Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan sedia pelan pastikan bekalan telur cukup menjelang puasa, raya

KUALA TERENGGANU, 19 FEB: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sudah bersiap sedia dengan pelan intervensi bagi memastikan bekalan telur ayam di seluruh negara mencukupi untuk kegunaan pada bulan puasa dan Hari Raya Aidilfitri nanti.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata ini kerana pihaknya menjangka pada waktu berkenaan permintaan terhadap telur ayam akan menjadi lebih tinggi berbanding hari biasa.

Beliau berkata KPDNHEP dan MAFI juga akan melaksanakan advokasi berterusan dengan pengusaha telur ayam bagi memastikan kestabilan bekalan menjelang musim perayaan itu.

“Kita sudah maklumkan kepada MAFI untuk diambil tindakan dan saya difahamkan kementerian itu telah ambil langkah untuk pastikan (bekalan telur mencukupi) kerana kita tahu menjelang puasa dan raya ramai orang akan buat kuih dan sebagainya. Jadi penggunaan telur akan lebih daripada biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Dataran Restoran Ikan Bakar di Manir di sini, hari ini.

Sementara itu Rosol berkata pihaknya telah mengesan 95 kesalahan berkaitan penentuan harga maksimum ayam dan telur ayam membabitkan 94 peruncit dan satu pemborong di seluruh negara, dari 5 Feb lepas hingga semalam.

Katanya daripada jumlah itu, 87 kes melibatkan kesalahan tiada tanda harga khas merah jambu, tujuh kes menjual ayam dan telur ayam melebihi harga maksimum dan satu kes tiada tanda harga.

“Rekod kesalahan itu dikesan hasil pemeriksaan ke atas 11,036 peruncit dan 232 pemborong seluruh negara. Nilai keseluruhan kompaun yang dikeluarkan adalah RM14,700, manakala nilai keseluruhan sitaan sebanyak RM8,733.54,” katanya.

Kerajaan sebelum ini bersetuju memberi subsidi 60 sen per kilogram kepada penternak ayam dan lima sen bagi sebiji telur semua kategori bermula 5 Feb hingga 4 Jun, iaitu sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Industri, kerajaan setuju stabilkan harga ayam

PUTRAJAYA, 23 SEPT: Pihak industri bersetuju menurunkan lagi harga ayam pada peringkat pengeluar serta ladang, supaya harga pada peringkat borong dan runcit dapat distabilkan dan membantu pengguna menikmati harga ayam yang berpatutan.

Perkara itu dimaklumkan dalam kenyataan bersama dikeluarkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, semalam.

Menurut kenyataan itu, dalam mesyuarat antara kedua-dua kementerian itu semalam, kerajaan juga bersetuju untuk meneliti beberapa cadangan daripada pihak industri berkaitan usaha menstabilkan harga ayam.

Antaranya adalah pemberian kemudahan pinjaman mudah bagi membantu industri mengekalkan jumlah pengeluaran ayam yang mencukupi dan menangani isu peningkatan kos pengeluaran berikutan kenaikan harga komponen makanan ayam yang diimport.

Kerajaan juga akan mempertimbangkan kawalan harga di semua peringkat, disokong dengan pemberian subsidi kepada rantaian tertentu sebagai salah satu usaha menangani isu kenaikan harga ayam, katanya.

Turut dipertimbangkan ialah cadangan melaksanakan sistem permohonan permit (AP) bagi penjualan ayam sekiranya usaha kerajaan untuk menangani isu harga ayam tidak mendapat kerjasama daripada peniaga di semua peringkat.

KPDNHEP dan Mafi juga akan memantau rapi isu kenaikan harga ayam standard yang berlaku sejak awal bulan ini iaitu harga runcit didapati melebihi RM10 sekilogram di beberapa kawasan, menurut kenyataan itu.

Berdasarkan data daripada Bahagian Harga Barang Negara (BHBN) KPDNHEP pada 13 Sept lepas, terdapat 98 premis runcit yang diperiksa telah menjual ayam standard pada harga melebihi RM10 sekilogram.

Susulan itu, KPDNHEP telah melaksanakan pendekatan baharu dengan mengadakan sesi libat urus secara terus dengan peniaga di lokaliti yang mengalami kenaikan harga ayam.

“Usaha ini telah membuahkan hasil apabila data menunjukkan trend penurunan harga ayam berbanding pada awal September dan trend ini dijangka akan terus menunjukkan penurunan, sekali gus dapat menstabilkan harga ayam di pasaran,” katanya lagi.

KPDNHEP juga akan meneruskan penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan tindakan tegas akan diambil jika terdapat pihak yang sengaja mengambil keuntungan secara tidak munasabah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir Yan: Peruntukan RM1.1 juta baik pulih sawah musnah

ALOR SETAR, 28 OGOS: Sebanyak RM1.1 juta diperuntukkan bagi membaik pulih 34 hektar kawasan sawah padi di Kampung Titi Bakong dan Kampung Rendang Pasir, Yan yang musnah dalam kejadian banjir lumpur akibat fenonema kepala air, pada 18 Ogos lepas.

Menurut Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) peruntukkan itu adalah sebahagian daripada keseluruhan peruntukan berjumlah RM75 juta yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika meninjau lokasi bencana tersebut, Isnin lepas.

“Peruntukan berjumlah RM495,000 (daripada RM1.1 juta) akan digunakan bagi membaiki kerosakan infrastruktur termasuk jalan ladang, tali air konkrit, membaiki paip bekalan pengairan, mencuci dan menyenggara pam guna semula.

“Sementara RM555,000 untuk kegunaan membaik pulih sawah yang melibatkan kerja-kerja mengeluarkan enapan di dalam bendang, putaran tanah sawah, meratakan tanah dan pemulihan kesuburan tanah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, sebanyak RM50,000 akan digunakan untuk bantuan pembatalan musim tanaman 2/2021 di bawah Skim Pengairan Lubok Boi dengan keluasan 15 hektar.

Dalam pada itu, pelbagai agensi dan jabatan berkaitan termasuk Lembaga Kemajuan Pertanian Muda, Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perikanan dan Lembaga Pertubuhan Peladang sedang menggerakkan segala jentera dalam usaha memulih dan memperbaiki kerosakan yang berlaku termasuk sistem pengairan.

Sementara itu, MAFI memaklumkan laporan keseluruhan kerosakan khususnya sektor tanaman lain selain padi, termasuk ternakan dan perikanan dalam daerah Yan dan Kuala Muda dianggarkan bernilai RM286,000 ekoran bencana itu.

Nilai itu meliputi sektor tanaman dan industri tani dengan anggaran kerosakan sebanyak RM222,000, manakala sektor lain seperti ternakan haiwan dan ikan membabitkan nilai kerugian sebanyak RM64,000.

— BERNAMA

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MAFI buat kawalan serangga perosak, bantu pesawah terjejas

SHAH ALAM, 18 JUN: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MAFI) mengambil beberapa langkah termasuk menggunakan racun berkesan untuk kawalan bersepadu terhadap serangga perosak tanaman padi di Sabak Bernam.

Kementerian itu memaklumkan kawalan dilakukan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor dengan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri di Panchang Bedena dan Bagan Terap/Sungai Panjang.

Katanya, ia melibatkan kawasan seluas 6,632.4 hektar atau hampir 98 peratus akibat serangan ulat pengorek batang dan ulat gulung daun berlaku pertengahan Mei lalu.

“Selain penggunaan racun, tindakan lain antaranya pengurusan jerami padi sempurna, penggunaan varieti benih padi seragam, penyediaan tanah sawah dengan sempurna, pelaporan segera kepada agensi pengurusan padi serta pelaksanaan Amalan Pertanian Baik.

“Pesawah terjejas juga akan menerima bantuan melalui Tabung Bencana Tanaman Padi tertakluk kepada penilaian jawatankuasa yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Pada 1 Jun lalu, kerajaan Negeri meluluskan dana berjumlah RM1.035 juta untuk membasmi serangga perosak padi di kawasan terlibat di daerah berkenaan.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata peruntukan itu akan digunakan segera untuk semburan racun yang disyor pakar kawalan penyakit ulat pengorek batang dan ulat gulung daun.

Categories
AGENDA NASIONAL

Syarat import lembu diperketat, elak penyakit kulit

KOTA BHARU, 5 JUN: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengetatkan syarat import lembu hidup dari luar negara bagi mencegah penularan penyakit Lumpy Skin Disease (LSD) yang kini menular di beberapa negara Asia.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata selaras dengan itu Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) diminta memperkemaskan kawalan di pintu masuk negara dan mengambil tindakan ke atas mana-mana lembu import yang menunjukkan gejala penyakit LSD di setiap stesen kuarantin.

Beliau berkata pihaknya juga memohon kerjasama pemain industri termasuk pengimport, peraih dan perternak lembu supaya segera menghubungi pejabat JPV di negeri atau daerah berdekatan sekiranya mengesyaki ternakan lembu di dalam jagaan atau kandang menunjukkan gejala LSD.

Katanya, pensampelan akan dijalankan untuk tujuan pengesahan penyakit dan ternakan lembu yang dijangkiti perlu diasingkan serta dilupuskan menerusi penyembelihan di rumah sembelih swasta yang dilesenkan.

“JPV juga mengaktifkan program pemantauan bagi mengesan, mengawal dan mencegah penularan penyakit LSD pada ternakan lembu di seluruh negara.

Setakat ini sebanyak 81,252 ekor ternakan lembu di 9,108 premis atau ladang telah diperiksa dah mendapati 89 ekor atau 0.1 peratus menunjukkan gejala jangkitan LSD dan sudah dilupuskan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Che Abdullah juga memaklumkan berita yang tular berkaitan “Elakkan membeli daging segar yang dijangkiti penyakit lembu di Perak” adalah tidak benar.

Katanya, penyakit LSD tidak menjangkiti manusia dan menafikan gambar individu yang tular dengan gejala di bawah mata yang dikatakan akibat dijangkiti LSD adalah tidak benar.

Mengulas lanjut, Che Abdullah berkata walaupun LSD tidak menyebabkan kematian yang tinggi terhadap lembu tetapi ia memberi kesan ekonomi kepada pemain industri penternakan lembu dan kerugian akibat lembu menjadi kurus, penurunan pengeluaran susu, keguguran dan kemandulan kepada lembu jantan.

“Setakat ini tiada rawatan khusus untuk penyakit LSD dan lembu yang dijangkiti boleh diberikan rawatan bagi mengelak jangkitan sekunder menerusi pemberian antibiotik, anti-inflamatori dan vitamin,” katanya.

-BERNAMA