Categories
SELANGOR

Polis siasat dalang panggilan ancaman bom Mahkamah Tinggi Shah Alam

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 20 NOV: Polis meneruskan siasatan bagi mengesan dalang disebalik panggilan ancaman bom yang diterima Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pihaknya memandang serius perkara terbabit dan akan meneruskan siasatan.

“Siasatan akan diteruskan bagi mengesan siapa individu terbabit,” katanya kepada SelangorKini.

Semalam, pihaknya menerima panggilan daripada kakitangan mahkamah terbabit sekitar jam 9.40 pagi bagi melaporkan ancaman bom itu.

Pihak Polis segera ke lokasi dan mengarahkan bangunan itu perlu dikosongkan.

Manakala, Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bersama sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15 dikejarkan ke lokasi.

Polis juga mengarahkan semua kakitangan mahkamah dan orang ramai yang berada di dalam mengosongkan bangunan tersebut.

Unit Pemusnah Bom bersama Unit Pengesan Anjing (K9) membuat pemeriksaan di kawasan bangunan ruang legar mahkamah, namun tidak menemui sebarang objek berupa bom atau ancaman.

Difahamkan, semua kakitangan mahkamah dibenarkan masuk kira-kira jam 12.45 tengah hari.

Berdasarkan kenyataan, kes terbabit termasuk dalam ugutan jenayah dan diklasifikasi mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

 

Categories
SELANGOR

Keterangan tunjukkan 2 wanita asing bunuh Kim Jong-nam

SHAH ALAM, 2 OKT: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa keterangan jelas menunjukkan perbuatan dua wanita warga asing yang menyapukan cecair beracun dikenali sebagai VX ke muka Kim Chol atau Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, telah menyebabkan kematiannya.

Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor Muhamad Iskandar Ahmad berkata pihak pendakwaan akan mengemukakan keterangan bahawa si mati (Kim Jong-nam) berada di Balai Berlepas klia2, ketika tertuduh pertama iaitu warga Indonesia Siti Aisyah, 25, dan tertuduh kedua, warga Vietnam Doan Thi Huong, 28, menghampirinya dan terus menyapukan cecair beracun itu ke muka dan mata Jong-nam.

“Keterangan pakar akan dikemukakan untuk membuktikan kesan racun VX merupakan sebab kematian si mati dan peluang untuk diselamatkan adalah tipis,” katanya dalam ucapan pembukaan pendakwaan pada perbicaraan hari pertama kes Siti Aisyah dan Doan.

Kedua-dua wanita itu didakwa bersama-sama empat yang lain yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) pada 9 pagi, 13 Feb tahun ini.

Jong namMuhamad Iskandar berkata perbuatan kedua-dua tertuduh menunjukkan niat untuk menyebabkan kematian si mati kerana keadaan si mati adalah biasa sebelum muka dan matanya disapu dengan cecair beracun itu.

Katanya keterangan juga menunjukkan selepas kedua-dua wanita itu menyapu sesuatu ke muka dan mata mangsa, mangsa terus pergi ke pegawai bertugas di Kaunter Khidmat Pelanggan untuk mengadu dan pegawai bertugas kemudian membawa mangsa berjumpa dengan seorang anggota polis sebelum membawanya ke klinik di terminal klia2.

“Walaubagaimanapun, si mati meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya bagi mendapatkan rawatan lanjut. Mayat si mati telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat dan sebab kematian si mati yang dinyatakan oleh pakar patalogi ialah ‘acute VX (Nerve Agent) poisoning’,” katanya.

Beliau juga berkata pendakwaan akan mengemukakan keterangan mengenai peranan empat orang lagi yang masih bebas apabila perbuatan kedua-dua tertuduh dengan latihan ‘prank’ yang diselia oleh empat orang masih bebas itu menunjukkan niat bersama mereka untuk menyebabkan kematian si mati.

suspekkoreaKatanya ini kerana keadaan mangsa adalah biasa sebelum muka dan matanya disapu dengan cecair beracun itu.

“Latihan prank yang dilakukan tertuduh pertama dan kedua dengan kehadiran empat orang lagi yang masih bebas adalah persediaan untuk memastikan niat bersama semua untuk membunuh si mati,” katanya.

Beliau berkata dalam membuktikan bahawa kedua-dua tertuduh adalah orang yang melakukan dan melaksanakan pembunuhan terhadap si mati, pihak pendakwaan akan mengemukakan keterangan langsung, keterangan mengikut keadaan, keterangan pakar, santifik dan keterangan dokumentar.

Selain itu beberapa keterangan lain akan dikemukakan seperti beberapa barang kes yang dijumpai dan dirampas untuk membuktikan bahawa tertuduh pertama dan kedua bersama empat orang lagi yang masih bebas telah membunuh si mati.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu selepas ia dibacakan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin.

Kedua-dua tertuduh masing-masing menggelengkan kepala selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa Indonesia dan Vietnam. Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Peguam Gooi Soon Seng mewakili Siti Aisyah, manakala peguam Hisyam Teh Poh Teik dan Datuk Naran Singh mewakili Doan.

Jong-nam dilaporkan berada di klia2 pada 13 Feb untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila dua wanita menghampirinya dan tiba-tiba menyapu mukanya dengan cecair bertoksik yang kemudian dikenal pasti sebagai agen saraf VX.

Jong-nam, yang melakukan penerbangan menggunakan pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya. Beliau datang ke Malaysia pada 6 Feb.

SUMBER: BERNAMA

Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL SELANGOR

Pembunuhan Altantuya: Mahkamah bebas Azilah, Sirul

gambar hiasan
gambar hiasan

Mahkamah Rayuan hari ini membebaskan anggota Unit Tindakan Khas, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar, daripada pertuduhan membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, lapor Portal malaysiakini.com.

Ini berikutan mahkamah dalam keputusan sebulat suara membenarkan rayuan pasangan itu.

Bagaimanapun, pihak pendakwa akan mempunyai peluang untuk merayu di Mahkamah Persekutuan – mahkamah tertinggi di negara ini.

Hakim Datuk Md Apandi Ali mengetuai panel tiga hakim yang mendengar rayuan tersebut.

Bagaimanapun, penghakiman itu dibacakan oleh Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat yang memutuskan berlaku penyalaharahan yang serius oleh hakim Mahkamah Tinggi.

Ia termasuk tidak memanggil DSP Musa Safri, dan kegagalan untuk mengemukakan diari balai polis yang menyatakan bahawa Azilah (kiri) berada di Bukit Aman pada masa berkenaan.

Seorang lagi anggota panel hakim tersebut ialah Datuk Linton Albert.

Pada April 2009, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Zaki Md Yassin telah mensabitkan dua anggota polis itu atas tuduhan bunuh. Manakala penganalisis politik Abdul Razak Baginda dibebaskan daripada tuduhan bersubahat dengan pembunuhan itu.

Pendakwa akan merayu

Azilah diwakili oleh peguam Hazman Ahmad dan J Kuldeep Kumar, manakala peguam Kamarul Hisham Kamaruddin dan Hasnal Rezua Merican mewakili Sirul.

Timbalan Peguamcara Negara 111, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah mengetuai pasukan pendakwaraya yang turut dianggota DPP Manoj Kurup dan Noorin Badaruddin.

Altantuya telah dibunuh di hutan Puncak Alam dekat Shah Alam antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.

Menurut peguam, kedua-dua tertuduh mungkin dibebaskan dari penjara Sungai Buloh lewat hari ini.

Dalam mesej teks, Tun Majid berkata mereka akan membuat rayuan terhadap keputusan hari ini. Malaysiakini.com – mza

Categories
NASIONAL SELANGOR

Black505: Nazmi mohon pendakwaan dibatalkan

nazmi- black 505

SHAH ALAM 21 OGOS : Pendakwaan terhadap Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad kerana menganjurkan himpunan aman Kelana Jaya berbaur politik serta menunjukkan percanggahan antara Akta Perhimpunan Aman (PAA) dan Perlembagaan Malaysia.

Peguam Eric Paulsen berhujah pendakwaan terhadap anak guamnya itu bukan sahaja menafikan haknya sebagai warganegara, tetapi juga tampak selektif kerana penganjur himpunan-himpunan spontan yang lain tidak dikenakan layanan serupa.

“Prosiding jenayah terhadap beliau (Nik Nazmi) telah dimulakan atau digalakkan oleh pemimpin-pemimpin kanan Umno atau Kerajaan Persekutuan sebagai tindakan atau balasan terhadap beliau (Nik Nazmi) dan Pakatan Rakyat,” tegas Eric di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini.

Berhubung pendakwaan selektif, Eric berhujah tunjuk perasaan spontan yang dianjurkan oleh Umno-BN dan pertubuhan yang seangkatan dengan gagasan politik itu tidak dikenakan tindakan.

“Baru-baru ini ada satu perhimpunan besar di Kedutaaan Vatican oleh Perkasa dan sebagainya. Jadi ada ‘double standard’,” jelas Eric.

Turut dirujuk adalah himpunan senaman punggung oleh pesara-pesara tentera di hadapan rumah di hadapan rumah peguam wanita, mantan Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan pada 15 Mei tahun lepas.

Sebelum ini, Nik Nazmi mengaku tidak bersalah dan kes terbabit akan didengar di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Isnin depan.

Hari ini, Nik Nazmi memfailkan permohonan untuk membatalkan pendakwan itu. Beliau didakwa mengikut Seksyen 9 PAA 2012 kerana gagal menyerahkan notis pemberitahuan 10 hari kepada polis sebelum perhimpunan diadakan.

Jika disabitkan kesalahan Adun Seri Setia itu akan dikenakan denda tidak melebihi RM10,000, lantas hilang kelayakan sebagai Adun sekiranya dikenakan denda melebihi RM2,000.

“Keperluan untuk memberi notifikasi 10 hari sebelum sebarang perhimpunan adalah keterlaluan,” tegas Eric yang menambah ia bercanggah dengan hak untuk berhimpun secara aman seperti yang dijamin Artikel 10 Perlembagaan.

– HM

Categories
NASIONAL SELANGOR

Keputusan rayuan kes bunuh Altantuya pada Jumaat

ALTANTUYA

Keputusan rayuan dua anggota Unit Tindakan Khas, Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri yang disabitkan bersalah membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006 lalu akan dikemukakan oleh Mahkamah Rayuan pada Jumaat ini.

Malaysiakini.com melaporkan salah seorang peguam yang mewakili Sirul Azhar, Hasnal Rezua Merican, mengesahkan perkara itu lewat petang semalam.

“Ya benar. Pendaftar telah memaklumkan kepada kami bahawa keputusan akan dihantar pada 9 pagi pada Jumaat,” kata Hasnal Rezua yang dipetik dari portal media tersebut.

Koperal Sirul Azhar dan bekas Cif Inspektor Azilah Hadri didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 bagi kesalahan membunuh Altantuya, ketika itu berusia 28 tahun, di Mukim Bukit Raja di Shah Alam, Selangor antara 10 malam pada 19 Oktober 2006 dan 1 pagi, 20 Oktober 2006.

Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda,yang juga rakan baik Perdana Menteri sekarang yang dituduh bersubahat dengan mereka, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Okt 2008 selepas pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadapnya.

Mahkamah Rayuan Kekal Keputusan Wanita Hamil Layak Jadi Guru Sandaran

20130627_093838

PUTRAJAYA 27 JUN : Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini menolak permohonan Kerajaan Malaysia untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam dua tahun lalu yang memutuskan wanita mengandung juga berhak mendapat tawaran sebagai guru sandaran.

Keputusan itu juga bererti Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia jelas melakukan diskriminasi gender terhadap Noorfadilla Ahmad Saikin yang pada ketika pelantikan dibuat sedang hamil tiga bulan.

“Saya sangat gembira hari ini kerana keputusan kekal, ini membuktikan apa yang saya perjuangkan selama ini adalah benar dan sudah terbukti dua kali di mahkamah.

20130627_094249“Saya juga berterima kasih pada Kerajaan Negeri Selangor khususnya YB Rodziah(Ismail), YB Zuraidah (Kamaruddin) juga barisan peguam yang banyak membantu dalam kes ini sejak empat tahun lalu.

“Saya harap lebih ramai wanita di luar sana yang mengalami nasib seperti saya untuk tampil ke hadapan dan tuntut hak mereka supaya diskriminasi seperti ini tidak berulang,” tegas beliau yang kini bakal melahirkan cahayamata ke empat.

Beliau hadir di mahkamah ditemani suaminya, Mohd Izwan Zakaria dan anak-anaknya serta Exco Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail dan peguam Edmund Bon.

Rodziah ketika diminta mengulas juga berharap Kerajaan Pusat mengambil pelajaran daripada keputusan hari ini dan melakukan anjakan dalam usaha mewujudkan persekitaran pekerjaan yang benar-benar berlatarbelakangkan keserataan gender.

“Kerajaan Pusat haruslah buktikan bahawa mereka melaksanakan apa yang tertulis dalam Artikel 8(2) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan tiada diskriminasi gender.

“Saya juga harap mereka terima keputusan mahkamah kali ini dan tidak lagi membuang masa membuat rayuan dalam kes-kes seperti ini, yang dengan jelas adalah bertentangan sama sekali dengan apa yang mereka putuskan dalam perlembagaan,” ujar Rodziah yang juga Adun Batu Tiga.

Pada Mei 2010, Noorfadilla menerusi peguamnya memfailkan saman pemula selepas pelantikannya sebagai guru sandaran tidak terlatih ditarik balik apabila beliau mengaku hamil.

20130627_093856Beliau pada ketika itu menamakan tiga Pegawai Pelajaran Daerah Hulu Langat, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Menteri Pelajaran Malaysia dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Berdasarkan afidavit, Noorfadilla menghadiri temuduga jawatan tersebut pada 12 Januari 2009 sehingga berjaya mendapat tawaran menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Beliau kemudian diminta hadir untuk mendapatkan memo penempatan sekolah dan ditugaskan untuk mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Kajang dengan gaji RM1,500 sebulan.

Bagaimanapun, memo penempatan itu ditarik serta merta pada hari yang sama dengan alasan wanita mengandung tidak boleh dilantik menjadi guru sandaran.

Kes ini kemudian dibawa ke Mahkamah Tinggi Shah Alam dan Hakim Zaleha Yusof pada Julai 2011 memutuskan bahawa Noorfadilla sebenarnya berhak mendapat jawatan tersebut sepertimana dinyatakan dalam perlembagaan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Sedia Penempatan Alternatif Untuk Penduduk Kampung Desa Pengasih

MB Desa Pengasih

SUBANG JAYA, 16 JUN : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memaklumkan Pegawai Daerah dan Tanah Kuala Selangor sudah mengemukakan cadangan bagi menyelesaikan isu penduduk Kampung Desa Pengasih yang diarah keluar dari penempatan mereka, Mei lalu.

Menurut Abdul Khalid, antara cadangan itu ialah menyediakan penempatan lain untuk penduduk terbabit dalam tempoh terdekat.

“Pegawai Daerah tidak membenarkan perobohan berlaku dan terdapat perbincangan antara penghuni dan pemaju supaya masalah ini dapat diselesaikan,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian dan Penjenamaan Kompleks 3C, di sini petang semalam.

Dilaporkan penduduk kampungĀ  mula menerima notis perintah mahkamah untuk mengosongkan kawasan tersebut pada 2012, dan syarikat itu mula memfailkan saman pemula ke atas penduduk pada 14 Mei 2013 lalu melalui Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Notis itu mengatakan semua penduduk kampung terbabit perlu mengosongkan kawasan itu selewat-lewatnya pada 28 Mei lepas.

Bagaimanapun, para penduduk memohon untuk menangguhkan pengosongan tersebut dengan meminta jasa baik pihak berkenaan untuk menyediakan satu penempatan bagi mereka, selain menuntut pampasan hasil tanaman yang diusahakan selama ini.

Penduduk juga mendakwa masih belum menerima pampasan sebanyak RM 7,500 seperti yang dijanjikan daripada pemilik tanah tapak rumah mereka, iaitu sebuah syarikat berkaitan (GLC) Kerajaan Persekutuan.

Difahamkan, tanah seluas 217.5794 hektar itu pernah dipohon oleh penduduk ketika Selangor dibawah BN dan bekas Menteri Besar, Tan Sri Muhammad Muhd Taib pada 8 September 1992.

Bagaimanapun, status permohonan penduduk itu tidak diketahui hujung pangkalnya, sehingga pada tahun 2004, tanah tersebut turut dipohon oleh GLC itu.

Permohonan itu kemudiannya diluluskan Dr Mohd Khir, bagi tujuan membina sebuah universiti. Bagaimanapun universiti itu tidak diteruskan.

Categories
SELANGOR

SAMM : Polis Tidak Pernah Mohon Maaf Kepada Keluarga Aminulrasyid

SHAH ALAM 6 DIS : Sehingga hari ini, pihak polis dan Menteri Dalam Negeri tidak pernah mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka kepada keluarga Aminulrasyid Amzah yang ditembak mati oleh anggota polis.

“Walaupun didesak berkali-kali, pihak polis tidak menarik balik tuduhan penjenayah dan tetap tidak akui bahawa parang tersebut adalah ?planted evidence?.

“Jangan sesekali kita lupa bahawa polis telah melepaskan 21 das tembakan untuk memberhentikan sebuah kereta biasa, bukan kereta kebal dan ini melangkaui keraguan munasabah,” tegas Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Reduan dalam satu kenyataan media.

Aminulrasyid, 15 tahun ditembak mati oleh anggota polis semasa beliau memandu kereta kepunyaan kakaknya di dalam satu kejadian kejar-mengejar antara 1 -2 pagi di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini 26 April tahun lalu.

Selepas kejadian awal pagi itu, Polis Kontijen Selangor mendakwa polis melepaskan tembakan ke arah kereta itu kerana mendakwa Aminulrasyid cuba melanggar anggota polis yang mengejarnya.

Polis turut mendakwa Aminulrasyid seorang penjenayah kerana kononnya sebilah parang dijumpai di dalam kereta yang dipandunya.

Akan tetapi, semasa perbicaraan mahkamah, kawan Aminulrasyid yang berada di dalam kereta pada masa itu berkata Aminulrasyid mati di tembak di kepala.

Ini menyebabkan Aminulrasyid hilang kawalan kereta sehingga merempuh kaki lima dan terjunam ke dalam longkang.

Semasa perbicaraan, tiada bukti yang diketengahkan bahawa parang dijumpai di dalam kereta itu.

Semalam, Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Koperal Jenain Subi 49, daripada tuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyid.

Keputusan itu dibuat selepas Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli menerima rayuan anggota polis itu terhadap hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan ke atasnya oleh Mahkamah Sesyen di Shah Alam pada September tahun lepas.

“Dengan pelbagai tohmahan palsu, tanpa sebarang permaafan dari pihak polis dan menteri KDN, dan terbaru keputusan mahkamah yang ?tidak logik?, di manakah keadilan buat arwah adik Aminulrasyid?

“Jenain dibiarkan bebas ketika keluarga arwah Aminulrasyid meratapi pemergian ?budak penjenayah? ciptaan polis, tanpa keadilan,” tegasnya lagi.

Justeru itu, SAMM berpendirian kelalaian pihak polis wajar diakui dan si penembak harus dijatuhkan hukuman setimpal agar tiada lagi polis menembak di lapangan awam tanpa pertimbangan yang sepatutnya, Edy Noor berkata.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB : Tugas Saya Bantu Golongan Miskin

SHAH ALAM 22 NOV : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri sentiasa menumpukan usaha bagi meningkatkan pendapatan golongan miskin di negeri ini.

Sehubungan itu, dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) lebih menumpukan kepada golongan yang berpendapatan RM1,000 ke bawah supaya setiap rakyat di negeri ini dapat menikmati pembangunan yang dijalankan.

“Perjuangan saya dalam reformasi adalah membantu golongan miskin..tak payah saya tolong orang kaya.

“Itu sebab dalam MES, saya menentukan tujuan kita adalah berpendapatan RM1,000 ke bawah dan kalau kita berjaya dalam usaha pembangunan ini, tidak ada golongan yang berpendapatan kurang RM2,500 bagi pendapatan seisi rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan mengenai inisiatif Kerajaan Negeri membantu golongan miskin daripada Datuk Mohd Isa Abu Kasim (BN-Batang Kali) ketika Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Abdul Khalid berkata, setiap belanjawan yang dirancang Kerajaan Negeri ini bertujuan meningkatkan ekonomi golongan sederhana dan rendah supaya ia menjadi penentu kejayaan pentadbiran di Selangor.

“Tujuan merancang belanjawan ini adalah menentukan pentadbiran Selangor berjaya meningkatkan golongan berpendapatan sederhana yang ramai memiliki pendapatan kurang RM2,500,” katanya yang juga Adun Ijok.

Selain itu, Abdul Khalid menegaskan Kerajaan Negeri hanya meluluskan pemberian pemilikan tanah kepada individu yang betul-betul layak memilikinya.

“Kita boleh nyatakan sejak empat tahun lepas siapa kita berikan pemilikan tanah dan setiap pembangunan mesti dilakukan dengan betul dengan mematuhi undang-undang,” tegasnya.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri masih mempertimbangkan untuk merayu berkenaan isu penarikan tanah seluas 318.8 hektar di Serendah selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan tanah milik Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) tersebut tidak sah disisi undang-undang.