Categories
SELANGOR

Laksana program padanan kerja, bantu golongan hilang pendapatan

AMPANG, 16 SEPT: Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya akan mengadakan program padanan kerja bagi membantu individu hilang pendapatan akibat Covid-19.

Penyelarasnya Daing Muhammad Reduan Bachok berkata pihaknya sedang mengatur pertemuan dengan beberapa syarikat yang bersedia menawarkan peluang pekerjaan kepada golongan terjejas

“Soal pekerjaan sangat penting ketika ini memandangkan Selangor telah beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang mana rakyat perlu meneruskan kelangsungan hidup dengan bekerja dan mencari pendapatan.

“Apabila bekerja, kadar kebergantungan mereka terhadap kerajaan berkurang. Jadi, kita cuba aturkan dengan beberapa syarikat misalnya pasar raya untuk menawarkan pekerjaaan,” katanya kepada Selangorkini.

Ditemui pada program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Dataran Santai Ampang Point hari ini, Daing berkata inisiatif padanan kerja akan menyasarkan semua peringkat usia dan golongan yang diberhentikan.

“Kita tahu ramai terkesan bukan sahaja golongan berpendapatan rendah (B40) tetapi berpendapatan sederhana (M40) yang sebelum ini memiliki pendapatan yang stabil.

“Memang banyak platform pencarian kerja dalam laman sesawang tetapi kita berusaha untuk bantu selagi boleh, dari situ kita akan lihat dan nilai supaya mereka boleh dapat kerja,” katanya.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

20 peratus golongan menengah beralih ke B40 akibat pandemik

KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Sebanyak 20 peratus daripada kumpulan isi rumah M40 yang berpendapatan di antara RM4,850 dan RM10,959 beralih kepada kumpulan B40 akibat kesan pandemik Covid-19, menurut Laporan Anggaran Pendapatan Isi Rumah dan Insiden Kemiskinan Malaysia 2020.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata laporan itu mendedahkan isi rumah yang berada dalam kumpulan T20 didapati turut terkesan apabila 12.8 peratus isi rumah daripada kumpulan itu beralih kepada kumpulan M40.

“Memandangkan peratus penurunan pendapatan bagi isi rumah B40 dan M40 adalah lebih besar berbanding kumpulan isi rumah T20, maka agihan pendapatan bagi B40 dan M40 masing-masing menurun kepada 15.9 peratus (2019: 16.0 peratus) dan 36.9 peratus (2019: 37.2 peratus).

“Sementara itu, kumpulan T20 memiliki 47.2 peratus pendapatan, meningkat sebanyak 0.4 mata peratus berbanding 2019,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Laporan tersebut memuatkan dapatan kajian kesan Covid-19 ke atas pendapatan isi rumah serta statistik insiden kemiskinan di Malaysia tahun lepas.

Menurut laporan itu, Mohd Uzir berkata pendapatan purata isi rumah turut mencatatkan penurunan 10.3 peratus iaitu RM7,089 berbanding RM7,901 pada 2019.

Beliau menjelaskan faktor penurunan tersebut disebabkan isi rumah atau individu yang mengalami kehilangan atau pengurangan pendapatan, terutamanya mereka yang berstatus pekerja dan bekerja sendiri.

“Tambahan pula, pengurangan pendapatan ini bukan sahaja akibat daripada kehilangan pekerjaan malah turut disumbangkan oleh pengurangan jam bekerja dan peningkatan guna tenaga tidak penuh berkaitan dengan kemahiran,” katanya.

Ketua Perangkawan turut menambah, berdasarkan kajian tersebut, dianggarkan bilangan isi rumah miskin meningkat kepada 639.8 ribu isi rumah, berbanding 405.4 ribu isi rumah pada 2019, dengan Sabah mencatatkan peratusan tertinggi bagi insiden kemiskinan mutlak iaitu 25.3 peratus (2019: 19.5 peratus).

Secara keseluruhan, beliau berkata penularan pandemik Covid-19 memberi impak luar jangka kepada pendapatan isi rumah dan mengubah struktur kumpulan isi rumah, bagaimanapun, keadaan ekonomi dijangka bertambah baik dan pulih apabila penularan pandemik ini dapat diatasi.

Katanya, berdasarkan analisis itu, peranan Kerajaan Persekutuan dan negeri serta pelbagai pihak adalah penting dalam mengurangkan kesan pandemik, ke arah memulihkan pendapatan isi rumah dan ekonomi negara.

-BERNAMA

Categories
RENCANA

Subsidi internet setahun buat golongan pendapatan menengah

SHAH ALAM, 5 OGOS: Skim Internet Selangor Kategori M40 (SISM40) menawarkan subsidi yuran langganan pakej dari RM10 hingga RM30 sebulan selama setahun.

Tawaran itu boleh dinikmati dengan melanggan satu daripada lapan pakej iaitu keluarga, bujang dan asas.

Bertujuan membantu golongan berpendapatan pertengahan (M40), inisiatif tersebut dijayakan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dengan kerjasama Telekom Malaysia Berhad (TM).

SISM40 antara bantuan dalam Pakej Kita Selangor 2.0 yang dibentang Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bagi mengatasi kesulitan penduduk di negeri ini ketika pandemik.

Untuk peringkat awal, permohonan dibuka mulai 1 Julai hingga 31 Disember.

Kelayakan

  • warganegara yang bermastautin di Selangor lebih lima tahun
  • berusia 18 tahun ke atas
  • khusus untuk isi rumah berpendapatan RM4,851 hingga RM10,970
  • tidak disenarai hitam syarikat telekomonunikasi
  • untuk langganan baharu sahaja
  • satu rumah, satu pakej permohonan
  • pelanggan unifi Lite (Streamyx) sedia ada boleh memohon

Tiga pakej

  • Pakej Keluarga
  • Pakej Bujang
  • Pakej Asas

Pilihan Pakej Keluarga

SISM40 FAMILY300
– bayaran RM267 sebulan dengan kontrak 24 bulan (jimat RM30 sebulan untuk 24 bulan)
– kelajuan 300Mbps
– lebih 70 saluran premium beserta unifi Plus Box
– aplikasi unifi PlayTV untuk lima peranti
– percuma 600 minit panggilan ke talian tetap dan mudah alih
– langganan percuma selama sebulan untuk pelan jalur lebar
– Kad SIM 1 (data, panggilan dan mesej tanpa had)
– Kad SIM 2 (5GB data)

SISM40 FAMILY30
– bayaran dengan RM177 sebulan dengan kontrak 24 bulan (jimat RM10 sebulan untuk 12 bulan)
– kelajuan 30Mbps
– aplikasi unifi PlayTV untuk dua peranti (saluran TV Free-to-Air percuma)
– langganan percuma selama sebulan untuk pelan jalur lebar
– Kad SIM 1 (data, panggilan dan mesej tanpa had)
– Kad SIM 2 (5GB data)

Pilihan Pakej Bujang

SISM40 SINGLE300
– bayaran RM228 sebulan (jimat RM30 sebulan untuk 24 bulan)
– kelajuan 300Mbps
– lebih 70 saluran premium beserta unifi Plus Box
– aplikasi unifi PlayTV untuk lima peranti
– percuma 600 minit panggilan ke talian tetap dan mudah alih
– langganan percuma selama sebulan untuk pelan jalur lebar
– Kad SIM 1 (data, panggilan dan mesej tanpa had)

SISM40 SINGLE100
– bayaran RM168 sebulan (jimat RM20 sebulan selama 12 bulan)
– kelajuan 100 Mbps
– aplikasi unifi PlayTV untuk dua peranti (saluran TV Free-to-Air percuma)
– percuma 600 minit panggilan ke talian tetap dan mudah alih
– langganan percuma selama sebulan untuk pelan jalur lebar
– Kad SIM 1 (data, panggilan dan mesej tanpa had)

SISM40 SINGLE30
– bayaran dengan RM138 sebulan (jimat RM10 sebulan untuk 12 bulan)
– kelajuan 30Mbps
– aplikasi unifi PlayTV untuk dua peranti (saluran TV Free-to-Air percuma)
– langganan percuma selama sebulan untuk pelan jalur lebar
– kad SIM 1 (data, panggilan dan mesej tanpa had)

Pakej Asas

SISM40 HOME300
– bayaran RM189 sebulan (jimat RM10 sebulan untuk 12 bulan)
– kelajuan 300Mbps
– lebih 70 saluran premium berserta unifi Plus Box
– aplikasi unifi PlayTV untuk lima peranti
– percuma 600 minit panggilan ke talian tetap dan mudah alih
– langganan percuma selama sebulan untuk pelan jalur lebar

SISM40 HOME100
– bayaran RM119 sebulan (jimat RM10 sebulan untuk 12 bulan)
– kelajuan 100Mbps
– aplikasi unifi PlayTV untuk dua peranti (saluran TV Free-to-Air percuma)
– percuma 600 minit panggilan ke talian tetap dan mudah alih
– langganan percuma selama sebulan untuk pelan jalur lebar

Cara pendaftaran

  • layari https://www.sism40.com.my/
  • 56 pejabat Dewan Undangan Negeri Selangor
  • talian bantuan 03-5030 4595 / 4596 antara jam 9 pagi hingga 5 petang

Makluman lain

  • pendahuluan RM100 untuk perkhidmatan jalur lebar unifi Home
  • kontrak selama 24 bulan
  • permohonan lulus dimaklumkan melalui e-mel dalam 14 hari bekerja
  • semakan boleh dibuat menerusi laman sesawang https://www.sism40.com.my
  • pelanggan yang berpindah dari Selangor tidak layak untuk menikmati SISM40

Untuk pertanyaan

  • Live Chat di unifi.com.my atau melalui aplikasi myunifi
  • Community di community.unifi.com.my/
  • Facebook di facebook.com/weareunifi
  • Twitter di @helpmeunifi
Categories
AGENSI SELANGOR

M40 disaran rebut peluang mohon subsidi internet Kerajaan Selangor

SHAH ALAM, 13 JULAI: Isi rumah kategori M40 di Selangor diminta mengambil peluang memohon Skim Internet Selangor Kategori M40 (SISM40) yang menawarkan rebat penjimatan sebanyak RM120 hingga RM360 setahun.

Pengurus SISM40 berkata setakat ini lebih 100 individu memohon subsidi internet Kerajaan Selangor itu yang dibuka dari 1 Julai sehingga 31 Disember 2021.

“Mereka yang mempunyai tangga gaji lingkungan lebih RM4,500 sehingga RM10,000 seperti doktor, peguam boleh memohon.

“Dalam situasi pandemik yang memerlukan individu itu bekerja dari rumah serta anak-anak mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) adalah digalak untuk memohon SISM40,” kata Muhammad Ismail ketika dihubungi.

Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui https://www.sism40.com.my/.

Pada 30 Jun Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) MBI berkata golongan berkenaan boleh menikmati subsidi antara RM10 hingga RM30 sebulan selama setahun dengan melanggan satu daripada lapan pakej ditawarkan di bawah pakej keluarga, bujang dan asas.

Menerusi Pakej Kita Selangor 2.0, Dato’ Menteri Besar mengumumkan SISM40 membabitkan kerjasama MBI dan Telekom Malaysia Berhad (TM) selepas menyedari kesulitan  rakyat negeri ini mendepani Covid-19.

Dato’ Seri Amirudin Shari turut mengumumkan program Data Internet Selangor memanfaatkan 70,000 golongan sasar termasuk penjaja kecil, pelajar, ibu tunggal, pemandu teksi, warga emas dan pekerja ekonomi sampingan.

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bank sedia lanjutkan bantuan, moratorium susulan PKP 2.0

KUALA LUMPUR, 18 JAN: Pihak industri perbankan bersedia membantu kalangan peminjam atau pelanggan mereka yang terjejas susulan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa negeri dan Wilayah Persekutuan.

Dalam kenyataan bersama pada Ahad, Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) berkata institusi kewangan terbabit akan terus melanjutkan bantuan pembayaran balik, termasuk melanjutkan moratorium sedia ada kepada individu yang terbukti terjejas akibat PKP.

Pada masa sama, bank-bank juga mengumumkan lanjutan bantuan bayaran balik bagi mangsa-mangsa banjir berkaitan dan mereka telah diminta untuk menghubungi bank masing-masing bagi tujuan itu.

Menurut ABM dan AIBIM, lanjutan itu membabitkan semua skim bantuan bayaran balik bersasar yang diumumkan sebelum ini.

“Ini terutamanya membabitkan pelanggan yang kehilangan kerja pada 2020 atau 2021. Mereka boleh memohon bagi bantuan itu untuk tempoh tiga bulan pada bila-bila masa pada atau sebelum 30 Jun, 2021.

“Selain itu, individu yang masih bekerja tetapi pendapatan mereka dikurangkan susulan pandemik ini, juga boleh memohon untuk menurunkan jumlah ansuran bayaran.

“Bagi kalangan isi rumah M40 yang juga penerima Bantuan Prihatin National, bank-bank membenarkan mereka membuat pengisytiharan diri,” kata persatuan itu.

Isi rumah B40 yang berdaftar dengan pangkalan data Bantuan Sara Hidup atau Bantuan Prihatin Rakyat boleh memohon bagi sama ada pengecualian bayaran ansuran selama tiga bulan atau pengurangan ansuran sebanyak 50 peratus selama enam bulan.

Usahawan mikro dengan pinjaman/pembiayaan membabitkan jumlah asal sehingga RM150,000, boleh memohon untuk sama ada penangguhan ansuran selama tiga bulan atau mengurangkan ansuran sebanyak 50 peratus selama enam bulan.

Menurut ABM dan AIBIM, bantuan pembayaran balik untuk B40, M40 dan perusahaan mikro itu adalah untuk pinjaman/pembiayaan yang diluluskan sebelum 1 Oktober 2020 dan tidak tertunggak lebih 90 hari dari tarikh permohonan bantuan bayaran balik yang dikemukakan kepada bank.

Selain itu, semua peminjam/pelanggan lain yang turut berdepan kesukaran membuat bayaran balik pinjaman/pembiayaan masing-masing, juga boleh menghubungi bank untuk membincangkan pakej bayaran balik yang sesuai dengan keadaan mereka.

Persatuan itu berkata, setakat 31 Dis, 2020, lebih 1.3 juta permohonan bantuan bayaran balik telah diterima dengan kadar kelulusan sebanyak 95 peratus.

“Sejajar dengan tempoh mencabar ini, industri perbankan ingin menggalakkan peminjam/pelanggan yang mempunyai aturan bayaran balik sedia ada dan sukar meneruskan obligasi itu untuk menghubungi bank mereka bagi bantuan selanjutnya.

“Penerimaan bantuan bayaran balik bersasar dalam tempoh itu tidak akan dimasukkan dalam laporan sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS),” kata persatuan itu.

Sementara itu, Pengerusi ABM merangkap Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Malayan Banking Bhd (Maybank) Datuk Abdul Farid Alias berkata bank-bank juga kekal komited untuk membantu para pelanggan yang terjejas akibat keadaan semasa.

“Kami dapat mengatur skim bantuan kewangan mengikut keadaan khusus peminjam supaya mereka dapat menstabilkan keadaan kewangan dan menumpukan kehidupan yang lebih memerlukan perhatian,” katanya.

Presiden AIBIM merangkap CEO RHB Islamic Bank Bhd Datuk Adissadikin Ali pula yakin bahawa negara mahu pun bank dan orang ramai kini lebih bersedia dalam menghadapi tempoh sukar tersebut.

“Oleh itu, komunikasi antara pelanggan terjejas dan bank haruslah terus berlaku demi manfaat kedua-dua pihak. Bantuan pembayaran ini masih ada untuk mereka yang terjejas,” katanya.

Dalam pada itu, ABM dan AIBIM berkata bank-bank juga komited untuk memastikan proses yang mudah serta lancar bagi peminjam/pelanggan memohon bantuan kelonggaran bantuan bayaran semula itu.

Bagi kebanyakan kes, mereka terbabit boleh memohon dan melengkapkan permohonan secara dalam talian atau melalui telefon selain memohon di cawangan bank.

Namun, mereka juga dinasihatkan untuk menyemak laman sesawang bank masing-masing mengenai maklumat perubahan waktu operasi atau pengaturan perkhidmatan di kaunter.

Dalam pada itu, demi keselamatan pelanggan dan pekerja bank, institusi kewangan terbabit turut beroperasi dengan mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan susulan pandemik itu dan orang ramai digalakkan melakukan transaksi perbankan secara dalam talian atau saluran digital lain, kata ABM dan AIBIM.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Bayaran fasa pertama BPN 2.0 bermula awal dari dijadualkan

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Bayaran fasa pertama Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 yang dijadualkan pada 26 Oktober ini telah dipercepatkan kepada 19 Oktober lepas.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini berkata pembayaran BPN 2.0 fasa pertama itu dapat dipercepatkan berikutan komitmen dan usaha pegawai-pegawai kementerian, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) dan institusi kewangan yang terlibat.

“Pembayaran sedang dibuat secara berperingkat dengan mengutamakan golongan B40 melibatkan 7.5 juta penerima iaitu 3.7 juta penerima kategori isi rumah dan 3.8 juta penerima kategori bujang.

Manakala golongan M40 pula yang melibatkan 3.1 juta penerima iaitu 1.4 juta penerima kategori isi rumah dan 1.7 juta penerima kategori bujang, pembayaran telah bermula pada 22 Okt,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu turut memaklumkan proses pengkreditan bayaran BPN 2.0 itu akan berterusan dan dijangka diselesaikan sebelum hujung bulan ini.

Menurut kenyataan itu, penerima yang tidak mempunyai akaun bank boleh membuat penunaian di Cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai 26 Oktober ini manakala penerima yang didapati gagal kredit pula akan dapat membuat penunaian mulai minggu kedua November 2020.

Kenyataan itu menambah bagi negeri-negeri yang sedang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pihak BSN akan mengeluarkan panduan prosedur operasi standard (SOP) dari semasa ke semasa bagi menjaga kesihatan dan keselamatan penerima.

“Kerajaan juga ingin mengingatkan bahawa tempoh permohonan baharu BPN 2.0 masih dibuka sehingga 15 November ini. Bagi mereka yang diluluskan, bayaran akan dibuat secara sekali gus pada Januari 2021.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-2747 serta e-mel kepada [email protected],” katanya.

-BERNAMA