Categories
SELANGOR

Kutip RM1,500 hasil barang kitar semula bantu pihak memerlukan

SHAH ALAM, 2 FEB: Seramai 56 mahasiswa Fakulti Perakaunan dan Perniagaan Universiti Selangor berjaya memperoleh RM1,500 hasil dari kutipan barangan kitar semula termasuk minyak masak terpakai, kertas dan juga botol.

Ketua Projek Program Santuni Bumi Sayang Komuniti, Fatin Nabila Wahab berkata wang hasil kutipan itu kemudiannya disalurkan kepada penduduk Pangsapuri Ken Rimba yang kurang mampu termasuk orang kurang upaya, ibu tunggal dan pesakit kanser.

“Kutipan barangan kitar semula ini dibuat dari sekitar Shah Alam bermula sejak Disember tahun lalu dan tamat pada Januari, baru-baru ini.

“Selain berjaya menjaga kelestarian alam sekitar kami berbangga kerana dapat membantu golongan yang amat memerlukan, semoga ianya memberi kesedaran kepada mahasiswa lain,” katanya ketika Program Santuni Bumi Sayang Komuniti.

Program itu anjuran Mahasiswa Pengurusan Projek dengan kerjasama Jabatan Pengurusan Sistem Maklumat dan Analitik Perniagaan serta Kawasan Rukun Tetangga Pangsapuri Ken Rimba.

Pada program berkenaan,  mahasiswa bergotong royong di Pangsapuri Ken Rimba serta menanam pokok bidara dan pinang sebagai acara simbolik.

Categories
EKONOMI SELANGOR

MB: Lonjak pendapatan rakyat melalui pertanian

SERI KEMBANGAN, 28 JAN: Kerajaan Negeri sedang meneliti mekanisme sesuai untuk melonjakkan pendapatan rakyat khususnya miskin bandar menerusi program pertanian, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata projek perintis akan diteliti jika kajian berkenaan mampu dilaksanakan sesuai dengan kos.

“Saya dikunjungi pelabur bagi membincangkan perkara ini untuk kita lihat bagaimana Kerajaan Negeri boleh membantu golongan ini dan akan diumum lebih lanjut jika ia sesuai dilaksanakan,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Perkampungan Menara Gading Selangor (PMGS) 2020, di Universiti Putra Malaysia, di sini.

Mengulas seramai 12,281 pelajar di negeri ini didapati tidak meneruskan persekolahan, termasuk atas faktor tiada minat, masalah keluarga, berkahwin, takut ke sekolah dan bekerja, Amirudin berkata Selangor menyediakan beberapa pusat latihan teknikal antaranya Kolej Antarabangsa Inpens.

“Mereka ini bukan tidak mahu bersekolah tetapi disebabkan tiada sokongan sosial,” katanya.

Dalam perasmian program PMGS itu, Amirudin menyarankan mahasiswa lebih dinamik dan tidak menunggu sebaliknya mencipta pekerjaan sebelum tamat pengajian.

Katanya, hal itu kerana cabaran dan peluang pekerjaan terhad masa kini serta pelajar tidak boleh selesa dan perlu berani berhadapan dengan Revolusi Industri 4.0.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM gesa siswa letak integriti bersama fikiran rasional

PUTRAJAYA, 30 OKT: Mahasiswa perlu meletakkan nilai integriti sebaris rasional supaya segala tindakan diambil atas prinsip kebebasan masih di bawah kesopanan, kesusilaan dan norma kebudayaan masyarakat.

Perdana Menteri,  berkata setiap perkara yang diputuskan hendaklah jauh daripada desakan emosi, membuta tuli atau hasutan pihak lain supaya darjat dan kedudukan mahasiswa tidak dipertikai.

“Apabila mahasiswa dilihat sebagai kader atau tunggangan sesuatu kelompok berkepentingan, jati diri serta hormat masyarakat terhadap mahasiswa sebagai pelapis kepimpinan negara masa depan akan tercalar,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) 2019, di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata kerajaan berusaha memberi ruang kebebasan kepada mahasiswa melalui pelbagai pendekatan oleh Kementerian Pendidikan, namun ruang kebebasan lebih besar itu harus disertai rasa tanggungjawab yang sewajarnya.

Katanya setiap kebebasan yang dimahukan harus disemai dengan nilai baik dan diiringi integriti tinggi.

“Kebebasan itu seperti kemerdekaan, amat bernilai. Jika ia tidak diisi dengan nilai serta adab yang baik, kebebasan itu menjadi kosong dan tidak bermakna ataupun membawa erti yang besar,” katanya.

Dr Mahathir berkata mekanisme ‘syura’ atau perbincangan bersama menjadi pendekatan terbaik yang diambil kerajaan dalam memastikan suara mahasiswa dapat didengari melalui konsep bermusyawarah.

Kerajaan, katanya percaya bahawa persoalan umum yang membabitkan pelbagai pihak tidak wajar diputuskan oleh beberapa orang individu sahaja.

Justeru, Dr Mahathir berkata keterbukaan kerajaan dalam menerima cadangan dan mendengar suara mahasiswa hari ini merupakan peluang bagi mahasiswa untuk terlibat secara langsung dalam sistem pentadbiran negara.

“Ini kerana, kerajaan percaya bahawa mahasiswa adalah pelapis yang mempunyai sifat kepimpinan yang tinggi untuk mengemudi negara pada masa akan datang.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Mahasiswa mampu ceburi industri halal dan bersih

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 16 APR: Seminar bertemakan ‘Kesedaran dan Prospek Kerjaya Industri Halal’ anjuran Universiti Selangor (UNISEL) menyerlahkan industri halal kini tidak lagi tertumpu pada aspek makanan dan minuman sahaja.

Sebaliknya ia turut merangkumi aspek lain seperti pemprosesan, pembungkusan, pengangkutan dan logistic malah ia diperkukuhkan menerusi kerjasama UNISEL dengan Halal International Selangor (HIS).

Terdahulu, EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan Dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, mahasiswa berpotensi menjadi Pegawai Halal Eksekutif di sesebuah syarikat sekiranya diberi pendedahan lengkap berhubung ekosistem sebenar dan prospek kerjaya ditawarkan dalam industri berkenaan.

Pelajar jurusan Pentadbiran Perniagaan UNISEL, Siti Nur Farishah Noor Azhar, 21, berkata, sebagai seorang wanita dan pengguna, kita perlu tahu barangan seperti kosmetik kerana terdapat banyak produk tidak mempunyai logo halal dan ia menimbulkan rasa was-was kepada kita.

“Dengan adanya seminar seperti ini, ia lebih membantu supaya kita lebih mengetahui berkenaan pengertian produk halal bukan saja untuk Islam malahan untuk semua bangsa.

“Secara tidak langsung, ia boleh membantu kita lebih tahu sedikit sebanyak berkenaan perkara ini,” katanya.

Bagi Noraini Farhana Mohd Zulhairi, 20, pula, dia menyifatkannya suatu pembaharuan dalam industri kerana ia membantu kepada masyarakat khususnya umat Islam dari aspek penggunaan atau pemprosesan produk.

“Produk halal tidak semestinya berkenaan makanan tetapi dari aspek pemprosessan dan logistik serta pemasaran harus dititikberatkan.

“Saya percaya ia dapat memberi peluang kerjaya pada mahasiswa serta mampu memberi kepercayaan kepada negara lain di masa akan datang,” katanya.

Terdahulu, Mohd Khairuddin berkata, selain menawarkan prospek kerjaya, bidang halal adalah aspek penting perlu dititikberatkan sebagai tanggungjawab kepada masyarakat Islam yang prihatin terhadap logo halal.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Seminar Kesedaran Halal & Prospek Kerjaya, di Dewan Syarahan 2, Universiti Selangor (UNISEL) kampus Shah Alam, di sini, hari ini.

Justeru, mahasiswa berpotensi menjadi Pegawai Halal Eksekutif di sesebuah syarikat sekiranya diberi pendedahan lengkap berhubung ekosistem sebenar dan prospek kerjaya ditawarkan dalam industri berkenaan.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)

 

Categories
KENYATAAN MEDIA

Kemenangan PAKATAN untuk semua mahasiswa

Pertama sekali pihak Mahasiswa Pakatan Harapan ingin mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri ke-7 Malaysia Tun Dr. Mahathir bin Mohamad, Timbalan Perdana Menteri Wanita Malaysia Pertama Dato’ Seri Dr. Wan Azizah binti Wan Ismail dan kesemua barisan kepimpinan Pakatan Harapan yang telah dilantik di jawatan-jawatan penting pentadbiran negara samada dalam kabinet ataupun bukan.

Kemenangan Pakatan Harapan pada pilihanraya umum yang lalu adalah sama seperti ramalan kami, anak-anak muda daripada seluruh pelusuk negara telah keluar mengundi untuk perubahan kerana situasi kehidupan mereka yang amat terbeban di bawah pentadbiran kerajaan kleptokrasi yang lampau.

Seluruh rakyat Malaysia kini terhutang budi kepada anak-anak muda yang telah bangkit untuk selamatkan negara. Mahasiswa Pakatan Harapan dan kepimpinan Pakatan Harapan keseluruhannya hanya pemangkin pada fasilitator perubahan ini, adiwira sebenar negara adalah 5,685,252 pengundi yang telah mengundi ke arah Malaysia yang lebih gagah.

Secara khusus, golongan mahasiswa adalah golongan yang bakal mendapat manfaat yang terbesar daripada kemenangan rakyat ini. Mahasiswa Pakatan Harapan yakin kesemua janji yang terpaut dalam manifesto Pakatan Harapan akan berjaya dilaksanakan oleh kepimpinan Malaysia baharu:

RANGKUMAN MANIFESTO PAKATAN HARAPAN UNTUK MAHASISWA

1. Penjaminan kepada kebebasan berpersatuan mahasiswa

2. Penjaminan kepada kebebasan akademik dan hak berfikir

3. Penjaminan kepada autonomi Lembaga Pengarah Universiti

4. Penangguhan pembayaran PTPTN sehingga gaji siswazah RM4,000

5. Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU)

6. Pembatalan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN)

7. Pembubaran Biro Tatanegara (BTN)

8. Pendidikan percuma bagi semua pelajar Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA)

Perjuangan Mahasiswa Pakatan Harapan untuk membina semula negara tidak berakhir dengan keputusan pilihanraya ini. Perjuangan ini baru sahaja bermula. Kami komited untuk terus korban usaha, masa dan tenaga kami bagi menjadi jambatan langsung antara kepimpinan Jemaah Menteri yang baharu dan kesemua rakyat mahasiswa di seantero negara.

Oleh itu, kami ingin jemput semua rakan-rakan mahasiswa tanpa mengira kaum, agama, umur, bangsa, dan latarbelakang politik silam untuk bersama dalam perjuangan membina mahasiswa berkapabiliti untuk memegang tampuk kepemimpinan negara masa hadapan. Masa untuk berkempen sudah berakhir, Mahasiswa Pakatan Harapan kini akan memberi tumpuan dalam membentuk keupayaan kepimpinan di kalangan mahasiswa secara total. Kami pasti, dengan latihan dan bimbingan yang mencukupi, generasi mahasiswa terkemudian hari akan memainkan peranan yang jauh lebih besar dalam Pilihanraya Umum Ke-15 nanti, malah mampu untuk menjadi pihak ketiga dalam pemerintahan negara (Kerajaan, Pembangkang, dan Mahasiswa)

Mahasiswa Pakatan Harapan juga ingin melegakan kerisauan sesetengah pihak akan kemungkinan Mahasiswa Pakatan Harapan untuk mula bertindak angkuh dan bersifat tidak adil seperti kumpulan mahasiswa-mahasiswa pro-kerajaan sebelumnya. Kami beri jaminan kami bahawa Mahasiswa Pakatan Harapan akan terus bergerak secara autonomi tanpa berada dibawah kongkongan kepimpinan parti dan akan terus bersifat kritikal dalam menyuarakan solusi kepada masalah mahasiswa pada pihak berwajib tanpa mengira siapa di puncak kepimpinan negara.

Akhir kalam kami ingin melontarkan cabaran kepada siswa pro-Barisan Nasional atau kerajaan sebelum ini untuk mengambil tempat kami sebagai mahasiswa pembangkang yang sentiasa bersifat kritikal pada polisi-polisi kerajaan terutamanya yang membabitkan mahasiswa. Kami yakin, jika semangat ini boleh dipupuk oleh semua pihak samada mahasiswa partisan ataupun tidak-partisan, negara ini akan sentiasa berada di atas landasan yang betul selepas kejatuhan rejim zalim kerajaan Barisan Nasional yang telah dipimpin oleh raja segala kleptokrasi.

MAHASISWA PAKATAN HARAPAN

Na’im Brundage (Mahasiswa Keadilan Malaysia)

Khuzairi Mazlan (Mahasiswa Amanah Nasional)

Abdul Hannaan Khairy (Exco Mahasiswa Pemuda PPBM)

Leong Yu Sheng (DAPSY Biro Hal Ehwal Varsiti)

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

LZS anjur kursus ‘Selangkah Ke Alam Pekerjaan’

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 23 APR: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menganjurkan Kursus Selangkah ke Alam Pekerjaan sebagai inisiatif membantu golongan mahasiswa bersiap siaga untuk melangkah ke alam pekerjaan.

Program yang disasarkan kepada mahasiswa tahun akhir pengajian, akan berlangsung pada 27 hingga 29 April bertempat di Ibu Pejabat Lembaga Zakat Selangor (MAIS), Seksyen 13, di sini.

LZS menerusi Facebook berkata, kursus itu dilihat penting untuk mendedahkan mahasiswa ke alam pekerjaan sebenar yang mempunyai banyak cabaran perlu ditempuhi mereka kelak.

“Selain membolehkan mahasiswa mempraktikkan segala teori dipelajari di alam universti, ia dapat meluaskan dan menambah pengetahuan serta memberi peluang untuk mempelajari kemahiran baru.

“Di samping itu, mahasiswa dapat menanam sifat amanah, tanggungjawab dan keyakinan diri serta menilai kebolehan diri di alam pekerjaan sebagai persediaan bekerja sejurus tamat belajar.

“Program ini sekali gus dapat memupuk semangat kerja berpasukan, seterusnya memastikan perhubungan yang baik sesama pekerja,” katanya.

Pada masa sama, kursus itu turut menjadi platform terbaik menjadikan mahasiswa sebagai seorang yang lebih berdikari.

“Hal ini kerana mahasiswa harus belajar hidup sendiri tanpa kebergantungan terhadap ibu bapa, selain mengurus kewangan dengan cermat dan teratur,” katanya.

Sementara itu, kursus Selangkah Ke Alam Pekerjaan (SKAP) melibatkan 10 siri program dan mula dijalankan pada Mac sehingga September tahun ini mengikut tarikh yang telah ditetapkan.

Mahasiswa yang berminat untuk turut serta dalam program SKAP, boleh menghubungi Ustaz Hasif di talian 012-3179264.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Keputusan Mahkamah Persekutuan laluan mansuh AUKU

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 15 FEB: Keputusan Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Universiti Malaya (UM) dalam kes Fahmi Zainol dan empat pelajar lain, Selasa lalu mestilah membuka laluan terhadap pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2012.

Pengerusi ISRA Siswa, Muhammad Nurie Al’ Amin Mohamad Nasseri, berkata keputusan itu seharusnya menjadi batu loncatan untuk mahasiswa bangun menolak penggunaan AUKU atau sebarang undang-undang zalim mencengkam kebebasan bersuara golongan itu.

Katanya, undang-undang sebegitu membina sindrom ketakutan sehingga membuatkan mahasiswa tidak berani untuk berperanan sebagai jurubicara rakyat.

“Dalam kehangatan pilihan raya umum ke-14 (PRU14), tinggi hasrat mahasiswa untuk melihat perubahan Malaysia dalam menuju negara lebih sejahtera.

“Aktivis mahasiswa konsisten mahukan AUKU dimansuhkan dan tidak sekadar dipinda mengikut kepentingan politik.

“Hanya dengan pemansuhan AUKU, universiti akan bebas daripada pengaruh parti politik dan mahasiswa akan memperolehi kuasa autonomi untuk beraktivisme juga para cendekiawan bebas berakademik,” katanya.

Mahkamah Persekutuan membuat keputusan menolak rayuan UM dalam kes membabitkan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang memutuskan lembaga disiplin UM, jawatankuasa rayuan UM dan UM tidak mematuhi prosedur ditetapkan di bawah Kaedah-Kaedah UM Tatatertib Pelajar-Pelajar 1997 dalam mengenakan hukuman tatatertib ke atas bekas Presiden Persatuan Mahasiswa UM, Fahmi Zainol dan empat pelajar lain.

Fahmi dikenakan hukuman gantung pengajian dua semester berserta denda RM600, Safwan digantung pengajian satu semester manakala Adam Fistivil Wilfrid, Haw Yu Hong dan Khairol Najib Hashim dikenakan denda ekoran dihukum bersalah kerana menganjurkan program pidato Datuk Seri Anwar Ibrahim di universiti itu, 27 Oktober 2014.

Dengan itu, Muhammad Nurie Al’ Amin berkata, mahasiswa harus berhenti berfikiran tertutup dengan agenda pemansuhan AUKU kerana perjuangan itu untuk menuntut hak mahasiswa dan ahli akademik supaya tidak dicengkam undang-undang zalim.

“Tiada siapa boleh menafikan betapa negara kita hari ini sedang dibelengu masalah urus tadbir meruncing dengan isu rasuah, salah guna kuasa, politik tidak matang dan kotor, penyelewengan dana awam serta pelbagai masalah membimbangkan.

“Mahasiswa perlu yakin bahawa kita adalah kuasa pendesak yang mampu meletakkan negara pada garis urus tadbir dan tata kelola betul dan benar,” katanya.

=EZY=

Categories
KENYATAAN MEDIA

Bantu mahasiswa dapatkan peluang pekerjaan

OLEH NIK NAZMI NIK AHMAD

Agak lucu apabila Perdana Menteri Najib Razak mahu golongan mahasiswa mengubah mentaliti makan gaji selepas tamat pengajian dan sebaliknya menjadi usahawan yang mampu menawarkan pekerjaan kepada individu lain.

Najib berkata mahasiswa perlu mencabar diri untuk memilih bidang keusahawanan yang boleh menjanjikan masa depan yang lebih bermakna.

Untuk menjadi seorang usahawan ini bukan sesuatu yang mudah untuk menjana pendapatan dalam keadaan ekonomi sekarang. Permasalahan yang sepatutnya difikirkan Najib adalah bagaimana hendak mengurangkan masalah pengangguran di negara ini.

Sudah terlalu banyak lambakan graduan-graduan yang menganggur dan kerajaan sepatutnya berusaha mencari penyelesaian untuk peluang pekerjaaan yang kini semakin terhad.

Bukannya mengubah mentaliti rakyat, Najib yang patut ubah mentaliti untuk membantu rakyat terutama golongan muda.

Sedangkan peniaga-peniaga yang sudah bertapak lebih 30 tahun juga masih merungut kerana pendapatan mereka semakin hari semakin berkurangan, atas beberapa faktor, antaranya harga barangan mahal termasuk barang basah seperti ayam, ikan,daging selain dikenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Bagi memulakan sesuatu perniagaan, sekurang-kurangnya mahasiswa perlu bekerja makan gaji dahulu selama 2 hingga 5 tahun untuk mengumpul modal perniagaan jika ingin menjadi usahawan.

Tetapi keadaan itu akan lebih sukar kerana selepas tamat belajar mereka terus dibebani hutang pinjaman pendidikan seperti PTPTN. Jadi bagi saya, agak sukar bagi mereka kerana hanya ada modal kecil.

Dengan keadaan kegawatan ekonomi negara dan pelaksanaan cukai GST, sudah semestinya ia memberi kesan kepada rakyat pada hari ini.

Pemimpin Umno BN jangan mudah melabel ‘mahasiswa manja’ kerana kenyataan seperti ini bukan sekadar mengelak isu sebenar, malah melambangkan sikap tidak bertanggungjawab pemimpin yang menyalahkan rakyat atas kegagalan mereka mentadbir negara.

 

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA PEMUDA PAKATAN HARAPAN
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN

Categories
RENCANA

Program Khas Peduli Siswa bantu biayai pelajaran

OLEH LIZAWATI MADFA

Kerajaan Negeri tidak berdiam diri apabila Belanjawan Persekutuan 2017 memotong peruntukan sektor pendidikan tinggi dari RM13.38 bilion pada 2016 kepada RM12.13 bilion.

Pada Belanjawan 2017, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pantas mengumumkan sejumlah RM10 juta peruntukan bagi membiayai pengajian anak Selangor menerusi Program Khas Peduli Siswa.

Ia menawarkan pinjaman pelajaran dalam bentuk boleh ubah berdasarkan prestasi kecemerlangan akademik pencapaian Prestasi Nilai Gred Kumulatif (PNGK) akhir pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam.

Ia termasuk pelajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi kampus Shah Alam, Puncak Alam dan Puncak Perdana.

Tanpa mengira sempadan, delegasi Kerajaan Negeri ketuai Mohamed Azmin turut berlepas ke Maghribi, Jordan dan Mesir bagi menyampaikan sumbangan Peduli Siswa kepada anak Selangor di sana, pada April lalu.

Kunjungan istimewa itu menyaksikan seramai 40 anak Selangor yang menyambung pengajian di Timur Tengah itu, masing-masing menerima RM3,000.

“Kita naikkan kepada RM3,000 daripada RM2,500 bagi menampung keperluan pelajar yang terkesan dengan ekonomi parah selain pemotongan bajet oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika pertemuan dengan pelajar berkenaan.

Kadar pembayaran balik ditentukan menerusi pencapaian PNGK akhir pelajar.

Pelajar peringkat diploma dan ijazah sarjana dengan PNGK 3.75 hingga 4.00 menerima 100 peratus pengecualian pembayaran.

Pelajar dengan PNGK 3.50 hingga 3.74 menerima 50 peratus pengurangan, 3.20 hingga 3.49 (25 peratus) dan 3.19 dan ke bawah perlu membayar penuh.

Bagi pelajar ijazah perubatan, mereka hanya perlu lulus untuk menerima 100 peratus pengecualian pembayaran.

Sesi pertama 2017 dibuka pada Februari lalu, manakala sesi kedua dibuka pada Ogos lalu dan pemohon kini boleh menyemak status permohonan di laman web rasmi Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor.

=EZY=

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Bantu belia pengajian luar Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 20 OGOS: Program pembangunan belia negeri turut tertumpu kepada anak-anak Selangor yang melanjutkan pengajian di luar Selangor, kata Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari.

Beliau berkata, aspek kebajikan pelajar Selangor di luar negeri turut diberi perhatian menerusi pelbagai dasar kebajikan dan tawaran biasiswa pendidikan diperkenalkan Kerajaan Negeri.

“Di bawah portfolio pendidikan, sudah ada dasar kebajikan memberi perhatian kepada belia Selangor berada di luar negeri.

“Contohnya Kerajaan Negeri menawarkan biasiswa Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan tawaran bantuan lain yang diumumkan di peringkat negeri sebelum ini,” katanya.

Katanya lagi, Kerajaan Negeri juga komited membantu mahasiswa Selangor yang melanjutkan pelajaran di luar negara.

Beliau berkata, ia dibuktikan menerusi delegasi Kerajaan Negeri ke luar negara menyampaikan bantuan pendidikan kepada mahasiswa Selangor di Institut Pengajian Tinggi (IPT) luar negara.

“Bukan sekadar itu, kita juga turut membantu anak-anak Selangor yang melanjutkan pengajian di IPT awam yang berada di dalam Selangor,” katanya.

Terdahulu, Amirudin bercakap pada Townhall Session sempena penganjuran Kongres Mahasiswa Selangor 2017 di Dewan Raja Muda Seksyen 7, semalam.

Dalam perkembangan itu, mahasiswa turut diberi pendedahan berhubung gerak kerja dan pelaksanaan dasar yang dilaksanakan Kerajaan Negeri dalam membantu golongan itu.

Ia turut dihadiri wakil mahasiswa Selangor dari seluruh negara melibatkan graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaya (UM), Universiti Selangor (UNISEL), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

=EZY=

Categories
KENYATAAN MEDIA

Penindasan politik terhadap mahasiswa/wi era Najib Razak

OLEH : Leong Yu Sheng

Dalam tahun 2016 sehingga awal tahun ini, pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) daripada pelbagai varsiti tempatan telah mengambil tindakan prosiding dan disiplin terhadap sekurang-kurangnya 10 mahasiswa/wi yang lantang menyuarakan pendirian mereka terhadap skandal 1MDB.

Dalam Laporan Dunia Tahun 2017 yang disediakan oleh Human Rights Watch baru-baru ini, jelas kelihatan bahawa keadaan hak asasi manusia di Malaysia adalah semakin teruk dari semasa ke semasa terutamanya apabila kerajaan Najib Razak telah cuba sedaya upaya untuk membisukan kesemua individu yang menyuarakan bantahan mahupun pandangan mereka terhadap skandal 1MDB ini.[1]

Laporan Dunia Tahun 2017 telah menyenaraikan nama ahli politik serta aktivis masyarakat yang ditindas atas bantahan mereka terhadap skandal 1MDB. Walau bagaimanapun, sekumpulan mahasiswa/wi yang telah diambil tindakan prosiding oleh pihak HEP tidak disenaraikan dalam laporan tersebut.

Kemungkinan bahawa Laporan Dunia Tahun 2017 telah mengkategorikan insiden penindasan terhadap mahasiswa/wi sebagai tindakan dalaman pihak universiti dan makanya ia tidak disenaraikan sebagai tindakan penindasan politik oleh kerajaan BN.

aukuNamun, sebenarnya pihak universiti adalah menggunakan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) untuk menzalimi semua pemimpin mahasiswa/wi yang menentang skandal 1MDB dan sesungguhnya AUKU adalah alat kerajaan yang bertujuan untuk melenyapkan segala gerakan mahasiswa dan maka kewujudan AUKU telah jelas mengilustrasikan niat politik sebenar kerajaan.

Sehubungan dengan itu, kesemua aktivis mahasiwa/wi yang diambil tindakan di bawah AUKU turut merupakan mangsa penindasan politik yang didalangi oleh rejim Najib Razak.

Oleh itu, Biro Hal Ehwal Varsiti DAPSY Kebangsaan akan menyenaraikan 10 mahasiswa/wi yang telah diambil tindakan disiplin oleh pihak universiti lantaran tentangan mereka terhadap skandal 1MDB.

Diharapkan pendedahan ini dapat menarik perhatian masyarakat umum terhadap tindakan berani mereka dan seterusnya akan bersolidariti serta menyokong kesemua aktivis mahasiwa/wi ini yang tidak gentar dalam perjuangan melawan rejim zalim ini.

Pada Julai tahun lepas, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) telah memulakan saman sivil berhubung dengan dakwaan penyelewangan dana bagi 1MDB.

Saman tersebut adalah bertujuan untuk mengambil balik AS$1 bilion yang telah diselewengkan oleh sesetengah individu melalui pembelian aset di luar negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Switzerland.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat telah mendakwa bahawa AS$ 3.5 lebih bilion telah diselewengkan dalam beberapa tahun ini dan penyelewengan ini adalah melibatkan beberapa penjawat awam di negara kita termasuklah Malaysian Official 1 (MO1).

Kebobrokan rejim MO1 telah mewujudkan pelbagai suara bantahan terhadap skandal tersebut yang memalukan nama negara di seantero dunia.

Pemimpin mahasiswa/wi di pelbagai varsiti tempatan turut menyuarakan pendirian mereka melalui pelbagai tindakan penentangan untuk menyedarkan seluruh rakyat Malaysia mengenai perihal rasuah kerajaan BN dan kumpulan mahasiswa tersebut turut menyeru untuk menangkap MO1 yang jelas menggelapkan wang rakyat.

Sehingga kini, telah terdapatnya beberapa pemimpin mahasiswa/wi yang telah dikenakan tindakan prosiding lantaran aksi penentangan mereka terhadap skandal 1MDB.

anis_syafiqah270816b_620_430_100Pertamanya, 4 mahasiswa/wi Universiti Malaya (UM) yang menganjurkan perhimpunan “Tangkap MO1” telah dikenakan tindakan prosiding oleh pihak HEP UM selepas tamatnya perhimpunan tersebut. Anis Syafiqah Md Yusof, Muhammad Luqman Hakim Mohd Fazli, dan Mohamad Luqman Nul Hakim Zul Razali telah digantung pengajian mereka selama satu semester dan didenda sebanyak RM400.00 manakala Suhail Wan Azahar turut didenda RM400.00.

Seterusnya, pemimpin mahasiswa UKM, Asheeq Ali yang turut menganjurkan perhimpunan “Tangkap MO1” telah digantung pengajiannya selama 1 semester oleh pihak HEP UKM dan didenda sebanyak RM200.00. Asheeq Ali telah menyaman pihak UKM dan kerajaan persekutuan atas tindakan mereka yang mencabuli Perlembagaan Persekutuan yakni tidak menghormati hak perlembagaan beliau untuk menyertai perhimpunan. Biro Hal Ehwal Varsiti DAPSY Kebangsaan telah menganjurkan kempen dermaan untuk membantu Asheeq Ali dalam saman kes ini.

Bermulanya awal Januari tahun ini, aktivis mahasiswa UiTM, Ahmad Ariffin turut diajukan surat prosiding oleh pihak universiti UiTM atas penglibatannya dalam perhimpunan “Tangkap MO1” dan Bersih 5.0. Pihak universiti mendakwa bahawa mahasiswa/wi tidak bolehlah menyertai sebarang perhimpunan tanpa kebenaran mereka.

Pada 11 Januari 2017, terdapatnya lagi 4 pemimpin mahasiswa/wi yang menerima surat prosiding dan tatatertib oleh pihak HEP UM.

Antara mereka adalah Timbalan Presiden Kesatuan Mahasiswa Malaysia merangkap bekas Presiden UMANY, Ho Chi Yang, Timbalan Presiden UMANY merangkap ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi Fakulti Perakaunan dan Perniagaan, Tan Jia You, Setiausaha UMANY, Lau Li Yang dan Ketua Biro Publisiti UMANY, Chua Hun Ti.

Keempat-empat mereka telah mempamerkan plakad ketika forum 1MDB anjuran JASA untuk menyatakan penentangan mereka terhadap skandal 1MDB.

NAJIB-1MDBKetika seluruh dunia sedang menyusuli skandal 1MDB dan digemparkan dengan kewujudan MO1, pelbagai varsiti tempatan pula sibuk menzalimi pimpinan mahasiswa/wi yang lantang bersuara dalam menentang penyelewengan dana 1MDB.

Apabila para menteri dan ahli parlimen BN memilih untuk membisukan diri terhadap isu 1MDB, terdapatnya sekumpulan mahasiswa/wi yang berani dan tegas untuk menampilkan diri mereka dan melawan rejim MO1 demi keadilan untuk semua.

Menurut sumber maklumat yang diumumkan oleh Academic Freedom Monitor, hanya terdapatnya 2 negara ASEAN yang pernah mengambil tindakan terhadap pensyarah ataupun mahasiswa pada tahun 2016 dan 2 negara tersebut merupakan Thailand dan Malaysia.[2]

Tatkala Malaysia masih berada di paras rendah dalam penilaian bagi Programme for International Student Assesment (PISA) dan terus merosot dalam kedudukan ranking universiti di seluruh dunia, universiti negara kita pula menjadi termasyhur hanya disebabkan tindakan pihak universiti yang tidak berhenti-henti dalam menindas mahasiswa/wi dan nescaya hal ini telah memalukan semua rakyat Malaysia.

Sebagai Pengarah Hal Ehwal Varsiti DAPSY Kebangsaan, saya menyeru kerajaan BN dan pihak universiti agar berhenti untuk menzalimi mahasiswa/wi dengan AUKU.

Pihak kerajaan mahupun universiti sepatutnya menghormati hak bersuara dan berhimpun yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan. Pimpinan mahasiswa/wi tersebut hanya menyuarakan bantahan mereka terhadap skandal 1MDB dan maka segala tindakan susulan yang diambil terhadap mereka adalah tidak adil dan munasabah lantaran mereka hanyalah bersuara demi rakyat jelata.

graduationSaya turut mengutuk sekeras-kerasnya segala tindakan yang cuba menyekat kebebasan akademik dan penyalahgunaan kuasa oleh pihak HEP terutamanya penganjuran forum 1MDB yang jelas merupakan sesi cuci otak.

Tindakan kerajaan yang menindas mahasiswa/wi bukan sahaja telah mencabuli semangat kebebasan akademik varsiti, malah ia turut merupakan langkah rejim MO1 yang cuba untuk menutup segala kesalahan penyalahgunaan kuasa dan rasuah yang dilakukannya selama ini.

Pimpinan mahasiswa/wi tersebut yang berani dan berintegriti merupakan aset yang berharga bagi tanah air kita. Seperti rakyat Malaysia yang lumrah, pimpinan mahasiswa/wi tersebut mempunyai nilai murni dan keadilan serta dianugerahkan semangat untuk berjuang habis-habisan demi masyarakat umum.

Kepada semua rakyat Malaysia, mereka bukan sahaja berjuang untuk generasi ini, bahkan demi anak cucu anda semua. Ayuh memberikan sokongan dan menyatakan solidariti terhadap mereka supaya pimpinan mahasiswa/wi ini boleh terus lawan tetap lawan dalam perjuangan ini.

[1] https://www.hrw.org/world-report/2017/country-chapters/malaysia

[2] http://monitoring.academicfreedom.info/region/336

 

* Leong Yu Sheng adalah Pengarah Hal Ehwal Varsiti DAPSY Kebangsaan

Categories
KENYATAAN MEDIA

Ayuh KJ, kita berkongres

Merujuk kenyataan yang dikeluarkan oleh Yang Berhormat Menteri Belia dan Sukan, merangkap Ketua Pemuda UMNO Nasional, Saudara Khairy Jamaluddin, seperti yang disiarkan dalam portal berita The Star tanggal 23 Disember yang lalu;

Kami yang dirujuk sebagai gabungan Demi Malaysia dengan ini menyambut baik pesanan yang dititipkan oleh beliau berkaitan usaha dan sumbangan ke arah pembangunan dan perkembangan positif terutama buat golongan belia.

Bertitik tolak dari situ, kami dengan sukacitanya memaklumkan Yang Berhormat Menteri, bahawa adalah sentiasa menjadi cita-cita Kongres yang bakal dianjurkan ini agar ianya bukan sekadar menyumbang kepada perkembangan positif buat golongan belia, sebaliknya juga kepada seluruh isi negara secara amnya.

Perkembangan belia tidak sewajarnya diasingkan daripada realiti dan kemelut semasa negara.

Setiap kemelut yang sedang berlaku dalam negara hari ini, baik politik, sosial, mahupun ekonomi – akan secara langsung dan tidak langsung menjejaskan perkembangan golongan belia sendiri.

Rasuah, politik kotor dan korup, salah guna kuasa, penyelewengan wang awam, memecah belah perpaduan rakyat, mengapi-apikan sentimen kaum dan agama, dan sebagainya adalah penyumbang kepada kemelut negara yang tentu sekali menjejaskan perkembangan belia.

Maka adalah tanggungjawab bersama golongan belia sendiri untuk turut ikut menguraikan kemelut tersebut.

Apabila kemelut tersebut berjaya kita uraikan, perkembangan positif buat belia seperti yang dikehendaki oleh Yang Berhormat Menteri pasti dapat dicapai.

Tidak dinafikan, bahawa inisiatif ini digerakkan oleh kumpulan dan individu-individu yang secara lazimnya dilihat tidak sehaluan dan bertentangan dengan kepimpinan dan dasar yang dianjurkan oleh kerajaan hari ini.

Namun hakikat yang demikian tidak harus menjadi kegusaran buat pihak menteri mahupun pihak kerajaan berhadapan dengan inisiatif ini.

Inisiatif ini tidak lahir daripada matlamat politik mahupun perebutan kuasa, apatah lagi ekonomi. Inisiatif ini sebaliknya lahir daripada kegusaran dan kesedaran yang tulen berkaitan tanggungjawab bersama sebagai warganegara ke atas situasi semasa negara kita yang sedang bergolak dan tidak tentu arah.

Kami percaya, Yang Berhormat Menteri mampu untuk bersetuju bahawa penglibatan belia dalam memastikan perkembangan negara harus bukan sahaja terhad kepada aktiviti yang bersifat non politikal, sebaliknya juga aktiviti yang bersifat politikal.

Apabila kemelut ekonomi dan sosial yang sedang merebak hari ini berakar daripada pergulatan politik semasa, maka wajar agar golongan belia mengambil sikap dan memberi sumbangan bersifat politik agar kemelut yang melanda ini dapat diuraikan.

Sikap dan sumbangan dalam menguraikan kemelut politik ini juga harus lahir daripada kesedaran yang berpaksikan perbincangan yang adil dan demokratik, diskusi yang matang dan ilmiah, serta resolusi yang tuntas dan holistik.

Atas sebab yang demikian, Kongres ini dipanggil agar cita-cita tersebut dapat dicapai.

Maka, suka untuk kami menyatakan bahawa Kongres amat berbesar hati jika, atas kapasiti sebagai Ketua Pemuda UMNO Nasional, organisasi politik belia terbesar negara; Yang Berhormat Menteri meluangkan masa untuk menjadi sebahagian daripada Kongres pada 17-19 Februari akan datang.

Biarpun sejak dilancarkan, kami masih belum menghantar sebarang jemputan rasmi kepada mana-mana pimpinan belia daripada parti politik, beberapa pimpinan sudah pun menyatakan komitmen untuk bersama dengan Kongres ini.

Diharap agar Yang Berhormat Menteri tidak ketinggalan untuk ikut serta, seterusnya menyumbang sama kepada cita-cita menyelamat dan membangunkan belia serta negara kita.

Di akhir kenyataan, adalah menjadi komitmen kami untuk memastikan Kongres berjalan dengan baik dan positif.

Maka adalah wajar agar Yang Berhormat Menteri juga memikul komitmen yang sama dengan memastikan terutamanya kerajaan yang diwakili oleh Yang Berhormat Menteri juga dapat menerima inisiatif ini dengan penuh positif.

Suka untuk kami umumkan, laman web rasmi kami sudah boleh diakses. Sila layari www.demimalaysia.net untuk sebarang info serta mendaftar sebagai salah seorang peserta KONGRES ANAK MUDA MALAYSIA 2017 (#KAMM2017).

Terima kasih.

Dikeluarkan bagi pihak Jurucakap Demi Malaysia:

Anis Syafiqah, Adam Adli, Amir Abd Hadi, Chan Tsu Chong, Rashida Kamal (Wakil Sabah), Simon Seah (Wakil Sarawak), Mia Yusri (Wakil Komuniti Orang Asal).