Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Imbas suhu badan sebelum daftar masuk di KLIA

KUALA LUMPUR, 24 MAC: Semua penumpang yang berlepas dari terminal utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kini akan menjalani pemeriksaan suhu badan melalui penggunaan alat pengimbas haba yang ditempatkan sebelum kawasan daftar masuk.

Pemeriksaan untuk penumpang yang berlepas bermula semalam sehingga sehingga notis selanjutnya, kata Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), yang mengendalikan KLIA serta 38 lapangan terbang lain di negara ini.

“Ini adalah salah satu usaha kami untuk memerangi penularan Covid-19 dan memastikan keselamatan semua penumpang dan komuniti di lapangan terbang,” kata MAHB menerusi catatan di media sosial.

MAHB berkata alat pengimbas haba itu ditempatkan di antara pintu masuk ke kaunter daftar masuk B dan C, serta kaunter H dan I.

Hanya penumpang, kakitangan dan anak kapal yang berlepas dengan suhu badan di bawah 37.5 darjah celsius dibenarkan masuk ke kawasan daftar masuk, kata operator lapangan terbang itu.

“Orang awam tidak dibenarkan masuk ke kawasan daftar masuk. Pengecualian akan diberikan untuk seorang penjaga kanak-kanak atau penumpang yang memerlukan bantuan khas, “katanya.

Seseorang yang tidak dibenarkan masuk perlu memaklumkan kepada syarikat penerbangan dan disyorkan untuk segera pergi ke klinik atau hospital untuk pemeriksaan kesihatan, kata MAHB.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MAHB, syarikat penerbangan tempatkan semula kaunter daftar masuk

KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Malaysia Airports bekerjasama dengan sembilan syarikat penerbangan untuk mengagihkan semula dua baris kaunter daftar masuk (CIC) dan menempatkan semula beberapa kiosk daftar masuk di terminal utama Lapangan Terbang Antarabangsa KL.

Syarikat penerbangan itu ialah Malaysia Airlines (MH), Malindo Air (OD), Thai Smile (WE), Vietnam Airlines (VN), Pakistan Airlines (PK), Royal Jordanian (RJ), Cathay Dragon (KA), Philippines Airlines (PR) dan Bangkok Airways (PG).

Dalam kenyataan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) di sini hari ini, pengendali lapangan terbang itu berkata ia berhasrat mencapai pengagihan sama rata aliran penumpang di semua CIC semasa tempoh puncak.

Mulai 7 Ogos, semua penumpang MH yang menggunakan penerbangan kelas ekonomi ke destinasi antarabangsa perlu mendaftar masuk di baris H.

Ketika ini, antara syarikat penerbangan yang beroperasi di baris H seperti WE, VN, PK, RJ, KA, PR dan PG akan berpindah ke baris C, manakala OD pula ke baris F.

“MAHB berharap dapat mencapai pengagihan sama rata penumpang di semua baris yang akan mengurangkan aliran semasa kepada sekurang-kurangnya 50 peratus menerusi penempatan semula baris CIC itu.

“Inisiatif itu juga akan menggalakkan lebih ramai penumpang menggunakan kiosk daftar masuk sendiri untuk perjalanan yang lebih lancar,” kata kenyataan itu.

Sebanyak 24 kiosk akan ditempatkan semula di depan CIC G/F sehingga L/M.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

TMS2020: MAHB sedia beri khidmat terbaik

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SEPANG, 30 JUN: Kumpulan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sedia memberikan perkhidmatan terbaik untuk pelancong yang bakal hadir sempena Tahun Melawat Sepang 2020 (TMS2020).

Ketua Pegawai Eksikutif Kumpulan MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, selaku ‘caring host’, pihaknya sentiasa bersedia memberikan pengalaman terbaik kepada pelancong bagi memastikan mereka menjadi ‘happy guest’.

“Selain fasiliti, kami juga menawarkan ‘connectivity’ dengan menghubungkan seluruh Malaysia walaupun di pedalaman.

“Saya yakin sasaran TMS 2020 untuk menyambut lima juta pelancong mampu direalisasikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis TMS2020 dan Festival Kebudayaan dan Warisan, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini semalam.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; Yang Dipertua Majlis Daerah Sepang (MPSepang), Mohd Fauzi Mohd Yatim; Ahli Dewan Negeri Sungai Pelek, Ronnie Liu Tian Khiew; Pengurus Akaun dan Pentadbir, Tourism Selangor, Mohammad Zaim Mohammad Nashir dan Pegawai Daerah Sepang, Mohd Yazid Sairi.

Mengulas penganjuran festival itu, Raja Azmi berkata, program terbabit mempunyai potensi tinggi dalam sektor pelancongan, sekali gus menyumbang kepada perkembangan ekonomi mampan.

“Kita akan beri sokongan padu bagi meningkatkan keberkesanan dan berkolaborasi dengan pelbagai pihak untuk memartabatkan lagi kebudayaan negara kita.

“Secara tidak langsung, ia mempromosikan pelancongan dan amat penting bagi memantapkan lagi jumlah pelancong yang berminat untuk melancong ke Malaysia.

“Ia juga akan menaikkan ekonomi MPSepang dan Selangor, selaras matlamat Kerajaan Negeri bagi memajukan sektor pelancongan,” katanya.

Sebelum ini, MAHB giat mempromosikan Selangor malalui program ‘joyfulMalaysia @ KLIA & KLIA 2 yang menyajikan pelbagai perisian menarik di negeri itu.

Categories
NASIONAL

Keuntungan bersih MAHB susut pada suku pertama

 

KUALA LUMPUR, 31 Mei: Keuntungan bersih Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2019, susut kepada RM149.58 juta daripada RM444.59 juta yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lepas.

Pendapatan bagaimanapun meningkat tiga peratus kepada RM1.25 bilion berbanding RM1.22 bilion, berikutan peningkatan pertumbuhan penumpang secara keseluruhan sebanyak 3.7 peratus.

“Operasi di Malaysia mencatatkan pertumbuhan penumpang sebanyak 3.7 peratus (antarabangsa: +0.8 peratus, domestik: +7.0 peratus) kepada 25.3 juta penumpang berbanding suku yang sama tahun lepas sebanyak 24.4 juta penumpang.

“Trafik penumpang untuk operasi Turki meningkat 3.8 peratus (antarabangsa: +20.0 peratus, domestik: -3.8 peratus) kepada 8.1 juta penumpang berbanding dengan 7.8 juta penumpang direkodkan pada suku yang sama tahun lepas,” kata pengendali lapangan terbang itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

MAHB berkata ia yakin bahawa jangkaan pertumbuhan 4.9 untuk 2019 akan dicapai berdasarkan unjuran kapasiti tempat duduk pada masa depan oleh syarikat-syarikat penerbangan.

Pembetulan dan penyatuan trafik domestik dijangka berterusan manakala sektor antarabangsa juga diunjur mencatat peningkatan, katanya.

Pengendali lapangan terbang itu juga berkata penggantungan Boeing 737MAX baru-baru ini mungkin mempunyai kesan negatif ke atas kapasiti syarikat penerbangan Indonesia ke Malaysia.

Impak itu bagaimanapun tidak memberi kesan ketara kerana kebanyakan sektor di Indonesia mempunyai banyak syarikat penerbangan yang bersaing, katanya. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

MAHB sedia latihan ORAT bagi kru di klia2

KUALA LUMPUR, 30 MEI: Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) akan mengadakan latihan Kesediaan Operasi dan Pemindahan (ORAT) bagi pusat pemprosesan khusus baharu untuk kru yang akan berlepas di klia2, bermula esok.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, latihan ORAT yang akan diadakan selama dua minggu itu, merupakan latihan simulasi yang akan memastikan sistem itu berfungsi sepenuhnya serta membolehkan semua pihak berkepentingan bersedia menjalankan peranan khas mereka.

“ORAT ialah proses kritikal kerana memberi peluang keemasan kepada pihak berkepentingan untuk membiasakan diri dengan kemudahan baharu, menyediakan maklum balas dan menggerakkan pelan kontigensi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata maklum balas yang diterima akan membolehkan MAHB menilai sama ada kemudahan yang disediakan adalah mencukupi dan menyediakan penambahbaikan yang diperlukan.

“Sebaik keperluan keselamatan dan operasi tersedia, pusat pemprosesan khusus ini akan bersedia untuk memulakan operasi,” katanya.

Beliau berkata ujian operasi yang berbeza akan diadakan semasa latihan ORAT dan setiap aspek operasi akan menjalani percubaan seperti aliran proses keselamatan bagi kru yang akan berlepas, pemeriksaan imigresen dan kastam, keberkesanan peralatan seperti mesin x-ray, kenderaan olah gerak bagi mengambil dan menurunkan, selain prosedur susulan sekiranya berlaku kegagalan sistem.

“Kecekapan yang mungkin diraih hasil daripada penubuhan pusat pemprosesan khusus itu dijangka memberi manfaat kepada penumpang bagi membolehkan syarikat penerbangan itu menawarkan lebih banyak laluan dan meningkatkan kekerapan penerbangan dengan masa pusing balik yang lebih pantas,”katanya.

Ia juga dijangka mengurangkan masa pemprosesan kru pelepasan dan meningkatkan kecekapan operasi bagi rakan kongsi syarikat penerbangan di klia2, khususnya AirAsia.

“Kemudahan itu bukan sahaja membantu mengurangkan tempoh perjalanan bagi kru untuk ke pintu pelepasan domestik dan antarabangsa sehingga 66 peratus dan 40 peratus, malah ia merupakan bukti kukuh komitmen kami bagi memudahkan pertumbuhan rakan kongsi syarikat penerbangan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Anda kini boleh solat Jumaat di bumbung KLIA

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 21 MEI: Penumpang dan pengunjung Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kini boleh menunaikan solat Jumaat di ‘rooftop’ (kawasan atas bumbung) apabila musolla di kawasan parkir blok B beroperasi secara rasmi, sejak 10 Mei lalu.

Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) berkongsi detik kali pertama solat Jumaat dilangsungkan, di situ selepas mendapat persetujuan daripada Pejabat Agama Daerah Sepang.

“Kami amat gembira dengan sambutan menggalakkan sempena pembukaan musolla untuk solat Jumaat di kawasan parkir blok B, Lapangan Terbang KL tengah hari semalam (10 Mei).

“Pembukaan musolla ini salah satu inisiatif Malaysia Airports untuk memudahkan jemaah menunaikan solat Jumaat terutama warga kerja dan penumpang.

“Haa, musolla pun dah dekat, jangan sia-siakan peluang untuk mengumpul saham akhirat kita di bulan yang mulia ini ya!” katanya di Facebook rasmi MAHB.

Musolla yang mampu memuatkan hampir 1,000 jemaah dalam satu-satu masa itu menyediakan lebih 50 unit paip bagi pengambilan wuduk, pendingin hawa, kipas gergasi dan kipas berwap sejuk di semua sudut.

SelangorKini sebelum ini melaporkan MAHB menafikan ruang solat itu sedia digunakan untuk umat Islam menunaikan solat Jumaat bermula 5 April 2019 susulan penyebaran beberapa keping gambar menerusi aplikasi WhatsApp, pada 3 April lalu.

Kredit Foto: Facebook Malaysia Airport

Categories
NASIONAL

MAHB pajak kenderaan elektrik, kurang pelepasan karbon

SEPANG, 13 MEI: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memajak dua Kenderaan Elektrik (EV) Renault Zoe yang akan digunakan dan diuji di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebagai sebahagian daripada perancangan jangka panjang bagi mengurangkan pelepasan karbon.

Pengendali lapangan terbang itu dalam satu kenyataan hari ini menyebut bahawa langkah itu juga sebagai sebahagian daripada usaha bagi mengoptimumkan kos operasi dan pemanpanan Akreditasi Karbon Lapangan Terbang di Tahap 30-pengoptimis yang diiktiraf oleh Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI).

MAHB berkata, ia berhasrat menambah jumlah EV sekiranya data yang dikumpulkan dari penggunaan pada masa sekarang membuktikan ia bagus.

EV boleh mengumpul kapasiti tenaga yang mampu bertahan sehingga jarak perjalanan 210 km sebelum ia mengecas semula selama sejam untuk kegunaan seseterusnya.

“Malaysia Airports berhasrat menggantikan kereta menggunakan minyak sekarang ini kepada EV kerana ia boleh menyumbang kepada pengurangan pelepasan 19,000kg karbon dioksida yang dihasilkan setiap kereta dalam setahun,” menurutnya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

MAHB perkukuh tadbir urus pemerolehan

KUALA LUMPUR, 17 APRIL: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengukuhkan tadbir urus pemerolehannya dengan mendigitalkan prosesnya di Lapasar, sebuah landasan e-pasaran.

Dalam kenyataannya hari ini, MAHB berkata, pelaksanaan sistem e-katalog adalah sebahagian daripada usaha transformasi pemerolehan organisasi itu selari hala tuju digitalnya, Airports 4.0.

“Menerusi Lapasar, kakitangan boleh membuat pembelian secara dalam talian dan dokumentasi manual akan dihapuskan sepenuhnya.

“Ini akan memudahkan proses pemerolehan kerana Lapasar merupakan platform dalam talian perniagaan kepada perniagaan tunggal,” katanya.

Lapasar dibangunkan Tenderin, sebuah syarikat pemula niaga yang mempunyai kepakaran dalam penyelesaian rantaian bekalan seperti e-pemerolehan, logistik, rumah gudang dan pembayaran. –BERNAMA

Categories
NASIONAL

Perjanjian operasi MAHB dilanjut sehingga Februari 2069

KUALA LUMPUR, 12 APRIL: Perjanjian operasi (OA) Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dilanjutkan sehingga 11 Februari 2069.

Semasa mengumumkan berita itu di Parlimen hari ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, ia bagi menggantikan dua OA ditandatangani pada 12 Februari 2009 dengan operator lapangan terbang terbabit sebelum ini dengan empat OA baharu untuk KLIA, Sarawak dan Sabah, serta lapangan terbang terpilih di Semenanjung Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, pengumuman itu menandakan kepercayaan kerajaan terhadap MAHB untuk terus menyumbang ke arah pertumbuhan industri penerbangan Malaysia dan pembangunan ekonomi negara.

“Kami komited sepenuhnya untuk meneruskan pembangunan Malaysia sebagai hab penerbangan yang kukuh di rantau ini,” katanya dalam kenyataan.

Raja Azmi berkata, OA baharu itu termasuk lapangan terbang kluster mengikut kawasan untuk memastikan operasi dan pengurusan lapangan terbang di Malaysia lebih mampan dalam jangka panjang.

“Rangka kerja OA baharu juga akan memberikan lebih kelonggaran kepada MAHB dalam melaksanakan projek atau inisiatif pembangunan yang diperlukan untuk meningkatkan infrastruktur dan perkhidmatan lapangan terbang sambil memberikan hasil yang lebih baik kepada kerajaan.

“Pelan sudah disediakan untuk menggantikan aset berusia, meningkatkan kesalinghubungan antara terminal, meningkatkan dan mengoptimumkan keupayaan lapangan terbang dan mendigitalkan persekitaran lapangan terbang untuk meningkatkan kecekapan operasi dan tahap perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata MAHB komited untuk memastikan semua lapangan terbangnya melaksanakan Kualiti Perkhidmatan (QoS) pada tahun 2020.

Raja Azmi juga berkata, beberapa model pembiayaan mungkin dipertimbangkan untuk pelbagai inisiatif pembangunan lapangan terbang dan yakin bahawa ini akan menjadi cadangan menarik bagi pasaran modal. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pergerakan penumpang MAHB meningkat 3.7% suku pertama 2019

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: Rangkaian lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gökçen (SGAH), mencatatkan pertumbuhan 3.7 peratus kepada 33.4 juta pergerakan penumpang bagi suku pertama tahun ini.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MAHB berkata, sektor antarabangsa mencatatkan pertumbuhan 3.4 peratus, dengan 16.1 juta pergerakan penumpang pada suku dalam kajian, manakala sektor domestik meningkat empat peratus dengan 17.4 juta pergerakan penumpang.

Bagi Mac sahaja, pergerakan penumpang bagi keseluruhan sistem mencatatkan pertumbuhan 3.1 peratus dengan 11.7 juta penumpang. Sektor antarabangsa dan domestik meningkat tiga peratus dan 3.1 peratus.

MAHB berkata pergerakan penumpang Malaysia meningkat sebanyak 3.1 peratus pada Mac 2019 dengan faktor beban purata sebanyak 75.8 peratus.

“Pergerakan domestik meningkat 6.9 peratus manakala sektor antarabangsa merosot 0.4 peratus.

“Istanbul SGIA mencatatkan pertumbuhan 3.1 peratus dengan pertumbuhan 20.5 peratus dalam sektor antarabangsa dan penurunan 5.4 peratus untuk domestik,”katanya.

Mengulas lanjut, MAHB berkata pengisian kapasiti tempat duduk oleh syarikat penerbangan pada masa depan berkemungkinan akan kekal melebihi jangkaan dan pengendali lapangan terbang tetap optimis bahawa pertumbuhan 4.9 peratus trafik penumpang untuk 2019 akan dapat dicapai. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

MAHB tauliah 60 anggota bomba

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 7 APRIL: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mentauliahkan 60 pegawai dan anggota Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS), pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Sijil Sains Kebombaan (KSSK) AFRS-MAHB Siri 2/2018, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, pentauliahan itu membabitkan tiga Eksekutif AFRS; 14 Pegawai AFRS dan 43 ahli yang bakal berkhidmat di kesemua balai bomba AFRS kendalian MAHB.

Katanya, ia bertujuan mengekalkan dan memantapkan tahap kesiapsiagaan dalam operasi menyelamat serta persediaan menghadapi bencana di kesemua lapangan terbang di bawah kendalian MAHB.

“Kami mengutamakan aspek keselamatan pada tahap tertinggi dan semoga dengan pengambilan serta pentauliahan rekrut terbaharu ini disertakan dengan modul latihan mantap, tahap kecekapan operasi menyelamat di lapangan terbang dapat diperkemas juga dipertingkatkan.

“Selain menghasilkan pegawai dan anggota yang kompeten, latihan ini turut menyediakan mereka untuk sentiasa berada dalam keadaan siapsiaga setiap masa,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, latihan asas itu membabitkan dua fasa iaitu fasa pertama di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (FRAM) Wilayah Timur, Terengganu selama hampir lima bulan dan dikendalikan sepenuhnya oleh jurulatih Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Raja Azmi berkata, pelatih yang berjaya pada fasa itu akan menerima Sijil Sains Kebombaan daripada JBPM.

“Selesai menjalani latihan fasa pertama, mereka seterusnya diuji pada fasa kedua di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur yang lebih menjurus kepada pengetahuan dan kemahiran bagi aircraft firefighting serta On Job Training.

“Latihan ini mengambil masa sekitar dua bulan setengah sebelum pelatih dihantar semula ke FRAM Wilayah Timur untuk menjalani majlis tamat latihan,” katanya.

Terdahulu, majlis pentauliahan yang diadakan di FRAM Wilayah Timur, Terengganu itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Sri Mohammad Mentek; Ketua Pengarah JBPM, Dato’ Mohammad Hamdan Wahid dan Pengurus Besar Kanan Malaysia Airports (Sepang), Mohammad Suhaimi Abdul Mubin.

Pengisian majlis itu turut menyaksikan pemeriksaan perbarisan, penghargaan kepada pelatih terbaik dalam bidang akademik kebombaan terbaik keseluruhan.

Categories
NASIONAL

MAHB bina anjung tinjau pesawat di KLIA

SEPANG, 9 MAC: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) akan membina anjung tinjau pesawat pertamanya, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dalam usaha mengubah lapangan terbang itu dan persekitarannya menjadi destinasi menarik.

Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, pembinaan anjung dinamakan Anjung Spotter itu dijadualkan bermula bulan ini dan dijangka siap, pada bulan depan.

Katanya, anjung tinjau itu akan dibina di luar perimeter lapangan terbang, bersebelahan satu daripada tiga landasan KLIA.

“Dari Anjung Spotter, orang ramai akan dapat menikmati pemandangan saat-saat pesawat berlepas dan mendarat di landasan.

“’Planespotter’ (pengesan pesawat) dan penggemar penerbangan pastinya teruja kerana mereka kini mempunyai tempat terbaik untuk melihat pesawat tiba di Runway 32L, membolehkan mereka mengambil gambar menarik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Raja Azmi berkata, anjung tinjau pesawat itu adalah simbol komitmen syarikat dalam meningkatkan pengalaman di lapangan terbang.

Katanya, Anjung Spotter juga akan dijadikan tarikan pelancong yang harus dikunjungi pelawat yang tiba di KLIA.

“Pada masa ini, terdapat ramai pengesan pesawat yang datang ke Malaysia untuk berjumpa rakan dengan minat sama sebelum ke lapangan terbang bagi merakam gambar.

“Anjung Spotter pasti akan menjadi lokasi ‘Insta-worthy’ (berbaloi untuk perkongsian dalam Instagram) seterusnya,” katanya. -BERNAMA