Categories
NASIONAL SELANGOR

MB : Majlis Madrasah India Muslim Akan Diberi Bantuan

1 1

SHAH ALAM 23 FEB : Kerajaan Negeri akan berbincang dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk memberikan bantuan kepada Majlis Madrasah India Muslim Malaysia (MIM) yang memerlukan tapak tanah untuk membina sebuah pusat pengajian, masjid dan asrama sebagai usaha menyebarkan syiar Islam.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri akan menyediakan bantuan kepada semua yang layak, tanpa mengira agama, bangsa atau pegangan politik.

“Insya Allah perkara ini kita boleh bincangkan lagi, saya akan pastikan MIM menerima bantuan daripada JAIS,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian ketika memberikan ucapan di Majlis Maulidur Rasul bersama MIM di Stadium Malawati, Shah Alam hari ini.

2Turut hadir pada majlis itu Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud, Presiden MIM, Jamal Abdul Hamid, Setiausaha Kebangsaan MIM, Kamal Batcha Noor Mohideen, dan dihadiri hampir 1,000 orang.

Menurut Abdul Khalid, sejak lima tahun kebelakangan ini, Kerajaan Negeri telah memberikan bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dalam negeri ini yang memerlukan bantuan.

“Saya suka beri jaminan di sini, bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di negeri Selangor sentiasa berusaha untuk mendengar masalah rakyat dan bersikap adil dan sama rata memberi bantuan kepada rakyat yang berbilang kaum, berbilang agama atau berbeza fahaman politik,” ujarnya.

Dalam pada itu, Presiden MIM, Jamal Abdul Hamid menyambut baik maklum balas yang diberikan Kerajaan Negeri berkenaan bantuan tersebut.

“MIM dengan kerjasama masyarakat Islam keturunan India di Malaysia bersedia memberi kerjasama kepada pihak yang membantu MIM demi agama Islam,” katanya ketika ditemui.