Categories
NASIONAL

Rakyat perlu pertahan kebebasan akademik mahasiswa UM

SHAH ALAM 2 NOV: Rakyat patut mempertahankan mahasiswa Universiti Malaya (UM) daripada tindakan yang didakwa “serangan” ke atas kebebasan mahasiswanya.

Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah membuat kenyataan itu dengan merujuk kepada tindakan UM mengenakan sembilan dakwaan terhadap aktivis Fahmi Zainol.

Mahasiswa UM“Jika UM menghormati hak-hak mahasiswa untuk mengadakan acara itu dan tidak mengada-adakan sekatan untuk menghalangnya, reputasi universiti pasti tidak akan tercalar,” kata Maria.

Mahasiswa itu pada hujung minggu lalu mengetuai perhimpunan bagi menyatakan sokongan kepada ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di kampus berkenaan.

Susulan itu, lapan lagi mahasiswa lain yang didakwa terlibat dalam himpunan itu turut dipanggil untuk mempertahankan diri mereka.

“Pada 27 Oktober, anak muda ini membuktikan bahawa lebih ramai Fahmi akan muncul.

“Saya percaya semua rakyat Malaysia perlu bersama untuk mengakhiri serangan terhadap mahasiswa dan bersatu, mempertahankan dan melindungi kebebasan akademik kita,” katanya dalam kenyataan media.

Fahmi diarahkan menghadap lembaga disiplin UM pada 7 November akan datang untuk menjawab tuduhan-tuduhan ke atasnya.

Beliau perlu menjelaskan kepada pihak universiti akan tindakannya menganjurkan dan menghadiri satu perhimpunan tanpa kelulusan naib canselor, merosakkan reputasi universiti dan menggunakan pembesar suara tanpa kelulusan.

Maria berkata tuduhan itu ganjil dan mencabuli asas kebebasan bersuara dan berhimpun.

EZY