Categories
NASIONAL

PKR, DAP Sepakat Isu ‘Task Force’ Disiasat Suruhanjaya Diraja

KUALA LUMPUR, 19 APRIL: Komponen Pakatan Rakyat menyokong usaha yang dibawa oleh PAS agar satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan kewujudan ‘task force’  berhubung sindiket pemberian kad pengenalan kepada warga asing yang di dakwa didalangi pihak SPR dan kakitangan Pejabat Jabatan Perdana Menteri.

Kata sepakat ini diperolehi setelah mendengar penjelasan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat semalam.

Sebelum ini, Mahfuz melancarkan Gerakan Anti Penyelewengan Ic (API) selepas membuat pendedahan berhubung dakwaan wujudnya  gerak kerja pemberian kad pengenalan yang melibatkan pihak-pihak tertentu dalam kerajaan.

Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali berkata, tuntutan ini sejajar dengan pendirian Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan yang mahukan pembersihan daftar pemilih setelah siri pendedahan yang dibuat menunjukkan wujudnya keraguan yang membimbangkan.

“Kita akan mendukung usaha ini. YB Mahfuz sudah memaklumkan kepada Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat semalam tentang usaha ini. Sudah tentu ini menjadi agenda bersama Pakatan Rakyat untuk memastikan daftar pemilih  benar-benar bersih tanpa ada sebarang penyelewengan, tidak memberikan hak mengundi kepada warga asing.

“Hal ini merupakan isu dan perdebatan hangat sekarang dan usaha ini. Kita akan mendokong demi menjaga kedaulatan negara ini dakam PRU akan datang,” katanya.

Sementara itu, DAP turut menyatakan sokongan terhadap perkara ini dan berharap agar pihak yang melakukan pengkhianatan kepada negara dibawa ke muka pengadilan.

Ahli Parlimen Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah untuk memberikan sebarang sokongan terhadap apa-apa penubuhan suruhanjaya.

“Perkara ini perlu disiasat kerana memberi ancaman kepada negara agar kebenaran dapat dijelaskan kepada semua orang,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

PR Selangor Gerak Audit Senarai Pemilih

SHAH ALAM,18 APRIL : PAS Selangor akan bekerjasama dengan PKR dan DAP melalui Sekretariat Pakatan Rakyat bagi melaksanakan gerak kerja audit untuk membersihkan senarai pemilih bagi setiap DUN.

Pesuruhjaya PAS Selangor,Dr Abdul Rani Osman berkata, pertambahan pengundi yang amat luar biasa di setiap DUN dan kawasan Parlimen lebih 300,000 sejak 2008 diragui ketelusannya.

“PAS Selangor juga turut mengumpulkan bukti terdapat satu jumlah yang amat besar pengundi-pengundi dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) di Selangor yang memiliki nombor kad pengenalan bernombor Sabah dan Sarawak,” katanya.

Tambah Rani,sebelum ini Mimos Berhad telah memberi taklimat kepada Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) bahawa terdapat lebih 200,000 pengundi diragui dalam daftar pemilih SPR.

“Ini termasuk 820 kes di mana terdapat lebih 100 orang pengundi di satu alamat yang sama. Manakala 51 – 100 orang pengundi di satu alamat yang sama terdapat 1,259 kes,” katanya.

Rani juga berkata pendedahan berani Naib Presiden PAS,Datuk Mahfuz Omar bahawa wujudnya sebuah task force yang diketuai oleh pegawai khas kepada Perdana Menteri.

Katanya task force tersebut didakwa bertindak memberikan kewarganegaraan dan kad pengenalan kepada warga asing untuk menyelamatkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam PRU-13 perlu diberi perhatian serius.

“Senarai nama-nama yang terlibat dalam task-force tersebut membuktikan lagi kesasihan wujudnya konspirasi jahat dan curang tajaan BN,” katanya.

Categories
NASIONAL

Memorandum Mansuh ISA Desak PM Tunai Janji

KUALA LUMPUR, 9 APRIL: Gerakan Mansuh ISA (GMI) mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya melaksanakan janji untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri  (ISA) serta merta seperti yang diumumkan pada 15 September tahun lalu.

Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, keutamaan sekarang adalah membatalkan ISA yang digunapakai sehingga mengakibatkan tahanan terpaksa menunggu begitu lama tanpa mengetahui status bersalah atau tidak.

Katanya, jika penggubalan akta baru bagi menggantikan akta sedia ada masih mengekalkan tindakan tahan tanpa bicara,  beliau menyifatkan kerajaan sekadar melaungkan ‘cakap-cakap kosong semata-mata’.

Hampir 50 orang penyokong hadir ke Parlimen bagi menyerahkan memorandum bertajuk Janji Ditepati Atau Mungkir Janji? dengan tujuh tuntutan yang perlu dilaksanakan oleh Perdana Menteri dan kerajaan.

Tujuh tuntutan tersebut adalah :

* Segera memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Ordinan Darurat 1969 (EO) dan Akta Dadah Berbahaya (DDA) 1985-Langkah-langkah Pencegahan Khas

*Melupakan cadangan mewujudkan undang-undang baru yang mempertahankan konsep tahan tanpa bicara

*Melaksanakan rundingan awam yang benar dan munasabah terhadap penggubalan undang-undang baru yang melibatkan semua pihak

*Menubuhkan satu Suruhanjaya Kebenaran dan Rekonsiliasi bagi menegakkan keadilan untuk setiap tahanan ISA dan membolehkan pihak yang bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan.

*Menutup segera Kem Tahanan Kemunting ( KEMTA) dan diwartakan sebagai Warisan Negara atau muzium seperti mana Pulau Robben, Afrika Selatan.

*Membayar pampasan kepada semua mangsa ISA setara dengan penyeksaan dan penderitaan yang dialami oleh tahanan dan ahli keluarga

*Mematuhi piagam hak asasi manusia antarabangsa dalam soal berkaitan dengan aktiviti anti-keganasan dan membentuk mekanisme baru menangani keganasan tanoa menjejaskan hak-hak asas dan prinsip keadilan. Oleh itu, kerajaan Malaysia seharusnya bersedia untuk menandatangani dan meratifikasi ‘International Convenant on Civil and Political Rights (ICCPR) dan Convrntion Against Torture and Other Cruel, Inhuman or Degrading Treatment or Punishment (CAT)’.

Tegas beliau, kewujudan ISA akan menyukarkan negara untuk mencapai status negara maju dan akan memberikan kesan kepada ekonomi khususnya pelaburan asing dan masa depan rakyat.

“GMI berpandangan kegagalan PM dalam mematuhi janji untuk memansuhkan ISA akan mencalar imej dan kredibiliti beliau.

“Malah lebih buruk lagi akan mencemar rasa hormat masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia dalam melindungi hak asasi manusia,” katanya.

Sementara itu,  Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mewakili pihak pembangkang menerima memorundum yang diserahkan oleh  Pengerusi GMI namun tiada wakil penerima daripada pihak kerajaan.

Anwar dalam reaksinya menyatakan sokongan terhadap pemansuhan ISA dan akan membawa perkara ini untuk dibahaskan di Parlimen.

Turut hadir sama memberikan sokongan adalah MP Pakatan Rakyat, Fuziah Salleh, Nurul Izzah, Dr Siti Mariah Mahmud, Michael Jeyakumar dan Datuk Mahfuz Omar.

Categories
NASIONAL

Mahfuz : Tugas Shahrizat Diganti Rosmah

SHAH ALAM 8 APRIL : Hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa beliau akan memangku jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil dikhuatiri akan berakhir dengan telunjuk isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata tiada sebab untuk Najib gagal mencari penganti Shahrizat kerana beliau mempunyai masa yang panjang untuk berbuat demikian.

“Najib sudah tahu tentang tarikh tamat tempoh untuk Shahrizat menjadi senator ini sekian lama dan Shahrizat juga telah mengumumkan untuk tidak melanjutkan jawatannya itu.

“jadi Najib mempunyai masa yang panjang untuk mencari calon peganti, malangnya tiada calon yang mendapat kepercayaannya.

“Perkara ini menyebabkan beliau terpaksa memangku jawatan tersebut dan hakikatnya yang akan menjalankan peranan menteri wanita ini adalah Rosmah Mansor,” jelas Mahfuz ketika dihubungi Media Selangor hari ini.

Semalam, Najib mengumumkan bahawa beliau akan memangku jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Ia berikutan pengumuman Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil untuk melepaskan jawatannya dalam kabinet apabila tempoh perkhidmatannya sebagai senator untuk penggal pertama tamat pada hari ini.

Shahrizat terpalit dengan salah guna dana rakyat dalam kes National Feedlot Corporation yang melibatkan keluarganya.

Mahfuz menambah, walaupun pengumuman itu menghentikan spekulasi berhubung siapa pengganti Shahrizat, namun ia membuktikan bahawa tiada calon wanita dari parti itu yang berpotensi untuk mengalas peranan tersebut.

Sebelum ini, ketua Wanita Umno Selangor Datuk Raja Ropiaah diwar-warkan mengisinya jawatan itu setelah dilantik sebagai senator baru.

“Malang bagi wanita Umno kerana tidak mendapat kepercayaan Najib untuk mengalas peranan menteri wanita, Rosmah pula tidak mungkin dilantik menjadi senator, maka najib muncul sebagai pemangkunya manakala yang akan menjalankan peranannya ialah Rosmah,”jelas Mahfuz lagi.

Categories
NASIONAL

PAS gesa Suruhanjaya Diraja Siasat Sindiket Warga Asing

KUALA LUMPUR 5 APRIL : PAS hari ini mengesa Kerajaan Pusat menubuhkan satu suruhanjaya diraja siasatan (RCI) bagi menyiasat dakwaan wujudnya sindiket pemberian taraf kewarganegaraan kepada warga asing yang didalangi pegawai kerajaan.

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata pemberian taraf kewarganegaraan kepada warga asing semakin membimbangkan selain mendatangkan implikasi yang serius kepada keselamatan dan ekonomi negara.

“Perbuatan (sindiket) ini terlalu serius dan kita harap kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak yang menjanjikan satu ketika dahulu untuk membuat pembaharuan dalam politik dan pentadbiran di negara ini, hendaklah berbuat sesuatu,”jelasnya.

Semalam, Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar  mendedahkan kepada Parlimen tentang kewujudan ìtask forceî yang bertanggungjawab memberi taraf kewarganegaraan kepada warga asing untuk membolehkan mengundi pada pilihan raya nanti.

Bercakap di Parlimen semalam, Mahfuz mendakwa pasukan khas tersebut dikepalai oleh Penasihat Khas Perdana Menteri. Datuk Osman Razak, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Datuk Tajuddin Wahab, dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar serta beberapa pegawai lain di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Hari ini Wan Ahmad mengeluar kenyataan menafikan dakwaan tersebut.

Mengulas lanjut berhubung perkara ini, Mohamad Sabu yang mesra dengan panggilan Mat Sabu menambah, pihaknya mempunyai maklumat dan telah mengenalpasti lokasi memproses kad pengenalan dan pemberian kad pengenalan kepada warga asing.

ìKita akan terus mendedahkan lagi nama-nama mereka yang terlibat, lokasi mereka proses kad pengenalan itupun kita telah kenalpasti, bukan di Jabatan Pendaftaran Negara tetapi ada sindiket yang besar untuk menjadikan PATI sebagai rakyat seterusnya sebagai pengundi,” ujar Mohamed pada satu sidang media di Ibu Pejabat PAS hari ini.

Jelas Mohamad, daftar pemilih akan menjadi lebih kotor sekiranya pentadbiran Najib tidak mengambil tindakan segera dengan membentuk RCI bagi menyiasat dakwaan itu.

Dalam perkembangan sama, Mohamad menzahirkan rasa kesal dengan strategi Umno-BN yang menggunakan kaedah jahat untuk menawan kembali Selangor daripada kepimpinan Pakatan Rakyat.

“Hasrat mereka (Umno-BN) untuk menawan kembali Selangor, adalah perkara biasa kepada mana-mana parti politik menawan sesebuah negeri, tetapi kita tidak mahu penawanan tersebut dilakukan menerusi daftar pemilih yang kotor,”

Mohamad menambah, cadangan RCI tersebut antara lainnya adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai negara dunia ke-3 yang berjaya menukarkan kerajaan menerusi pilihanraya yang adil dan bersih.

“Tidak seperti negara dunia ke-3 yang lain dimana pertukaran kerajaan menerusi jalan raya dan pertumpahan darah yang banyak,”jelas Mohamed.

Pada perkembangan lain, Mohamad menerusi temubual ekslusif bersama Media Selangorku semalam, menyatakan PAS akan menggerakkan 100 peratus jenteranya menyertai Bersih 3.0, 28 April depan.

Menerusi temubual tersebut, Mohamad menjangkakan sekurangh-kurangnya setengah juta rakyat akan menghadiri perhimpunan tersebut.

Categories
NASIONAL

PAS Dakwa ‘Orang Najib’ Terlibat Sindiket Daftar Warga Asing

SHAH ALAM, 4 APRIL : PAS hari ini mendedahkan terdapat ‘pasukan khas’ dalam pengambilan rakyat asing untuk menjadi pengundi.

Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar mendakwa beliau mempunyai bukti untuk menunjukkan bahawa kerajaan menubuhkan pasukan petugas yang bertanggungjawab memberi taraf kerakyatan kepada warga asing bagi membolehkan mereka mengundi dalam pilihan raya umum akan datang.

Kenyataan itu dipetik oleh organ rasmi PAS, Harakahdaily menamakan seorang pembantu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pegawai-pegawai kanan Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Pendaftaran Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya.

Nama-nama mereka tidak disiarkan sementara menunggu pengesahan.

Beliau berkata kerajaan Umno-BN tidak boleh berdepan dengan politik terdesak. Oleh itu membawa warga asing untuk mengundi Umno-BN.

Sehubungan itu, Mahfuz mendesak kerajaan membentuk Suruhanjaya Diraja bagi menjawab segala dakwaan yang timbul supaya boleh memanggil mereka yang terlibat.

Bagaimanapun, Mahfuz enggan mendedahkan bagaimana beliau mendapat maklumat tersebut.

“Ini adalah maklumat yang diperolehi dari dalam,” jawab Mahfuz.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS, Ridhuan Mohd Nor berkata dakwaan itu amat serius kerana melibatkan integriti serta kedaulatan negara.

Tahun lepas, aktivis PAS telah mengesan bas yang membawa warga asing di sebuah resort di Sungai Merab, yang dikatakan sebahagian penipuan MyKad.

Bagaimanapun, polis mendakwa bahawa warga asing berada di sana untuk kursus keusahawanan.

Categories
NASIONAL

Mahfuz: Umno-BN Sudah Lama Guna Khidmat Yahudi

SHAH ALAM,17 MAC : Tindakan pimpinan Umno-BN  menaburkan propaganda bahawa wujudnya ancaman asing dalam bentuk pemberian bantuan dana kepada Pakatan Rakyat menggambarkan pimpinan kian Umno-BN ketandusan idea dan semakin terdesak untuk meraih sokongan rakyat.

Naib Presiden PAS,Mahfuz Omar berkata tindakan pimpinan Umno-BN itu sebenarnya adalah untuk menutup segala kepincangan dan salah laku parti itu berhadapan serangan bertali arus Pakatan Rakyat yang mempersoalkan urus tadbir negara dan salah laku pimpinan Umno-BN yang menggunakan wang rakyat untuk kepentingan mereka sendiri.

“Pimpinan Umno-BN sudah tiada daya upaya untuk menyakinkan rakyat dengan dasar-dasar dan polisi yang dilaksanakan selama ini kerana rakyat telah hilang kepercayaan kepada mereka dan melihat kegagalan yang teramat sangat dalam urus tadbir negara,” tegas Mahfuz yang dihubungi TVSelangor.

Menurut Mahfuz tindakan kerajaan pimpinan Umno-BN yang menggunakan khidmat perunding luar, APCO membuktikan sikap hipokrit mereka terhadap dasar luar negara khususnya berkaitan dengan kepentingan Israel.

“Sebelum itu pada zaman Tun Dr Mahathir  telah menggunakan syarikat Satchi And Satchi iaitu sebuah konsultan Yahudi yang dilantik untuk membantu  kempen dalam pilihanraya Umno-BN pada zaman Tun Mahathir.

” Umno-BN memberi duit termasuklah melalui hubungan dagang  dengan Israel termasuk membantu dalam minyak masak dan sebagainya bermakna ia memberikan kesihatan dan makan kepada Israel termasuk tentera mereka dan kemudiannya melanyak Palestin.

“Dan pada hari ini melalui Apco dan beberapa kabel-kabel gerakan zionist antarabangsa digunakan untuk kepentingan politik mereka sampai mereka menggunakan wang negara yang merupakan wang rakyat untuk dibayar kepada konsultan daripada Zionist,” kata beliau yang juga MP Pokok Sena.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed mendakwa bahawa Ketua Pembangkang yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggunakan khidmat agensi Yahudi bagi mengerakkan parti itu merancang kempen pilihan raya.

Justeru itu menurut Mahfuz,beliau yakin rakyat tidak akan termakan dengan hasutan dan dakyah pimpinan Umno-BN yang mendakwa Pakatan Rakyat menerima dana asing seraya menegaskan supaya pimpinan Umno-BN menumpukan kepada usaha memperbaiki institusi negara yang rosak dan porak peranda.

” Apa yang penting bagi parti politik ialah menawarkan kepada rakyat dengan bersaing secara sihat daripada sudut mengemukakan dasar polisi tawaran yang baik kepada masa hadapan negara kita.

” Negara kita kini menghadapi kerosakan kepada institusi negara kita yang diakui oleh bekas ketua hakim negara,institusi kehakiman rosak apabila Tun Mahathir membuat pindaan terhadap artikel perlembagaan sehingga menyebabkan hakim-hakim takut.

” Hari ini terdedah bagaimana institusi Peguam Negara dan institusi Kepolisian yang diketuai oleh ketua polis negara terlibat dalam gerakan kongsi gelap,ini yang mesti diperbetulkan,” kata beliau.

Categories
NASIONAL

Mahfuz: Pemimpin Umno Berfikiran Sempit, Takut Debat

SHAH ALAM, 1 MAC : Pemimpin Umno perlu menerima perubahan dalam landskap politik di negara ini sepertimana diinginkan rakyat dan harus bersedia tampil berdebat secara terbuka demi kepentingan semua.

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, pemimpin dari parti utama dalam BN itu tidak seharusnya mengelak dengan memberikan pelbagai alasan kerana tindakan itu dilihat menghina rakyat negara ini yang sudah boleh berfkir secara matang dan terbuka.

Menurutnya, pendekatan diamalkan Umno bagaikan memberi gambaran pemimpin parti itu sendiri tidak mahu berubah dan terus berfikiran sempit dengan cara politik lama yang tidak relevan.

“Umno cuba memberikan alasan kononnya kita (rakyat) belum sampai ke tahap kematangan berpolitik. Kerana itu debat tidak boleh diadakan.

“Ia satu penghinaan dan merendahkan corak berfikir masyarakat Malaysia hari ini yang saya kira sudah merentasi satu corak pemikiran yang ortodok sepertimana diamalkan oleh pemimpin Umno di mana mereka berfikir cara zaman batu iaitu berpolitik berasaskan kekuatan fizikal. Maka hari ini berlakunya budaya keganasan politik,” katanya kepada TVSelangor di sini hari ini.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu menambah, sewajarnya Umno menerima perubahan itu sebagaimana transformasi yang dilaungkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, sekiranya transformasi politik mahu dipraktikkan maka pemimpin Umno harus berlapang dada dan menerima perubahan itu.

“Sepatutnya kalau transformasi politik, kita harus pergi berdebat melalui pentas terbuka. Itu untuk memperlihatkan daya pemikiran pendebat dan idealisme dimiliki melalui parti politik diwakili di negara ini antara pemerintah dan pembangkang.

“Masyarakat masakini sudah jauh ke hadapan, jadi saya berharap mereka (pemimpin Umno) harus bersedia berdebat khususnya antara Ketua Kerajaan (Najib) dan Ketua Pembangkang (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Itu yang dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia,” jelasnya.

Sekiranya debat perlu diadakan antara pihak yang lebih rendah tahapnya terlebih dulu, maka Mahfuz mengulangi cadangannya supaya debat antara dirinya dan Datuk Seri Hishammudin Husein yang tertangguh sekian lama, diadakan semula.

Katanya, debat itu adalah cabaran dibuat Hishammuddin kepadanya ketika masing-masing berperanan sebagai Ketua Pemuda Umno dan Pas.

“Jadi apa salahnya pada hari ini dihidupkan kembali debat yang tertangguh tersebut iaitu debat antara Naib Presiden Pas dan Naib Presiden Umno. Orang yang sama tetapi jawatan berbeza.

“Ini ke arah membudayakan politik baru dalam Malaysia. Pemimpin Umno tidak harus takut,” katanya.

Categories
NASIONAL

PAS Mahu Minit Mesyuarat Tentang Pinjaman NFC Didedahkan

KUALA LUMPUR 13 FEB : Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar meminta Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan minit mesyuarat bertarikh 23 November 2011 berhubung isu projek Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).

Katanya, minit mesyuarat itu sangat penting memandangkan terdapat beberapa pengakuan bahawa perjanjian tersebut antaranya dikatakan tidak mempunyai jaminan peribadi dalam projek tersebut.

“Saya minta ketua PAC ada satu keberanian untuk mengirimkan kepada kami (Ahli Parlimen) supaya ianya boleh didedahkan kepada umum mengenai pengakuan-pengakuan yang telah dibuat oleh beberapa pegawai di peringkat kementerian yang dipanggil untuk memberikan keterangan-keterangan mereka dalam prosiding mesyuarat tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut kerajaan pusat menubuhkan empat jawatankuasa bagi memantau perkembangan NFC sebelum pinjaman RM250 juta diberikan secara berperingkat.

Beliau difahamkan salah satu daripadanya dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin yang ketika itu bertindak sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Empat jawatankuasa tersebut adalah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Kementerian Kewangan (MOF), Unit Perancang Ekonomi (EPU), Kerajaan Negeri Sembilan dan juga pihak pengurusan NFC.

Sementara itu, beliau turut membidas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz yang menasihatkan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil supaya membayar balik pinjaman berjumlah RM250 juta terbabit.

Katanya, ini merupakan isu besar dan bukan hanya boleh diselesaikan dengan hanya membayar semula pinjaman semata-mata.

“Ini satu kenyataan yang sangat dangkal bagi saya daripada seorang menteri yang dipertanggungjawab menjaga hal-hal yang berkaitan perundangan, pendakwaan dan penghakiman di negara kita ini.

“Bagi saya mengembalikan wang itu satu perkara. Sepatutnya sebagai meneteri yang menjaga undang-undang, dia harus bertegas dan tidak boleh menganggap memberikan balik wang tersebut, masalah selesai.

“Jika membabitkan soal pecah amanah atau jika pengendalian projek dari awal tidak betul maka kes tersebut harus diambil tindakan dan heret mereka yang terlibat ke mahkamah,” katanya.