Categories
AGENDA NASIONAL

Tun M semakin pulih, pindah wad biasa

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Keadaan kesihatan Tun Dr Mahathir Mohamad semakin pulih dan telah dipindahkan ke wad biasa Institut Jantung Negara (IJN) hari ini, kata Datin Paduka Marina Mahathir.

Anak sulung bekas perdana menteri itu berkata Dr Mahathir yang sebelum ini dirawat di Unit Rawatan Koronari IJN, kini ceria dan bersemangat untuk kembali pulih sepenuhnya.

“Daripada penilaian pasukan doktor pakar yang merawat Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau didapati semakin pulih,” kata Marina dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bagi mengelak jangkitan, kedua-dua Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali tidak dibenarkan menerima pelawat di IJN ketika ini.

Marina berkata Dr Mahathir dan seluruh ahli keluarga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan agar beliau sembuh sepenuhnya.

Sabtu lepas, Marina dalam kenyataan memaklumkan bahawa keadaan Dr Mahathir stabil dan memberi respons yang baik kepada rawatan lanjutan prosedur elektif yang dijalankan 8 Jan lepas.

Sebelum ini, Dr Mahathir dimasukkan ke IJN pada 7 Jan bagi menjalani prosedur perubatan elektif sehari selepas itu dan dibenarkan keluar pada 13 Jan.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Dr M: Darurat tidak hentikan Covid-19, jejas pasaran ekonomi

SHAH ALAM, 24 OKT: Pengisytiharan darurat tidak membendung penularan Covid-19 lebih baik berbanding pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Sebaliknya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata langkah itu hanya meruntuhkan ekonomi berikutan pelabur tidak yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Apa yang darurat boleh lakukan untuk menghentikan pandemik berbanding dengan apa yang kita usahakan sekarang. Tiada apa-apa,” katanya menerusi blog hari ini.

Beliau menjelaskan darurat hanya memberi lebih kuasa kepada perdana menteri, bukannya mengatasi masalah politik, ekonomi dan sosial di negara ini.

“Jika darurat diisytihar, maka pasaran akan runtuh sepenuhnya. Para pelabur tidak akan percaya perdana menteri mampu menguruskan ekonomi,” katanya.

Malah, Mahathir turut mengingatkan desas-desus mengenai pengisytiharan perintah sedemikian juga boleh mengakibatkan pasaran saham merosot.

Semalam, Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet di Putrajaya sebelum menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada sebelah petang.

Pertemuan tersebut menimbulkan keresahan orang ramai dan mewujudkan spekulasi mengenai pengisytiharan darurat di negara ini.

Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menyifatkan alasan penularan Covid-19 digunakan untuk menyekat sidang parlimen berikutan ada ura-ura darurat mahu diisytihar.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Penuntut IPT perlu patuhi undang-undang – Mahathir

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Penuntut di institusi pengajian tinggi perlu mematuhi prosedur, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan universiti mereka bagi mengelak keadaan kacau bilau, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, pelajar bebas untuk menzahirkan pandangan mereka tetapi ia perlu dilakukan di tempat yang sesuai dan tidak mengganggu majlis rasmi.

“Kita ada prosedur, undang-undang dan peraturan tertentu. Kita perlu patuhi undang-undang itu, jika tidak, akan berlaku kacau bilau.

“Mereka boleh berdemonstrasi tetapi ada tempat lain untuk melakukannya. Jangan ganggu majlis yang tertib dengan cuba menunjukkan bahawa kamu ada pandangan tertentu. Kamu boleh menyatakan pandangan itu di tempat lain,” katanya kepada media selepas merasmikan Forum Pembasmian Kemiskinan: Pembangunan Inklusif dan Sejahtera Dalam Malaysia Baharu, bersempena Hari Antarabangsa Yayasan Sejahtera 2019, di sini hari ini.

Dr Mahathir diminta mengulas laporan berita tentang tindakan seorang penuntut Universiti Malaya, selepas menerima ijazah dalam majlis konvokesyen universiti itu di sini Isnin lepas, yang menggesa seorang pegawai tertinggi universiti supaya meletak jawatan berikutan ucapannya pada Kongres Maruah Melayu di Shah Alam baru-baru ini.

Bagaimanapun, perdana menteri berkata, kerajaan tidak seharusnya terlalu campur tangan dalam usaha universiti menangani keadaan itu kerana mereka (universiti) bebas membuat keputusan sendiri.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PAKATAN harap pembangkang letak calon UMNO

PUTRAJAYA, 7 OKT: Pakatan Harapan (PAKATAN) berharap pembangkang meletakkan calon UMNO untuk bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor kerana berpendapat pakatan itu lebih berpotensi menang jika disaingi wakil UMNO, kata pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Banyak masalah di situ. Kita berpendapat bahawa kita bergantung kepada parti lawan untuk menang iaitu kita minta mereka letak calon dari UMNO. Tolonglah, supaya kita boleh menang,” katanya secara sinis pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PAKATAN, di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata walaupun buat masa ini calon PAKATAN masih belum ditentukan, namun yang pasti pakatan itu akan diwakili oleh calon daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

PRK Parlimen Tanjung Piai akan diadakan pada 16 November ini berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, pada 21 September lepas selepas mengalami komplikasi jantung.

Pada PRU14, Dr Md Farid yang merupakan seorang pakar bius dan Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai memenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti 524 undi menewaskan Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS).

Ditanya mengapa PAKATAN mengharapkan calon UMNO daripada Barisan nasional (BN) bertanding PRK tersebut, Dr Mahathir berkata: “Adalah fakta-fakta yang tak boleh kita terangkan sekarang.”

Perdana Menteri berkata, mesyuarat tersebut turut membincangkan secara panjang lebar mengenai Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Jumaat ini.

Katanya, terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan pemimpin PAKATAN dan terdapat sedikit perubahan yang dicadangkan untuk belanjawan tersebut.

“Dan diharap Menteri Kewangan akan mengambil kira pandangan ini dan membuat pengumuman dalam ucapan (nanti),” katanya.

Ditanya mengenai perubahan yang diinginkan itu, Dr Mahathir secara berseloroh berkata: “I won’t tell you, its embargo until Friday” (Saya tidak boleh beritahu anda, ia embargo sehingga Jumaat).

Sementara itu, Dr Mahathir ketika diminta mengulas mengenai lantikan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Datuk Junaidah Kiting, yang juga merupakan isteri kepada setiausaha politik perdana menteri, berkata PH akan melakukan lantikan politik ke jawatan tertentu jika individu tersebut berkelayakan dan boleh menjalankan tugas.

“Inilah masalah yang kita hadapi. Kami tidak sepatutnya memberi sebarang jawatan kepada orang yang bekerja keras untuk menjayakan parti kita. Sebaliknya, yang mendapat nikmat jawatan-jawatan tertinggi adalah orang-orang yang tidak pernah tolong parti kita.

“Jadi adakalanya kita pilih juga orang yang ada kaitan sedikit dengan parti kerana dia mempunyai kelayakan, dan kita akan terus lakukan perkara yang sama kalau kita dapati ada orang yang ada kaitan dengan parti, bekerja kuat dengan parti, tetapi mempunyai kebolehan untuk menjayakan tugas itu,” katanya.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Jangan ambil rasuah walaupun hanya ‘budak pejabat’ – PM

OLEH NORHAYATI UMOR

PUTRAJAYA, 2 APR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan jentera kerajaan supaya tidak menyalahgunakan kuasa yang dipertanggungjawabkan walaupun hanya seorang ‘budak pejabat’.

Katanya, kakitangan kerajaan merupakan jentera yang dipertanggungjawabkan untuk mentadbir negara dengan baik supaya dihormati dimata dunia.

Mengimbau zaman British ketika dahulu, Mahathir berkata, terdapat seorang budak pejabat yang bekerja dengan Majistret menyalahgunakan kuasa dengan mengambil rasuah apabila mengatur sesuatu temu janji majikannya.

“Ini adalah suatu perkara yang tidak baik dan tidak harus berlaku.

“Walaupun hanya budak pejabat, ia sedikit sebanyak mempunyai kuasa yang boleh merosakkan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama kakitangan Jabatan Perdana Menteri (JPM), di Dataran Perdana, di sini.

Mahathir berkata, ilmu yang ditimba ketika menuntut di peringkat Universiti untuk memberi kecekapan dalam menjalankan tugas tidak harus dipersiakan.

“Perlu diingatkan ada bangsa yang berjaya ada bangsa yang gagal. Ini disebabkan oleh sifat-sifat tertentu yang diamalkan.

“Empat nilai hidup iaitu rajin, amanah, disiplin dan bertanggungjawab perlu dipegang bagi memastikan sesuatu bangsa berjaya,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata perhimpunan bulanan berkenaan adalah untuk memperingati perihal tanggungjawab dan bukan sekadar omongan kosong.

Terdahulu, lebih 100 kakitangan kerajaan dari Jabatan Perdana Menteri berhimpun bagi mendengar amanat Perdana Menteri itu.

 

Categories
GLOBAL

PM: Malaysia-Pakistan kongsi maklumat perangi rasuah

ISLAMABAD, 22 MAC: Malaysia dan Pakistan boleh berkongsi maklumat dalam usaha untuk memerangi rasuah, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, segala bentuk rasuah perlu dihentikan memandangkan ia akan meningkatkan kos.

Dr Mahathir juga bersetuju dengan Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan bahawa rasuah boleh menjadikan sesebuah negara jatuh miskin.

“Kami sangat bimbang tentang rasuah. Anda perlu membayar jumlah tertentu untuk memastikan kerja tertentu dilakukan. Kadang kalanya wang dicuri oleh pegawai dan ini perlu dihentikan,” katanya pada sidang akhbar bersama selepas mengadakan pertemuan.

Terdahulu, Dr Mahathir memulakan lawatan kerja tiga hari ke Pakistan bermula semalam.

Sementara itu, Imran Khan berkata Dr Mahathir membuat kemunculan semula yang hebat sebagai Perdana Menteri untuk memerangi rasuah.

“Kami melihat anda menentang rasuah. Parti saya (Pakistan Tehreek-e-Insaf) memulakan kempen 22 tahun yang lalu memerangi rasuah. Kami sebenarnya percaya negara bukan miskin, tetapi rasuah yang menjadikan rakyat miskin.

“ Rasuahlah yang menghancurkan institusi itu. Rasuah yang mengambil wang yang sepatutnya dibelanjakan untuk manusia, wang haram di bawa ke luar negara. Mereka menjadikan (negara) miskin dan mengalihkan wang untuk pembangunan manusia,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

PM: Ada pihak minat beli Malaysia Airlines

KUALA LUMPUR, 20 MAC: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mendedahkan ada pihak dari dalam dan luar negara berminat membeli syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines Berhad (MAB).

Bagaimanapun katanya, kerajaan masih perlu mengkaji sebelum membuat keputusan yang akan menentukan masa depan syarikat penerbangan itu.

“Ada pihak-pihak tertentu yang ingin membeli MAS (MAB) jadi kita tidak tolak. Kita nak kaji sama ada perlu jual ataupun tidak,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata ini kerana syarikat itu tetap mengalami kerugian sekalipun mengambil pengurus luar.

Ditanya mengenai saranan bekas pemimpin syarikat itu yang mahukan MAB kekal bawah kerajaan, Dr Mahathir berkata perkara tersebut turut akan ditimbang.

“Saya sayang MAS, saya mahu MAS ini dijadikan satu syarikat penerbangan nasional tetapi nampak seolah-olah kita tidak mampu,” katanya.

Dr Mahathir berkata, strategi kerajaan terdahulu yang menyuntik RM6 bilion dan memberhentikan 6,000 pekerja nyata gagal memberikan keuntungan kepada syarikat selain menyebabkan banyak pesawat tidak digunakan sepenuhnya.

Menurutnya selepas pemberhentian pekerja, syarikat itu “tidak terbang seperti dahulu”, bermakna pengurangan pekerja tidak membawa sebarang perbezaan.

“Kalau kita kurang pekerja tetapi kita maintain status yang lama barulah ada saving (penjimatan),” katanya.

Pada 5 Mac, Khazanah Nasional, sayap pelaburan kerajaan, dilaporkan mengalami rosot nilai RM7.3 bilion tahun lepas dengan sebahagian besarnya disumbangkan oleh MAB.

Khazanah merupakan satu-satunya pemegang saham MAB setelah mengambil alih syarikat penerbangan itu pada 2014 dan ia telah menyuntik dana RM6 billion untuk membaiki prestasi syarikat namun usaha tersebut gagal.

Dr Mahathir sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan akan mengkaji pelbagai opsyen sebelum membuat keputusan mengenai masa depan Malaysia Airlines sama ada akan menutup, menjual atau membiayainya semula.

— BERNAMA

Categories
NASIONAL

Drama pendek ‘Atuk dah tua’ buat netizen terharu

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 30 APR: Drama pendek menampilkan bekas Perdana Menteri , Tun Dr Mahathir Mohamad berjaya meruntun hati ramai rakyat Malaysia.

Video berdurasi 10.25 minit itu dikongsi hampir 20,000 pengguna facebook dalam tempoh dua hari ia dimuatnaik melalui akaun facebook peribadi ‘Dr. Mahathir bin Mohamad’.

Melalui drama pendek itu, seorang kanak-kanak perempuan berusia sekitar tujuh tahun bertemu Tun Mahathir di sebuah galeri di Putrajaya.

Drama yang mendapat lebih 28,000 kesukaan itu berjaya meruntun hati penonton gara-gara Tun Mahathir menitiskan air mata ketika ditanya kenapa masih bekerja walaupun sudah berusia.

“Atuk perlu bekerja kerana perlu buat pemulihan negara, disebabkan mungkin oleh kesalahan atuk dulu dan keadaan yang berlaku sekarang ini.

“Merdeka bermakna kita bebas, kita tidak dijajah oleh orang, dan kita dapat tadbirkan negara kita sendiri, dan kita akan membangunkan negara kita, supaya rakyat akan hidup lebih baik, dapat bekerja, dapat pendapatan, dan hidup lebih sempurna,” kata Tun Mahathir.

Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN) itu kemudiannya mengalirkan air mata ketika ditanya apa harapannya pada Malaysia.

“Kalau Malaysia ini ditadbir oleh kerajaan yang baik, kita akan dapat banyak nikmat, atuk dah tua, sudah 90 lebih jadi masa tak banyak, tapi setakat yang boleh, atuk akan berusaha untuk pulih negara kita,” katanya.

Salah seorang pengguna facebook ‘Joe Bravo’ melalui komennya di video berkenaan berkata, beliau membesar di zaman Tun Mahathir dan berterima kasih terhadap pentadbiran cemerlang bekas PM itu.

“Saya membesar di zaman Tun dan terima kasih Tun kerana bangunkan Malaysia ini dari sektor pertanian kepada negara industri dan teknologi, saya akan terjemahkan rasa sayang ini melalui kertas undi,” katanya.

Sementara itu Chong KL berkata, sikap Tun Mahathir yang mengakui pernah melakukan kesalahan harus dipuji.

“Dia pernah buat salah dan bangkit semula untuk pulihkan Malaysia, yang dengki dan busuk hati dengan Tun, biarlah, yang akan hidup susah anda dan generasi anda,” katanya.

JURNAL BERITA – MB: Air percuma kepada KL, Putrajaya jika penstrukturan berjaya

1. DYMM Sultan Selangor: Kerabat Diraja tidak perlu terlibat politik

2. MB: Air percuma kepada KL, Putrajaya jika penstrukturan berjaya

3. Air percuma KL, Putrajaya bukti PR perjuang hak rakyat

4. Anwar: Dalam demokrasi semua boleh bertanding

5. PRK DUN Kajang: Zaid Ibrahim bakal hilang deposit

6. Anwar: Umat Islam patut tunjuk hikmah, akhlak tinggi

7. Anwar: ‘Mahathir sudah-sudahlah…’

8. Rafizi: Langkah Kajang, hanya 17 peratus tidak setuju itupun pengundi BN

9. Nurul Izzah: BN tiada calon di DUN Kajang, bukti semakin goyah

10. Pejabat bergerak MBSA ‘Shah Alam On Wheel’ permudah urusan

11. MBSA pelawa orang ramai sertai aktiviti berbasikal 22 Feb ini

Categories
NASIONAL SELANGOR

SPR Enggan Bersih Daftar Pengundi – BULETIN 13


 

Sinopsis

BULETIN 13 Untuk 02042013

Saksikan secara langsung “BULETIN 13” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 12.00 Tengahari, 3.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, membidas keengganan Suruhanjaya Pilihan Raya membersihkan daftar pengundi dari identiti rakyat Malaysia yang dicuri dan ditanam oleh agen-agen Umno dalam daftar tersebut.

2. Kenyataan Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya rakyat Johor menolak Calon Pakatan Rakyat di negeri itu menggambarkan ketakutan ketara beliau melihat sokongan rakyat yang semakin menolak Umno Barisan Nasional.

3. PAS akan bertanding 76 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-13 sekaligus menyaksikan pertambahan 10 kerusi berbanding tahun 2008.

4. Penubuhan suruhanjaya tanah adat seperti yang dicadangkan Pakatan Rakyat semakin perlu bagi menyelesaikan sama-sekali isu yang membelit pribumi Sarawak.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Raja Muda Sulu Punyai IC Biru, Bekas Kakitangan Kerajaan

kiram rakyat malaysia

SHAH ALAM, 20 MAC : Pemimpin penceroboh di Lahad Datu, Sabah yang menggelar dirinya sebagai Raja Muda Sulu, Agbimudin @ Azzimuddie Kiram didapati seorang rakyat Malaysia dan pernah bertugas sebagai Pegawai Pentadbir Muda di Pejabat Daerah Kudat.

Siasatan di Jabatan Arkib Negara Sabah mendapati nama Azzimuddie tersenarai dalam Senarai Kakitangan 1975, Perkhidmatan Awam Sabah sebagai Pegawai Pentadbir Muda di Pejabat Daerah Kudat.

Menurut dokumen itu beliau dilantik bermula 1 Mac 1974 dengan gaji RM 610 sebulan, kata Pengarah Strategi Rafizi Ramli yang mendedahkan dokumen tersebut hari ini.

Menurut Rafizi dan Timbalan Setiausaha Agong PKR, Darell Leiking, maklumat terbaru ini mengesahkan kaitan di antara pencerobohan bersenjata di Sabah dengan Projek IC yang dikaitkan dengan Tun Mahathir Mohamad dan Umno.

“Dengan maklumat ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak lagi boleh bersembunyi disebalik alasan keselamatan nasional untuk mengelak dari menjawab soalan-soalan yang berlegar di pemikiran rakyat,” menurut kenyataan tersebut.

Antara yang berlegar dikalangan umum pada masa ini termasuklah persoalan, berapa ramaikah dari kalangan penceroboh bersenjata merupakan penduduk Filipina yang mendapat kerakyatan Malaysia setelah diberikan kad pengenalan biru seperti Agbimudin.

Turut dipersoalkan adalah terdapat berapa ramaikah di kalangan penceroboh tersebut merupakan ahli Umno.

Rafizi dan Darell turut menggesa Najib berterus terang kepada rakyat adakah benar ketua kumpulan bersenjata ini adalah rakyat Malaysia yang berasal dari Filipina dan diberikan kad pengenalan biru.

Menurut Rafizi, justeru itu PKR akan meganjurkan Bicara Kedaulatan dan Keselamatan Negara (BKKN) dalam bentuk forum yang disertai beberapa bekas pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia dan Polis di Kuala Lumpur, Sungai Petani dan Johor Bahru bagi mengupas isu ini.

“BKKN yang pertama akan berlangsung di Dewan Dato? Ahmad Razali Ampang pada hari Khamis, 21 Mac 2013 jam 9 malam dan akan dipengerusikan oleh saya sendiri.

“Melaui BKKN, persoalan hubungkait Projek IC dan ancaman keselamatan akibat dari semborono Umno itu akan dikupas dengan sejelasnya, selain dari isu-isu kedaulatan dan keselamatan negara yang lain,” ujar Rafizi.

Pada 9 Februari lalu Azzimuddie mengetuai kumpulan yang mendakwa mereka sebagai Askar Diraja Kesultanan Sulu yang memasuki Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo, Lahad Datu dengan tujuan mahu menuntut hakmilik Kesultanan tersebut ke atas Sabah.

Sebanyak 63 nyawa terkorban di dalam operasi tentera dan polis bagi menghapus dan menangkap ahli kumpulan tersebut yang sudah berlangsung selama sebulan.

Sehingga 12 Mac dilaporkan seramai 53 pengikut Kesultanan Sulu, sembilan anggota pasukan keselamatan dan satu orang awam terkorban dalam beberapa siri pertempuran antara kedua-dua belah pihak itu.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Abdul Hadi: Krisis Pentadbiran Kedah Hanya ‘Berita Pilihan Raya’

PAS Lancar Treler Jelajah 03

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menganggap isu pergolakan pentadbiran PAS Kedah yang menjadi tumpuan media sebagai satu ‘berita pilihan raya’.

Dengan nada sinis beliau menegaskan, PAS sentiasa menyelesaikan masalah parti dan tidak seperti Umno-BN yang terpaksa ‘memanggil’ mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

“(Penolakan Azizan) kita anggap sebagai berita pilihan raya. Biasalah orang PAS masuk Umno, orang Umno masuk Umno.

“Kita boleh juga kata krisis antara (Presiden Umno Datuk Seri) Najib dan (Timbalan Presiden Umno Tan Sri) Muhyiddin itu perlu disiarkan juga,” katanya selepas merasmikan treler ‘PAS Negara Berkebajikan’ di hadapan Ibu Pejabat PAS.

Laporan media semalam mendakwa 11 daripada 15 kawasan PAS negeri mendesak Datuk Seri Azizan Abdul Razak meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar dan Pesuruhjaya PAS Kedah.

Ini kerana kegagalan beliau mentadbir Kedah selain menyelesaikan masalah dalaman PAS di peringkat negeri.

Menurut Abdul Hadi lagi, nama Azizan turut tersenarai di dalam nama calon bertanding pada PRU-13.

Beliau yakin rakyat akan terus memberikan kepercayaan kepada Kerajaan Negeri kini untuk terus mentadbir Kedah.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menjelaskan, beliau tidak menerima sebarang aduan rasmi daripada ahli PAS Kedah berhubung pergeseran dalaman parti negeri.