Categories
AGENDA NASIONAL

Bapa empat anak pukul isteri hingga mati terlepas tali gantung, dipenjara 25 tahun

PUTRAJAYA, 24 NOV: Seorang lelaki yang sebelum ini dijatuhi hukuman mati kerana memukul isterinya bertubi-tubi sehingga meninggal dunia, terselamat daripada tali gantung selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikan hukuman itu dengan penjara selama 25 tahun.

Panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf membuat keputusan itu selepas pendakwaan memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) menerima representasi yang dikemukakan oleh Jamaluddin Ali, 47.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari memaklumkan bahawa pihaknya bersetuju mengurangkan pertuduhan daripada kesalahan membunuh mengikut Sesyen 302 Kanun Keseksaan kepada menyebabkan kematian tanpa niat mengikut Sesyen 304(a) kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan denda.

Pada 20 Januari 2017, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman mati ke atas Jamaluddin selepas dia didapati bersalah atas pertuduhan membunuh Nurhidayah A Ghani, 29, di Kampung Petaling Bahagia, Batu 5 1/2 Jalan Puchong di sini pada 9 malam antara 15 hingga 17 Mei 2013 dan hukuman itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 26 Mei 2020.

Terdahulu Rohana yang bersidang bersama-sama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh dan Datuk Abdul Rahman Sebli berkata setelah mengambil kira hujahan dan fakta kes, panel itu memutuskan bahawa hukuman penjara 25 tahun adalah setimpal serta memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 20 Mei 2013.

Mohd Zawawi pula berkata perkahwinan adalah satu ikatan yang suci, setia dan penuh dengan kasih sayang tetapi apabila pasangan mengkhianati maka timbul perasaan marah.

“Tetapi setiap perselisihan ada penyelesaian iaitu dengan mendekati saluran yang betul seperti mahkamah,” katanya.

Sebelum itu, peguam Athari Bahardin berhujah anak guamnya bertindak sedemikian kerana mangsa mempunyai hubungan dengan lelaki lain dan kerap meluangkan masa untuk berparti.

“Ketika perbicaraan kes ini, mahkamah diberitahu bahawa perayu telah membawa mangsa ke hospital setelah melihat wanita itu berada dalam keadaan tenat. Menurut keterangan saksi, perayu juga menangis apabila mengetahui isterinya telah meninggal dunia.

“Perayu mempunyai empat orang anak berusia antara 10 dan 18 tahun yang kini berada di bawah jagaan ibu perayu,” kata peguam itu sambil menambah ini adalah kesalahan pertama anak guamnya.

Mohd Fairuz pula memohon hukuman penjara 25 tahun dikenakan terhadap perayu kerana kejadian itu menyebabkan satu nyawa melayang.

“Sejak berlaku konflik rumah tangga, mangsa telah memfailkan fasakh di Mahkamah Syariah dan beberapa laporan polis dibuat oleh mangsa berkaitan penderaan yang dilakukan oleh perayu. Kes keganasan rumah tangga bukan perkara asing di negara ini dan satu mesej perlu disampaikan kepada masyarakat,” katanya.

– BERNAMA

 

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Mais: Keputusan Mahkamah Persekutuan bukan kemenangan kepada LGBT

SHAH ALAM, 2 FEB: Keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa perundangan syariah Selangor yang menetapkan seks luar tabii adalah tidak sah, bukan kemenangan kepada lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berkata pihaknya menghormati penghakiman, namun perbuatan itu tetap dosa besar dalam Islam serta bertentangan dengan akhlak, moral dan amalan masyarakat Malaysia.

“Mais menegaskan golongan itu tetap tidak diiktiraf. Allah melaknati sesiapa melakukan amalan kaum Nabi Luth (liwat).

“Perbuatan ini termasuk dalam perkara yang wajib dibendung bagi menjamin kesejahteraan masyarakat dan undang-undang syariah yang digubal bertepatan dengan ajaran melalui al-Quran dan hadis Rasulullah,” kata Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof kepada SelangorKini hari ini.

Pada 25 Februari Mahkamah Persekutuan memutuskan Seksyen 28 Enakmen 28 Kesalahan-kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang menetapkan seks luar tabii sebagai jenayah, adalah tidak sah dan tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel sembilan hakim berkata hanya Parlimen mempunyai kuasa menggubal undang-undang menjadikan seks luar tabii sebagai jenayah.

Susulan itu menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah berbincang untuk menambah baik undang-undang syariah.

Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata jawatankuasa itu akan berunding dengan pihak berkuasa negeri untuk menyeragamkan undang-undang syariah.

Categories
AGENDA NASIONAL

Mahkamah dibuka Rabu, SOP diperketat

PUTRAJAYA, 11 MEI: Badan Kehakiman Malaysia akan melaksanakan tatacara operasi piawai (SOP) serta garis panduan kesihatan dan keselamatan yang ketat termasuk wajib memakai penutup mulut dan hidung sepanjang masa dan mengambil suhu badan apabila perbicaraan terbuka di mahkamah diadakan secara berperingkat bermula Rabu ini.

Menurut kenyataan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, hari ini, hanya individu dengan suhu badan 38 darjah Celsius dan ke bawah akan dibenarkan memasuki premis mahkamah.

Pihak berkaitan dan orang ramai juga dinasihati untuk tidak hadir ke mahkamah jika mereka tidak sihat.

“Ini sejajar dengan langkah pencegahan yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk mengekang penyebaran wabak Covid-19, menurut kenyataan itu.

Jelasnya, mahkamah juga tidak akan menyediakan penutup mulut dan hidung kepada mereka yang hadir ke mahkamah.

Selain itu, menurut kenyataan berkenaan, tempat duduk dan ruang di mahkamah juga adalah terhad dan semua pihak diminta untuk duduk di dalam kawasan yang ditanda di tempat duduk untuk menjaga penjarakan sosial.

Individu yang menghadiri mahkamah juga diminta memuat turun dan melengkapkan borang pelawat mahkamah daripada laman web rasmi kehakiman untuk tujuan jejak sosial. Borang pelawat juga boleh didapati di premis mahkamah.

Kenyataan itu juga memaklumkan bahawa setiap mahkamah di seluruh Malaysia hanya mempunyai satu pintu masuk ke premis masing-masing dan hanya mereka yang mempunyai urusan dengan mahkamah dibenarkan memasuki premis tersebut.

Orang ramai juga diminta untuk melaksanakan urusan mereka di kaunter atau di mahkamah yang ditentukan dengan segera tanpa melengahkan masa.

Bagi kes jenayah, hanya seorang anggota keluarga dibenarkan memasuki premis mahkamah dan hanya seorang individu yang dituduh dibenarkan berada di dalam bilik bicara mahkamah bagi mendengar prosiding kes mereka.

Saksi atau pihak yang terlibat dalam prosiding mahkamah hanya dibenarkan masuk ke premis mahkamah 30 minit sebelum perbicaraan kes bermula dan saksi juga diminta untuk berhubung dengan pegawai polis atau peguam masing-masing berhubung kes mereka sebelum menghadiri prosiding atau urusan lain di mahkamah.

Semua pihak diminta meninggalkan premis mahkamah sebaik sahaja urusan mereka selesai.

Badan kehakiman juga meminta kerjasama semua pihak untuk menjaga kebersihan premis mahkamah.

“Semua pihak diminta mematuhi semua arahan yang berkaitan dengan Covid-19 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.

Untuk maklumat lanjut mengenai SOP kehakiman, orang ramai boleh melayari laman web rasmi kehakiman di www.kehakiman.gov.my.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Rabu depan keputusan rayuan akhir Najib di Mahkamah Persekutuan

PUTRAJAYA, 5 APR: Mahkamah Persekutuan akan menyampaikan keputusan terhadap empat rayuan akhir bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak termasuk satu oleh pihak pendakwaan berhubung kes SRC International Sdn Bhd., Rabu depan.

Panel tujuh hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum menetapkan tarikh tersebut hari ini selepas selesai mendengar hujah pihak pendakwa dan pembelaan sejak semalam.

Najib, 66, mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan menolak rayuan beliau bagi mendapatkan dokuman tambahan serta perintah tegar siar bagi menghalang media dan orang awam membincangkan dan menerbitkan kenyataan mengenai merit kes SRC International.

Selain itu, langkah Peguam Negara menarik balik sijil untuk memindahkan tujuh pertuduhan terhadap Najib daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi manakala pendakwa merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan meminta Pejabat Peguam Negara menunjukkan surat lantikan pendakwa sementara, Sulaiman Abdullah.

Terdahulu, peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib, memaklumkan kepada mahkamah bahawa kes anak guamnya akan selesai lebih cepat jika pendakwaan membekalkan dokumen-dokumen yang diminta oleh mereka.

Memetik kes tuduhan rasuah dan penipuan oleh bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Tan Sri Kasitah Gaddam, Muhammad Shafee​​​​​​, yang mewakili bekas menteri itu​, berkata pihak pemdakwaan dan pembelaan telah bertukar-tukar dokumen berhubung kes tersebut.

“Perbicaraan kes tersebut dijadualkan selama empat bulan tetapi kita menyelesaikan perbicaraan di Mahkamah Tinggi dalam tempoh tiga minggu,” katanya.

Sementara itu, peguam bersama, Harvinderjit Singh berkata, dokumen seperti kenyataan saksi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan kenyataan saksi dirakam oleh pegawai penyiasat mengikut kes di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001 perlu diberikan kepada pihaknya.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya (Ad-Hoc), Datuk V. Siithambaram berkata, pihak pendakwaan tidak bercadang menggunakan dokumen-dokumen yang dimohon oleh pembelaan sebagai sebahagian daripada kes pendakwaan.

“Pemberian perintah yang dituntut oleh pihak pembelaan secara jelas bermakna kesemua kertas penyiasatan (IP) perlu diberikan kepada mereka. Kesimpulannya ialah pada masa depan seluruh IP perlu diserahkan kepada pembelaan bagi semua kes SPRM dan AMLATFA,” katanya.

Beliau juga turut berkata, pihak pembelaan mahu pendakwa mengemukakan semu pernyataan saksi dan dokumen di mana ia boleh dilakukan semasa perbicaraan.

Katanya, pihak pendakwaan setakat ini telah menyerahkan 32 jilid dokumen (kira-kira 7,000 halaman) kepada pihak pembelaan.

Perbicaraan kes Najib berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta telah bermula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Rabu lalu dan akan disambung 15 April ini.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Jurutera bunuh teman wanita Hari Valentine, terlepas tali gantung

PUTRAJAYA, 14 FEB: Seorang jurutera yang didapati bersalah membunuh teman wanitanya enam tahun lalu pada Hari Valentine terlepas tali gantung selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan dia melakukan kesalahan itu dalam keadaan tidak siuman.

Hari ini, yang kebetulan adalah Hari Valentine, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Cheong Teik Keon untuk mengetepikan sabitan dan hukuman mati selepas memutuskan lelaki berusia 35 tahun itu telah membuktikan imbangan kebarangkalian bahawa dia tidak waras ketika melakukan kesalahan terbabit.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Ahmad Maarop yang mengetuai panel itu berkata, Cheong melakukan kesalahan berkenaan tetapi ketika itu dia berada dalam keadaan tidak siuman dan tidak mampu mengetahui apa yang dilakukannya pada masa terbabit adalah salah atau bertentangan dengan undang-undang.

Beliau memerintahkan Cheong ditempatkan di Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Ipoh, Perak atas perkenan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang.

“Kami dapati perayu (Cheong) melakukan kesalahan itu. Bagaimanapun hakim gagal mempertimbang bahawa dia tidak siuman seperti mana peruntukan di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan,” katanya, lapur BERNAMA.

Panel itu turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Seri David Wong Dak Wah dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Ramly Ali, Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin dan Datuk Rohana Yusuf.

Cheong telah disabitkan dan dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi George Town pada Oktober 2016 selepas didapati bersalah membunuh Tan Ching Chin, 24, di Seberang Prai, Pulau Pinang pada 8.40 pagi pada 14 Februari 2013.

Beliau gagal dalam rayuannya selepas ditolak Mahkamah Rayuan pada Mei tahun lalu.

Berdasarkan kes pendakwaan, Cheong dan mangsa adalah pasangan kekasih dan pada hari kejadian, dia tinggal bersama-sama mangsa di rumah kekasihnya itu. Mayat mangsa ditemukan oleh pembantu rumah dan ibunya di dalam bilik air bersama-sama tertuduh, yang ketika itu sedang memegang kaki mangsa dan telah menikam perutnya sendiri.

Pengakuan Cheong adalah satu daripada tanda ketidakwarasannya.

Mahkamah Tinggi sebelum ini mendengar keterangan saksi, seorang pakar psikiatri yang memberitahu Cheong menikam teman wanitanya tiga kali dan kemudian cuba membunuh diri dengan menikam dirinya empat kali supaya dia boleh bersatu semula dengannya di syurga.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik berkata, Cheong sebelum ini ditahan di penjara Tabah sambil menjalani perubatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Asmah Musa.

MB: Keputusan Mahkamah tidak melemahkan PKR

Akar umbi PKR merapat barisan di kala Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun ke atas Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kes Anwar : 15 SB ‘berkampung dalam mahkamah’

Pengarah Pilihanraya PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail hari ini menyatakan kekesalan beliau berkenaan ketidakadilan pembahagian pas masuk bagi mengikuti perjalanan Kes Fitnah Liwat II di Mahkamah Persekutuan.

15 ruang dalam Bilik Bicara mahkamah tersebut diberikan kepada 15 anggota polis cawangan khas. Manakala ruang untuk media,pemerhati antarabangsa dan ahli parlimen agak terhad.

Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL SELANGOR

Pembunuhan Altantuya: Mahkamah bebas Azilah, Sirul

gambar hiasan
gambar hiasan

Mahkamah Rayuan hari ini membebaskan anggota Unit Tindakan Khas, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar, daripada pertuduhan membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, lapor Portal malaysiakini.com.

Ini berikutan mahkamah dalam keputusan sebulat suara membenarkan rayuan pasangan itu.

Bagaimanapun, pihak pendakwa akan mempunyai peluang untuk merayu di Mahkamah Persekutuan – mahkamah tertinggi di negara ini.

Hakim Datuk Md Apandi Ali mengetuai panel tiga hakim yang mendengar rayuan tersebut.

Bagaimanapun, penghakiman itu dibacakan oleh Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat yang memutuskan berlaku penyalaharahan yang serius oleh hakim Mahkamah Tinggi.

Ia termasuk tidak memanggil DSP Musa Safri, dan kegagalan untuk mengemukakan diari balai polis yang menyatakan bahawa Azilah (kiri) berada di Bukit Aman pada masa berkenaan.

Seorang lagi anggota panel hakim tersebut ialah Datuk Linton Albert.

Pada April 2009, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Zaki Md Yassin telah mensabitkan dua anggota polis itu atas tuduhan bunuh. Manakala penganalisis politik Abdul Razak Baginda dibebaskan daripada tuduhan bersubahat dengan pembunuhan itu.

Pendakwa akan merayu

Azilah diwakili oleh peguam Hazman Ahmad dan J Kuldeep Kumar, manakala peguam Kamarul Hisham Kamaruddin dan Hasnal Rezua Merican mewakili Sirul.

Timbalan Peguamcara Negara 111, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah mengetuai pasukan pendakwaraya yang turut dianggota DPP Manoj Kurup dan Noorin Badaruddin.

Altantuya telah dibunuh di hutan Puncak Alam dekat Shah Alam antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.

Menurut peguam, kedua-dua tertuduh mungkin dibebaskan dari penjara Sungai Buloh lewat hari ini.

Dalam mesej teks, Tun Majid berkata mereka akan membuat rayuan terhadap keputusan hari ini. Malaysiakini.com – mza