Categories
NASIONAL

AirAsia Group terbuka temui MAHB

Categories
NASIONAL

KWSP masih tunggu respon MAHB

KUALA LUMPUR, 18 FEB: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masih menunggu respon daripada Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kepada suratnya, berhubung pertikaiannya dengan AirAsia Group Bhd (AAGB).

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias berkata, hanya AAGB sudah memberi respon kepada surat itu dan menetapkan tarikh untuk bertemu bagi membincangkannya dalam waktu terdekat.

“Kami sedang menunggu respon daripada MAHB. Kami amat bimbang dengan pertikaian itu yang dibawa kepada pengetahuan umum.

“Ini bukan sahaja tidak baik bagi kedua-dua organisasi, ia juga tidak baik kepada Malaysia secara menyeluruh kerana syarikat berkenaan (antara) dua kaunter (saham) terbesar ( dalam negara),” katanya pada sidang media berkenaan prestasi kewangan 2018 KWSP, di sini hari ini.

KWSP ialah pemegang saham utama MAHB dan AAGB, memegang lebih 10 peratus dan lima peratus masing-masing dalam syarikat berkenaan.

*Sumber: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Zainun Ali dilantik Pengerusi MAHB baharu

KUALA LUMPUR, 18 JAN: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) melantik bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zainun Ali, sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Bukan Bebas berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan itu bagi menggantikan Tan Sri Syed Zainol Anwar Ibni Syed Putra Jamalullail, yang meletakkan jawatan daripada syarikat terbabit.

MAHB dalam kenyataan berkata, Zainun memegang pelbagai jawatan dalam perkhidmatan undang-undang dan dinamakan hakim Mahkamah Persekutuan, pada 4 April 2012 sehingga persaraannya pada 4 Oktober tahun lalu.

“Kumpulan dan Lembaga Pengarah mahu menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Syed Zainol di atas sumbangan berharga sepanjang perkhidmatannya bersama syarikat ini,” kata MAHB.

Ia berkata, Syed Zainol berjaya membawa syarikat ke tahap lebih tinggi sepanjang perkhidmatannya dari segi prestasi kewangan, selain kualiti perkhidmatan dan operasi.

 

Categories
NASIONAL

Caj perkhidmatan penumpang MAHB masih terendah

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 OGOS: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menegaskan caj perkhidmatan penumpang (PSC), pendaratan dan parkirnya terendah dalam kalangan lapangan terbang bersaiz sama.

Pengendali lapangan terbang itu berkata, caj Malaysia hanya satu pertiga daripada purata global bagi pendapatan aeronautik setiap pergerakan pesawat, selain pendapatan aeronautik setiap penumpang.

“Kajian kaji selidik kawal selia tahunan oleh firma perunding global LeighFisher menunjukkan ia terendah dalam kalangan 50 kumpulan syarikat pengendali lapangan terbang yang ditanda aras dalam kaji selidik itu,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab laporan sebuah akhbar tempatan yang diterbitkan Jumaat lalu.

Pada masa sama, MAHB juga menegaskan laporan itu yang membandingkan ranking Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam Skytrax berbanding Lapangan Terbang Antarabangsa Changi bukanlah ‘perbandingan setara’.

Katanya, orang ramai akan mendapati Changi menggunakan prinsip tiada diskriminasi caj lapangan terbang Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa, iaitu caj lapangan terbang sama kepada semua syarikat penerbangan.

Beliau berkata, caj dikenakan Changi adalah lebih tinggi dan pelbagai, berbanding KLIA kerana memasukkan item tambahan seperti levi lapangan terbang serta yuran pembangunan lapangan terbang yang digunakan untuk membayar kos pembangunan lapangan terbangnya, selain PSC sendiri.

“Di sebalik persekitaran operasi seragam bagi syarikat penerbangan penuh dan syarikat penerbangan tambang rendah (LCC) di Changi, jumlah trafik antarabangsa LCC di sana mengatasi KLIA. Perkara sama juga berlaku bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi Bangkok.

“Ini memberikan sebab yang kukuh bagi sesebuah lapangan terbang yang berjaya membenarkan syarikat penerbangan bersaing di atas kekuatan sendiri di bawah persekitaran yang seragam, tanpa kehilangan nilai ekonomi bagi negara masing-masing,” katanya.

MAHB berkata, lebih 75 peratus rangkaian 39 lapangan terbangnya di negara ini tidak berdaya maju dari segi komersial.

Katanya, ia terdiri daripada lima lapangan terbang antarabangsa, 16 lapangan terbang domestik dan 18 lapangan terbang mendarat dan berlepas pendek (STOL).

“Lapangan terbang terbabit diuruskan menggunakan model subsidi bersilang bagi memberikan hubungan yang diperlukan oleh rakyat negara ini di bandar-bandar kecil dan kawasan pedalaman.

“Menyelenggara rangkaian lapangan terbang ini membabitkan perbelanjaan modal dan operasi yang besar,” katanya.

Categories
NASIONAL

MAHB belum rancang bina terminal KLIA3

KUALA LUMPUR, 15 MAC: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) tiada perancangan segera membina terminal ketiga bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) seperti dilaporkan.

Pengarah Urusannya, Datuk Badlisham Ghazali berkata, MAHB kini sedang menimbang untuk meluas dan mengubah suai Terminal Utama KLIA serta menaik taraf sistem, yang dijadualkan dilaksanakan dalam masa lima tahun lagi.

“Pelan Induk KLIA memperuntukkan tanah yang luas dan boleh menampung lebih banyak terminal tengah bagi KLIA dan klia2 serta landasan tambahan, pada masa hadapan.

“Pada masa ini, kami komited membuat pelaburan dalam menaik taraf dan meluaskan terminal yang ada untuk meningkatkan kapasiti.

“Selepas itu, baharulah kita boleh berbincang berkenaan terminal baharu tetapi ia masih jauh lagi,” katanya lapor BERNAMA.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan yang menyatakan MAHB merancang untuk membangunkan terminal baharu dalam tempoh lima tahun lagi kerana terminal sedia ada, KLIA dan klia2 hampir mencapai kapasiti penuh.

Pada masa ini, kapasiti digabungkan KLIA adalah 75 juta penumpang setahun.

Pada 2017, ia mencatatkan 58.6 juta pergerakan trafik penumpang dan masih mempunyai kapasiti mencukupi untuk menampung pertumbuhan trafik dalam masa terdekat.

Categories
NASIONAL

Landasan ketiga KLIA kembali beroperasi

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 24 JAN: Landasan ketiga Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang kembali beroperasi seperti biasa apabila dibuka, pada jam 6 pagi, hari ini.

Sebelum itu, landasan terbabit ditutup sementara untuk kerja penyelenggaraan.

Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) dalam kenyataan memaklumkan, pengoperasian semula landasan itu akan melancarkan sistem perjalanan, di KLIA.

“Kita dengan sukacitanya mengumumkan landasan ketiga di KLIA dibuka semula dan beroperasi seperti biasa mulai jam 6 pagi, hari ini.

“Terima kasih kepada pasukan di lapangan terbang yang membetulkan keadaan dengan segera dan berharap semua penumpang menikmati perjalanan menyenangkan,” katanya.

Kerja penyelenggaraan bagi landasan itu adalah salah satu prosedur operasi standard (SOP) keselamatan lapangan terbang.

Ia tidak mengganggu jadual penerbangan kerana masih ada landasan lain, di KLIA beroperasi seperti biasa.

Categories
EKONOMI

MAHB catat 9.3 juta penumpang pada Feb 2017

KUALA LUMPUR 11 MAC: Lapangan terbang di bawah kelolaan Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) mencatat 9.3 juta pergerakan penumpang bagi Februari 2017 atau peningkatan 2.4 peratus berbanding 9.12 juta yang direkodkan pada bulan yang sama tahun lalu.

MAHB berkata trafik penumpang antarabangsa mencatatkan pertumbuhan 6.4 peratus kepada 4.32 juta penumpang pada Februari, manakala trafik domestik susut 0.7 peratus kepada 5.02 juta.

Ia berkata pertumbuhan dua angka terminal utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur berterusan dengan peningkatan 28.3 peratus berbanding Februari 2016.

“Pergerakan pesawat secara keseluruhannya susut 1.4 peratus manakala pergerakan antarabangsa mencatatkan peningkatan 0.3 peratus dan domestik merosot 2.3 peratus.

“Purata faktor beban bagi Februari meningkat 75.5 peratus, yang menunjukkan permintaan baharu dan berterusan bagi perjalanan udara.

“Ini menunjukkan unjuran permintaan positif pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini,

=EZY=

Categories
NASIONAL

MAHB: Langkah berjaga-jaga diambil kesan agen saraf VX

SHAH ALAM 25 FEB: Langkah berjaga-jaga sudah diambil bagi memastikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) selamat daripada sebarang kesan agen saraf VX.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali berkata, mereka bekerjasama rapat dengan semua pihak untuk memastikan keselamatan dan keselamatan semua penumpang termasuk kakitangan.

Ia susulan kenyataan polis mendedahkan bahan kimia digunakan dalam pembunuhan abang diktator Korea Utara di Sepang pada 13 Februari.

Menurut Badlisham, penumpang tidak perlu bimbang kerana ia mempunyai proses pembersihan standard melibatkan pembersihan lantai menggunakan mesin Ride-On-Scrubber menggunakan pembersihan bahan kimia dan air.

“Proses ini dilakukan enam kali sehari di terminal klia2. Selain itu, semua tandas juga dicuci setiap malam. Kami juga dimaklumkan kakitangan pembersihan berada dalam keadaan kesihatan yang baik.

“Keutamaan kami memastikan keselamatan dan keselamatan penumpang, dan kita bekerjasama rapat dengan semua pihak berkaitan seperti Kementerian Kesihatan untuk memudahkan sebarang langkah diperlukan.

“Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai tidak perlu bimbang kerana sekiranya terdapat pendedahan, mereka terdedah menunjukkan tanda dan gejala serta-merta atau dalam tempoh 18 jam selepas pendedahan,” katanya dalam satu kenyataan.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Syarikat Kalah Tender Dapat Projek Sistem Kawalan Udara KLIA2

KUALA LUMPUR 20 JULAI : PKR hari ini mendakwa sebuah syarikat Advanced Air Traffic Systems (M) Sdn Bhd (AAT) yang kalah dalam tender mendapatkan Projek Sistem Kawalan Udara di KLIA2 diberikan kepercayaan menguruskan projek tersebut.

Perkara ini didedahkan oleh NabPresiden PKR, Nurul Izzah Anwar dalam satu kenyataan media hari ini.

Sebelum ini beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai mendedahkan di Parlimen sebuah sistem radar yang dibangunkan Selex Sistemi Integrati (SELEX) dan Advanced Air Traffic Systems (M) Sdn Bhd (AAT) di Pusat Kawalan Trafik Udara Nasional (NATCC) di Subang menghadapi masalah dan menjejaskan aliran trafik udara di negara ini.

“Bagi projek KLIA2, syarikat AECOM dilantik menjadi konsultan kepada MAHB dan memulakan pengumpulan maklumat, data dan laporan sejak Februari 2010 untuk memberikan pendapat komprehensif; terutamanya di dalam tiga aspek iaitu sistem kawalan udara, prosedur dan peralatan.

“AECOM juga mendapati ada keraguan dalam keberkesanan sistem kawalan udara SELEX dan mengesyorkan peningkatan sistem kawalan udara supaya ia dinaiktaraf dan kekal relevan supaya dapat menangani kapasiti penerbangan dengan lebih baik dan berkesan apabila KLIA2 dibuka nanti,” jelas Izzah dalam kenyataan itu.

Tambahnya, meskipun laporan penilaian teknikal AECOM bertarikh 9 Disember 2011 mengiktiraf kebolehan syarikat AMP Corporation (M) Sdn Bhd (AMCOP) untuk melaksanakan projek tersebut dengan baik dan menyarankan AMPCOP dipilih.

“Namun akhirnya projek ini diberikan kepada AAT – sebuah syarikat yang, mengikut laporan penilaian teknikal tersebut, tidak memenuhi spesifikasi teknikal yang diperlukan untuk projek ini.

“Walaupun nilai bidaan AAT adalah lebih rendah daripada AMCOP, kelulusan hanya boleh diberikan sekiranya AAT menepati kesemua keperluan teknikal yang disenaraikan,” kenyataan itu dipetik.

Didedahkan juga bagaimana Mesyuarat Jawatankuasa Khas Perolehan MAHB juga dengan jelas memberikan penilaian dan rekomendasi seperti berikut pada 15 Mac 2012.

Izzah berkata, pemilihan AAT mengejutkan kerana sebelum ini AAT juga terjerumus di dalam kontroversi yang mengancam keberkesanan keselamatan sistem kawalan udara di Malaysia serta para penumpang pengangkutan udara menerusi makluman dalaman tentang senarai kecacatan dan kestabilan penyenggaraan sistem radar MIP-2 di Lapangan Terbang Subang.

Insiden-insiden kecacatan di dalam sistem MIP-2 juga diakui oleh Jabatan Penerbangan Awam, dan emel dalaman pegawai DCA dan ATC yang menggambarkan sistem radar kelolaan SELEX tidak berfungsi secara memuaskan.

Diperingatkan bahawa senarai kecacatan di dalam sistem MIP-2 adalah mirip masalah teknikal yang dihadapi oleh sistem LEFCO keluaran SELEX yang dibatalkan di Cyprus. Kalau Parlimen Cyprus berani membatalkan projek, saya desak Kementerian Pengangkutan menjemput ICAO untuk mengadakan audit ke atas sistem MIP-2 dan sekaligus melenyapkan tanda tanya terhadap keberkesanan sistem radar di Malaysia.

Izzah mengesa agar MAHB dan MOT wajib menjawab dan menjustifikasikan penganugerahan projek sistem kawalan udara KLIA2 kepada AAT kerana kita tidak mahu keselamatan orang awam diperjudikan dengan pemilihan semberono.

KLIA2 sebelum ini pernah menghadapi kontroversi antaranya, pemilihan tapak dengan permukaan tanah yang lembut dan tidak sesuai untuk membangunkan lapangan terbang – maklumat yang tidak diketengahkan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) kepada rakyat.

Selain itu, kenaikan kos dari RM1.7 bilion kepada RM 3.6 bilion dan penundaan tarikh siap pembinaan dari September 2011 ke April 2013; menambahkan lagi kontroversi, dan tentunya penggunaan wang rakyat apabila nilai projek KLIA2 melambung tinggi nanti.