Categories
AGENDA NASIONAL

Pengasuh tampar bayi enam bulan didenda RM12,000

KUALA LUMPUR, 12 SEPT: Seorang pengasuh didenda RM12,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menampar anak asuhannya berusia enam bulan, Ogos lepas.

Hakim Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman itu ke atas seorang warga Indonesia, Anisah Ahmad, 42, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan menampar pipi bayi perempuan itu sehingga mendatangkan kecederaan terhadapnya di sebuah rumah di Setapak Jaya Baru di sini, antara jam 8 pagi dan 3 petang, pada 27 Ogos lepas.

Ibu enam anak itu didakwa mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman rendah dengan alasan dia menanggung enam anak yang masing-masing empat berada di Indonesia dan dua di Malaysia.

“Saya tidak sengaja buat (tampar) kerana berada dalam tertekan. Suami menghidap kanser mulut tahap empat. Ketika kejadian mangsa menangis dan saya terkejar-kejar untuk memberi susu kepada suami yang minum menggunakan tiub.

“Saya juga tidak perasan ada kesan (tampar). Kalau saya tahu saya minta maaf awal-awal dengan ibu mangsa…Saya perlukan duit sebab anak di Indonesia nak makan, sini pun nak makan. Jadi saya ambillah budak itu. Lagipun, saya sudah jaga budak lebih tujuh, lapan tahun tidak pernah terjadi perkara sebegini,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Afiq Nazrin Zaharinan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana ia membabitkan penderaan terhadap kanak-kanak.

“Tiga faktor yang perlu diambil kira ialah kesalahan yang dilakukan adalah terhadap seorang bayi. Ia adalah perkara biasa apabila bayi berusia enam bulan menangis.

“Kedua, kesalahan yang dilakukan itu sama ada terdapat kesan lebam atau tidak bukan menjadi faktor pembelaan berikutan kesalahan itu sudah berlaku. Ketiga, mahkamah perlu mengambil kira kesalahan dan masalah yang dihadapi tertuduh tetapi sepatutnya dia perlu berdepan dengan cara yang betul dalam menghadapi kesusahan hidup,” katanya.

Mengikut fakta kes, ketika hari kejadian pada 8.30 pagi, pengadu menghantar mangsa dalam keadaan baik ketika ke rumah pengasuh itu, namun ketika diambil pada jam 3 petang, ibu mangsa mendapati terdapat kesan lebam di pipi kiri mangsa yang menyerupai kesan jalur seperti ditampar.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk menjalani rawatan dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam di bahagian pipi kiri akibat dipukul dan ia adalah kecederaan baharu.

Siasatan polis mendapati tertuduh menampar mangsa kerana mangsa tidak berhenti menangis.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

33 Peserta Black 505 Diikat Jamin RM2,000 Seorang

black 505 crowd padang nazli 03

SHAH ALAM, 29 JULAI : Seramai 33 individu yang menyertai perhimpunan Black 505 di Padang Merbok pada 22 Jun lalu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan perhimpunan haram dan cubaan merusuh.

Antara yang ditahan atas pertuduhan tersebut adalah Badrul Hisham Shaharin (Chegubard), aktivis mahasiswa, Adam Adli Abdul Halim dan Muhammad Safwan Anang.

Chegubard ketika dihubungi TVSelangor berkata, mereka didakwa dengan satu pertuduhan iaitu terlibat dalam perhimpunan haram, manakala 17 peserta lagi berhadapan dua pertuduhan kerana cubaan merusuh.

“Kami dipanggil bersidang pada pukul 8.30 pagi, tetapi mahkamah hanya memulakan persidangan pada pukul 1.30 petang.

“Dua pertuduhan dikenakan ke atas 17 orang manakala 33 orang (yang didakwa hari ini) kena satu tuduhan,” katanya.

Hakim, Mat Ghani Abdullah membenarkan mereka diikat jamin dengan RM2,000 setiap seorang.

Beliau menetapkan perbicaraan bermula pada 19 Ogos.

Isnin lalu, tujuh orang termasuk Rafizi Ramli dan Anthony Loke selaku penganjur perhimpunan, didakwa mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

 

Categories
NASIONAL

Arah Bela Diri Kes BERSIH, Cubaan Burukkan Imej Tian Chua

SHAH ALAM, 11 NOV :PKR Cabang Batu tetap berdiri teguh di belakang Tian Chua meskipun pelbagai cubaan dibuat untuk memburukkan  Ahli Parlimen Batu itu.

Menurut Ketua Penerangan PKR Batu, Badiuzzaman Ali dalam satu kenyataan media apabila mengulas keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang menyatakan Tian melanggar arahan polis, sehari selepas berlangsungnya Perhimpunan Bersih 3.0 April lalu.

Badiuzzaman berkata, semua ahli parti sebulat suara menyatakan sokongan tidak berbelah bagi kepada Ketua PKR Batu itu selain berharap beliau akan mendapat keadilan yang sewajarnya dan dibebaskan dari sebarang pertuduhan.

?Kami menyatakan keyakinan bahawa pendakwaan keatas Tian Chua yang dikaitkan dengan tuduhan mengingkari arahan supaya beredar dari kawasan larangan dan menghalang pihak berkuasa polis di satu kawasan di Pulapol adalah semata-mata bertujuan untuk mensabitkan kesalahan terhadap beliau melalui satu konspirasi politik.

?Ini bertujuan untuk memburukan nama baik beliau dan cubaan pihak tertentu untuk menyekat kerjaya politik beliau sebagai Ahli Parlimen,? katanya.

Mahkamah mengumumkan keputusan di mana pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie dan berhasrat memanggil Tian Chua membela diri dan menetapkan 29 dan 30 November 2012 untuk prosiding membela diri.

Beliau didakwa tidak mematuhi perintah DSP A Rajakopal supaya beredar dari kawasan Pulapol yang dianggap sebagai satu kawasan larangan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Selain itu Badiuzzaman memohon kepada orang ramai dan mana-mana pihak supaya tampil untuk menjadi saksi dalam prosiding pembelaan.

Pihaknya juga menyeru kepada orang ramai supaya dapat hadir bersama-sama ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 29 dan 30 November 2012 untuk memberikan sokongan moral.

Perhimpunan Bersih 3.0 yang berlangsung pada 28 April lalu menyaksikan kehadiran lebih 250,000 orang penyokong bagi menuntut lapan tuntutan utama dalam memastikan pilihan raya umum dengan bersih dan adil.