Categories
AGENDA NASIONAL

Terima keputusan Kabinet lanjut lesen Lynas

PEKAN, 16 OGOS: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin menerima keputusan Kabinet melanjutkan lesen operasi kilang memproses nadir bumi Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas), di Gebeng di sini.

“Ini adalah keputusan Kabinet yang dibincangkan dan dipersetujui. Saya adalah ahli Kabinet, jadi saya perlu mengikut keputusan itu,” katanya semasa ditanya pendiriannya berhubung isu berkenaan.

Zuraida berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui pada Majlis Penyampaian Hadiah Acara Memanah Sukan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Pahang di Arena Mahkota di sini, hari ini.

Beliau juga memaklumkan kementeriannya akan bekerjasama dengan Kerajaan Pahang untuk membuat semakan tapak yang sesuai dijadikan Tapak Pelupusan Kekal (PDF) bagi sisa Water Leach Purification (WLP) yang dihasilkan Lynas.

Pembinaan PDF dalam tempoh enam bulan adalah antara syarat yang wajib dipenuhi Lynas dalam keputusan Kabinet melanjutkan lesen operasi kilang itu, yang dijadualkan berakhir bulan hadapan, kepada tempoh enam bulan.

“Kerajaan Negeri akan mencadangkan tapak untuk PDF dan kerajaan Persekutuan akan membuat semakan sama ada sesuai atau tidak. Ia perlu mengikut garis panduan standard seperti berapa jauh dari penduduk dan kawasan perumahan.

“Setakat ini, kita belum mendengar ada tapak yang telah dicadangkan, namun kita harap kerajaan negeri beri kerjasama kepada Lynas supaya mereka boleh membuat perancangan berhubung tapak PDF itu,” katanya.

Sementara itu, mengulas berhubung insiden lif terhempas di Projek Perumahan Rakyat Kerinchi di Kuala Lumpur pada 2 Ogos lalu, Zuraida berkata, siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian masih berjalan.

Beliau juga memaklumkan kementeriannya akan mengadakan mesyuarat pelarasan bagi memastikan lif di kawasan perumahan dipantau dan diselenggara secara berkala bagi mengelakkan kejadian sama berlaku.

“Lif ini dibawah kelolaan Kementerian Sumber Manusia di mana ia adalah kawalan Niosh di bawah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan mereka yang membuat keputusan.

“Namun, memandangkan insiden ini membabitkan perumahan rakyat di bawah KPKT, jadi kita akan memastikan setiap lif yang ada dilakukan pemantauan berkala dan harus dipantau serta diselenggara mengikut jadual,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Isu Lynas: Bukan keputusan ideal, tetapi lebih baik

SHAH ALAM, 3 OGOS: Keputusan Kabinet melanjutkan permit operasi Lynas Corp dalam mengendalikan sisa pemprosesan nadir bumi selama enam bulan lagi disifatkan bukan keputusan paling ideal, kata Yeo Bee Yin.

Bagaimanapun, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim itu berkata, sekurang-kurangnya keputusan dicapai Kabinet lebih baik berbanding situasi dihadapi buat masa ini.

“Isu persekitaran dan keselamatan rakyat adalah penting dan Kabinet mengambil perhatian perkara berkenaan tetapi beberapa orang ada pandangan berbeza, justeru keputusan sudah dicapai.

“Keputusan yang dicapai ini bukan paling ideal untuk saya tetapi apa yang ada sekarang lebih baik daripada status quo,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Karnival Minggu Sains Negara 2019, di Pustaka Raja Tun Uda, Seksyen 13, di sini hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Bakri itu diminta mengulas sama ada Lynas dibenarkan untuk menyimpan sisa ‘Water Leached Purification’ (WLP) di Malaysia atau tidak.

Sebelum ini, portal media tempatan melaporkan bahawa Kabinet sudah mencapai keputusan untuk menggugurkan syarat bagi Lynas Corp memindahkan sisa pemprosesan nadir buminya keluar dari Malaysia.

Akhir tahun lalu, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim mengenakan dua syarat untuk memperbaharui lesen Lynas Advance Materials Plant (LAMP), termasuk menghantar keluar sisa bahan radioaktif dari negara ini.

Mengulas lanjut, Bee Yin berkata, keputusan bersama anggota Kabinet untuk menyambung permit Lynas Corp akan diumumkan secara terperinci selewat-lewatnya 15 Ogos ini dalam satu kenyataan media dikeluarkan pihaknya.

Katanya, apa yang diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah sebahagian daripada perkara yang dibincangkan oleh pihaknya juga.

“Ulasan kementerian dan pandangan peribadi saya sudah bentang pada Kabinet dan anggota jemaah menteri lain pun turut melontarkan pandangan mereka.

“Oleh itu, keputusan Kabinet dicapai melalui majoriti tetapi daripada segi undang-undang, Lynas hanya boleh membuat pembaharuan lesen 30 hari sebelum tamat lesen 2 September, iaitu 2 Ogos (semalam),” katanya.

Categories
NASIONAL

Lynas ‘bebas masa kecederaan’ setahun

KUALA LUMPUR, 16 JUL: Lynas Malaysia Sdn Bhd telah mencapai ‘bebas masa kecederaan’ setahun hari ini, hasil daripada komitmen syarikat untuk mencapai standard keselamatan dan kesihatan pekerjaan terbaik serta kecemerlangan operasi.

Kehilangan masa akibat kecederaan merupakan kecederaan yang dialami pekerja sehingga beliau tidak dapat bekerja untuk satu hari atau satu shif atau lebih.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat perlombongan nadir bumi itu berkata, ia melaksanakan piawaian keselamatan dan kesihatan bertaraf dunia di loji pemprosesan nadir bumi di Gebeng, Kuantan.

Pengarah Urusan dan Naib Presidennya, Datuk Mashal Ahmad berkata semua kakitangan dan kontraktor syarikat mementingkan aspek keselamatan dan mematuhi dasar dan prosedur keselamatan dan kesihatan Lynas.

“Setahun tanpa kehilangan masa kecederaan, bermakna kakitangan kami selamat dan pulang ke rumah dan keluarga dalam suasana gembira,” katanya.

Lynas Malaysia baru-baru ini dianugerahi pingat emas dalam penilaian terbaru tanggungjawab sosial korporat (CSR) EcoVadis berdasarkan pencapaiannya dalam penjagaan alam sekitar, pekerja dan hak asasi manusia, etika dan pemerolehan yang lestari.

Ia juga menandatangani Inisiatif Global United Compact, inisiatif kelestarian korporat terbesar di dunia, awal tahun ini.

Pada September 2018, Lynas Malaysia menerima pengiktirafan Organisasi Antarabangsa bagi Penyelarasan Standard (ISO) daripada Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), badan pensijilan yang diiktiraf Malaysia, untuk OHSAS 1800: 2007 Pengurusan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan, ISO 9001: 2015 Pengurusan Kualiti, dan Sistem Pengurusan Alam Sekitar ISO 14001: 2015.

– BERNAMA

Categories
EKONOMI

Usaha sama Lynas Corp US tidak beri kesan ke atas operasi Malaysia

 

KUALA LUMPUR, 23 Mei: Lynas Malaysia Sdn Bhd mengesahkan komitmennya kepada Malaysia susulan pemeteraian memorandum persefahaman antara syarikat induknya dan Blue Line Corporation, untuk membina kemudahan pemisahan nadir bumi di Amerika Syarikat.

Dalam kenyataan hari ini, Pengarah Urusan dan Naib Presidennya Datuk Mashal Ahmad berkata cadangan usaha sama Lynas Corporation dengan syarikat yang berpangkalan di Texas itu, tidak akan memberi kesan kepada operasinya di Malaysia.

Beliau berkata berdasarkan cadangan awal JV itu, tumpuan akan diberikan kepada pemisahan nadir bumi berat berbanding tumpuan Lynas Malaysia kepada pemisahan nadir bumi ringan.

“Minggu ini, Lynas mengesahkan komitmen kami kepada Malaysia, dan untuk membuat pelaburan lanjut dalam operasi kami di Malaysia. Ini akan memberi peluang baharu kepada rakyat untuk berkembang bersama syarikat kami, dan untuk Lynas menyumbang kepada wawasan Industri 4.0 Malaysia,” katanya. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Wajib selesai sisa buangan walaupun berpindah – Fuziah

KUANTAN, 20 Mei: Kilang pemprosesan nadir bumi, Lynas (Malaysia) Sdn Bhd (Lynas) wajib menyelesaikan masalah sisa buangannya di Gebeng di sini, walaupun memindahkan operasinya ke negara lain.

Pengerusi Pakatan Harapan Pahang, Fuziah Salleh berkata, Lynas juga perlu bertanggungjawab kepada nasib pekerja mereka dan mematuhi hak yang dijamin di bawah Undang-Undang Buruh jika mereka menamatkan operasi di sini.

“Lynas wajib menyelesaikan masalah sisa buangan di Gebeng walaupun sekiranya mereka berpindah. Itu adalah tanggungjawab mereka. Keluar dari Malaysia tidak bermakna (mereka) tidak perlu menyelesaikan masalah sisa buangan yang banyak di sini.

“Mereka boleh keluar (dari Malaysia) tetapi mesti bertanggungjawab ke atas pekerja dan sisa buangan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Fuziah yang juga Anggota Parlimen Kuantan berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah portal berita hari ini, yang melaporkan Lynas Corp telah menandatangani memorandum persefahaman dengan Blue Line Corp yang berpangkalan di Texas, Amerika Syarikat untuk membina kilang baharu di negara itu.

Tindakan itu didakwa dibuat berdasarkan perkembangan di Malaysia yang mengarahkan Lynas untuk mengeluarkan sisa buangannya sebelum lesen operasinya yang dijadual tamat pada 2 Sept ini dapat diperbaharui. -BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

NUF Lynas ganti gipsum import jimat jutaan ringgit

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) — Kerajaan Malaysia mampu menjimatkan jutaan ringgit dengan menggunakan bahan Neutralisation Underflow Residue (NUF) yang dihasilkan dalam negara ini oleh Lynas Malaysia Sdn Bhd bagi menggantikan bahan gipsum yang diimport oleh industri pembinaan tempatan.

Pengarah Urusan Lynas Malaysia, Datuk Mashal Ahmad berkata,menurut Jabatan Perangkaan, Malaysia mengimport lebih satu juta tan bahan gipsum bernilai US$31.06 juta (RM128 juta) pada tahun lepas.

“Satu daripada keluaran sampingan Lynas Malaysia ialah NUF, gipsum sintetik yang kaya dengan magnesium, bukan radioaktif, tidak beracun dan tidak berbahaya dan secara kimianya sama dengan gipsum yang diimport ke Malaysia.

Dengan menggunakan gipsum yang dihasilkan di dalam negara oleh Lynas, kerajaan boleh menyampaikan nilai ekonomi kepada negara dan mengurangkan kebergantungan kepada negara lain untuk mengimport bahan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mashal berkata, kajian dan penyelidikan juga mengenal pasti pelbagai kegunaan NUF dan Lynas telah didekati beberapa syarikat di Malaysia mengenai penggunaan komersial bahan NUF.

Ini adalah sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020) yang melihat kepada pengurusan sisa secara keseluruhan dan negeri-negeri menggunakan sisa sebagai satu sumber yang memberikan nilai ekonomi dan mengelakkannya daripada ke tapak pelupusan sampah kepada penggunaan yang lebih produktif.

Selain NUF, loji Lynas juga menghasilkan residu ‘Water Leached Purification’ (WLP). Setakat Disember 2018, sisa WLP yang terkumpul di loji Lynas adalah 451,564 tan metrik sementara sisa NUF pula adalah 1.113 tan metrik.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Mashal mengulas laporan media bahawa kerajaan Australia Barat tidak akan menerima kemasukan import WLP ke Australia Barat berikutan undang-undang yang tidak menerima sisa lombong dari seberang laut.

“Adalah tidak benar untuk mencadangkan keputusan kerajaan Australia Barat berkaitan kepada bahan Lynas sahaja, atau Australia tidak akan membenarkan loji pemprosesan nadir bumi,” katanya.

Baru-baru ini, Lynas berkata ia memikirkan pemprosesan alternatif menggunakan kaedah peretakan dan pencucian berdekatan lombongnya di Australia Barat dan syarikat itu sebelum ini telah menerima kelulusan untuk memproses bahannya di Australia, katanya.

Categories
NASIONAL

Debat secara sihat isu Lynas

KUANTAN, 20 APRIL: Pihak terbabit dalam isu berkaitan kilang memproses nadir bumi Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) disaran mengadakan perdebatan sihat dalam membincangkan isu berkenaan, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata tiga pihak utama iaitu kerajaan menerusi pelbagai agensi dan jabatan di bawahnya, pengurusan Lynas, dan mereka yang tidak bersetuju dengan Lynas, untuk tidak menggunakan pihak ketiga dalam menyuarakan pendapat masing-masing tetapi sebaliknya duduk semeja dan berbincang secara sihat.

“Perdebatan secara sihat dapat mengelakkan perkara tidak diingini daripada berlaku. Debat ini antaranya melibatkan adakah ia selamat, atau mengandungi kandungan radioaktif yang tinggi atau tidak, dan sebagainya.

“Masih juga berlaku anggapan jika Lynas memperoleh sesuatu keputusan daripada kerajaan, maka timbul pula persoalan adakah prosesnya telus atau adakah kemungkinan rasuah berlaku,” katanya pada sidang media selepas melawat operasi kilang Lynas di Gebeng di sini, hari ini.

Saifuddin yang juga Anggota Parlimen (MP) Indera Mahkota meluangkan masa hampir tiga jam di situ, yang antara lain melibatkan sesi taklimat daripada pengurusan Lynas, melihat operasi dan berbincang bersama pekerja Lynas.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut operasi atau dapatan lawatan itu, kerana berpandangan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin, adalah individu paling sesuai untuk berbuat demikian.

Yeo, menurut Saifuddin telah memberikan isyarat positif bersedia untuk melawat Lynas, namun setakat ini, tiada tarikh ditetapkan.

Ditanya jika beliau akan berkongsi input lawatannya di mesyuarat Kabinet, Saifuddin berkata: “Sebagai anggota Kabinet dan lebih-lebih lagi sebagai MP kawasan kilang Lynas didirikan, saya harus terlibat, tetapi sebagai seorang yang terlibat dalam tadbir urus.”

Untuk rekod, Saifuddin merupakan menteri kedua yang melawat kilang Lynas selepas Menteri Industri Utama Teresa Kok.

Sementara itu, Pengurus Besar Keselamatan Radiasi Peraturan dan Pematuhan Lynas Profesor Dr Ismail Bahari berkata pihaknya sentiasa terbuka untuk menyertai perbincangan secara sihat bagi memberi penjelasan mengenai operasi mereka.

“Itu adalah tawaran yang diberikan sejak mula beroperasi dan kita tidak mengatakan tidak boleh berjumpa kerana di pihak Lynas, kami sentiasa bersedia untuk bersama-sama mencari menyelesaian dan titik persamaan,” katanya. -BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Lynas langgar undang-undang penyimpanan sisa buangan

KUANTAN, 17 APRIL: Kilang memproses nadir bumi Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) disifatkan melanggar undang-undang daripada segi penyimpanan sisa buangan dengan menyimpan sisa buangan terjadual, di kawasan kilang mereka dalam kuantiti amat besar dan dalam tempoh lama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Lee Chean Chung berkata, sehingga Disember 2018, Lynas mengumpul 1.13 juta tan sisa buangan ‘Neutralization Underflow Residue’ (NUF) dalam tempoh enam tahun pengoperasiannya, dengan sisa terbabit disimpan di tepi kilang.

“Sedangkan jika mengikut Peraturan 4: Pelupusan Buangan Terjadual dalam Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, kuantiti bahan buangan terjadual yang dikumpulkan di tapak tidak melebihi 20 tan metrik selama 180 hari atau kurang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyerahkan ulasan berkenaan Laporan Penilaian Impak Alam Sekeliling (EIA) berkenaan sisa buangan NUF bagi Projek Lynas kepada Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Pejabat JAS Negeri, di sini hari ini.

Katanya, laporan EIA tidak memenuhi kriteria diperlukan untuk memastikan kesejahteraan, kesihatan dan alam sekitar dijaga memandangkan kawasan tapak pelupusan sisa NUF yang terletak di Gebeng.

“Gebeng adalah sebuah kawasan tapak industri, bukannya tapak pelupusan bagi sisa buangan NUF ini. Maka, sisa NUF ini tidak sepatutnya berada di kawasan perindustrian Gebeng, justeru laporan EIA ini wajar ditolak kerana ia dilihat tidak memenuhi kriteria yang diperlukan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JAS Pahang, Rosli Zul berkata, pihaknya terbuka untuk menerima pandangan dan maklum balas daripada mana-mana pihak.

“Kita akan menilai maklum balas diterima dan jika ada kesahihan, kita akan mengambil peruntukan undang-undang bagi penambahbaikan.

“Jika ada kaitan dengan jabatan lain, kita akan membawa perkara berkenaan ke pihak terbabit,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini JAS Pahang menerima serahan maklum balas berkaitan Laporan EIA yang kebanyakannya terdiri daripada individu perseorangan.

“Maklum balas ini bagi melihat sama ada laporan EIA dikeluarkan baru-baru ini boleh diterima atau perlu penambahbaikan dan kita mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk memberikan maklum balas di mana tempoh yang diberikan bermula awal April sehingga 19 April ini,” katanya. -BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia mahu sisa buangan Lynas kembali ke Australia

KUALA LUMPUR, 1 APR: Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim mahu bekerjasama dengan kerajaan Australia bagi memastikan sisa buangan Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) dikembalikan ke negara itu.

Timbalan Menterinya, Isnaraissah Munirah Majilis berkata, kerjasama itu bagi mencari jalan dalam usaha memudahkan proses pengeluaran residu ‘Water Leached Purification’ (WLP) yang dihasilkan kilang Lynas dihantar ke Australia yang sepatutnya dilakukan sebelum September ini.

“Menteri (Yeo Bee Yin) telah menulis surat kepada rakan sejawatannya di Australia pada 26 Februari lalu untuk memaklumkan mengenai kerjasama ini bagi memudah cara pengeluaran sisa berkenaan dari Malaysia ke negara tersebut,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) berkenaan langkah diambil kerajaan dalam memastikan sisa buangan Lynas dikembalikan ke Australia.

Isnaraissah Munirah berkata pada masa sama, pasukan petugas ditubuhkan kerajaan juga sedang mengenal pasti prosedur dan instrumen antarabangsa berkaitan, untuk proses penghantaran keluar residu WLP itu.

Katanya ia akan mengambil kira semua aspek perundangan, keselamatan orang awam dan pekerja serta alam sekitar.

– BERNAMA

-Foto Kredit: lynascorp.com

Categories
NASIONAL

Lynas jejas penduduk kampung di Gebeng-Fuziah

KUALA LUMPUR, 31 MAC: Projek Lynas di Gebeng, Kuantan Pahang menjejaskan penduduk kampung yang tinggal berhampiran, kata ahli parlimennya, Fuziah Salleh.

Fuziah berkata hanya selepas lima tahun beroperasi, pembuangan sisa radioaktif di tapak serta sisa berjadual kini berjumlah 1.5 juta tan metrik dan air bawah tanah di bawah Lynas sudah tercemar dengan logam berat.

“Ini akan memberi kesan kepada penduduk kampung yang tinggal di sekitar Gebeng, yang sebahagiannya masih bergantung kepada telaga tiub untuk kegunaan air harian mereka. Ia juga akan mencemarkan saluran air di sekitar Gebeng,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Fuziah yang juga Timbalan Menteri di Perdana Menteri berkata isu berkenaan dengan Lynas biasanya disalah faham oleh ramai orang, terutamanya berkaitan dengan pengurusan sisa khususnya dengan sisa radioaktif.

“Lynas bijak dalam strategi menyampaikan mesej mereka di mana agak mudah terpedaya dengan pernyataan mereka tentang tahap radiasi yang rendah. Lynas sentiasa membisu mengenai thorium dalam sisa radioaktif mereka yang mempunyai jangka hayat yang sangat lama sehingga mencapai 14 bilion tahun

“Tetapi sayang sekali, ramai di dalam kerajaan juga tidak memahami isu pengurusan sisa yang betul dan yakin dengan cerita Lynas yang juga disampaikan kepada orang ramai,” katanya.

Sementara itu, Fuziah juga berkata Parlimen Kuantan mengalu-alukan sebarang pelaburan langsung asing (FDI) kecuali Lynas.

“Ya, kami mengalu-alukan FDI tetapi tidak seperti LYNAS. Kami mengalu-alukan FDI sehingga saya membantu mereka menyelesaikan isu kekurangan air yang sedang dihadapi oleh industri sekarang.

“Bagaimanapun, industri yang mencemari dan menganggap mereka berada di atas undang-undang tidak dialu-alukan di Kuantan dan Pahang dalam soal itu,” katanya.

Pada 24 Mac, Pengurus Besar Keselamatan Sinaran Lynas Malaysia, Prof. Dr. Ismail Bahari dilaporkan sebagai berkata bahawa tidak ada asas untuk mendakwa Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Gebeng, Kuantan boleh menyebabkan kejadian pencemaran sisa kimia serupa di Pasir Gudang, Johor .
– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Ismail bukukan perjuangan menentang Lynas demi generasi akan datang

OLEH : NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 18 APR: Ismail Abu Bakar mengambil keputusan mengabadikan liku perjuangan kumpulan penentang pembinaan Lynas di Kuantan dalam buku ‘Selamatkan Malaysia, Hentikan Lynas’ yang ditulisnya supaya menjadi bahan rujukan generasi akan datang.

Ismail, 68, berkata, buku diterbitkan Gerak Budaya Enterprise itu mampu menjadi salah satu sumber rujukan penting generasi muda untuk mengetahui kisah sebenar sebalik perjuangan bagi memastikan rakyat di kawasan sekitar kilang Lynas tidak menderita disebabkan kesan projek terbabit.

Buku Lynas“Saya bukan pandai atau pakar tetapi disebabkan semangat ada bersama kumpulan rakyat yang terjejas dalam pembinaan kilang Lynas ini menyebabkan saya mendokumentasikannya,” kata Ismail.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Buku Selamatkan Malaysia, Hentikan Lynas di Rumah Gerak Budaya, di sini, semalam.

Katanya, buku disunting Ketua Biro Alam Sekitar KEADILAN, Lee Chean Chung itu turut memuatkan kisah perjumpaan kumpulan penentang dengan seorang Senator Australia di Australia, Duta Australia ke Malaysia dan pelbagai pihak bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada pihak berkenaan.

Lebih menarik, buku mengandungi 153 muka surat itu turut menyenaraikan kesan protes dijalankan kumpulan penentang dan rakyat terhadap kerajaan termasuk kejayaan mendapatkan perintah mahkamah supaya menangguhkan operasi pengeluaran Lynas.

20160417_160316Kesan daripada perintah mahkamah itu, saham Lynas turut mengalami kejatuhan dan memberi masa lebih panjang untuk kumpulan protes menjalankan usaha lain bagi menghalang Lynas beroperasi.

Bagaimanapun, Ismail menyifatkan usaha kumpulan dan rakyat menentang pencemaran alam sekitar itu sebagai perjuangan yang belum selesai ekoran timbulnya isu bauksit di Kuantan.

Buku berharga RM18 senaskhah itu boleh dibeli di Rumah Gerak Budaya di No 2, Jalan Bukit 11/2, Petaling Jaya atau secara dalam talian di gbgerakbudaya.com/bookshop/.

EZY

Categories
NASIONAL

Kerajaan digesa bebaskan Natalie Lowrey segera tanpa syarat

Oleh : LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 27 JUN: Kerajaan Pusat digesa untuk segera membebaskan warga Australia, Natalie Lowrey daripada tahanan yang tanpa asas kukuh sejak enam hari lepas.

Dalam satu kenyataan bersama, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan 31 badan bukan kerajaan (NGO) lain menyifatkan penahanan yang sengaja dilanjutkan itu sebagai tindakan salah guna kuasa.

NatalieMereka berkata Natalie dan peserta lain tidak patut ditahan atas apa-apa dakwaan sekalipun kerana mereka sekadar berhimpun secara aman bagi menyatakan bantahan.

“Mereka sekadar memperjuangkan hak mereka untuk menyatakan pandangan dan berkumpul secara aman bagi memprotes projek yang berbahaya kepada kesihatan dan persekitaran rakyat di Kuantan.

“Tindakan aman mereka adalah sah dan tidak wajar dilihat sebagai satu jenayah.

“Kami menyeru dia dibebaskan serta merta dan tanpa sebarang syarat,” katanya.

Pada 22 Jun lepas, Natalie dan 15 aktivis tempatan ditangkap dan ditahan ketika mengadakan protes aman menentang projek Lynas di Gebeng Pahang.

SUARAM dan lain-lain turut menggesa Kerajaan Pusat memansuhkan Akta Perhimpunan Aman 2012 yang antara lain melarang warga asing daripada menganjur atau menyertai perhimpunan aman.

“Kami juga menyeru kerajaan untuk mendengar bantahan antarabangsa yang menuntut Natalie dibebaskan segera tanpa syarat .

“Kami juga mahu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) turut ke Kuantan bagi memastikan keperluan dan hak Natalie dilindungi,” katanya lagi.

Sejak dilancarkan pada 23 Jun lepas, petisyen antarabangsa membantah penahanan Natalie berjaya mengumpulkan lebih 14,000 tandatangan daripada seluruh dunia.

Petisyen itu diserahkan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi untuk perhatian dan tindakan selanjutnya.

EZY