Categories
AGENDA JENAYAH

LTTE: ADUN Seremban Jaya, tiga individu didakwa

KUALA LUMPUR, 31 OKT: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P. Gunasekaran dan pengutip besi buruk A. Kalaimughilan dihadapkan sekali lagi ke Mahkamah Sesyen bagi menghadapi pertuduhan tambahan berkaitan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Pada 29 Oktober lepas, Gunasekaran, 60, didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka manakala Kalaimughilan, 28, dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang, di sini.

Sementara itu, ahli DAP, V. Suresh Kumar, 43, dan peniaga B. Subramaniam, 57, pula pertama kali dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini berhubung kumpulan LTTE.

Tiada pengakuan direkodkan daripada keempat-empat tertuduh yang hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Gunasekaran, Suresh Kumar dan Subramaniam masing-masing didakwa dengan pengetahuan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dengan cara menggunakan aplikasi sosial Facebook atas nama berlainan.

Gunasekaran didakwa menggunakan nama “DAP Guna Palanisamy “, Subramaniam atas nama “US Subra Subramaniam” dan Suresh Kumar dengan nama “RocketSuresh DAP”.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Pegawai Penyiasat Bahagian E8 (M) Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, di sini pada 7 Oktober dan 11 Oktober 2019 pada masa berlainan iaitu 2 petang, 5.30 petang dan 6 petang.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Kalaimughilan pula didakwa dengan pengetahuan telah mengedar item yang berkaitan dengan LTTE di Dewan Tan Sri Soma, Wisma Tun Sambanthan, Jalan Sultan Sulaiman, Kampung Attap, di sini, lebih kurang 8 malam hingga 11.30 malam, 17 Mac 2014.

Dia dituduh mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan dilucutkan mana-mana item itu, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad membantah jaminan terhadap keempat-empat tertuduh atas alasan penahanan mereka di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) tidak boleh dijamin.

Peguam S. Selvam, yang mewakili Subramaniam memohon supaya kes itu dipindahkan serta-merta ke Mahkamah Tinggi atas alasan terdapat isu perundangan yang perlu diputuskan selain memohon supaya mahkamah mendengar aduan daripada anak guamnya yang didakwa dianiaya semasa dia ditahan dan disiasat oleh pihak polis sejak 20 hari lepas.

Muhamad Iskandar bagaimanapun berkata, permohonan itu adalah tidak relevan berikutan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 24 Oktober lepas telah menolak permohonan habeas corpus tertuduh dan tiada alasan untuk mahkamah mempertimbangkan permohonan daripada pihak peguam.

Peguam Ramkarpal Singh, yang mewakili Gunasekaran dan Suresh Kumar memohon supaya kedua-dua anak guamnya dibenarkan jaminan dengan alasan penahanan mereka di bawah SOSMA adalah tidak berperlembagaan.

Peguam M. V. Yoges, yang mewakili Kalaimughilan berkata, pertuduhan yang dihadapi anak guamnya cacat dan bersifat pra matang kerana di dalam pertuduhan itu tidak menyebut secara spesifik berkenaan item yang didakwa mempunyai kaitan dengan LTTE.

“Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 2014 tetapi kenapa baru sekarang anak guam saya dituduh di mahkamah,” katanya yang turut mempersoalkan elemen bahawa tertuduh telah mengancam keselamatan negara tidak dinyatakan di dalam pertuduhan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izhanudin Alias membalas bahawa pertuduhan terhadap tertuduh adalah jelas menggugat keselamatan negara dan pihak pendakwaan akan mendapatkan beberapa laporan daripada pakar bagi membuktikan kesalahan dilakukan.

Mengenai Kalaimughilan yang baru didakwa di mahkamah hari ini sedangkan kesalahan pada 2014, Mohd Izhanudin berkata, adalah benar kesalahan pada 2014, tetapi tertuduh berkenaan baru ditangkap dan hari ini dia dibawa ke mahkamah untuk dituduh.

Mahkamah menetapkan esok untuk mendengar hujahan daripada pihak-pihak terlibat.

Selepas selesai prosiding, seorang ahli keluarga kepada seorang tertuduh tiba-tiba rebah dan menyebabkan suasana di mahkamah menjadi kelam kabut.

– BERNAMA