Categories
NASIONAL

PTPTN: Umno Jaja Modal Melayu

SHAH ALAM, 9 APRIL : Sekali lagi modal ‘Melayu’ digunakan untuk menakut-nakutkan orang Melayu kononnya peluang kaum ini untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti bakal terjejas ekoran pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Ahli Parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria berkata persoalan pokok yang seharusnya dijawab kerajaan ialah keikhlasan mereka merealisasi hak pendidikan percuma kepada Melayu (bumiputera) seperti yang termaktub didalam perlembagaan.

“Inilah modal terakhir mereka untuk menakut-nakutkan rakyat, penghianat Melayu sebenarnya adalah Umno itu sendiri,”ujarnya.

Nasir menyoal, tidakkah Umno sedar bahawa Melayu jugalah kumpulan terbesar kadar kemiskinannya di negara ini.

Nasir berkata, penafian hak pendidikan percuma yang disusuli dengan pelaksanaan skim pinjaman PTPTN jugalah penyebab utama kaum Melayu terikat dengan beban hutang selepas menamatkan pendidikan diperingkat tinggi.

Mengulas lanjut, berhubung dakwaan Khaled kononnya penghapusan PTPTN akan memberi kesan kepada meritokrasi dan persaingan sengit di kalangan pelajar untuk mendapat tempat di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

“Tidakkah pemimpin Umno sedar bahawa meritokrasi juga adalah buah fikiran bekas pemimpin mereka, Tun Dr Mahathir Mohamad,”katanya.

Tindakan ini mungkin disebabkan kerajaan berasa tidak selamat dari sudut politik apabila melihat sokongan positif daripada mahasiswa terhadap cadangan Pakatan Rakyat.

Sebagai rumusan, Nasir menjelaskan sikap liat kerajaan untuk menghapuskan PTPTN ini adalah kerana mereka tidak mampu menyelesaikan hutang ini kecuali menggunakan jalan mudah dengan mengembalikan beban hutang ini dibahu rakyat.

Semalam, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, pemansuhan pinjaman itu juga akan menyebabkan pelajar kurang berkemampuan menghadapi masalah untuk menanggung kos sara hidup di kampus.

Categories
NASIONAL

Najib Akan di Hakimi di Persidangan Alam Sekitar Di Brazil

SHAH ALAM, 30 MAC: Sebuah NGO yang memperjuangkan penutupan kilang Lynas di Gebeng bercadang untuk berdepan dengan Perdana Menteri,Datuk Seri Mohd Najib Razak di sidang Earth Summit 2012 pada Jun nanti di Rio de Janeiro, Brazil jika isu tersebut tidak diselesai segera.

” Sebelum ketua-ketua kerajaan sebelum mengadakan sidangnya ada mesyuarat-mesyurat di peringkat antarabangsa yang akan melobi berkaitan isu-isu rakyat berkenaan isu yang melibatkan alam sekitar dan pelbagai isu akan dibangkitkan.

“Kalau kerajaan Malaysia berdegil kita akan pergi ke  Rio de Janeiro bersama NGO lain dan kita akan sampaikan hasrat kita dan kita akan berdepan dengan Perdana Menteri di Rio de Janeiro,” kata Pengerusi Green Clean World , Zulkefly Mohamad Omar ,

Green Clean World merupakan sebuah pertubuhan yang memperjuangkan penutupan kilang Lynas di Gebeng.

Earth Summit 2012 dijangka akan diadakan di Rio De Janeiro, Brazil 20 – 22 Jun 2012 ini.

Sebelum ini, Bruno Masel yang juga pemimpin kumpulah Hak Asasi Manusia pernah berdepan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika beliau menjadi Perdana Menteri bagi memperjuangkan hak orang Penan ketika Earth Summit sebelum ini.

Menurut Zulkefly yang juga Pengerusi Solidariti Hijau SeMalaysia pembinaan kilang nadir bumi Lynas itu dijalankan secara tergesa-gesa dan diputuskan tempat itu tanpa kelulusan oleh badan tertentu sebelum ini.

” Kita tidak mahu kilang ini terus dibenarkan beroperasi dan saya melihat sebelas penambahbaikan yang diminta oleh AILB itu belum dipenuhi lagi, termasuk soal tempat di mana lokasi pembinaan itu berhampiran dengan penduduk dan kawasan itu begitu sensitif iaitu kawasan rendah dan selalu banjir,” katanya.

Categories
NASIONAL

Lobi Israel Untuk Jadi Tuan Rumah Persidangan Gas Sedunia?

SHAH ALAM, 29 MAC : PKR mendakwa pimpinan Umno-BN memohon bantuan dari Israel dengan melobi untuk menjadi tuan rumah Persidangan Gas Sedunia (World Gas Conference) yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 4 hingga 8 Jun depan.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya mengesahkan usaha melobi ini bermula  pada tahun 2005.

Malah, Malaysia turut menawarkan secara tidak langsung untuk menguruskan penginapan dan pendaftaran wakil-wakil Israel ke Persidangan IGU di Tianjin, China.

Pendekatan merayu bantuan Israel ini mendapat restu dan atas nasihat Wisma Putra. Penganjurannya pula dikendalikan oleh Persatuan Gas Malaysia yang diwakili oleh PETRONAS dan dinasihati oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

“PKR mempunyai bukti kukuh termasuklah laporan, surat menyurat dan dokumen-dokumen lain yang mengesahkan sikap ‘talam dua muka’ Umno yang secara diam-diam merestui hubungan dua hala di antara Malaysia dan Israel sedang ia menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ejen Israel,” kata Saifuddin dalam kenyataan media.

Tambah Saifuddin, penganjuran Persidangan Gas Sedunia dipilih melalui undi oleh anggota Pertubuhan Gas Antarabangsa (International Gas Union) yang turut dianggotai oleh Malaysia, Israel, Russia, Brunei, Indonesia dan banyak negara lain.

“Sikap Umno dan pimpinan mereka yang menentukan dasar Wisma Putra adalah bertentangan dengan keinginan rakyat Malaysia yang tidak mahu ada sebarang hubungan diplomatik sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan Israel.

“Malah, pendedahan kali ini membongkarkan hipokrasi tertinggi Umno dan pimpinan mereka dalam isu hubungan dengan Israel kerana bukan sahaja mereka menyatakan hasrat untuk mengadakan hubungan diplomatik, malah terbukti mereka pernah melutut merayu sokongan dari Israel,” kata Saifuddin.

Justeru, PKR mendesak penjelasan kerajaan mengenai pendirian yang diambil sehingga merestui pendekatan pihak penganjur Persidangan Gas Sedunia yang merayu bantuan dan sokongan Israel.

Categories
NASIONAL

“Letak Jawatan Tak Bererti Kes Selesai”- Mohd Sabu

SHAH ALAM, 12 MAC : Bukan jalan penyelesaiannya untuk rakyat melupakan dana awam yang diselewengang oleh pemimpin Umno walaupun Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil mengumumkan akan berhenti dan mengundurkan diri dari jawatan menteri tidak lama lagi, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Secara sinis beliau berkata rakyat mahukan isu ‘Menteri lembu’ tersebut disiasat secara telus dan integriti oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana pelbagai bukti telah dibongkar oleh Pakatan Rakyat.

” Walaupun Menteri lembu telah mengumumkan akan berhenti tidak lama lagi tetapi bukan itu penyelesaiannya, kita mahu jika ada kes rasuah, SPRM mesti siasat dan dakwa siapa sahaja yang terlibat dalam kes rasuah itu,” katanya ketika berucap di Majlis Makan Malam sempena Sambutan ke empat tahun pentadbiran PR.

Katanya, tindakan Shahrizat yang mengambil masa sebegitu lama untuk berundur dilihat sebagai tindakan terdesak setelah pelbagi bukti ditemui dan dibongkar oleh Pakatan Rakyat.

Semalam, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang juga Ketua Wanita Umno mengumumkan akan berundur sebagai menteri selepas tempoh perlantikannya sebagai senator tamat bulan depan.

Shahrizat yang dilantik sebagai senator pada 9 April 2009 akan tamat tempoh penggal sebagai Senator pada 8 April depan.

Beliau bagaimanapun hanya berundur sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tetapi masih kekal sebagai Ketua Wanita Umno.

Shahrizat meletakkan jawatan sebagai menteri selepas kontroversi panjang isu skandal Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) yang diterajui suaminya, Datuk Dr Mohamed Salleh Ismail.

Selain desakan banyak pihak termasuk pihak pembangkang, beberapa individu dalam Umno seperti bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Bekas ketua Wanita Tan Sri Rafidah Aziz , Ketua Umno Cheras Datuk Syed Ali Syed Abas Alhabshee dan Timbalan Kelab Penyokong BN, Bung Mokhtar Radin juga menggesa Shahrizat melepaskan jawatan untuk mengelakkan menjadi bebanan parti.

 

Categories
NASIONAL

Anwar: Tolak Politik Perkauman


SHAH ALAM, 12 MAC : Semua kaum dinegara ini diminta menghentikan politik perkauman dan permusuhan agama supaya masa depan negara akan lebih baik dan terjamin di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat (PR), ujar Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim

Katanya, rakyat juga perlu lebih menelitinya dalam menentukan arus politik dan masa depan negara melalui corak pemerintahan yang mengutamakan keadilan dan ketelusan.

” Kita sudah sampai ke satu tahap yang agak getir dan genting dan ini merupakan tahun yang mencabar bagi Malaysia, ianya bukan selalu diadakan, bukan setiap tahun, rakyat mempunyai peluang untuk kembali melakar sejarah pada tahun ini seperti tsunami politik pada 2008 lalu dan saya percaya kita memilih untuk menolak Umno-BN dalam PRU 13 akan datang,” Katanya.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang berkata Pakatan Rakyat akan sentiasa mengemukakan pandangan rakyat tidak kira apa pun demi masa depan rakyat negara ini.

Tambahnya lagi, beliau sanggup ‘diperkudakan’ oleh rakyat daripada ‘diperlembukan’ oleh Umno-BN seperti yang di war-warkan oleh Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

” Kita dituduh untuk mencuba untuk mengkristiankan dan menghindukan rakyat di Majlis Ponggal baru-baru ini tetapi bagi saya tak apa..nak diperkudakan rakyat tak apa..Mahathir kata saya nak diperkudakan oleh Kit Siang, DAP dan Cina..Saya kata lebih baik diperkudakan oleh rakyat daripada Umno memperlembukan rakyat.

” Pilihan kita dalam negara hari ini bukan sahaja pilihan antara parti, tokoh, tetapi pertembungan yang berlaku ini saya ungkapkan sebagai keadilan untuk idea dan nilai kehidupan yang mahu mengangkat taraf Malaysia sebagai negara yang bebas, berdaulat dan tunduk kepada hukum menghentikan rasuah.

” Ia bagi mempertahankan pentadbiran atau pemerintahan yang baik seperti rakan-rakan saya yang mengemukakan pandangan ini dalam Konvesyen PR di Alor Star baru-baru ini terutamanya golongan muda yang mengemukakan beberapa agenda tambahan untuk melengkapkan dan mengemaskini idea-idea pokok dalam Buku Jingga,”

Beliau berkata demikian di Majlis Makan Malam sempena Sambutan empat tahun pentadbiran PR di Shah Alam malam tadi.

Hadir sama di majlis itu, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Penasihat Parti Tindakan Demokratik (DAP), Lim Kit Siang serta ahli exco kerajaan negeri Selangor.

Categories
NASIONAL

Mohd Sabu: Malaysia Di Bankrap Oleh Umno/BN

SHAH ALAM, 12 MAC : Rakyat diseluruh negara diminta menyelamatkan negara ini dengan memilih Pakatan Rakyat (PR) dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke 13 akan datang sebelum negara ini diisytiharkan bangkrup akibat dari pentadbiran Umno-BN.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata ianya dapat diselamatkan dan rakyat dengan melakukannya dalam proses pilihanraya akan datang.

Katanya, rakyat boleh membina keyakinan dengan melihat pelaburan yang dibawa pentadbiran negeri dibawah PR seperti di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.

” Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor bukan sempurna tetapi laporan audit menunjukkan negeri PR jauh lebih menjaga kewangan negeri berbanding pentadbiran Umno-BN,” katanya
dalam ucapan di Majlis Makan Malam sempena Sambutan empat tahun pentadbiran PR.

Hadir sama di majlis itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang serta ahli exco kerajaan negeri Selangor.

Beliau berkata banyak ahli ekonomi yang mengatakan bahawa Malaysia akan jatuh bangkrup pada 2015 dan 2019.

” Datuk Idris Jala mengingatkan bahawa Malaysia mungkin bangkrap tahun 2019, ada ahli ekonomi lain mengatakan mungkin bangkrap 2015, katalah Umno-BN menang tahun ini, PRU 14 nanti pada 2016 sedangkan 2015 Malaysia sudah bangkrap dan pentadbiran pula akan diserahkan kepada kita tanpa Umno-BN bertanding jadi bagaimana mahu menyelesaikan perkara itu.

” Kerana itulah slogan kita sekarang adalah ‘selamatkan Malaysia’ daripada bangkrap dibawah Umno-BN,” katanya.

Mohamad Sabu berkata tidak pelik Malaysia akan bangkrap tidak lama lagi kerana di zaman era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad lagi negara sudah hilang RM 100 billion.

” Manakala wang yang dibawa keluar negeri oleh orang-orang kaya dan tauke judi pula sebanyak RM1.07 trillion, hutang negara pula sudah mencecah RM 460 billion dan indeks rasuah kita seperti kajian orang barat sudah jatuh ke tempat 60.

” Oleh itu, kita harap rakyat selamatkan negara ini, seperti yang disebut oleh rakan-rakan lain seperti Badan Bukan Kerajaan (NGO), kita mempunyai sistem dua parti..lihat kerajaan PR memerintah, kalau ianya lebih baik dari Umno-BN sambung tugas kami di Putrajaya,” katanya.

 

 

Categories
NASIONAL

Fathul Bari: Kenyataan Dr M Boleh Bawa Kekufuran

SHAH ALAM, 5 MAC: Kenyataan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai Hukum Hudud yang cuba dilaksanakan oleh Pas di beberapa negeri yang pernah ditadbirnya dianggap sebagai kenyataan dari seorang yang jahil tentang agama.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Umno (ILMU), Ustaz Fathul Bari dalam satu ceramah yang dimuatnaik di laman sosial you tube baru-baru ini berkata sekiranya orang yang mengeluarkan kenyataan tersebut merupakan orang yang mempunyai ilmu, maka ia boleh mengakibatkan kekufuran.

“Kenyataan saya sangat jelas, di mana kalau ia keluar daripada lisan orang-orang yang mengetahui, yang ada ilmu, ia boleh membawa kepada kekufuran.

“Ini adalah kenyataan yang bahaya sebab ia bukan ciptaan ahli fiqah, ia adalah ciptaan Allah,” menurut Fathul Bari.

Kata Fathul Bari, Hudud dalam Al-Quran banyak kali disebut secara umum dan perkataan Hudud itu adalah satu terminilogi bagi hukum Allah.

“Perkataan Hudud ini adalah satu terminilogi yang diguna pakai oleh ulama-ulama fiqh dalam memberikan takrifan, nak berikan perkataan sebab nak bagi mudah.

“Hakikatnya sama saja, hukum zina, hukum atas pencuri dan lain-lain, ianya adalah hudud.

“Mungkin benda-benda ni berlaku, satu, dari sudut kejahilan atau kedua berlaku disebabkan tekanan-tekanan politik yang berlaku,” kata beliau lagi.

Beliau turut menegur pihak yang bertanyakan soalan berkenaan Hudud kepada pihak yang dianggap tidak mengetahui pengetahuan mendalam dalam isu yang disoal.

“Satu lagi, kalau kita nak tanya tanyalah pada orang yang tahu.

“Kalau kita nak tanya orang yang pakar ugama, yang alim ulamak tentang enjin motor, ‘jammedlah’ dia.

“Jangan tanya ustaz dalam carburator motor tu ada berapa skru? Mampuslah dia nak jawab,” beritahunya lagi.

Kenyataan beliau itu yang dimuatnaik di laman sosial agendsai.blogspot.com

 

Categories
NASIONAL

Surat Dr M Dedah Tembelang Umno BN Mengenai Israel

SHAH ALAM, 1 MAC: Pendedahan surat-surat yang dihantar oleh mantan Perdana Menteri (PM), Tun Dr Mahathir Mohamad kepada tiga PM Israel mendedahkan pendirian sebenar kerajaan pimpinan Umno BN yang sentiasa mahu mengadakan hubungan dengan negara Zionis tersebut.

Demikian menurut Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Menurut kenyataan tersebut keinginan mantan PM itu untuk mengadakan hubungan dengan negara Israel itu diluahkan dalam salah satu surat tulisan tangan kepada Yitzhak Rabin.

“Mahathir pula bertemu dan berhubungan dengan PM-PM Israel dan menegaskan berulang kali keinginannya mengadakan hubungan antara Malaysia dengan Israel.

“Malah hasrat ini dilahirkan menerusi tulisan tangan di dalam suratnya kepada Yitzhak Rabin,” menurut beliau.

Saifuddin turut menjelaskan pendirian Dr M itu turut diteruskan oleh PM Malaysia hari, Datuk Seri Najib Razak yang tunduk kepada tekanan Amerika dan Israel.

“Sikap ini diteruskan oleh Pentadbiran Datuk Seri Najib Razak yang melantik APCO sebagai perunding mereka. Antara penasihat APCO merupakan Doron Bergerbest-Eilon, bekas Ketua Perlindungan dan Keselamatan, Agensi Keselamatan Israel.

“Kerajaan Malaysia juga selama ini mengambil sikap berat sebelah di dalam isu Palestin dengan hanya mengiktiraf Fatah, tanpa mengambilkira Hamas yang telah dipilih rakyat Palestin.

“Ini membuktikan kerajaan UMNO-BN tunduk kepada tekanan Amerika Syarikat dan Israel,” menurut kenyataan itu lagi.

Katanya lagi, pendedahan surat ini mengesahkan sikap pura-pura Barisan Nasional yang menyerang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan memfitnahnya sebagai pro-Yahudi.

“Pendedahan surat-surat yang ditulis Tun Dr Mahathir Mohammad kepada 3 Perdana Menteri Israel  Yitzhak Rabin (21/12/1993), Benjamin Netanyahu ( 14/3/1997) dan Ehud Barak ( 8/6/1999) mengesakan kebenaran dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan membuktikan sikap kepura-puraan Dr Mahathir selama ini.

“Ketika beliau sering tampil dengan imej luaran yang mengambil sikap keras dengan Israel dan memfitnah Anwar sebagai ëpro-Yahudií, secara senyap-senyap beliau mengambil pendekatan berbeza dengan pemimpin Zionis,” beritahu Saifuddin dalam kenyataan medianya itu lagi.

Sebelum ini, Anwar dalam temubualnya dengan akhbar antarabangsa menegaskan kemahuan dan hak rakyat Palestin mesti dibela termasuk hak  hak untuk mendirikan negara sendiri, tidak dizalimi dan pengiktirafan palestin sebagai negara merdeka.

Bagaimanapun kenyataan beliau itu telah diputar belitkan oleh media-media arus perdana dengan menggambarkan bahawa Anwar adalah penyokong negara zionis itu.

Categories
NASIONAL

Mustafa: Malaysia Masih Guna Undang-Undang Lapok

SHAH ALAM, 9 FEB : Kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu mengubah undang-undang di Malaysia mengikut acuan barat terutamanya untuk mengembangkan konsep kebebasan seks adalah bersifat putar belit kenyataan semata-mata.

Sebaliknya kenyataan Anwar dalam satu wawancaranya bersama BBC Mumbai baru-baru ini menyentuh tentang undang-undang lapuk yang diamalkan di negara ini sememangnya benar.

Undang-undang lapuk yang masih diguna pakai hingga kesaat ini bertujuan demi kelangsungan survival politik kerajaan BN melalui undang-undang menghalang kebebasan hak rakyat.

Walaupun bergelar negara demokrasi, kerajaan BN masih menguatkuasakan undang-undang tertentu untuk mengekang kebebasan rakyat bersuara seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Mesin Cetak dan Akta Universiti dan Kolej (AUKU).

Pengarah Latihan PKR, Mustaffa Kamil Ayub berkata kenyataan Dr Mahathir tersebut melampau dan liar.

“Kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam persoalan undang-undang di Malaysia itu jauh dipesongkan daripada apa yang beliau maksudkan.

“Saya mencabar kerajaan Najib dan Mahathir untuk memberikan Anwar ruang di media arus perdana untuk menjelaskan apa yang beliau maksudkan dalam wawancara itu,” ujar Mustaffa.

Mustaffa turut membangkitkan fenomena media milik Umno/BN yang sering memutar-belitkan kenyataan yang dikeluarkan Ketua Umum PKR itu.

“Untuk membalas segala serangan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya mempunyai saluran media baru sebagai wadah untuk menjelaskan beberapa salah faham mahupun salah tafsir yang berlaku,” tambah Mustaffa lagi yang dihubungi melalui panggilan telefon.

Jelas beliau tindakan Dr Mahathir tersebut disebabkan kebimbangan bekas perdana menteri tersebut terhadap kebangkitan Pakatan rakyat yang diterajui Anwar disaat menghadapi pilihanraya umum akan datang.                                                                                                                             
“Sudah cukup jelas dalam konteks Malaysia dan Pakatan Rakyat juga akan lebih tegas mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Islam sebagai agama persekutuan serta mempertahankan institusi raja-raja juga hak keistimewaan Melayu.

“Kesemua ini merupakan komitmen Pakatan Rakyat jika diberi kesempatan mengambil alih Putrajaya,” jelasnya lagi.

Mustaffa juga menjelaskan bahawa kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam wawancara itu jelas menggambarkan komitmen berterusan kepada institusi perkahwinan dan agama seperti termaktub dalam perlembagaan.

“Cuma pendekatan dan cara menangani masalah yang wujud dalam masyarakat itu perlu ditangani dengan cara yang berhemah dan mendidik untuk membawa masyarakat yang mungkin tersasar daripada tabiat yang berteraskan nilai agama,” kata Mustafa.

 

Categories
NASIONAL

Mahathir Lupa Pernah Jadi Rakan Akrab Amerika-Israel

SHAH ALAM 31 JAN : Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad sendiri mempunyai hubungan akrab dengan Amerika dan pernah melantik pelobi Yahudi yang mempunyai hubungan dengan Israel.

Menurut Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, Dr Mahathir sengaja memutarbelitkan kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu negara Israel dan Palestin.

“Mahathir mungkin kelihatan begitu lantang bersuara menentang Zionis dan Barat tetapi sebenarnya mempunyai hubungan yang cukup baik dengan mereka sehingga sanggup menandatangani perjanjian ketenteraan sulit dengan Amerika pada 1984 – Bilateral Training and Consultation Agreement (BITAC) – yang membolehkan Amerika menjalankan latihan ketenteraan mereka di Malaysia,” kata Nik Nazmi yang juga ADUN Seri Setia dalam kenyataan medianya.

Nik Nazmi berkata Anwar telah menjelaskan bahawa kenyataannya di dalam akhbar The Wall Street Journal adalah selari dengan penyelesaian dua negara (two-state solution) yang diterima inisiatif keamanan dunia Arab, Malaysia malah Hamas sendiri, pejuang kemerdekaan Palestin.

Tambah Nik Nazmi, selepas imej Malaysia punah teruk di mata masyarakat antarabangsa akibat pemecatan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri, Dr Mahathir begitu terdesak untuk bertemu dengan Bush.

Beliau mendakwa Dr Mahathir sanggup membayar Jack Abramoff, seorang ahli lobi Zionis sebanyak AS$1.2 juta untuk mengatur pertemuan dengan Bush. Fakta ini diakui oleh Dr Mahathir sendiri.

Abramoff mempunyai hubungan rapat dengan Bush dan juga golongan ekstrem di Israel.
Menurut majalah Newsweek, wang yang dikutip oleh Abramoff di dalam aktiviti melobinya disalurkan untuk penduduk Yahudi melawan kebangkitan rakyat Palestin.

Abramoff akhirnya mengaku bersalah di atas tuduhan rasuah, penipuan dan lain-lain lagi pada 2006.

“Selepas itu, Bush menganggap Malaysia sebagai sekutu di dalam Perang Melawan Keganasan dan Malaysia menggunakan alasan tersebut untuk menangkap sesiapa sahaja yang dikehendaki termasuk anggota pembangkang yang dituduh sebagai pengganas di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri,” ujar Nik Nazmi.

Nik Nazmi berkata Dr Mahathir sehingga kini terus menyimpan dendam lamanya terhadap Anwar dan melempar pelbagai tuduhan fitnah.

“Beliau dan pimpinan Umno nampaknya tidak dapat berhenti menghamburi fitnah semata-mata untuk mengalihkan dari satu demi satu skandal yang membelenggu mereka,” katanya.