Categories
AGENDA SUKANKINI

Badminton Asia: Pearly Tan hadiah kemenangan atasi Jepun buat Thinaah

SHAH ALAM, 16 FEB: Pemain beregu wanita negara Pearly Tan menghadiahkan kemenangan ke atas Jepun dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 kepada rakan gandingan M Thinaah yang tidak dapat bersama selepas disahkan positif Covid-19.

Pearly, 22, mengakui sedih walaupun berjaya menyumbang mata penyamaan untuk Malaysia dalam aksi pembukaan kumpulan Y di Pusat Konvensyen Setia City dekat sini semalam.

“Thinaah ada hubungi saya dan dia sedih dengan apa yang berlaku. Saya pun terkejut sebaik dimaklumkan dia positif Covid-19.

“Namun, jurulatih cakap jangan banyak fikir, mesti berjuang untuk dapatkan mata buat pasukan. Jadi, perjuangan saya di gelanggang hari ini (semalam) adalah untuknya,” katanya kepada pemberita selepas Malaysia menundukkan Jepun 3 – 2.

Dalam perlawanan menentang Rui Hirokami-Yuna Kato, Pearly digandingkan sementara bersama Valeree Siow dan berjaya memberikan mata kedua Malaysia dengan keputusan 24-22, 21-18.

Valeree, 20, berkata banyak dipelajari ketika bermain dengan Pearly menentang lawan dari Jepun selain menjadi pengalaman bermakna buat dirinya.

“Cuma saya sendiri perlu lebih tenang dan kurang melakukan kesilapan,” katanya.