Categories
AGENDA NASIONAL

Inspektor cedera, maki anggota polis direman tiga hari

GEORGE TOWN, 6 DIS: Seorang pegawai polis berpangkat inspektor yang ditahan kerana memaki hamun dan mencederakan anggota polis awal pagi semalam di Lebuh Queen direman tiga hari bagi membantu siasatan kes itu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata berdasarkan siasatan lelaki berusia 35 tahun yang bertugas di negeri Perak itu sedang menjalani hukuman tahan kerja atas kesalahan tatatertib.

“Dalam kejadian 1.30 pagi itu, polis menerima panggilan memaklumkan seorang lelaki sedang membuat bising disyaki berada di bawah pengaruh alkohol dan kami terus ke lokasi, semasa proses memujuk suspek untuk berhenti membuat bising dia telah mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota polis.

Malah lelaki itu juga enggan memberi kerjasama dan polis meminta suspek untuk pergi ke balai polis namun dia bertindak agresif serta melawan pihak polis mengakibatkan (suspek) cedera di bahagian siku kedua-dua tangannya,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Katanya, pegawai polis itu kini direman selama tiga hari dan ditahan di Klinik Pakar Psikiatrik Jalan Perak untuk rawatan lanjut sementara polis menjalankan siasatan ke atas kes itu.

Menurutnya kes itu disiasat menurut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan tugas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Rempuh sekatan jalan raya, bekas ratu cantik tumbuk polis ditahan

PETALING JAYA, 8 JULAI: Polis menahan bekas ratu cantik negara kerana menumbuk anggota polis dan merempuh sekatan jalan raya (SJR) di Lebuhraya Persekutuan hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, suspek berusia 28 tahun berkenaan bertindak agresif dipercayai akibat mabuk.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata wanita berkenaan memandu kenderaan bersama rakannya dari Kuala Lumpur ke Petaling Jaya.

“Setibanya di SJR Lebuhraya Persekutuan, suspek tidak memberhentikan kenderaan dan merempuh sekatan berkenaan.

“Anggota kereta peronda polis (MPV) mengejar kenderaan suspek sebelum berjaya menahannya. Namun, suspek bertindak menumbuk anggota polis berkenaan ketika cuba ditahan,” lapor Harian Metro.

Mohamad Fakhruddin berkata ujian air kencing terhadap suspek dan rakannya mendapati mereka positif ganja.

“Suspek direman selama dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 26 (2) Akta Polis, Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Empat ditahan memandu di bawah pengaruh alkohol di Petaling Jaya

KUALA LUMPUR, 2 JUN: Empat lelaki yang dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol, ditahan dalam Op Mabuk dan Pencegahan Jenayah, di beberapa lokasi sekitar Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kesemua mereka berusia 25 hingga 55 tahun itu, ditahan dalam operasi yang bermula pada 10 malam semalam (1 Jun) hingga 2 pagi tadi dan disiasat di bawah Seksyen 45(A)1 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, seramai 180 pengguna jalan raya dan 225 kenderaan diperiksa, dalam operasi tersebut.

“Hasil operasi yang dijalankan semalam jelas menunjukkan masih ada pengguna jalan raya yang mengambil minuman keras (beralkohol) sebelum memandu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, tindakan itu membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain.

-BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Memandu mabuk lagi, dua lelaki didenda RM3,000

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Akibat tidak serik memandu di bawah pengaruh alkohol, dua lelaki masing-masing didenda RM3,000 atau penjara tiga bulan, oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Puteri Nursheila Rahimi menjatuhkan hukuman itu ke atas kontraktor Fan Kok Wai, 45, dan penjual mee Chin Wen Hoong, 55, selepas mereka mengaku bersalah memandu kereta di bawah pengaruh alkohol sebanyak 189mg dan 195mg dalam 100ml darah, melebihi had ditetapkan iaitu 80mg di Lebuhraya Kesas dan Jalan Cheras pada 31 Mei lepas, antara 10.15 malam dan 11.05 malam.

Mahkamah turut memerintahkan lesen memandu kedua-dua lelaki tersebut digantung selama dua tahun.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM6,000 dan boleh dipenjarakan sehingga 12 bulan serta lesen percubaan dibatalkan.

Pegawai Pendakwa Insp Abdullah Khazali, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran ke atas tertuduh dengan alasan itu adalah kesalahan kali kedua mereka, manakala kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam, memohon maaf dan merayu hukuman denda minimum.

Sementara itu, Puteri Nursheila turun menasihati Fan supaya tidak mengulangi kesilapan sama.

“Ini kesalahan kali kedua. Kamu perlu ambil ini sebagai pengajaran,” katanya.

Mereka membayar denda tersebut.

– BERNAMA