Categories
AGENDA NASIONAL

Hina kerabat diraja Selangor, suri rumah dipenjara dua bulan

SHAH ALAM, 24 JULAI: Seorang suri rumah dihukum penjara dua bulan dan denda RM10,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik terhadap kerabat diraja Selangor di laman Facebook pada Jun lepas.

Hakim Rihaida Rafie menjatuhkan hukuman itu ke atas Siti Nurul Ain Mat Nayan, 32, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Siti Nurul Ain didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi internet menerusi telefon bimbit jenis Samsung A30 secara sedar untuk membuat dan memulakan penghantaran komen jelik berkaitan kerabat diraja Selangor di laman Facebook dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Pautan itu kemudian dibaca di Istana Mestika, Seksyen 7 di sini kira-kira 10.26 pagi pada 26 Jun lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Baizura Mohd Saubian memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam agar lebih sensitif dan peka sebelum membuat apa-apa hantaran di media sosial.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam dan kelihatan sebak dalam rayuannya meminta agar hukuman lebih ringan dikenakan atas alasan dia telah insaf dan berjanji tidak akan melakukan kesalahan itu lagi.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mahkamah Sesyen baharu di Semenyih dan Langkawi

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Dua Mahkamah Sesyen baharu akan dibuka di Semenyih, Selangor dan Langkawi, Kedah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.

Beliau berkata kedua-dua mahkamah itu ditubuhkan bagi menjimatkan masa dan kos pihak yang memerlukan bantuan kehakiman, di samping memastikan hak akses mereka kepada keadilan.

Dalam satu kenyataan, Vui Keong berkata di Semenyih, Mahkamah Sesyen memudahkan hak akses kepada keadilan bagi warga asing yang ditahan di Malaysia atas tuduhan berkaitan imigresen manakala di Langkawi pula akan mendengar kes sivil serta jenayah.

“Ia akan mempercepatkan pelupusan kes ini, mencegah tunggakan kes dan memendekkan tempoh penahanan dalam tahanan imigresen sementara menunggu perbicaraan.

“Sebelum ini, Mahkamah Sesyen yang terdekat dengan Langkawi terletak di Alor Setar, iaitu perjalanan selama dua jam melalui jalan laut,” katanya sambil menambah ia juga akan diperluaskan ke negeri lain dalam masa terdekat.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Penolong Pengarah JPN didakwa kes MyKad tidak sah

GEORGE TOWN, 12 SEPT: Seorang Penolong Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang dan lima individu termasuk seorang bergelar Datuk didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 32 pertuduhan berhubung sindiket pengeluaran dan penjualan sijil kelahiran serta kad pengenalan secara tidak sah kepada warga asing.

Penolong Pengarah JPN Pulau Pinang Mohd Faizul Arifin, 34, bersama empat lelaki Loh Chan Cheong, 34; Chien Guan Chai, 36; Yap Cheng Wah, 43, dan Mohd Faizal Tan Abdullah, 66, masing-masing didakwa atas dua pertuduhan utama mengikut Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 manakala ahli perniagaan Datuk Lai Chin Wah, 56, dituduh atas tiga pertuduhan utama mengikut seksyen yang sama.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan dan pengakuan mereka akan direkodkan di Mahkamah Tinggi.

Mohd Faizul turut didakwa atas empat pertuduhan memalsukan sijil kelahiran dan kad pengenalan serta lima pertuduhan mengeluarkan kad pengenalan kepada warga asing.

Lai, Loh dan Yap juga masing-masing dituduh atas dua pertuduhan memalsukan sijil kelahiran dan kad pengenalan serta bersubahat dengan Mohd Faizul bagi tujuan pemalsuan dokumen itu manakala Chien berdepan empat pertuduhan sama.

Kesemua pertuduhan itu dibacakan secara berasingan di dua mahkamah di hadapan Hakim Norsalha Datuk Hamzah dan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

Bagi dua pertuduhan utama, Mohd Faizul didakwa membuat dokumen pengenalan diri fraud iaitu sijil kelahiran dan kad pengenalan atas nama Ewe Chor Beng bagi maksud memudahkan suatu perbuatan penyeludupan migran di Ibu Pejabat JPN Negeri Pulau Pinang Bangunan Persekutuan, Jalan Anson, di sini antara bulan Januari hingga Februari 2019.

Loh, Chien, Yang dan Mohd Faizal Tan masing-masing didakwa atas dua pertuduhan utama menjual sijil kelahiran dan kad pengenalan atas nama Ewe Chor Beng di sekitar kawasan George Town pada tempoh yang sama.

Lai pula didakwa atas tiga pertuduhan utama menjual sijil kelahiran, kad pengenalan dan pasport atas nama Ewe Chor Beng di sekitar kawasan George Town antara Januari hingga Mac 2019.

Untuk kesemua pertuduhan itu, mereka masing-masing didakwa mengikut Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) yang memperuntukkan hukuman penjara minimum tujuh tahun dan tidak melebihi 15 tahun dan boleh dikenakan denda tidak kurang RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Mohd Faizul mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan memalsukan sijil kelahiran dan kad pengenalan masing-masing atas nama Ewe Chor Beng dan Tan Xiu Xiu di Ibu Pejabat JPN Negeri Pulau Pinang Bangunan Persekutuan, Jalan Anson, di sini antara bulan Januari hingga Mei 2019.

Lai, Loh dan Yap juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memalsukan sijil kelahiran dan kad pengenalan atas nama Ewe Chor Beng serta bersubahat dengan Mohd Faizul bagi tujuan pemalsuan dokumen itu di tempat yang sama antara Januari hingga Februari 2019.

Chien pula mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan memalsukan sijil kelahiran dan kad pengenalan masing-masing atas nama Ewe Chor Beng dan Tan Xiu Xiu serta bersubahat dengan Mohd Faizul bagi tujuan pemalsuan dokumen itu di tempat yang sama antara Januari hingga Mei 2019.

Untuk kesemua pertuduhan itu, kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 466 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Mohd Faizul turut mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan di bawah Peraturan 25(1)(i) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana mengeluarkan kad pengenalan atas nama Tan Xiu Xiu, Lim Hock Eng, Ewe Chor Beng, Yang Xiaohong dan Pheh Jin Leong di Ibu Pejabat JPN Negeri Pulau Pinang Bangunan Persekutuan, Jalan Anson, di sini antara 20 September 2018 hingga 3 Mei 2019.

Bagi kesemua pertuduhan itu, jika disabitkan kesalahan kesemua tertuduh boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan tiada jaminan terhadap kesemua tertuduh dan menetapkan 18 September ini untuk sebutan semula kes bagi semua tertuduh.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya yang juga Pengarah Pendakwaan Negeri Pulau Pinang Yusaini Amer Abdul Karim dan dibantu Mohd Amril Johari, Noor Azura Zulkiflee, Farah Aimy Zainul Anwar, Yazid Mustaqim Roslan dan Shafiq Sazali.

Mohd Faizul diwakili peguam Sukhindarpal Singh, Chien dan Mohd Faizal Tan diwakili peguam Datuk Ranjit Singh Dhillon, Loh dan Yap diwakili peguam Lee Kean Wooi manakala Lai diwakili peguam Dr N. Ahilan.

Semalam, polis mendedahkan penahanan 20 individu termasuk seorang pegawai JPN Pulau Pinang yang disyaki terlibat dengan aktiviti pengeluaran sijil kelahiran dan kad pengenalan secara tidak sah.

Siasatan mendapati ejen sindiket akan mencari warga asing yang ingin mendapatkan kewarganegaraan Malaysia dan proses akan diuruskan oleh seorang individu di JPN Pulau Pinang selain dipercayai sindiket itu memperoleh bayaran antara RM100,000 sehingga RM600,000 daripada warga asing.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL SELANGOR

Dilantik Timbalan Menteri, Waythamoorthy Dakwa Tidak Tahu – BULETIN 13

Sinopsis

BULETIN 13 Untuk 17052013

Saksikan secara langsung “BULETIN 13” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 12.00 Tengahari, 3.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Perlantikan Pengerusi Barisan Bertindak Hak Penganut Hindu (Hindraf) P. Waythamoorthy sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dianggap strategi Barisan Nasional untuk memecahkan masyarakat India.

2. Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini berhubung penganjuran himpunan besar-besaran Black 505 di Kelana Jaya pada 8 Mei lalu.

3. Pengekalan jawatan Menteri Kewangan yang disandang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abd Razak dalam pengumuman senarai Menteri Kabinet baru-baru ini terus dipertikai.

Waythamoorthy