hanya dilalui tren yang menggunakan sistem landasan rel dengan kelajuan yang hampir sama dengan jenis tren lain.

“Jika kita lihat dari segi statistik kemalangan jalan raya dan dibandingkan pula dengan kemalangan rel, amat jelas dan nyata, angkanya (kemalangan rel) sangat kurang, bukan sahaja di negara kita, malah seluruh dunia.

“Kerana itu, sistem pengangkutan rel tetap menjadi medium pengangkutan paling selamat bukan sahaja di Malaysia malah juga di peringkat global,” katanya kepada Bernama.

Kulanthayan yang juga pakar keselamatan jalan raya, menjelaskan sistem pengangkutan rel yang mempunyai beberapa lapisan keselamatan, menjadikan sistem yang digunakan itu sangat selamat terutama untuk membawa sejumlah besar penumpang pada satu-satu masa.

Contoh lapisan sistem keselamatan yang ada, antaranya sistem kawalan trafik dan isyarat dari pusat kawalan sistem rel dan komunikasi untuk memastikan perjalanan setiap tren diatur dengan baik dan lancar.

“Kemalangan jarang berlaku kerana sistem pengangkutan rel ini juga turut dikawal laluannya dari bilik kawalan penyedia perkhidmatan sistem rel tersebut. Disebabkan sistem yang ada, agak mengejutkan apabila kemalangan tren berlaku baru-baru ini.

Sejumlah penumpang mengalami kecederaan apabila dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) terlibat dalam kemalangan berhampiran stesen Kampung Baru di bawa keluar bagi dibawa ke hospital pada 24 Mei 2021. Foto BERNAMA

“Kerana itu, siasatan penuh insiden ini perlu dilakukan untuk memahami di mana kesilapan yang berlaku dan bagaimana ia boleh dielakkan pada masa akan datang supaya pengangkutan rel masih diyakini sebagai mod pengangkutan paling selamat dan kekal pilihan utama pengguna,” katanya.

Pandangan senada turut disuarakan Ketua Jaringan Industri dan Komunikasi Korporat Institut Pengangkutan Malaysia, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Irwan Ibrahim yang menyatakan, pelbagai faktor boleh mendorong berlakunya kemalangan tren dengan kajian menunjukkan 90 peratus adalah berpunca daripada kecuaian pengendali pengangkutan yang kurang cekap, kepenatan ataupun sengaja mengingkari peraturan dan arahan.

Justeru, dalam usaha mengurangkan kemalangan tren, teknologi keselamatan tren dan prosedur keselamatan pelanggan harus dipertingkatkan dan ini merangkumi teknologi keselamatan baharu seperti kawalan pintu platform untuk pencegahan ‘kemalangan jiwa manusia’.

Beliau berkata pihak pengurusan juga perlu meneroka teknologi baharu tren seperti pengubah geseran bagi mengurangkan geseran tren sekiranya berlaku kemalangan yang sekali gus dapat meminimumkan impak kemalangan.

“Banyak teknologi baharu yang boleh diteroka bagi meningkatkan lagi tahap keselamatan yang akan membantu menurunkan kadar kemalangan melibatkan tren antaranya pemantauan ‘koefisien derail’ dan pengendalian keseimbangan penggantungan udara, struktur ‘bogie’ baharu, suspensi aktif dan pemacu VVVF.

“Teknologi lain yang boleh dipertimbangkan ialah sistem trek dan teknologi penyelenggaraan seperti landasan ‘slab’ dan teknologi penyelenggaraan yang lebih terkini,” katanya.

Dalam situasi yang berlaku ini, mahu atau tidak, amalan yang dipraktikkan di negara Jepun akan tetap dijadikan contoh terbaik dalam pengurusan tren yang cepat dan selamat.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Operasi LRT laluan Kelana Jaya kembali normal lebih awal

KUALA LUMPUR, 27 MEI: Perkhidmatan tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya dijangka kembali beroperasi seperti biasa lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata ia selepas serpihan di kawasan kemalangan dua tren iaitu antara stesen KLCC dan Kampung Baru dibersihkan serta mendapat kelulusan operasi oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Saya dimaklumkan bahawa kerja pembersihan giat dijalankan. Mengikut status kerja terkini, dua tren yang terbabit dalam pelanggaran akan ditarik balik ke Depoh LRT Kelana Jaya untuk pembaikan tengah malam semalam selepas tamat perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya.

“Sejurus itu, Prasarana akan segera membuat ujian perjalanan dengan tren yang lain (tanpa penumpang) pada tengah malam (ketika tiada perkhidmatan LRT) bagi memastikan semua laluan selamat digunakan khususnya di kawasan kemalangan itu,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya semalam.

Wee berkata kesemua 58 buah tren dijangka beroperasi semula secepat mungkin sekali gus dapat mengelakkan kesesakan dan kepadatan penumpang.

Beliau berkata apabila landasan di tempat kejadian dipulihkan kepada dua landasan, fenomena cerutan di tempat kejadian yang berlaku pada waktu kemuncak pagi semalam dapat diselesaikan dan kelicinan perkhidmatan LRT akan ditingkatkan.

Selain itu, beliau berkata hasil tinjauan di Pusat Kawalan Operasi (OCC) mendapati ia beroperasi dengan baik terutama dari segi sistem semboyan dan komunikasi selain sentiasa mengutamakan aspek keselamatan penumpang.

“Sekali lagi saya memohon pengguna tren supaya bersabar sedikit masa lagi sebelum keadaan kembali normal,” katanya.

Pada Selasa, Wee dalam sidang media berkata kerja-kerja membaik pulih kerosakan termasuk pembersihan landasan dan serpihan kemalangan LRT akan dilakukan dalam tempoh tiga hari mulai 25 Mei untuk mengelakkan gangguan operasi.

Dalam kejadian 8.45 malam Isnin lepas, seramai 47 penumpang dilaporkan cedera parah manakala 166 mengalami kecederaan ringan, apabila sebuah tren yang membawa penumpang dan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji, bertembung di dalam terowong antara Stesen LRT Kampung Baru dan KLCC.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong zahir dukacita, terkejut berita insiden LRT bertembung

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita dan terkejut dengan berita kemalangan membabitkan pelanggaran dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) semalam.

Istana Negara dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana kesemua penumpang dalam kemalangan tersebut dapat dikeluarkan dari tempat kejadian dan dibawa ke hospital dengan segera bagi mendapatkan rawatan.

“Al-Sultan Abdullah mendoakan semoga semua mangsa kemalangan itu termasuk enam orang yang dilaporkan kritikal dan 15 yang separa kritikal dan kini menerima rawatan di HKL (Hospital Kuala Lumpur) dikurniakan kesembuhan segera,” menurut kenyataan Istana Negara itu.

Menyifatkan kejadian itu sebagai serius, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada petugas keselamatan dan kecemasan atas kepantasan serta kesungguhan mereka dalam usaha menyelamat dan merawat mangsa-mangsa kemalangan terbabit.

Pada masa yang sama Seri Paduka turut menzahirkan harapan agar pihak-pihak berkaitan memberikan keutamaan kepada mangsa-mangsa kemalangan, khususnya dalam bentuk keperluan rawatan menyeluruh dan kebajikan mereka.

Menurut Istana Negara, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan harapan agar insiden itu dijadikan iktibar kepada semua pihak berkaitan untuk memastikan ia tidak berulang pada masa hadapan demi memastikan keselamatan penumpang terjamin dan dipelihara dengan sebaiknya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Insiden LRT: Tiga mangsa alami pendarahan otak, dirawat di ICU

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Tiga penumpang yang terlibat dalam pertembungan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) di Laluan Kelana Jaya berdekatan Stesen LRT KLCC, mengalami pendarahan otak dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Pengarah HKL Datuk Dr Heric Corray berkata pihaknya melakukan pembedahan terhadap pesakit berkenaan dan mereka kini berada dalam keadaan stabil manakala seorang lagi penumpang perlu menjalani rawatan resusitasi serebrum.

“Tiga lagi penumpang dirawat di wad biasa kerana mengalami patah tulang, kecederaan di dada dan di hati,” katanya pada sidang media khas di HKL hari ini.

Dalam pada itu, Dr Heric memaklumkan pihaknya mula menerima 67 penumpang yang cedera akibat kemalangan itu pada 9.30 malam tadi dan seramai 61 penumpang dibenarkan pulang.

“Daripada jumlah itu, 61 penumpang merupakan warga tempatan manakala lima adalah warga asing manakala seorang tidak dapat dipastikan kewarganegaraannya,” katanya.

Dr Heric berkata seramai 300 petugas HKL terlibat dalam kerja-kerja merawat mangsa kemalangan itu sejak semalam dan kesemua mereka mengenakan pakaian perlindungan diri (PPE) yang sepatutnya.

“Kami juga menjalankan ujian Covid-19 terhadap semua penumpang yang menerima rawatan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata semua kakitangan yang terlibat pada kejadian semalam diarahkan untuk tidak terlibat dalam pengendalian pengoperasian.

“Kami akan siasat kes ini daripada pelbagai sudut dan pasukan panel penyiasat khas dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menjalankan siasatan dan laporan siasatan perlu dikemukakan kepada saya dalam tempoh 14 hari,” katanya.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa.

Semalam, seramai 47 penumpang dilaporkan cedera parah manakala 166 mengalami kecederaan ringan apabila sebuah tren yang membawa penumpang dan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji bertembung kira-kira jam 8.45 malam.

Berikutan itu, MOT menubuhkan pasukan panel penyiasat khas untuk menyiasat punca kejadian itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kecuaian pemandu punca insiden LRT bertembung – menteri

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Dapatan awal punca kemalangan dua tren perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya yang bertembung berdekatan Stesen LRT KLCC semalam disebabkan kecuaian pemandu gerabak (hostler) salah satu tren yang memandu dalam arah yang salah.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata tren bernombor 40 (TR40) iaitu gerabak kosong sepatutnya bergerak ke arah selatan menuju ke stesen Dang Wangi tetapi didapati bergerak ke arah utara, sekali gus mengakibatkan pelanggaran dengan TR81 yang membawa 213 penumpang.

Ia berdasarkan hasil siasatan awal yang dijalankan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), katanya dalam sidang media secara maya hari ini.

Katanya, sebelum kejadian, TR40 yang dikendalikan secara automatic train operation (ATO) bergerak dari Gombak ke depoh Subang pada jam 8.21 malam iaitu arah selatan, bagaimanapun ia mengalami kegagalan ‘time out’ dan berhenti semasa menghampiri stesen Kampung Baru.

“Pemandu kemudian diarahkan memandunya secara manual dari stesen Kampung Baru menuju stesen Dang Wangi dan perlu bergerak ke arah yang sama bagi memberi laluan kepada tren yang berada di arah selatan atau yang berada dalam mode ATO untuk meneruskan perjalanan.

“Pada masa yang sama, TR81 yang beroperasi secara ATO berada dalam keadaan statik di platform stesen KLCC arah selatan, pada 8.24 malam TR81 telah berlepas dari stesen KLCC ke stesen Kampung Baru setelah menerima maklumat bahawa TR4O telah beredar dari stesen Kampung Baru menuju ke stesen Dang Wangi,” katanya.

Namun, Wee berkata pada jam 8.33 malam, pemandu menghubungi pusat kawalan operasi (OCC) memaklumkan TR40 bertembung dengan TR81.

“Kira-kira jam 8.36 malam, OCC telah memaklumkan agensi tindakan kecemasan dan melantik pegawai bertanggungjawab di kawasan insiden sebelum pihak polis dan ambulans tiba di tempat kejadian bagi kerja-kerja menyelamat mangsa,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Wee berkata pasukan panel penyiasat khas dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menjalankan siasatan dan laporan siasatan perlu dikemukakan kepada kementerian dalam tempoh 14 hari sebelum dibawa kepada Jemaah Menteri.

Mengenai jumlah kerugian, Wee berkata setakat ini ia belum dapat ditafsirkan dan ketika ini kerja pembersihan dan baik pulih landasan sedang giat dilakukan.

“Ikut tatacara operasi piawai, kerja-kerja pembersihan dan baik pulih hanya tiga hari dan jumlah kerugian akan dianggarkan kemudian,” katanya.

Menurutnya, ketika ini, hanya satu landasan digunakan dan sekiranya terdapat keperluan, Prasarana akan menambah frekuensi perkhidmatan terutamanya pada waktu puncak.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Insiden LRT bertembung: Polis rakam keterangan pemandu tren pandu uji

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Polis akan mengambil keterangan pemandu tren pandu uji dalam insiden pertembungan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya berdekatan Stesen LRT KLCC malam tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata polis juga akan membantu pasukan panel penyiasat khas yang ditubuhkan oleh Kementerian Pengangkutan.

“Setakat ini kami akan membantu pasukan itu untuk menjalankan siasatan selanjutnya. Kami akan melihat keperluan untuk memanggil pemandu berusia 32 tahun yang turut luka ringan dalam kemalangan itu bagi membantu siasatan,” katanya kepada Bernama.

Beliau ditemui ketika melakukan pemantauan di pusat beli-belah di sekitar Kuala Lumpur selepas penguatkuasaan tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang lebih ketat dilaksanakan hari ini dengan tempoh masa pelanggan dalam semua premis peruncitan dihadkan kepada maksimum dua jam.

Mohamad Zainal berkata setakat ini lebih 60 mangsa masih menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), antaranya enam warga asing termasuk dari Filipina, Pakistan dan Bangladesh.

Semalam, sebanyak 47 penumpang tren dilaporkan parah manakala 166 cedera ringan dalam insiden pada 8.45 malam melibatkan sebuah tren membawa penumpang dan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji.

Berikutan itu, Kementerian Pengangkutan menubuhkan pasukan panel penyiasat khas untuk menyiasat punca insiden dan menjangkakan laporan hasil siasatan akan dikemukakan dalam tempoh dua minggu.

Terdahulu, Mohamad Zainal berkata tinjauan hari pertama penguatkuasaan PKP 3.0 yang diperketatkan di sebuah pusat beli-belah terkenal di ibu negara hari ini memfokuskan pengunjung atau pelanggan yang kini dibenarkan berada di dalam premis peruncitan maksimum dua jam.

Beliau berkata rata-rata pengunjung sedar akan pelaksanaan SOP itu dan pihaknya juga mendapati semua pasar raya di sekitar ibu negara menunjukkan pengurangan kehadiran pengunjung sekitar 30 hingga 40 peratus sejak PKP 3.0 dikuatkuasakan pada 12 Mei lepas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Rawatan mangsa kemalangan LRT tidak jejas wad Covid-19 di HKL

PUTRAJAYA, 25 MEI: Rawatan terhadap mangsa kemalangan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya tidak menjejaskan pengurusan rawatan untuk pesakit Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur (HKL), kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata 64 mangsa yang cedera dalam insiden semalam itu ditempatkan di wad HKL, dengan enam daripada mangsa kritikal manakala tiga memerlukan bantuan alat pernafasan (ventilator) dan tiga lagi berada di bilik pembedahan.

“Wad Covid-19 di HKL tidak terganggu dan masih boleh menggunakan kemudahan peralatan perubatan sedia ada.

“Ventilator sudah diagihkan untuk kes tertentu di wad Covid-19, unit rawatan rapi (ICU) dan kritikal. Ini tidak mengganggu kegiatan biasa dan kegiatan merawat pesakit Covid-19,” katanya pada sidang media Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan secara maya bersama-sama Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin hari ini.

Dua tren LRT laluan Kelana Jaya, sebuah membawa penumpang dan sebuah lagi tren rosak yang sedang dipandu uji telah bertembung dalam kejadian pada 8.45 malam semalam di kawasan terowong antara Stesen Kampung Baru dan KLCC, menyebabkan 213 penumpang cedera.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Enam sangat kritikal akibat nahas LRT, bantuan RM1,000 untuk semua mangsa

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan memberikan bantuan khas RM1,000 dan bantuan sokongan lain kepada semua mangsa yang terlibat dalam insiden dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya yang bertembung di dalam terowong antara Stesen LRT Kampung Baru dan KLCC di sini, malam tadi.

Pengerusi Kumpulan Prasarana Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata beliau telah berbincang dengan pengurusan tertinggi syarikat mengenai perkara itu.

Beliau berkata seramai 213 penumpang terlibat dalam insiden tersebut dengan 64 daripadanya dikejarkan ke hospital, sementara enam daripadanya sangat kritikal termasuk tiga mangsa memerlukan bantuan pernafasan.

“Kita telah buat keputusan, Prasarana akan keluarkan bantuan khas kepada semua 213 penumpang ini, kita akan membantu dengan memberikan sebanyak RM1,000 setiap orang, tanpa mengira keadaan mereka sama ada serius atau tidak.

“Selain itu, kita akan beri bantuan khas kepada mangsa yang dimasukkan ke hospital, kos perubatan, rawatan sejak mula masuk sehinggalah pulih semula. Insya-Allah kita akan beri mereka bantuan perubatan,” katanya pada sidang media selepas melawat lokasi insiden tersebut di sini, hari ini.

Dalam laporan media semalam, kejadian yang berlaku pada 8.45 malam itu, menyebabkan 47 penumpang parah manakala 166 lagi cedera ringan.

Selain itu, Tajuddin berkata Prasarana akan memberi bantuan sara hidup kepada mangsa yang kehilangan pendapatan akibat insiden itu sehingga mereka boleh bekerja semula seperti biasa.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa operasi perkhidmatan tren syarikat tersebut akan berjalan seperti biasa sambil memberi jaminan tren yang beroperasi tidak mempunyai sebarang masalah.

Katanya, dua tren yang terlibat dalam insiden berkenaan juga akan dibaiki dan dalam masa masa tatacara operasi piawai (SOP) perkhidmatan LRT akan ditambah baik.

“Prasarana sangat berdukacita, sedih dengan apa yang berlaku. Ini tragedi, kemalangan di luar kawalan kita. Kita juga bersedia menerima tanggungjawab dan mohon maaf atas apa yang berlaku, tetapi kami akan berusaha sebaik mungkin untuk mengurus semua perkara, termasuk keperluan untuk penumpang dan orang ramai, katanya.

Sementara itu, Prasarana dalam kenyataan memaklumkan syarikat itu telah melancarkan saluran khas di talian 014-7371330 dan e-mel [email protected] dan meminta penumpang terlibat menghubungi Prasarana secepat mungkin supaya urusan bantuan khas berkenaan boleh disegerakan.

Pada masa sama, syarikat juga memberi jaminan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Jawatankuasa Siasatan yang diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Isham Ishak bersama-sama pasukan dan agensi di bawah kementerian.

“Pihak Prasarana juga akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang akan menyiasat insiden berkenaan di bawah Seksyen 201 Akta Pengangkutan Darat 2010,” menurut kenyataan itu lagi.

Semalam, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata kementerian akan menubuhkan pasukan panel penyiasat khas untuk menyiasat punca insiden pertembungan tren perkhidmatan LRT terbabit yang pertama kali berlaku di negara ini, sejak mula beroperasi, 23 tahun lalu.

Wee berkata laporan awal mengenai insiden itu akan dihantar kepadanya oleh Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) hari ini selain menjangkakan dalam tempoh dua minggu hasil siasatan oleh pasukan khas itu akan dikemukakan kepada kementerian.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tren bertembung: 65 mangsa masih dirawat di HKL

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Seramai 65 mangsa insiden dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya yang bertembung berdekatan Stesen LRT KLCC di sini malam tadi, masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata mereka terdiri daripada 29 lelaki dan 36 wanita.

“Yang menerima rawatan di HKL adalah enam warga asing dan selebihnya warga tempatan,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, seramai 47 penumpang tren itu dilaporkan parah manakala 166 mengalami kecederaan ringan dalam insiden kemalangan melibatkan dua tren LRT berkenaan.

Kejadian yang berlaku pada 8.45 malam itu melibatkan sebuah tren yang membawa penumpang dan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji.

Berikutan itu, Kementerian Pengangkutan menubuhkan pasukan panel penyiasat khas untuk menyiasat punca insiden terbabit.

– BERNAMA