Categories
SELANGOR

Sedih bercampur gembira terima pentauliahan

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 22 NOV: Perasaan sedih bercampur gembira dirasai Noor Hanim Mohd Ghazali ketika menerima pentauliahan sebagai Peguam Syarie, berikutan kehilangan anak keduanya selepas 11 hari dilahirkan pada April lalu.

Noor Hanim, 29, yang baru ditauliahkan berkata, selepas melahirkan anak pada April, dia menerima panggilan temuduga bagi pentauliahan sewaktu berpantang pada Mei lalu.

“Saya melahirkan anak kedua April lalu dan mendapat panggilan temuduga pada bulan Mei, tetapi anak saya meninggal dunia ketika berusia 11 hari kerana jangkitan kuman.

“Bagaimanapun, saya cekalkan diri dan kawal emosi ketika menghadiri temuduga tersebut kerana bidang pekerjaan sebagai peguam syarie ini turut bermain dengan emosi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pengisytiharan dan Pentauliahan Peguam Syarie Selangor 2017 di Dewan Muktamar, Bangunan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor (JAKESS), semalam.

Turut hadir Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS), Mohammad Adib Hussain dan Ketua Pendaftar JAKESS, Noor Huda Roslan.

Noor Hanim berkata, walaupun terdapat kesedihan terpaksa ditanggung sebelum ditauliahkan, tetapi ada kejayaan lebih manis menunggu di sebaliknya.

“Saya memilih kerjaya peguam kerana mahu menolong masyarakat pada masa kini dilihat kurang celik dengan ilmu syariah maka inilah tanggungjawab saya membantu mereka,” katanya.

Noor Hanim adalah antara 29 peguam syarie mendapat pentauliahan pada majlis berkenaan.

Sementara itu, Mohd Adib berkata, JAKESS menerima banyak permohonan untuk pentauliahan peguam syarie di Selangor.

“Setakat ini terdapat kira-kira 250 lebih peguam syarie yang aktif di seluruh Selangor.

“Diharapkan, peguam baharu ditauliahkan ini dapat menjalankan tugas dengan amanah dan tidak melanggar etika ditetapkan agar undang-undang syariah dilihat sebagai undang-undang adil dan terbaik,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

PGSM tiada masalah perbicaraan malam mahkamah syariah

SHAH ALAM 26 JULAI: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) tiada masalah berhubung pengumuman Ketua Hakim Syarie Selangor, Dato’ Dr Mohd Na’im Mokhtar memulakan sesi perbicaraan sebelah malam di Mahkamah Syariah Selangor.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Tuan Musa Awang, berkata ia kerana sesi perbicaraan pada sebelah malam dibuat dua kali sahaja dalam sebulan.

“Ia tidak menjadi kesukaran kepada para peguam syarie yang beramal di negeri tersebut.

PGSM“Cuma PGSM berharap agar penentuan bicara malam ini pilihan kepada pihak peguam, yakni persetujuan pihak-pihak dan peguam syarie, dan ia bukanlah dijadikan suatu kemestian,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata PGSM juga berharap hari perbicaraan diadakan pada Jumaat kerana pada masa kini banyak diadakan mesyuarat jabatan yang mana perbicaraan tidak dijalankan.

“PGSM berharap seluruh Peguam Syarie di Selangor menyambut baik dan berlapang dada dengan pengumuman tersebut yang bertujuan mengurangkan bilangan kes tertunggak.

“Di samping membantu pihak sukar untuk hadir pada sebelah siang atau sukar mendapatkan cuti untuk menghadiri prosiding di mahkamah syariah,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Mahkamah Syariah laksana bicara sesi malam bermula 25 Julai kurangkan kes tertunggak

SHAH ALAM 23 JULAI : Mahkamah Syariah Selangor mengadakan sesi perbicaraan pada sebelah malam bermula 25 Julai ini dalam usaha mengurangkan bilangan kes tertunggak yang tinggi.

Ketua Hakim Syarie Selangor, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata inisiatif itu juga bagi membantu pihak yang sukar mendapatkan cuti pada waktu siang untuk menghadiri prosiding pada sebelah malam.

Beliau berkata prosiding sebelah malam kali pertama pada Isnin ini dikendalikannya sendiri sebanyak dua kali dalam sebulan bermula jam 8 hingga 10 malam.

JAKESS1Tambahnya, sesi perbicaraan malam itu diperluaskan ke dewan hakim Syarie lain secara berperingkat mengikut kesesuaian.

“Saya mengambil inisiatif tersebut bagi mempercepatkan perjalanan kes khususnya bagi mengurangkan bilangan kes tertunggak yang tinggi di negeri ini.

“Justeru, saya berharap semua hakim Syarie di Selangor bersedia untuk mengadakan sesi ‘night court’ bagi mengurangkan kes tertunggak di dewan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, prosiding pada waktu malam juga dilihat sebagai sumbangan dan tanggungjawab sosial korporat yang dilakukan Mahkamah Syariah Selangor dalam membantu masyarakat.

Mohd Naim pernah mengendalikan prosiding pada sebelah malam ketika beliau menjadi Hakim Mahkamah Rendah Syariah Petaling pada 1998 hingga 2000 dan sepanjang tempoh itu, kira-kira 2,000 kes tertunggak berjaya diselesaikan.

EZY

Categories
SELANGOR

Selangor Akan Bina 10 Mahkamah Syariah

sallehin dun 02 jul 01

SHAH ALAM 4 JULAI : Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM 160.59 juta untuk membina 10 buah Mahkamah Syariah di sekitar Selangor kata Exco Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian, Pembangunan Desa, Sallehen Mukhyi.

“10 lokasi itu termasuk bangunan Mahkamah Syariah Sultan Idris Shah yang terletak bersebelahan dengan bangunan Jabatan Agama Islam (Jais) dan Masjid Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungannya dalam perbahasan titah Sultan hari ini di sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).

Sallehen menambah Kerajaan Negeri bersama Majlis Agama Islam Selangor (Mais) kini dalam tindakan untuk menubuhkan Mahkamah Rendah Syariah Ampang.

“Kertas cadangan kini sedang disediakan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan Kerajaan Negeri dalam proses mewujudkan akta pengambilan tanah bagi tapak masjid, surau dan kubur.

“Untuk setakat ini, beberapa proses pewartaan tanah masjid sudah diselesaikan dan ada yang belum. Kita akan melihat sehingga proses itu selesai nanti,” katanya.