Categories
AGENDA NASIONAL

Belia digalak bekerja di kedai elak pengambilan warga asing

IPOH, 8 SEPT: Kementerian Sumber Manusia menggalakkan anak muda tempatan supaya menceburkan diri dalam pekerjaan di kedai bagi mengelakkan kebergantungan terhadap pekerja warga asing di negara ini.

Menterinya, M. Kulasegaran berkata, kebanyakan anak muda pada masa kini yang berjaya menjadi usahawan dalam pelbagai bidang perniagaan seperti berasaskan minuman juga wajar dijadikan contoh.

“Contohnya, Kedai Tea Aroi berasaskan minuman di Pekan Lama Ipoh ini diusahakan orang muda dan semua pekerjanya warga tempatan malah tidak memohon untuk mendapatkan pekerja warga asing,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Seni Mural dan Pembukaan Kedai Tea Aroi di Pekan Lama di sini, hari ini.

Turut hadir Datuk Bandar Ipoh, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan rakan kongsi Tea Aroi, yang hanya mahu dikenali sebagai Simon Ng.

Dalam pada itu, Kulasegaran berkata, tahap keselamatan di sekitar Ipoh perlu ditingkatkan sempena Tahun Melawat Malaysia pada tahun hadapan memandangkan ia antara lokasi tumpuan pelancong yang mempunyai pelbagai tarikan.

“Difahamkan jumlah kemasukan pelancong semakin meningkat pada tahun ini yang mana memberi keuntungan kepada rakyat dan dapat menyumbangkan pendapatan kepada negara, jadi keselamatan pelancong perlu ditingkatkan supaya mereka berasa selamat di sini.

“Pihak polis perlu sentiasa berada di kawasan tumpuan pelancong untuk memperbaiki tahap keselamatan manakala Datuk Bandar boleh menumpukan perhatian bagi meningkatkan tarikan pelancongan di Pekan Lama,” katanya.

Majlis pembukaan itu turut diserikan dengan persembahan kompang daripada 14 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tambun, tarian India dan tarian Singa yang turut menarik perhatian orang ramai di Pekan Lama.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Syor gaji minimum diserah tahun depan

BENTONG, 20 APARIL: Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji Minimum dijangka menyerahkan syor berhubung kadar gaji minimum baharu kepada kerajaan selewat-lewatnya Ogos tahun depan, kata Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran.

Katanya pada masa ini jawatankuasa itu masih pada peringkat mendapatkan pandangan pihak berkepentingan.

“Selepas mendapatkan kadar yang bersesuaian, jawatankuasa berkenaan akan mengemukakan cadangan tersebut kepada saya untuk dibentangkan kepada jemaah menteri sebelum diputuskan dan diumumkan kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kem Kesihatan Karak di Sekolah Menengah Kebangsaan Karak Setia, di sini hari ini.

Kulasegaran diminta mengulas desakan Majlis Belia Malaysia (MBM) agar kerajaan Pakatan Harapan meningkatkan kadar gaji minimum kepada RM1,500 bagi meringankan beban yang ditanggung rakyat terutamanya golongan muda.

Presiden MBM Jufitri Joha sebelum ini dilaporkan berkata kadar sedia ada sebanyak RM1,100 tidak mencukupi berikutan peningkatan kos sara hidup sekarang. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kerajaan lancar Indeks Gaji Kebangsaan ukur upah, gaji

PUTRAJAYA, 19 FEB: Kerajaan hari ini melancarkan Indeks Gaji Kebangsaan (NWI) sebagai garis panduan bagi mengukur perubahan upah dan gaji pekerja, di pasaran buruh Malaysia.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran berkata, ia adalah satu daripada 11 inisiatif konsolidasi pasaran buruh di bawah Rancangan Malaysia ke-11 dalam bidang prioriti meningkatkan produktiviti, mendorong pewujudan kerja dan menaikkan struktur gaji.

Katanya, indeks yang pertama di negara itu boleh digunakan majikan sebagai panduan dalam menetapkan tahap gaji untuk pelarasan dan input kepada dasar sumber manusia mereka.

“Pekerja dan pencari kerja boleh menilai perubahan gaji mereka dengan trend pasaran buruh yang lebih luas serta dalam laluan kerjaya mereka,” katanya selepas melancarkan NWI, lapor BERNAMA.

Katanya, kerajaan boleh menggunakan NWI untuk memantau pelarasan gaji, sebagai input bagi menetapkan gaji dan menyemak gaji minimum untuk pertimbangan dasar.

Beliau berkata, NWI dibangunkan Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh berdasarkan tinjauan suku tahunan berkenaan maklumat dan pelarasan daftar gaji antara September 2016 hingga Jun 2018.

“Antara keputusan utama tinjauan itu menunjukkan gaji asas naik 8.2 peratus sepanjang lapan suku tahun dan kementerian akan menerbitkan NWI, pada setiap suku tahun serta terbitan akan datang ialah pada suku kedua 2019,” katanya.

Pada masa sama, Kulasegaran berkata, kerajaan akan memberi fokus kepada meningkatkan penyertaan wanita, pesara berusia lebih 60 tahun dan orang kurang upaya sebagai pekerja prospektif dalam kumpulan buruh.

“Kita tidak harus membiarkan bakat dan pengalaman pekerja lebih tua dibazirkan oleh kerana mereka boleh menyumbang banyak kepada pertumbuhan ekonomi,” katanya.

*Sumber: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Malaysia kawal ketat kemasukan buruh asing

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 28 NOV: Malaysia bakal mengikut jejak langkah beberapa negara maju termasuk Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Hong Kong bagi mengawal kemasukan buruh asing ke negara ini.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran berkata, antara langkahnya ialah mewajibkan setiap buruh asing yang bekerja dalam pelbagai sektor perkhidmatan dan pengeluaran, untuk pulang ke negara asal selepas permit mereka tamat tempoh.

“Itu hasrat mana-mana negara sekalipun tetapi di Malaysia, kita berdepan masalah apabila buruh asing terus menetap di sini sehingga agensi penguat kuasa terpaksa mengerahkan operasi memburu mereka.

“Kita tidak mahu membebankan agensi penguat kuasa, selain memperuntukkan kos penghantaran pulang dan penahanan buruh asing yang berdegil,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Buruh ASEAN Ke-25, di sini, hari ini.

Kulasegaran berkata, mesyuarat itu disertai menteri buruh dari 10 negara anggota ASEAN, termasuk Malaysia dengan sokongan Sekretariat ASEAN dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa.

Katanya, ia adalah mesyuarat tertinggi yang berperanan menggubal dan membuat keputusan berkenaan program serta aktiviti perburuhan berdasarkan Rangka Tindakan Komuniti Sosia-Budaya ASEAN.

“Menteri-menteri Buruh ASEAN akan menyatakan sokongan terhadap ‘ASEAN Declaration on Promoting Green Jobs for Equity and Enclusive Growth of ASEAN Community’,” katanya.

Categories
NASIONAL

Kerajaan setuju lanjut tempoh pekerja asing pegang PLKS

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 12 SEPT: Kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh kebenaran bekerja kepada pekerja asing yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan sudah mencapai penggajian ke-10, kata Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran.

Bagaimanapun, katanya, ia hanya terhad kepada maksimum tiga tahun dan perlu diperbaharui setiap tahun.

“Pekerja asing berkenaan tidak layak memohon Permit Masuk atau taraf Pemastautin Tetap dan kewarganegaraan Malaysia.

“Pelanjutan tempoh kebenaran bekerja kepada pekerja asing yang memegang PLKS akan dilaksanakan mulai 1 Oktober ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kulasegaran berkata, kadar levi RM10,000 setahun akan dikenakan dan ditanggung majikan serta hanya dilaksanakan ke atas pekerja asing dalam sektor formal yang dibenarkan sahaja.

Katanya, antara sektor formal dimaksudkan adalah perkilangan, pembinaan, perladangan, perkhidmatan, pertanian dan perlombongan serta kuari tidak termasuk sektor yang dibekukan dan syarikat penyumberluaran.

“Hal ini bagi membolehkan majikan mengekalkan pekerja asing mereka yang sudah mempunyai kemahiran,” katanya.

Terdahulu, kutipan levi pekerja asing diperkenalkan Kerajaan Malaysia sejak 1992 dan ditanggung sepenuhnya pekerja asing.

Pada 25 Mac 2016, jemaah jenteri bersetuju supaya bayaran levi pekerja asing ditanggung majikan, berkuat kuasa 1 Januari 2018.

Categories
NASIONAL

Kerajaan pertahan hak pekerja tempatan

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 24 JULAI: Kerajaan Persekutuan akan tetap mempertahankan nasib pekerja tempatan walaupun urusan pentadbiran diambil alih syarikat luar.

Menteri Tenaga Manusia, M Kulasegaran berkata, penggajian pekerja asing hanya dibenarkan dalam sektor dan subsektor tertentu sahaja serta membabitkan pekerjaan asas berdasarkan dokumen Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

“Seksyen 60M, Akta Kerja 1955 (Akta 265), memperuntukkan tiada majikan boleh menamatkan perkhidmatan pekerja tempatan dengan tujuan mengambil seorang pekerja asing.

“Menurut Seksyen 60N dibawah akta sama, jika majikan dikehendaki mengurangkan tenaga kerja disebabkan lebihan pekerja, maka majikan tidak boleh menamatkan perkhidmatan seseorang pekerja tempatan melainkan pekerja asing dalam kategori pekerjaan sama terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan dikemukakan Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, pada sesi jawab lisan, di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada masa sama, Naib Presiden DAP itu berkata, Kerajaan menetapkan nisbah antara pekerja tempatan dan asing bagi setiap sektor dan subsektor demi menjamin peluang pekerjaan rakyat tempatan.

“Sebagai contoh bagi sektor perkilangan, syarikat berorientasikan eksport, nisbah kelayakan bagi pekerja tempatan kepada pekerja asing adalah 1:3.

“Bagi syarikat bukan berorientasikan eksport, nisbah kelayakan adalah 1:1, manakala syarikat subsektor elektrik dan elektronik nisbah kelayakan 2:1,” katanya.

Berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Imigresen Malaysia sehingga 31 Mei lalu, seramai 1.78 juta pekerja asing diberikan permit kerja melalui Pas Lawatan Kerja Sementara dalam lima sektor formal dan satu tidak formal.

Categories
NASIONAL

Komited perkasa pendidikan masyarakat India

SHAH ALAM, 22 JULAI: Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) akan terus memperkasa pendidikan masyarakat India, selaras manifesto gabungan itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran berkata, ia termasuk menyediakan kemudahan pendidikan berkualiti dan sekolah yang sempurna serta selesa.

“Kita akan teruskan pembinaan enam Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil yang dilaksanakan sejak setahun lalu, malah isu ini dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet, baru-baru ini.

“Kerajaan bersetuju supaya SJK tidak kira Tamil atau Cina akan disiapkan tanpa diskriminasi walaupun kekurangan kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan masyarakat India, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.

Kulasegaran berkata, sehingga kini, terdapat 525 SJK Tamil di seluruh negara.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya yakin masyarakat India di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis akan terus menyokong calon PAKATAN di kawasan berkenaan, pada Pilihan Raya Kecil, 4 Ogos ini.

“Keyakinan ini bersandarkan kepada lebih 80 peratus masyarakat India menunjukkan sokongan kepada PAKATAN, pada PRU14 lalu,” katanya.