Categories
SELANGOR

Tahfiz mohon sumbangan sara pelajar

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 13 MEI: Maahad Tahfiz Al Iman Wal Mahani Jalan Kebun, di sini memerlukan sumbangan orang ramai RM3,000 setiap bulan bagi menyara pelajar dan melengkapkan keperluan hariannya.

Mudir Maahad Tahfiz Al Iman Wal Mahani, Muhammad Akmal Asri berkata, pihaknya menghadapi kepadatan pelajar atas permintaan terlalu ramai untuk pelajar memasuki ke pusat tahfiz ini.

“Disebabkan itu, kami tidak mampu menampung kos keseluruhan pelajar kami terpaksa menghadkan pengambilan pelajar.

“Kami amat berharap kepada orang ramai menyalurkan dana kepada kami supaya kami dapat memenuhi keperluan pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Musolla Al-Khauthar di Kompleks PKNS Shah Alam, di sini, semalam.

Pada majlis sama, PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) menyalurkan sumbangan RM5,000 kepada tahfiz berkenaan.

“Kami telah diberikan kelulusan sementara bagi pendaftaran maahad ini kerana untuk mendapatkan status lengkap tidak boleh ada sebarang kerja pembinaan yang dijalankan.

“Dengan sumbangan yang diberikan kepada kami, sedikit sebanyak dapat membantu kami menambah fasiliti kepada pelajar,” katanya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Categories
SELANGOR

PREC sumbang RM5,000 buat Maahad Tahfiz Al Iman Wal Mahani

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 14 MEI: PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) menyalurkan sumbangan berjumlah RM5,000 kepada Maahad Tahfiz Al Iman Wal Mahani Jalan Kebun, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Fakru Radzi Abd Ghani berkata, sumbangan itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya bagi menampung keperluan pelajar di institusi tahfiz yang ditubuhkan sejak 2016.

“Perkara ini biasa dilakukan pihak kami sepanjang Ramadan kerana kita merasakan hanya pendekatan seperti ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban mereka.

“Kita juga akan salurkan sumbangan di rumah tahfiz dan kebajikan lain selepas ini memandangkan sumbangan zakat sememangnya perlu diagihkan oleh syarikat kepada institusi tahfiz yang memerlukan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Musolla Al-Khauthar di Kompleks PKNS Shah Alam, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Norita Mohd Sidek dan Pengerusi merangkap Ahli Lembaga Pengarah PREC, Siti Zubaidah Abd Jabar.

Fakru Radzi berkata, pihaknya bekerjasama dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk memilih institusi tahfiz dan rumah kebajikan yang layak menerima sumbangan berkenaan.

“Jadi, mereka (LZS) memajukan rumah tahfiz yang benar-benar memerlukan pertolongan dan kita turut sama membantu institusi tahfiz ini melalui sumbangan zakat,” katanya.

Terdahulu, seramai 31 pelajar tahfiz berkenaan turut menerima sumbangan PREC selain diraikan bersama dalam majlis berbuka puasa sejurus perasmian musolla terbabit.