Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Jenayah berkait agama dalam talian perlu dibawa ke Mahkamah Syariah

Oleh Balkish Awang

KUALA LUMPUR, 26 OKT: Laman media sosial semakin disalah guna untuk melakukan jenayah termasuk yang berkaitan hal agama Islam, namun setakat ini difahamkan belum ada tindakan pendakwaan dibuat di Mahkamah Syariah.

Memuat naik hantaran bersifat jelik menghina Nabi Muhammad SAW, agama Islam serta institusi raja adalah antara perkara yang tular di media sosial dan jenayah agama dalam talian ini yang ibarat penyakit barah, jika tidak “dicantas”, dikhuatiri akan terus berleluasa.

Perbuatan tidak bertanggungjawab ini sudah tentunya akan mencetuskan perasaan marah dan tidak puas hati dalam kalangan masyarakat Islam negara ini khususnya, yang boleh mengeruhkan suasana harmoni hidup antara kaum.

Sebelum keadaan memburuk, sudah tiba masanya peruntukan berkaitan jenayah alam siber, menggunakan media elektronik ini dimasukkan ke dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Mengulas lanjut, Peguam Syarie Ahmad Jailani Abdul Ghani berkata, jenayah berkaitan agama wajar diletakkan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah bagi memastikan keadilan dapat dicapai berdasarkan perspektif syariah supaya jenayah tersebut dapat dibendung atau dikawal agar tidak berleluasa.

“Jenayah berkaitan agama apatah lagi melibatkan dalam talian perlu dipandang serius berikutan terdapat kes yang dilihat belum diambil tindakan oleh penguatkuasa agama disebabkan faktor kekurangan tenaga kerja,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau menjelaskan, antara perbuatan jenayah syariah dalam talian adalah menghina agama Islam, memuat naik dan turun bahan pornografi, menyebarkan fitnah dan berita palsu, mengaibkan dan memalukan orang serta menipu.

Selain itu, penghinaan terhadap agama turut dibuat dengan memuat naik gambar Nabi Muhammad SAW dalam keadaan dipandang hina, mencerca patung-patung agama bukan Islam, menulis komen jelik dengan cara untuk mentertawakan bentuk ibadat dan sebagainya.

“Ini kerana pemilik sesebuah akaun tidak perlu melalui sebarang proses tapisan. Apa sahaja yang mereka ingin kongsikan, sama ada tulisan, gambar, video dan seumpamanya, mereka boleh terus hantar dan pada detik yang sama bahan tersebut dapat diakses oleh pengguna internet seluruh dunia,” katanya.

Menurut Ahmad Jailani lagi, penyebaran ajaran sesat atau doktrin yang bertentangan dengan akidah Islam juga berlaku dalam talian dan pihak berkuasa agama perlu bertindak tegas dalam hal berkenaan.

“Selain itu, kita juga dihadapkan dengan kandungan secara elektronik yang mengubah dan menokok tambah asas ibadah dalam agama.Tidak ketinggalan juga terdapat banyak status dan komentar dalam media sosial yang dikhuatiri akan membawa perkara yang menyesatkan dan mengkafirkan sesama Islam tanpa bukti yang benar,” katanya.

Perlu perhatian serius

Setakat ini difahamkan masih belum ada negeri di Malaysia yang yang meluluskan Enakmen Undang-Undang Syariah khusus berkaitan kesalahan secara elektronik.

Dalam perkara ini, Ahmad Jailani meminta pihak berkuasa agama negeri memandang serius hal berkenaan dan bertindak lebih proaktif bagi membendung jenayah dalam talian berkaitan agama ini.

“Sudah sepatutnya langkah lebih proaktif dilakukan untuk menggubal enakmen undang-undang berkaitan.

“Pada masa sama, siri latihan profesional kepada semua anggota dan pegawai serbuan, tangkapan, siasatan dan pendakwaan perlu dibuat secara lebih serius,” katanya.

Menurut Ahmad Jailani, banyak pihak yang memperjuangkan perkara tersebut dan meminta pihak berkuasa mengambil langkah segera untuk menangani isu tersebut.

“Selain Majlis Peguam yang lebih banyak berkaitan dengan Peguambela & Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya, para peguam syarie ramai yang bernaung di bawah Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan Persatuan Guaman Syarie Malaysia (PGSM) di mana pemimpin dan anggota kedua-dua persatuan ini terlibat dalam pelbagai wacana termasuk menganggotai pelbagai jawatankuasa yang berfungsi memperkasakan undang-undang dan mahkamah syariah negara ini.

“Ia menunjukkan para peguam syarie berganding bahu bersama-sama para ahli akademik, ahli politik kerajaan dan pembangkang, tokoh agama dan para pengamal undang-undang untuk melihat suatu undang-undang syariah yang lebih ketat digubal di peringkat negeri,” katanya.

Beliau menambah, Malaysia mempunyai dwisistem perundangan dan kehakiman iaitu sivil dan syariah.

Keunikan sistem tersebut adalah perundangan dan kehakiman sivil berada dalam bidang kuasa Persekutuan manakala perundangan dan kehakiman syariah berada dalam bidang kuasa negeri.

“Ada baiknya jikalau sebahagian daripada jenayah syariah secara dalam talian ini diuruskan di mahkamah sivil dengan menggunakan undang-undang sivil. Ini disebabkan terdapat pesalah yang bukan beragama Islam. Kelompok ini tidak boleh didakwa dan dibicarakan mengikut undang-undang syariah kerana mahkamah syariah tidak diberi bidang kuasa untuk membicarakan tertuduh yang bukan beragama Islam.

“Sebagai contoh penghinaan terhadap agama Islam tetapi dilakukan oleh orang bukan Islam. Malaysia mempunyai undang-undang yang cukup untuk mengenakan tindakan terhadap pesalah seperti ini khususnya berdasarkan kepada undang-undang sivil seperti Kanun Keseksaan, Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia serta Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.

Ahmad Jailani berkata, pentingnya memperkasakan undang-undang dan mahkamah syariah untuk menangani kes kesalahan jenayah agama dalam talian khusus untuk penjenayah beragama Islam.

“Usaha ini agak ketinggalan berbanding undang-undang sivil. Ini disebabkan bidang kuasa undang-undang syariah sebagai undang-undang negeri tidak berpusat sebagaimana undang-undang Persekutuan. Setiap negeri memiliki hak autonomi mereka masing-masing yang wajib dihormati,” katanya.

Kaji semula enakmen

Berkongsi pandangan, peguam syarie, Ahmad Munawir Abdul Aziz berkata, dalam usaha mengemaskinikan undang-undang jenayah syariah dengan perkembangan semasa, pihak Majlis Agama Islam negeri sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam mentadbirkan aspek agama negeri masing-masing perlu mengkaji semula Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (EKJS) negeri berkaitan.

Selain itu, kata beliau, Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah dan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah juga perlu dikaji dan digubal semula.

“Dengan bantuan dan kerjasama Pejabat Pendakwa Raya dan Peguam Negara, serta pakar perundangan Islam di negara ini, satu kajian semula perundangan Islam yang berkaitan dengan kesalahan jenayah syariah dalam talian dapat dicapai.

“Antara lain, satu kajian semula dan rombakan atau pindaan kepada undang-undang sedia ada termasuk akta/enakmen tatacara jenayah syariah yang memperuntukkan prosedur jenayah dalam kes jenayah atau dalam akta/enakmen keterangan syariah yang menyediakan undang-undang berkaitan keterangan dalam perundangan syariah di mahkamah perlu dikaji dalam usaha memartabatkan pentadbiran agama Islam di negara ini,” katanya.

Beliau yang juga Peguambela & Penguamcara Mahkamah Tinggi Malaya berkata, perkara sama dibuat dalam undang-undang jenayah sivil dengan mengemaskinikan Kanun Tata Cara Jenayah (CPC) dan Akta Keterangan 1950 (Evidence Act 1950).

“Undang-undang itu digubal oleh pihak kerajaan Persekutuan dalam usaha berdepan dengan perubahan masa dan aktiviti jenayah yang semakin berleluasa di alam maya, ” jelasnya.

Berhubung penguatkuasaan jenayah dalam talian berkaitan agama, peguam itu berpandangan, mahkamah syariah bukannya badan yang bertanggungjawab dalam menguatkuasakan jenayah syariah yang dilakukan di alam siber.

“Sebaliknya yang berkuatkuasa dalam menangani masalah ini adalah Jabatan Ketua Pendakwa Syarie atau Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri masing-masing yang bertanggungjawab dan diberi kuasa penuh dalam membawa sesuatu kes untuk didakwa dan diadili oleh mahkamah syariah sebagai badan pengadilan,” katanya.

Beliau berkata, secara umumnya jenayah siber lebih luas dan merangkumi kesalahan khusus di bawah Akta Multimedia dan/atau Kanun Keseksaan jika sesuatu kesalahan tersebut jatuh dalam kesalahan di bawah akta-akta tersebut

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

PKPB: Jakess jadualkan semula kes di mahkamah syariah

SHAH ALAM, 30 OKT: Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) akan menjadualkan semula semua kes ditetapkan di mahkamah syariah negeri ini bermula Rabu lalu hingga 9 November.

Unit komunikasi korporatnya berkata penjadualan semula itu susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi memastikan penjarakan fizikal di semua premis mahkamah syariah.

“Mahkamah akan menghubungi pihak terlibat dengan kes dikenal pasti untuk diteruskan pendengarannya sepanjang tempoh PKPB berkuat kuasa.

“(Proses) wakalah, afidavit, majlis sulh, perbicaraan dan sebutan kes boleh dibuat melalui sidang video dengan permohonan serta persetujuan bersama plaintif dan defendan. Perkhidmatan runding cara dilaksanakan secara dalam talian telefon,” kata jabatan itu menerusi kenyataan semalam.

Agensi itu berkata perkhidmatan pendaftaran kes baharu tanpa janji temu di kaunter mahkamah terhad kepada pendaftaran kes mendesak.

Jelasnya, kes mendesak membabitkan keganasan rumah tangga, penderaan, pengesahan lafaz cerai di luar mahkamah, permohonan wali raja atau merekodkan persetujuan selain kes mempunyai tempoh had masa seperti pemfailan notis rayuan dan semakan.

Orang ramai boleh merujuk garis panduan operasi Jakess melalui laman sesawang www.jakess.gov.my .

Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan Selangor serah 21 watikah lantikan jawatan Mahkamah Syariah

SHAH ALAM, 22 SEPT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyerahkan 21 watikah pelantikan pelbagai jawatan bagi Mahkamah Syariah negeri ini.

Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berkata pelantikan dibuat mengikut Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003 (EPAINS 2003).

“Empat individu dilantik sebagai panel tetap hakim Mahkamah Rayuan Syariah dan sembilan hakim Mahkamah Rendah.

“Lantikan juga dibuat untuk dua pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, seorang timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, tiga penolong pendaftar Mahkamah Rendah Syariah Selangor. Dua individu dilantik sebagai wali raja,” katanya dalam kenyataan.

Penyerahan dilaksanakan di Istana Kayangan dekat sini.

DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah turut mencemar duli ke majlis berkenaan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor antara negeri contoh tambah baik khidmat Mahkamah Syariah

SHAH ALAM, 13 OGOS: Selangor antara empat negeri contoh giat menambah baik perkhidmatan Mahkamah Syariah dengan pelbagai inisiatif berbentuk inovasi.

Menteri hal ehwal agama berkata ia termasuk e-Bicara, e-Faraid, Program Perceraian Fast Track, Program Sifar Kes Tertunggak dan Tatacara Akses Segera E-Syariah (e-Siap), lapor Astro Awani.

“Berkenaan tempoh penyelesaian sesuatu kes di Mahkamah Syariah, ia bergantung kepada pelbagai faktor sama ada dari mahkamah, peguam mahupun pihak dalam kes itu sendiri.

“Usaha proaktif dilakukan Mahkamah Syariah melalui penguatkuasaan arahan amalan, kaedah Mahkamah Syariah dan tatacara operasi piawai (SOP) bagi memastikan setiap kes diselesaikan dalam tempoh munasabah,” kata Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Dewan Rakyat hari ini.

Turut tersenarai sebagai negeri contoh ialah Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang dan Terengganu.

Antara inisiatif diperkenalkan Mahkamah Syariah Selangor sejak 2014 ialah kaunter khas ‘fast track’ yang menyelesaikan kes cerai dalam tempoh enam jam, kaedah hakam serta bicara waktu malam.

Badan itu turut melancarkan perbicaraan kes dalam talian susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Mac lalu serta menggunakan Kit Mahkamah Bergerak bagi kes luar mahkamah.

Categories
AGENDA NASIONAL

Mahkamah syariah beroperasi sepenuhnya mulai semalam

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Semua Mahkamah Syariah di seluruh negara beroperasi semula sepenuhnya semalam, kata Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Ia susulan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 8 Jun lepas.

Mohd Na’im berkata pihaknya sentiasa komited dalam memastikan pelaksanaan penyampaian perkhidmatan keadilan diteruskan serta operasi Mahkamah Syariah seluruh negara digerakkan selaras dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Pihak saya akan memastikan Mahkamah-mahkamah Syariah di seluruh negara akan mematuhi segala garis panduan keselamatan dan kesihatan yang dikeluarkan.

”Bagi prosedur perbicaraan dan pengurusan kes lama ataupun baharu, pelanggan boleh merujuk mahkamah berdekatan kerana ia ditetapkan mengikut Jabatan Kehakiman Syariah Negeri masing-masing,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohd Na’im berkata JKSM bersama Mahkamah Syariah negeri-negeri seluruh negara telah mengeluarkan garis panduan pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mei lepas melalui Mesyuarat Khas Ketua-Ketua Hakim Syarie berkaitan pengurus kes pasca PKP.

Beliau turut menasihati pelanggan yang mempunyai urusan di mahkamah supaya sentiasa memakai pelitup separuh muka, diwajibkan melalui imbasan suhu badan di laluan masuk yang ditetapkan serta perlu merekodkan kehadiran yang diletakkan di pintu masuk Mahkamah Syariah.

“Pelanggan yang mempunyai masalah kesihatan dan golongan berisiko dinasihatkan supaya tidak hadir ke mahkamah,” katanya.

Sebelum ini, semua mahkamah syariah di seluruh negara ditangguh dan dilaksanakan secara dalam talian berikutan pelaksanaan PKP bermula 18 Mac lepas bagi membendung penularan wabak Covid-19.

PKPP bermula 10 Jun hingga 31 Ogos ini bagi menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang memberikan lebih banyak kelonggaran kepada rakyat untuk menjalani aktiviti kehidupan seharian di samping mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) secara berterusan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Wujud satu lagi lapisan Mahkamah Syariah selesai kes secara adil

MELAKA, 27 NOV: Satu lagi lapisan Mahkamah Syariah perlu diwujudkan di negara ini bagi memastikan proses keadilan dilaksanakan dengan baik sekali gus memperkukuh bidang kuasa institusi perundangan Islam itu pada masa depan.

Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata setakat ini mahkamah dalam sistem kehakiman syariah mempunyai tiga lapisan iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah.

“Perak merupakan negeri pertama mewujudkan satu lagi peringkat iaitu Mahkamah Utama Syariah, mahkamah teratas selepas Mahkamah Rayuan Syariah dan ini perlu bagi memastikan kes dan masalah yang berlaku di peringkat Mahkamah Rendah Syariah dan Mahkamah Tinggi Syariah dapat diselesaikan secara adil.

“Pada masa ini, kes yang dimulakan di Mahkamah Tinggi Syariah, hak rayuan hanya sekali sahaja sebelum ke Mahkamah Rayuan Syariah sedangkan kebanyakan kes yang difailkan di mahkamah ini lebih berat dan tuntutan lebih banyak,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pentauliahan Peguam Syarie Negeri Melaka di Kompleks Mahkamah Syariah di sini, hari ini.

Majlis pentauliahan kepada 77 peguam syarie termasuk enam pentauliahan khas itu dirasmikan Ketua Menteri Adly Zahari.

Pada 5 Disember tahun lalu, Perak menjadi negeri pertama mempunyai empat lapisan mahkamah syariah setelah persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 negeri itu meluluskan Enakmen Mahkamah Syariah (Perak) 2018.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah ketika merasmikan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama DUN Perak Ke-14 pada 6 Ogos tahun lalu, menitahkan agar satu lagi lapisan Mahkamah Rayuan diwujudkan dalam sistem Mahkamah Syariah di Perak.

Sementara itu, Mohd Na’im berkata pasangan suami isteri yang mempunyai masalah rumah tangga dinasihatkan tidak menggunakan platform media sosial untuk meluahkan masalah termasuk mengaibkan pasangan masing-masing kerana ia memberi kesan besar dalam kehidupan mereka.

Beliau berkata pasangan yang mempunyai masalah rumah tangga perlu merujuk kepada pihak ketiga seperti kaunselor profesional di Jabatan Agama Islam atau individu yang boleh dipercayai bagi membantu menyelamatkan perkahwinan mereka.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Sultan berkenan serah watikah pelantikan Hakim Mahkamah Rayuan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 30 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyerahkan watikah pelantikan kepada dua hakim Mahkamah Rayuan Syariah Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) sebagai anggota Panel Tetap Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Selangor di Istana Bukit Kayangan di sini, hari ini.

Pelantikan itu melibatkan dua Hakim Mahkamah Rayuan Syariah iaitu, Yang Arif Dato’ Haji Mukhyuddin Ibrahim, 60 yang juga Ketua Pengarah / Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman dan Yang Arif Dato’ Mohd Shukor Haji Sabudin.

Pelantikan ini berkuatkuasa pada 30 Mei 2018 hingga 29 Mei 2021 di mana selaras dengan Seksyen 57 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003.

Turut hadir menyaksikan istiadat itu, Ketua Hakim Syarie Selangor, Yang Amat Arif Tuan Mohamad Adib Husain dan Ketua Pendaftar JAKESS yang juga Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor Yang Arif Noor Huda Roslan.

Selain itu, Prof Emeritus Datin Paduka Siti Zuraina Abd Majid turut menerima watikah pelantikan sebagai Penasihat Kehormat Warisan Selangor.

Categories
SELANGOR

Sultan Sharafuddin serah watikah pelantikan Hakim Mahkamah Rendah Syariah

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 3 APR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan menyerahkan watikah pelantikan Hakim Mahkamah Syariah, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah dan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah, Negeri Selangor.

Antara penerima watikah pada istiadat yang diadakan di Istana Bukit Kayangan adalah Faathir Md Tahir, 36, dan Masroha Duki, 40, yang dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rendah Syariah.

Manakala Ab. Malek Awang, 46, dan Nadiah Khamis, 42 pula dilantik sebagai Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah.

Nor Hafizah Mayikhi, 32 dan Ahmad Lutfi Senin, 36, pula dilantik sebagai Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah.

Semua pelantikan yang berkuatkuasa pada 31 Januari 2018 itu dibuat selaras dengan Seksyen 60 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003.

Sementara itu, Dato’ Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Azmi Diron pula dilantik sebagai Ahli Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Turut hadir pada istiadat itu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; Exco Hal Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi dan Ketua Hakim Syarie Selangor, Yang Amat Arif Mohammad Adib Husain.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor komited perkasa institusi Islam, Exco bidas BN tidur

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 3 APR: Kerajaan Negeri komited melaksanakan pelbagai inisiatif dalam memperkasakan institusi Islam khususnya Mahkamah Syariah di negeri itu.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Yunus Hairi berkata, ia dapat dilihat menerusi kejayaan Selangor menjadi negeri pertama melaksanakan pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 pada tahun 2015.

Katanya, Selangor juga merupakan Negeri pertama di Malaysia yang melantik wanita sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan turut melantik wanita sebagai Hakim Mahkamah Rendah Syariah Selangor.

“Dakwaan Penyeleras Adun Barisan Nasional (BN) negeri, Dato’ Mat Nadzari Ahmad Dahlan tidak berasas. Mungkin wakil rakyat ini tertidur ketika dewan bersidang,” katanya menerusi laman Facebooknya.

Terdahulu, BN Selangor mendakwa terdapat 10 kelemahan besar Kerajaan Negeri antaranya gagal memperkasakan institusi Islam, gagal memartabatkan bidang pendidikan dan gagal menyelesaikan isu sampah.

Dr Yunus berkata Kerajaan Negeri turut memperuntukkan sebanyak RM36.2 juta setahun bagi menampung kos belanja mengurus Jabatan Kehakiman Syariah Selangor.

Katanya, ia termasuk menyediakan peruntukan sebanyak RM17.6 juta setahun bagi membiayai kos pajakan bangunan baru Ibu Pejabat Jabatan Kehakiman Syariah Selangor dan 9 Bangunan Mahkamah Rendah Syariah seluruh Selangor.

“Sebanyak 94 jawatan kontrak turut diluluskan bagi menampung masalah kekurangan perjawatan di Mahkamah Syariah Selangor dan pertambahan 1 jawatan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, Hakim Mahkamah Rendah Syariah Selangor, Pembantu Syariah.

“Selain itu, bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah Selangor dinaiktaraf dengan mewujudkan kuasa semakan kehakiman kepada Mahkamah Tinggi Syariah,” katanya.

Pada masa sama, katanya, Pewujudan Kaedah-Kaedah Hakam (Selangor) 2014 yang membantu Mahkamah Syariah menyegerakan penyelesaian kes cerai di Selangor dan seterusnya membantu menyelesaikan kes tertunggak di Mahkamah Syariah.

=EZY=

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MCK mudahkan mahkamah bersidang di lapangan, percepatkan kes

OLEH NAZLI IBRAHIM

KAJANG, 14 MAC: Agenda membawa Mahkamah Syariah turun ke masyarakat mampu membantu golongan kurang berkeupayaan seperti faktor uzur hadir memberi keterangan dalam perbicaraan.

Ketua Hakim Syarie Negeri Selangor, Yang Amat Arif Mohammad Adib Hussain, berkata program membawa mahkamah turun kepada masyarakat dipermudahkan lagi dengan penggunaan Kit Mahkamah Bergerak (MCK).

“Ini kali kedua penggunaan MCK bagi tahun ini atau secara keseluruhan sudah kira-kira 10 kali digunakan apabila kita dapati MCK memberi kesan kepada kami untuk membantu saksi yang uzur memberi keterangan kepada mahkamah.

“Seperti saksi yang ada hari ini pun sudah agak uzur, berumur 84 tahun dan lebih 70 tahun. Jadi mahkamah bersidang di sini untuk mengambil keterangan mereka tanpa mereka perlu datang ke mahkamah.

“Kalau kita nak tunggu pihak terlibat seperti saksi misalnya untuk sihat kadang-kadang memakan masa yang lama tetapi dengan adanya kaedah seperti ini kita boleh turun bila-bila masa apabila pihak terlibat bersedia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mendengar prosiding Mahkamah Tinggi Syariah yang diadakan di Surau Ibtidaiyah, Kampung Batu 13 di sini, hari ini.

Jelasnya, pendengaran kes hari ini membabitkan dua saksi uzur berkaitan pengesahan wakaf yang tidak memiliki keupayaan kesihatan untuk hadir sekiranya perbicaraan di adakan di Mahkamah Tinggi Syariah di Shah Alam.

Katanya, sebelum ini JAKESS pernah mengadakan perbicaraan di perkampungan Orang Asal bagi melancarkan kes membabit golongan terbabit.

“Sesetengah mereka agak kekok, ada yang tidak mahu untuk datang ke mahkamah. Jadi untuk memudahkan mereka, kami turun ke lokasi dan dapat menyelesaikan lebih banyak kes setiap kali turun,” katanya lagi.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Syariah menjalankan pendengaran kes melibatkan pengesahan tanah wakaf yang menempatkan Surau Ibtidaiyah di surau itu sendiri.

Pendengaran kes kali ini membabitkan dua saksi warga emas yang berhadapan masalah kesihatan untuk hadir di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

=EZY=

Categories
KENYATAAN MEDIA

Kritikan terhadap Mahkamah Syariah bertentang semangat Perlembagaan Persekutuan

OLEH MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang berat kritikan yang diluahkan Surendra Ananth, salah seorang ahli Majlis Peguam (Bar Council) yang dilihat seakan-akan menafikan hak serta peranan Mahkamah Syariah di sisi Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan beliau ini dirujuk daripada sebuah laman web portal berita (The Malaysian Insight) yang antara lain mengkritik cadangan Sahibus Samahah Mufti Perak yang mahu Mahkamah Syariah ditubuhkan berdasarkan kepada undang-undang tubuh negeri.

Walaupun keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Ghandi vs Ridhzuan Abdullah perlu dihormati daripada perspektif perundangan dan keadilan, namun peruntukan 121 (1A) juga perlu dihormati kerana ia adalah sebahagian daripada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sebarang kritikan melulu terhadap mahkamah syariah seharusnya juga ditanggapi sebagai kritikan terhadap Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.

Ini kerana Mahkamah Syariah adalah institusi yang secara jelas dipertahankan dan diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan sendiri malah dilindungi oleh Majlis Raja-Raja Melayu.

Maka, seharusnya setiap pandangan terhadap Mahkamah dan Perundangan Syariah boleh dibuat tanpa merendah-rendahkan kedudukan apatah lagi menafikan samasekali peranan badan-badan berkenaan.

ABIM menilai keputusan membabitkan hak jagaan anak-anak Indira Ghandi dan Mohd Redzuan Abdullah telah menimbulkan pelbagai bentuk perdebatan yang meluas dalam kalangan masyarakat.

Perbincangan secara inklusif dan harmoni berhubung isu-isu berkaitan dengan perundangan sivil dan syariah perlu dimatangkan tanpa dibayangi emosi keagamaan dan politik yang keterlaluan.

Keputusan ditetapkan Mahkamah Persekutuan pada 30 Januari lalu seharusnya menjadi anjakan ke arah mengemaskini prosedur serta tatacara perlaksanaan badan-badan perundangan syariah di negara ini.

Proses ini meliputi keterbukaan membicarakan kes-kes yang menyentuh kepentingan masyarakat bukan Islam, mengemaskini prosedur penentuan hak jagaan anak sekiranya kes seperti Indira Ghandi vs Ridzuan Abdullah serta Izwan Abdullah vs Deepak berulang lagi pada masa-masa akan datang.

Dengan sempurnanya proses ini pada masa akan datang, kedudukan dan peranan mahkamah syariah sepertimana yang ditetapkan dalam artikel 121 (1A) dapat diperkukuhkan selari dengan keistimewaan serta ruang telah ditetapkan pada Perlembagaan Persekutuan.

* Muhammad Faisal Abdul Aziz adalah Setiausaha Agung ABIM

Categories
AGAMA BERITA UTAMA SELANGOR

Kit Mahkamah Bergerak bantu percepat kes libatkan individu tiada upaya

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 25 NOV: Agenda membawa Mahkamah Syariah turun ke masyarakat bagi menjalankan perbicaraan menjadi lebih lancar selepas Kit Mahkamah Bergerak (MCK) dilancarkan sejak awal tahun ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata, penggunaan MCK membolehkan perbicaraan melibatkan golongan uzur dapat dijalankan dalam suasana lebih selesa.

“MCK adalah set kemudahan bagi melaksanakan perbicaraan kes di luar Mahkamah Syariah yang mengandungi set peralatan lengkap berfungsi sebagai meja dan kerusi kegunaan Hakim Syarie, Pembantu Syariah dan Setiausaha Hakim, ruang penyimpanan fail, tempat meletakkan komputer riba, alat tuli serta mengandungi soket wayar elektrik dan peralatan audio.

“Dengan terciptanya MCK ini, ia memberikan kemudahan kepada Hakim Syarie dan kakitangan sokongannya yang menjalankan perbicaraan di luar dengan lebih selesa tanpa perlu membawa peralatan seperti kerusi dan meja lebih besar yang memerlukan kenderaan lebih besar membawanya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran MCK Dan Penyerahan Sumbangan Kerusi Roda Bagi Kegunaan Orang kelainan Upaya di Mahkamah Syariah Selangor, semalam.

Jelasnya, JAKESS juga tidak lagi perlu menyewa kerusi dan meja daripada pihak luar dan sekaligus membantu menjimatkan kewangan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS).

Katanya, selain kecil dan kompak, kos membina sebuah MCK juga rendah dengan melibatkan kos kira-kira RM1,500.

Sementara itu, Ketua Hakim Syariah Selangor, Yang Amat Arif Mohd Adib Hussain, berkata, MCK digunakan apabila melibatkan golongan uzur disebabkan faktor umur, sakit dan lain-lain.

“Kita juga pernah jalankan perbicaraan di perkampungan Orang Asal Kampung Sungai Lalang, Hulu Langat kerana mereka ini agak sukar datang ke mahkamah yang terletak di bandar.

“Selain Hulu Langat, kit ini juga pernah digunakan di lokasi yang jauh dari Shah Alam seperti Sabak Bernam,” katanya.

Beliau berkata sehingga kini JAKESS sudah menjalankan lebih 20 sesi mahkamah menggunakan MCK melibatkan kes poligami, perceraian, harta pusaka dan wali hakim.

Katanya, MCK juga boleh digunakan di hospital dan juga di penjara apabila melibatkan kes terbabit.

=EZY=