Categories
AGENSI SELANGOR

LZS sumbang RM37,000 beli alat moden ukur arah kiblat

SHAH ALAM, 11 MAC: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyumbang RM37,000 kepada Jabatan Mufti negeri untuk pembelian alat pengukur arah kiblat berpandukan satelit.

Menurut Facebook agensi itu, alat berkenaan boleh mengukur dengan tepat ketika hujan, mendung dan waktu malam berbanding kaedah semasa bergantung kepada cerapan matahari.

“Sumbangan ini sebahagian inisiatif LZS dalam mengoptimum saluran wang zakat dengan menyantuni institusi agama dan memperkasa ummah, selain agihan bantuan bagi kebajikan asnaf,” katanya.

Bantuan diserahkan Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS Mohd Sabirin Mohd Sarbini kepada
Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir di sini hari ini.

Sistem Satelit Kedudulan Global (GNSS) yang turut berpandukan sistem penentududukan sejagat (GPS) bakal digunakan Jabatan Mufti bagi menggantikan Teodolit yang digunakan ketika ini.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LZS serah bakul makanan, bantu mangsa banjir di Hulu Langat

SHAH ALAM, 10 MAC: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyerahkan bakul makanan kepada 48 keluarga di Kampung Sungai Serai, Hulu Langat yang terjejas banjir pada Selasa.

Agensi memaklumkan bantuan diberikan semalam di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai yang dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selain melawat mangsa di rumah.

“Belum sempat lagi hendak bernafas lega, sekali lagi penduduk Kampung Sungai Serai, Hulu Langat diuji dengan banjir.

“Alhamdulillah hasil zakat yang ditunaikan, LZS dapat menyumbangkan bantuan dengan pantas serta meringankan beban mangsa banjir yang berlaku buat kali kedua dalam tempoh enam bulan,” kata agensi di Facebook hari ini.

Pada Disember LZS mengumumkan bantuan RM600 kepada mangsa banjir negeri ini termasuk bukan asnaf.

Sebanyak RM10,000 turut diagihkan kepada ketua operasi agihan daerah sebagai bantuan kecemasan selain RM250,000 bagi sumbangan makanan kering dan barangan keperluan asas.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pelawak terkenal tolak bantuan LZS, rumah siap empat bulan lagi

SHAH ALAM, 16 FEB: Walau rumahnya yang hampir siap hanyut dalam banjir Disember lalu, pelawak terkenal tetap menolak bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Ebby Yus, 56, menolak tawaran tersebut kerana berasa lebih ramai lagi mangsa bah yang memerlukan, selain beliau yakin dirinya masih mempunyai kudrat untuk bekerja.

“Saya bukan asnaf. Saya tahu LZS mahu ringankan beban tetapi saya boleh lagi keluar bekerja. Jadi biarlah LZS bantu mereka yang benar-benar memerlukan” katanya pada 16 Februari.

Ebby, atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid, bagaimanapun menerima bantuan RM56,000 daripada kerajaan persekutuan dan RM1,000 Bantuan Selangor Bangkit (BSB).

Sekarang menyewa di Kampung Baru, Kuala Lumpur, beliau menjelaskan rumahnya di tepi Sungai Lui, Hulu Langat dijangka dapat disiapkan empat bulan lagi.

“Alhamdulillah. Memang rumah baharu ini tidak sama dengan rumah lama tetapi sudah mencukupi. Rumah didirikan di tapak sama cuma jauh sedikit dari sungai,” katanya.

Rumah impiannya yang hampir siap musnah dihanyutkan bah pada 18 Disember tahun lalu menyebabkan beliau kerugian hampir RM200,000.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jumlah kutipan zakat naik tahun lalu, sasar RM1 bilion pada 2022

SHAH ALAM, 4 FEB: Jumlah kutipan zakat di Selangor mencecah RM992 juta pada 2021, meningkat RM79 juta berbanding tahun sebelumnya, umum Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata jumlah agihan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) turut bertambah RM52 juta kepada RM919 juta pada tahun lalu.

“Kita sasarkan LZS mampu mencapai kutipan RM1 bilion tahun ini selepas kecemerlangan dipamerkan tahun lalu,” katanya menerusi ucapan Perutusan Pengerusi Mais baru-baru ini.

Abdul Aziz turut mengucapkan tahniah kepada agensi itu kerana berjaya merangkul anugerah antarabangsa sebagai The Best Company in Asia 2021.

Beliau berkata pengiktirafan dunia itu bukti kecemerlangan LZS sebagai agensi bawah Mais dan wajar dicontohi pihak lain bagi meningkatkan pencapaian.

“Insya-Allah dengan kejayaan itu saya yakin LZS mampu mencapai sasaran memberangsangkan pada tahun ini,” katanya lagi.

Categories
AGENSI SELANGOR

Mangsa kebakaran di Gombak terima bantuan Zakat Selangor

SHAH ALAM, 3 FEB: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyantuni empat keluarga terlibat kebakaran di Kampung Sri Makmur, Seri Gombak dekat sini.

Agensi itu menerusi Facebook memaklumkan semua keluarga tersebut turut menerima sumbangan kecemasan bagi meringankan beban.

“Baki bantuan akan disalurkan setelah Zakat Selangor menerima dokumen yang lengkap daripada mereka.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba. Semoga mereka diberi kesabaran dan ketabahan atas ujian ini serta dimudahkan segala urusan,”katanya.

LZS turut mengucapkan terima kasih kepada pembayar zakat dan sudah disampaikan kepada mereka yang memerlukan.

Kejadian kebakaran yang berlaku pada 28 Januari lepas melibatkan empat buah rumah.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LZS agih RM7.5 juta bantu 150 masjid, sekolah agama terkesan bah

SHAH ALAM, 28 JAN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntuk RM7.5 juta bagi membantu 150 masjid, surau dan sekolah agama di negeri ini yang terjejas banjir.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Saipolyazan M. Yusop berkata sumbangan itu bagi menggantikan karpet, peralatan masjid, perabot sekolah dan buku teks yang musnah.

“Melalui peruntukan pascabanjir itu, setiap masjid, surau dan sekolah agama menerima sumbangan zakat sehingga maksimum RM50,000,” katanya dalam kenyataan.

Simbolik penyerahan bantuan disempurnakan Saipolyazan kepada Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Agama Islam Selangor Salwana Ahmad Dahlan dalam satu majlis di sini hari ini.

Sebelum itu, LZS turut menyerahkan kerusi dan meja kepada Kafa Integrasi Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang dan bantuan pembelian karpet kepada Masjid Ar-Rahmah, Bukit Changgang.

Seramai 47,413 mangsa bah menerima bantuan zakat berjumlah RM37.17 juta setakat 31 Disember lalu.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Selangor sukacita inisiatif LZS bantu mangsa banjir

SHAH ALAM, 24 JAN: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menzahirkan rasa sukacita dengan usaha dan inisiatif Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di seluruh Selangor pada 18 Disember tahun lalu.

Ia susulan tindakan proaktif LZS mengagihkan sumbangan awal ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berupa 5,000 pek makanan bermasak, makanan kering dan barang keperluan harian seperti mana dititah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Baginda menitahkan agensi Kerajaan Negeri itu menyegerakan bantuan kepada mangsa terjejas di setiap daerah sebaik dimaklumkan mengenai bencana terburuk dalam tempoh 20 tahun itu.

“Bantuan kewangan kecemasan sebanyak RM600 kepada mangsa banjir dalam kalangan asnaf dan bukan asnaf turut disalurkan.

“LSZ turut menyediakan platform portal, LZS Peduli untuk menyegerakan dan mempermudah proses permohonan bantuan,” menurut Selangor Royal Office menerusi Facebook.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) Saipolyazan M Yusop (kanan) melihat keaadaan rumah mangsa banjir ketika LZS turun padang menjalankan bancian dan semakan di Kampung Bukit Lanchong, Shah Alam pada 11 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sultan Selangor berharap bantuan LZS itu dapat mengurangkan beban mangsa banjir yang terkesan dan berupaya membantu mereka bangkit kembali selepas dilanda musibah.

LZS mengeluarkan bantuan zakat kepada 47,413 penerima dalam kalangan mangsa bencana itu berjumlah RM37.17 juta sehingga 31 Disember tahun lalu.

Categories
AGENSI SELANGOR

LZS tutup sementara cawangan Kuala Selangor, operasi di pejabat agama

SHAH ALAM, 24 JAN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menutup sementara cawangannya di Kuala Selangor mulai hari ini untuk kerja pengubahsuaian demi keselesaan pelanggan.

Berikutan itu, cawangan terbabit akan beroperasi di kaunter sementara Pejabat Agama Islam Kuala Selangor di Jalan Perbandaran, Bandar Malawati, maklum LZS.

“Kerja ubah suai ini bertujuan menambah baik kemudahan buat pelanggan kami ketika berurusan. Kami mohon maaf atas kesulitan yang berlaku,” kata agensi itu di Facebook hari ini.

Untuk keterangan lanjut, layari laman web www.zakatselangor.com.my, e-mel
[email protected] atau hubungi 1300-88-4343.

Categories
AGENSI SELANGOR

LZS santuni penghuni 31 rumah terjejas banjir di Puchong

SHAH ALAM, 22 JAN: Sebanyak 31 rumah yang terkesan banjir di Kampung Tengah, Puchong menerima bantuan baik pulih daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Agensi berkata sebahagian isi rumah terjejas didaftar sebagai asnaf dan dibantu untuk baik pulih rumah manakala sebahagian lagi menerima Bantuan Banjir Zakat Selangor (LZSPeduli).

“LZS turut membuat serahan barangan keperluan asas kepada beberapa wakil penerima asnaf seperti toto, barang keperluan solat dan makanan.

“Selain itu, LZS juga menyerahkan dana baik pulih kepada Masjid Nurul Iman, Kampung Tengah berjumlah RM35,000 akibat daripada bencana banjir baru-baru ini,” katanya menerusi Facebook.

Agensi berharap dengan dana tersebut ahli kariah dan orang ramai dapat menggunakan kembali fasiliti masjid berkenaan dan beribadah dengan sempurna.

LZS menambah serahan bantuan dan ziarah itu dirasmikan Ketua Divisyen Operasi Agihan Sabirin Sarbini yang disertai pegawai operasi Daerah Petaling, penghulu, nazir dan ketua kampung.

Categories
AGENSI PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

LZS peruntuk hampir RM400,000 baik pulih 11 sekolah rendah agama

SHAH ALAM, 20 JAN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) meluluskan peruntukan berjumlah RM397,825 untuk baik pulih 11 sekolah rendah agama di daerah Kuala Selangor.

Agensi itu memaklumkan setiap sekolah menerima antara RM19,000 hingga RM50,000 menerusi peruntukan diluluskan pada Disember tahun lalu.

“Kelulusan ini dalam bentuk surat jaminan (GL) dan membolehkan pihak sekolah menambah baik prasarana bagi meningkatkan keselesaan pelajar dalam mengikuti sesi pembelajaran.

“Alhamdulillah. Terima kasih pengeluar zakat,” katanya menerusi Facebook semalam.

Terdahulu, simbolik serahan cek cura disempurnakan Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS Mohd Sabirin Mohd Sarbini.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LZS hulur bantuan kepada keluarga wanita maut dipenggal

SHAH ALAM, 18 JAN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) semalam menyerahkan bantuan kepada keluarga wanita yang meninggal dunia akibat dipenggal kepala oleh anak lelakinya di Kampung Baru Pasir Penambang, Kuala Selangor pada 15 Januari lalu.

Agensi itu menerusi Facebook berkata keluarga itu yang juga asnafnya akan turut menerima bantuan khairat kematian.

Tambahnya, LZS pada tahun lalu telah memberikan rumah zakat untuk membantu keluarga berkenaan memulakan kehidupan namun bertukar tragedi akibat penyalahgunaan dadah oleh anak mereka.

“Kami serahkan sedikit bantuan kecemasan dan akan menyalurkan bantuan khairat kematian bagi meringankan sedikit bebanan beliau (suami mangsa),” katanya di sini hari ini.

LZS turut berharap semua lapisan masyarakat memainkan peranan mencegah penyalahgunaan dadah selain memulakannya di peringkat awal pendidikan.

Dalam kejadian Sabtu lalu, seorang wanita berusia 56 tahun maut selepas dibunuh anaknya yang berada di bawah pengaruh dadah berdasarkan siasatan polis.

Suspek juga mempunyai rekod melakukan ugutan ke atas ibunya pada 2014 dan sudah menjalani hukuman.

Categories
AGENSI SELANGOR

LZS kenal pasti 14 rumah asnaf terjejas banjir untuk dibina semula

SHAH ALAM, 18 JAN: Sebanyak 14 rumah asnaf fakir seluruh Selangor terjejas banjir pertengahan bulan lalu dikenal pasti untuk pembinaan semula setakat ini, manakala 56 lagi dibaik pulih.

Ketua divisyen operasi agihan asnaf Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkata proses bancian sedang berjalan di lapan daerah sehingga akhir bulan ini bagi mengenal pasti asnaf memerlukan bantuan.

“Kita sasarkan 32 rumah asnaf fakir terlibat bencana akan dibina semula dan 150 lagi dibaik pulih,” kata Mohd Sabirin Mohd Sarbini kepada Selangorkini.

Sementara itu, beliau berkata 64 rumah di Kampung Bukit Lanchong di sini yang menjadi lokasi paling teruk dilanda banjir dibanci sebagai asnaf fakir dan miskin.

Menurutnya, sebanyak 15 keluarga pula layak didaftarkan sebagai asnaf LZS dengan sebuah rumah akan dibina manakala 20 lagi dibaik pulih.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) Saipolyazan M Yusop (kanan) bersama petugas melihat keaadaan rumah mangsa banjir ketika LZS turun padang menjalankan bancian dan semakan di Kampung Bukit Lanchong, Shah Alam pada 11 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Mohd Sabirin turut memaklumkan buat masa ini ada mangsa banjir tinggal bersama saudara atau menyewa di luar, termasuk keluarga yang layak bantuan sewa rumah LZS.

Pada 11 Januari lalu, Ketua Pegawai Eksekutif LZS Saipolyazan M Yusop memaklumkan kerja pembinaan semula rumah asnaf terjejas dijangka bermula Februari ini dengan peruntukan RM93,000 bagi setiap unit.

Katanya, peruntukan rumah dibaik pulih pula berjumlah RM31,500 setiap unit mengikut jenis kerosakan.