Categories
AGENDA NASIONAL

Ebit Lew mengaku tidak bersalah atas 11 tuduhan hantar gambar, perkataan lucah

TENOM, 18 FEB: Pendakwah bebas terkenal Ebit Irawan Ibrahim Lew atau lebih dikenali Ebit Lew mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas 11 pertuduhan berhubung kes gangguan seksual.

Ebit Irawan, 38, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.

Tertuduh didakwa membuat penghantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp di daerah Tenom antara Mac hingga Jun tahun lepas.

Semua pertuduhan itu adalah di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Nur Asyraf menetapkan jaminan RM1,000 untuk setiap pertuduhan dengan dua penjamin manakala 20 April ini sebagai sebutan semula kes.

Ebit Irawan membayar wang jaminan itu.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah Muhammad Ilmami Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abdul Jalil Hassan dalam sidang media di sini hari ini berkata pada 7 Ogos tahun lepas, pihak polis menerima laporan berkenaan pendakwah itu dan sejumlah tiga laporan atas kesalahan tersebut telah diterima.

Beliau berkata siasatan telah dijalankan daripada pelbagai sudut termasuk kemungkinan tuduhan fitnah yang turut melibatkan pengadu di Sabah serta Semenanjung.

“Jika orang ramai mempunyai maklumat luar kes ini, sila tampil ke hadapan bantu pihak polis untuk siasatan yang lain, kalau ada kes kita jalankan siasatan menyeluruh dan perkara yang sama akan dirujuk kepada pendakwa raya.

“Pihak polis memohon kepada semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan provokasi bagi memastikan prosiding perbicaraan berjalan lancar,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Nahas maut empat beranak, pemandu rempuh kenderaan dituduh bunuh

BENTONG, 4 FEB:  Seorang penternak ikan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan membunuh empat beranak yang maut dalam kemalangan di Jalan Lebu-Felda Mempaga, Bentong, minggu lepas.

Pengakuan Ahmad Fuad Mohd Salleh, 44, yang berasal dari Lipis direkodkan di hadapan Majistret Shahrul Ekhsan Hasim selepas semua pertuduhan itu dibacakan secara berasingan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang kelihatan tenang sepanjang prosiding berlangsung kerana ia terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Dia didakwa membunuh suri rumah Raihan Mohamad, 43, dan tiga anaknya Ahda Dalili Mohd Nazri, 14, Ahmad Muaz, tujuh; dan Ahda Imtinan, lima; di Kilometer 2, Jalan Lebu-Felda Mempaga di sini pada 2.30 petang, 28 Jan lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Shahrul Ekhsan menetapkan 16 Mac ini sebagai sebutan semula kes untuk mendapatkan keputusan bedah siasat semua mangsa dan laporan kimia tertuduh.

Di mahkamah sama, Ahmad Fuad juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan berkaitan dadah termasuk memiliki 0.75 gram methamphetamine pada 11.45 pagi, 28 Jan lepas di tempat sama yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kesalahan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh juga didakwa menggunakan dadah methamphetamine pada 12.05 tengah malam, 29 Jan lepas, di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(1) yang dibaca bersama Seksyen 38B akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun serta dikenakan perintah pengawasan tidak lebih tiga tahun.

Shahrul Ekhsan juga tidak membenarkan jaminan terhadap kes dadah memandangkan tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang perlu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Punitha manakala tertuduh diwakili peguam Farah Idayu Nusi.

Pada 28 Jan lepas, media melaporkan kemalangan tragis yang meragut nyawa empat beranak selepas kenderaan Toyota Vellfire dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda yang didakwa melanggar lampu isyarat merah.

Semua mangsa yang semasa itu dalam perjalanan dari Gua Musang, Kelantan ke Kuala Lumpur bagi menghadiri majlis perkahwinan ahli keluarga, dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

— BERNAMA

 

Categories
SELANGOR

Penggangur positif dadah didakwa bunuh ibu

KUALA SELANGOR, 24 JAN: Seorang lelaki yang dipercayai telah memenggal kepala ibunya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh wanita itu, pertengahan bulan ini.

Mohamed Azam Abdul Rasib, 29, yang merupakan penganggur mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Roslizi Sulaiman yang kemudiannya menetapkan 28 Mac untuk sebutan kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat, kimia dan forensik.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mohamed Azam didakwa membunuh Hamidah Ismail, 56, di sebuah rumah di Pasir Penambang, Kuala Selangor antara 8.10 pagi hingga 6.08 petang pada 15 Jan lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kenneth Oon manakala tertuduh diwakili peguam Naim Mahmud.

Terdahulu, Naim memohon mahkamah membenarkan tertuduh menjalani penilaian psikiatri di mana-mana hospital kerajaan.

Roslizi berkata permohonan tersebut perlu dibuat di Mahkamah Tinggi apabila kes tersebut dipindahkan ke mahkamah itu.

Sebelum ini, media melaporkan polis menahan seorang penganggur yang disyaki memenggal kepala ibunya di sebuah rumah dan polis turut merampas sebilah parang yang disyaki digunakan dalam insiden itu.

Laporan awal ujian air kencing suspek mendapati dia positif dadah jenis metamfetamina serta amfetamina.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Penganggur didakwa bunuh warga emas di Pelabuhan Klang

KLANG, 17 DIS: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang warga emas di Pelabuhan Klang dekat sini, minggu lepas.

Muhammad Shahrul Shamsudin, 33, hanya berdiam diri selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret P. Sarulatha dan tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Muhammad Shahrul didakwa membunuh Mohd Sani Abdullah, 69, pada 12.38 tengah hari pada 10 Dis lepas di hadapan sebuah rumah di Kampung Idaman, Pelabuhan Klang, dekat sini.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam K. Nathiya meminta Muhammad Shahrul dirujuk ke hospital kerana keluarga tertuduh mendakwa lelaki itu mempunyai masalah psikiatri namun tidak pernah mendapatkan rawatan di hospital.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 17 Jan 2022 untuk sebutan semula kes dan mengarahkan tertuduh dirujuk ke hospital psikiatri.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur’ain Madihah Zulkifli.

Pada 10 Dis, media melaporkan polis menahan dua lelaki berusia 33 tahun dalam tempoh kurang empat jam selepas disyaki membunuh seorang kontraktor di Kampung Idaman, Pelabuhan Klang, dekat sini.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Penggangur disyaki alami masalah kesihatan mental dituduh bunuh bapa

SEPANG, 8 DIS: Seorang penganggur yang dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh bapanya di rumah mereka di Kampung Jenderam Hulu, Dengkil, minggu lalu.

Tertuduh, Faizal Riza Ridwan, 48, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadanya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman, namun tiada pengakuan direkodkan.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farah Sofea Norazman mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa membunuh bapanya Ridwan Ab Latip, 73, pada 1 Dis lepas, antara jam 4.45 petang hingga 5.30 petang di sebuah rumah di Kampung Jenderam Hulu, Dengkil.

Nurul Farah Sofea memohon kepada mahkamah untuk menetapkan tarikh baharu sementara menunggu laporan perubatan, laporan kimia dan laporan hospital kerana tertuduh mempunyai rekod masalah kesihatan mental.

Ayuni Izzaty kemudian menetapkan 24 Jan depan untuk tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan perubatan, laporan kimia dan laporan bedah siasat.

Faizal Riza yang tidak diwakil peguam dan tidak ditawarkan jaminan dan akan dihantar ke Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Ipoh, Perak untuk penilaian kesihatan mental di bawah Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah.

Media melaporkan seorang pesara tentera mati setelah dicederakan dengan pisau pemotong kek selain dipukul bertubi-tubi oleh anak lelakinya, dan mempunyai kesan kecederaan teruk pada bahagian muka, selain cedera di dada dan kedua-dua belah tangan ketika ditemukan di ruang tamu dalam keadaan berlumuran darah.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Mahkamah Rayuan kekalkan sabitan Najib bersalah seleweng dana SRC

PUTRAJAYA, 8 DIS: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Datuk Seri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana melakukan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang mengetuai panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan bekas perdana menteri itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.

Najib, 68, adalah bekas Perdana Menteri pertama di negara ini yang didakwa di mahkamah dan dijatuhkan hukuman. Beliau masih berpeluang mengemukakan rayuan terhadap keputusan hari ini di Mahkamah Persekutuan.

Panel itu bagaimanapun membenarkan permohonan Najib untuk penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan, yang menurut peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah akan difailkan hari ini.

Mahkamah juga mengekalkan jaminan RM2 juta yang ditetapkan Mahkamah Tinggi.

Prosiding hari ini dijalankan melalui sidang video berikutan Ahli Parlimen Pekan itu dan peguam belanya merupakan kontak kasual kepada anak lelaki Muhammad Shafee, Muhammad Farhan, yang disahkan positif Covid-19.

Dalam keputusan sebulat suara, Hakim Abdul Karim berkata mahkamah mendapati tiada kekhilafan yang dilakukan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali apabila memutuskan kes prima facie bagi kesemua tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan terhadap Najib.

Bagi pertuduhan menyalahgunakan kedudukan, Hakim Abdul Karim berkata pemindahan RM42 juta daripada SRC International ke akaun Najib tidak diklasifikasikan sebagai kepentingan negara.

“Dalam kes CBT, bukti menunjukkan Najib yang merupakan Perdana Menteri ketika itu, mempunyai kuasa untuk melantik dan memecat pengarah dan bukti juga menunjukkan pengarah SRC mengikut arahan Najib,” katanya.

Hakim Abdul Karim selanjutnya berkata panel itu juga bersetuju bahawa kesalahan tersebut dilakukan dengan sengaja.

Beliau berkata Hakim Mahkamah Tinggi telah membuat kesimpulan yang betul bahawa Najib sememangnya pengarah bayangan SRC dan mengawal SRC dan juga menunjukkan bahawa pengarah dilantik oleh Najib dan beliau menandatangani surat pelantikan mereka.

“Najib adalah individu yang mengarahkan SRC dan mengambil alih syarikat itu,” kata Hakim Abdul Karim sambil menambah bahawa keterangan menunjukkan Najib mengarahkan dan mengawal SRC yang ketika itu beliau merupakan Menteri Kewangan dan Perdana Menteri serta Pengarah SRC.

Beliau berkata panel itu juga bersetuju bahawa Najib tidak bertindak sebagai pemegang saham tunggal Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) apabila beliau menguruskan syarikat itu (SRC).

Hakim selanjutnya berkata Najib tidak bertindak dalam skop wakil MoF Inc tetapi lebih seperti pengarah bayangan SRC yang berkuasa memberi arahan dalam operasi hariannya.

“Najib tahu bahawa RM42 juta itu datangnya daripada SRC dan tiada bukti menunjukkan bahawa RM42 juta itu datang daripada keluarga diraja Arab Saudi,” katanya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 72 tahun dan denda RM210 juta selepas mendapati beliau bersalah atas kesemua tujuh pertuduhan itu.

Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA JENAYAH

Bapa didakwa kelar leher anak lelaki kerana tukar siaran televisyen

KUALA KUBU BHARU, 10 NOV: Seorang warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh anaknya dengan mengelar leher lelaki itu selepas berlaku pertengkaran susulan tindakan menukar siaran televisyen, minggu lepas.

S. Krisman, 72, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza yang bertindak sebagai Majistret.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang memakai kemeja putih dan berseluar pendek kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu terhadap K. Apacnaidu, 37, di sebuah rumah di Jalan Kemudi, Taman Bernam Jaya, Ulu Bernam di sini antara 11 dan 11.30 pagi 3 Nov lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 Dis ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Khadijah Amir Hamdzah manakala tertuduh diwakili peguam Dr Vasu Appu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

90 tekapan seterika wap pada badan sebabkan kematian Zulfarhan – Hakim

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan bahawa sebanyak 90 tekapan seterika wap yang dilakukan oleh lima penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pada anggota badan Pegawai Kadet Laut UPNM Zulfarhan Osman Zulkarnain telah menyebabkan kematian mangsa namun ia tidak terjumlah kepada niat membunuh dengan sengaja.

Hakim Datuk Azman Abdullah dalam penghakimannya berkata selepas mengambil kira keterangan Pakar Perubatan Forensik Hospital Serdang Dr Salmah Arshad dan Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh Dr Rohayu Shahar Adnan, mahkamah membuat dapatan bahawa kematian mangsa bukan suatu kematian yang mengejut selepas dicederakan.

Beliau berkata mahkamah membuat penemuan fakta bahawa berdasarkan penelitian dalam kes pembelaan, tertuduh pertama hingga kelima yang menyebabkan 90 tekapan seterika wap ke atas Zulfarhan Osman.

“Tertuduh pertama, kedua, keempat dan kelima mengaku menekap hanya sekali atau dua kali manakala tertuduh ketiga tidak mengaku menekap namun tertuduh keenam dan seorang saksi pendakwaan melihat tertuduh ketiga turut menekap,” katanya.

Azman berkata tiada keterangan kukuh menunjukkan bahawa terdapat individu lain menekap seterika ke badan Zulfarhan Osman selain kelima-lima tertuduh yang secara niat bersama melakukan perbuatan itu.

Beliau berkata di peringkat pendakwaan, Dr Salmah berkata bedah siasat mendapati terdapat 90 kesan luka lecur di hampir keseluruhan badan termasuk kedua-dua belah punggung dan zakar Zulfarhan Osman.

“Kesan luka lecur itu adalah pada kategori tahap satu, dua dan tiga yang didapati dari pangkal leher sehingga ke kaki mangsa termasuk bahu, lengan, dada, perut, rusuk, belikat, betis, paha dan buku lali,” katanya.

Enam tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali dipenjara 18 tahun selepas didapati bersalah menyebabkan kematian Zulfarhan Osman.

Mahkamah juga menjatuhi hukuman penjara tiga tahun terhadap lima tertuduh kecuali Mohamad Shobirin serta 12 rakannya yang didapati bersalah mencederakan mangsa. Kesemua tertuduh kini berumur 25 tahun.

Dalam penghakiman, Azman berkata Dr Salmah dan Dr Rohayu bersetuju bahawa terdapat 90 kesan tekapan seterika pada tubuh mangsa kecuali pada bahagian muka dan belakang tapak tangan.

“Jika mangsa memakai baju lengan panjang dan umur mangsa panjang maka parut tidak akan kelihatan, begitulah betapa telitinya orang yang menekap seterika wap panas di tubuh mangsa.

“Tertuduh-Tertuduh menyatakan mereka sayang kepada mangsa, kalau mereka tidak rasa sayang, muka Zulfarhan Osman akan ditekap juga dan lebih daripada 90 tekapan akan dikenakan,” katanya.

Hakim itu juga berkata nyawa Zulfarhan Osman mungkin boleh diselamatkan sekiranya terdapat campur tangan oleh seorang doktor sebuah klinik swasta di Bangi semasa mangsa menerima rawatan di klinik tersebut.

Beliau berkata pada kebiasaannya, pihak hospital atau klinik kesihatan akan menelefon polis jika mengesyaki pesakit didera kerana ia adalah isu perundangan perubatan.

“Sepatutnya doktor tersebut tidak membabi buta mempercayai mangsa terlibat dengan letupan dalam latihan sehingga terkena pada semua tubuh mangsa termasuk zakar dan testis namun tidak pada muka si mati,” katanya.

Beliau berkata jika mangsa tidak mengalami cedera parah, beliau tidak perlu dibawa ke klinik sebanyak dua kali memandangkan kosnya adalah mahal iaitu kira-kira RM500 bagi setiap sesi rawatan.

Katanya tertuduh boleh membawa mangsa ke hospital kerajaan yang percuma atau klinik UPNM namun mereka tidak berbuat demikian kerana bimbang rahsia mereka (cederakan Zulfarhan Osman) pecah.

Azman juga berkata Zulfarhan Osman mungkin boleh diselamatkan jika seorang jurulatih di UPNM tidak bertindak menularkan keadaan Pegawai Kadet Laut UPNM itu di dalam kumpulan WhatsApp.

Beliau berkata nasib tidak menyebelahi mangsa apabila Kapten Haryani Hassan pendek akal dengan menularkan dalam kumpulan WhatsApp itu siapa yang dimaksudkan ‘sakit’ menurut surat layang yang diterima.

“SP23 (penuntut UPNM, Muhammad Aiman Aufa Asmadi Affendi) yang menulis surat layang bersama tertuduh kelapan (Muhammad Akmal Akif Alias) menyatakan ‘si mati ada memesan kepada beliau jika hendak sapu ubat, sapu semasa dia lena sebab sakit sangat jika dia sedar.’

“Surat layang itu membuktikan penelitian mereka berdua (SP23 dan tertuduh kelapan) bahawa si mati sakit tenat semasa berada di dalam bilik asrama namun tertuduh pertama hingga keenam tidak perasan mangsa cedera parah dan mereka nampak mangsa kelihatan biasa sahaja tidak seperti orang sakit,” katanya.

Azman berkata nasib malang mangsa bermula apabila komputer riba tertuduh pertama iaitu Muhammad Akmal hilang dan ayah tertuduh ke-17, Noriznan Izzairi Noor Azhar telah menelefon serta mengesahkan tiga suspek termasuk mangsa sebagai individu yang mencuri komputer riba itu.

“Pada 21 dan 22 Mei 2017, Zulfarhan Osman telah dibawa ke bilik 03-05 Blok Jebat jam 2.30 pagi dan bermula sesi memukul mangsa oleh tertuduh bertujuan untuk mendapatkan pengakuan mangsa.

“Pada 22 Mei 2017, jam 4.45 pagi hingga hampir Subuh, mangsa mula diseksa dengan menggunakan seterika wap oleh Muhammad Akmal, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif, Mohamad Shobirin atas arahan Muhammad Hasif apabila mangsa tidak mengaku mencuri komputer riba berkenaan,” kata hakim itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Langgar SOP PKPB: Neelofa, suami pertimbang kemuka representasi

SEREMBAN, 24 SEPT: Pihak pembelaan dalam kes selebriti Noor Neelofa Mohd Noor dan suami, Muhammad Haris Mohd Ismail akan mempertimbangkan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara berhubung pertuduhan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sebuah kedai karpet, di Nilai, awal Mei lepas.

Perkara itu dimaklumkan peguam yang mewakili pasangan itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika sebutan semula kes di hadapan Majistret Mahyun Yusuf hari ini.

Bercakap kepada pemberita, Muhammad Shafee berkata: “Saya baru dapat (dokumen) itu, jadi kami akan kaji dokumen ini untuk persiapan pembelaan ataupun untuk membuat satu representasi berdasarkan dokumen yang kami ada supaya tidak buang masa.

“Ia adalah perkara kecil, daripada semut jadi gajah,” katanya selepas prosiding kes berkenaan di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Proses sebutan semula hari ini melibatkan penyerahan dokumen pihak pendakwaan kepada pihak pembelaan yang diketuai peguam Muhammad Shafee serta Ramzani Idris, Muhammad Farhan Muhammad Shafee dan Syahirah Hanapiah manakala pihak pendakwaan pula diwakili, Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Aling dan Iznina Hanim.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 21 Okt depan.

Terdahulu, pasangan berkenaan tiba di mahkamah kira-kira 8.40 pagi.

Pada 20 Mei lalu, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka ketika berada di sebuah premis menjual karpet di pusat perniagaan Nilai 3, dekat sini, pada 2 Mei lalu dan berdepan dengan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara hingga enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Muhammad Haris, 26, didakwa atas dua kesalahan gagal mematuhi SOP PKPB dengan tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk atau menulis secara manual serta tidak memakai pelitup muka di Kedai Naeem Carpet Sdn Bhd, Kawasan Perindustrian Nilai 3, Nilai, pada 4 petang, 2 Mei lalu.

Neelofa, 32, pula dituduh tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk di premis itu atau menulis secara manual pada masa dan tarikh sama.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

10 individu palsukan sijil vaksin dihadap ke mahkamah setakat ini

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Sebanyak 10 individu telah didakwa di mahkamah kerana memalsukan sijil suntikan vaksin, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ismail Mohamed Said.

Beliau berkata ia melibatkan empat individu di Sarawak, masing-masing dua individu di Sabah dan Melaka serta masing-masing satu individu di Kelantan dan Perak.

“Seorang telah disabitkan kesalahan iaitu di Sarawak di mana mahkamah telah memberi sabitan dan dihukum penjara,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) mengenai jumlah mereka yang diambil tindakan kerana memalsukan sijil suntikan vaksin di negara ini.

Ismail berkata bagi golongan yang memalsukan sijil suntikan vaksin, tindakan undang-undang boleh diambil mengikut Seksyen 22 (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Berhubung kesalahan memberi maklumat palsu, Ismail berkata siasatan akan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada, iaitu di bawah Akta 342 atau Kanun Keseksaan.

Beliau berkata di bawah Seksyen 24 Akta 342, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

“Manakala di bawah Seksyen 25 Akta 342, sebelum pertuduhan dimulakan dengan izin pendakwa raya, kompaun boleh diberikan bagi mana-mana kesalahan di bawah akta ini untuk individu tidak melebihi RM10,000 manakala perbadanan tidak melebihi RM50,000,” katanya.

Ismail berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa komited dalam memastikan sebarang pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP) yang telah dikuatkuasakan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN), diambil tindakan tegas bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Sementara itu, Ismail berkata KDN mengambil pendekatan mengimbangi aspek kesihatan serta keselamatan dan kedaulatan negara dalam isu vaksinasi pendatang tanpa izin.

Beliau menjawab soalan M. Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) mengenai sama ada kerajaan dapat memberikan kelonggaran kepada pendatang izin untuk mendapat vaksinasi berbanding menahan mereka bagi dihantar pulang ke negara asal.

“KDN telah berhubung dengan negara-negara sumber untuk membuat program penghantaran pulang dan mereka boleh buat proses kembali ke negara ini, kita tidak mengambil tindakan yang begitu kejam (terhadap pendatang tanpa izin),” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Pasangan kekasih didakwa bunuh kanak-kanak tiga tahun

BANGI, 10 SEPT: Sepasang kekasih dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang juga anak kandung kepada tertuduh wanita, minggu lepas.

Ieda Nor Esbi Baharudin, 35, dan teman lelakinya, Norazizol Baharum, 34, yang kelihatan tenang, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Effandi Nazila Abdullah yang bertindak sebagai Majistret.

Namun, tiada pengakuan direkodkan daripada pasangan itu kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Ieda Nor Esbi dan Norazizol didakwa dengan niat bersama membunuh Zaff Zaffrul Zaiful Amiro Shah di sebuah rumah di Seksyen 2 di sini, antara 6.30 pagi dan 10.41 malam, 2 Sept lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 14 Okt sebagai sebutan bagi serahan laporan kimia dan bedah siasat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Syed Saddiq didakwa pecah amanah dana parti RM1.12 juta

KUALA LUMPUR, 22 JULAI: Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan pecah amanah dana sebuah parti politik berjumlah RM1 juta, dan menyalahgunakan wang sumbangan RM120,000 untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bagaimanapun, Syed Saddiq, 29, yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Bagi pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa sebagai Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang telah diamanahkan penguasaan ke atas dana Armada, telah melakukan pecah amanah ke atas dana itu, dengan membuat pengeluaran wang berjumlah RM1 juta melalui cek CIMB Bank Berhad, tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Tingkat Bawah, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020, mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 406 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq juga menghadapi tuduhan menyalahgunakan harta iaitu, wang sumbangan untuk kempen PRU14 sebanyak RM120,000 yang dikutip melalui akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Islamic Berhad,Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di antara 8 April sehingga 21 April 2018, mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Faridz Gohim Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir serta Mohd ‘Afif Ali.

Syed Saddiq diwakili peguam Gobind Singh Deo, Datuk S. Ambiga dan Haijan Omar.

Terdahulu, Faridz menawarkan jaminan RM500,000 dan RM300,000, masing-masing bagi pertuduhan pecah amanah dan salah guna wang dihadapi Syed Saddiq atas alasan kesalahan dilakukan adalah serius selain memohon supaya pasportnya diserahkan kepada mahkamah serta beliau perlu melapor diri di pejabat SPRM terdekat.

“Tertuduh mempunyai kedudukan yang tinggi dalam masyarakat dan jumlah jaminan juga sepatutnya tinggi kerana dia mendapat liputan media yang meluas. Jumlah jaminan perlu mencerminkan tahap keseriusan kesalahan dilakukan.

“Tertuduh juga mempunyai peluang untuk mengganggu saksi pendakwaan dan jumlah jaminan tinggi bertujuan memastikan tertuduh tidak melarikan diri. Pendakwaan juga memohon perintah mahkamah supaya tertuduh tidak membuat apa-apa komen secara terbuka kerana kes ini telah dituduh dan ia boleh subjudis kepada mahkamah,” katanya.

Bagaimanapun, Gobind membantah jumlah jaminan itu yang disifatkan sangat tinggi dan memohon jaminan RM20,000, masing-masing bagi pertuduhan pecah amanah salah guna wang atas alasan tujuan jaminan hanya untuk memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah.

“Anak guam saya adalah seorang berkedudukan tinggi dan seorang MP (Ahli Parlimen) yang aktif di kawasan Muar. Dakwaan bahawa beliau akan mengganggu saksi pendakwaan adalah tuduhan liar berikutan tiada laporan dibuat menunjukkan tertuduh cuba mempengaruhi sesiapa.

“Beliau telah memberi kerjasama kepada pihak SPRM sejak siasatan dilakukan bermula April tahun lepas dan tiada risiko untuk anak guam saya melarikan diri,” katanya yang turut mempersoalkan tindakan pendakwaan menuduh anak guamnya ke mahkamah beberapa hari sebelum Parlimen bersidang, sedangkan pendakwaan memperoleh izin untuk mendakwa anak guamnya ke mahkamah, tujuh bulan lepas.

Berhubung perintah larangan memberi ulasan yang dimohon pendakwaan, Ambiga pula berkata ia bertentangan dengan hak kebebasan bersuara di bawah Perlembagaan Persekutuan dan perkara itu disokong oleh Gobind yang turut memaklumkan jika terdapat kenyataan yang ‘menyakitkan hati’, pendakwaan boleh membuat permohonan kepada mahkamah.

Sementara itu, Faridz berkata izin mendakwa tidak mempunyai tarikh luput dan terpulang kepada pendakwaan untuk membawa kes ke mahkamah dan pertuduhan dibuat adalah berasas.

“Tertuduh tidak perlu buat apa-apa komen yang subjudis kepada mahkamah dan dia ada peluang untuk membela diri di mahkamah bukannya di luar mahkamah,” kata Faridz.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Azura membenarkan Syed Saddiq diikat jamin RM330,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan serta menyerahkan pasport sehingga kes selesai dan melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran, sebulan sekali.

Mahkamah membenarkan Syed Saddiq melunaskan bayaran ikat jamin sebanyak RM80,000 pada hari ini manakala baki RM250,000 selewat-lewatnya Selasa depan selain menetapkan 10 Sept untuk sebutan semula kes.

Mahkamah bagaimanapun tidak membuat apa-apa perintah mengenai larangan memberi ulasan.

Faridz juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa tertuduh akan didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bharu dalam masa terdekat dan pihaknya juga akan memohon supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Kuala Lumpur.

Sebelum itu, Syed Saddiq, bersut hitam dan kemeja putih hadir ke mahkamah pada 9 pagi ditemani bapanya, Syed Abdul Rahman dan ibunya, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz. Turut hadir Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh, Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil dan Naib Presiden KEADILAN Tian Chua.

-BERNAMA