Categories
AGENSI SELANGOR

Mais buka kaunter maklumat urus harta, wasiat sempena persidangan halal

SHAH ALAM, 5 MAC: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) membuka kaunter informasi pengurusan harta baitulmal sepanjang Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) 2022.

Agensi itu memaklumkan kaunter dibuka dari jam 10 pagi hingga 9.30 malam di Pusat Konvensyen Shah Alam memberi peluang kepada pengunjung mengetahui perkhidmatan ditawarkan.

“Orang ramai dipelawa hadir untuk memperoleh pelbagai maklumat berkaitan pengurusan wasiat, hibah, harta pusaka, faraid, fidyah, harta luqatah dan wang syubhah.

“Boleh datang ke gerai Mais bernombor 094,” katanya menambah Selhac turut disertai anak syarikat Mais iaitu Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis).

Berlangsung selama tiga hari, Selhac membuka tirai semalam menampilkan tiga komponen iaitu forum, ekspo dan padanan perniagaan.

Sebanyak 100 pempamer daripada 40 syarikat turut serta dalam acara itu membabitkan kluster makanan, farmasi, kecantikan, pelancongan, fesyen dan bahan halal.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Mais sasar kutipan fidyah RM8.5 juta tahun ini

SHAH ALAM, 1 MAC: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyasarkan jumlah kutipan fidyah sebanyak RM8.5 juta pada tahun ini menerusi Kempen Fidyah Negeri Selangor, Kewajipan Yang Sering Dilupakan, yang bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kewajipan tersebut.

Setiausaha MAIS Dr Ahmad Shahir Makhtar dalam kenyataan hari ini berkata kempen yang bermula hari ini hingga 25 Mac itu, mengajak masyarakat untuk celik, cakna dan memahami maksud fidyah atau qada puasa sebagaimana dituntut dalam hukum syarak.

“Pelbagai program telah diatur sepanjang kempen itu, antaranya sesi Webinar Lunaskan Fidyah pada hari ini (1 Mac), Forum Fidyah di Masjid Cahaya Iman Bandar Country Home, Rawang pada 2 Mac dan Sembang Santai Fidyah di Facebook Mais pada 8, 15 dan 22 Mac pukul 9.30 pagi,” katanya.

Menurut Ahmad Shahir pada tahun lepas majlis tersebut bersama Lembaga Zakat Selangor iaitu ejen kutipan fidyah MAIS telah menggiatkan pelbagai program dakwah dan kesedaran berkaitan kewajipan melunaskan fidyah.

“Hasil usaha dakwah berpanjangan berkaitan fidyah ini, sebanyak RM9.8 juta fidyah telah dilunaskan kepada Mais berbanding sasaran RM7 juta bagi tahun 2021. Daripada hasil kutipan fidyah itu, sebanyak RM8.1 juta telah diagihkan kepada mereka yang layak,” katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan perkhidmatan fidyah layari pautan https://www.mais.gov.my/fidyah atau maklumat lanjut menerusi laman sesawang Mais, di www.mais.gov.my .

-BERNAMA

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Mais agih sumbangan RM56,000, beri manfaat 560 keluarga

SHAH ALAM, 18 FEB : Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengagihkan bayaran fidyah kepada 560 keluarga di Hulu Langat, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Agensi itu menerusi Facebook memaklumkan daripada jumlah itu seramai 520 keluarga dari Hulu Langat dan masing-masing 20 keluarga dari Kuala Selangor dan Sabak Bernam dengan nilai sumbangan berjumlah RM56,000.

“Setiap keluarga menerima set makanan kering berupa beras, minyak masak, gula, tepung dan susu dengan nilai sumbangan berjumlah RM100.

“Kita harap dengan bantuan ini dapat meringankan kos perbelanjaan seharian terutama kepada mereka yang memerlukan,” kata Mais menerusi kenyataan.

Agihan fidyah itu disalurkan menerusi Rakan Strategik Agihan Fidyah Mais antaranya ialah Masjid Al’Azim, Pejabat Agama Daerah Hulu Langat dan Pejabat Agama Islam Sabak Bernam.

Pada masa sama Mais turut mengucapkan terima kaish kepada semua pembayar fidyah dan berharap sumbangan yang diberikan dapat membantu meringankan bebanan penerima.

Kepada individu yang masih belum sempat menunaikan kewajipan membayar fidyah boleh membuat secara dalam talian melalui e-MAIS.

Sila klik pautan ini http://fpx.mais.gov.my/epay/fidyah.php.

Categories
AGENSI SELANGOR

Mais tawar 30 unit rumah sewa serendah RM500 untuk penjawat awam, swasta

SHAH ALAM, 16 FEB: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menawarkan 30 unit rumah sewa di Seksyen 3 di sini untuk kakitangan kerajaan dan swasta.

Agensi itu memaklumkan kediaman tiga bilik dan dua bilik air di Wisma Mais itu ditawarkan kepada mereka yang berkeluarga sahaja serta mempunyai pendapatan isi rumah bawah RM5,000.

“Sewa RM500 ditawarkan bagi mereka yang berkhidmat dalam sektor kerajaan manakala bagi sektor swasta nilai sewaan ialah RM600.

“Mereka yang berminat dengan rumah berkeluasan 600 kaki persegi ini boleh mendapatkan borang permohonan sewaan di laman web www.mais.gov.my/sewaan/,” katanya menerusi kenyataan.

Antara kemudahan terdapat di bangunan ialah kawalan keselamatan 24 jam, sistem kamera litar tertutup, 220 kawasan parkir terbuka, surau dan perpustakaan wakaf serta berdekatan restoran dan kedai runcit.

Categories
AGENSI SELANGOR

Mais agih sumbangan RM57,600 kepada mangsa banjir di Kuala Selangor

SHAH ALAM, 6 FEB: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) meneruskan usaha membantu mangsa banjir dengan menyalurkan bantuan set makanan asasi berjumlah RM57,600, semalam.

Agensi itu memaklumkan sumbangan 576 set makanan itu diagih kepada mangsa di tiga kawasan di Kuala Selangor iaitu Kampung Asahan, Kampung Tanjung Siam dan Kampung Parit Mahang.

“Alhamdulillah, bantuan itu adalah hasil sumbangan Baitulmal Majlis Agama Islam Selangor, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak dan Majlis Agama Islam Sabah.

“Semoga bantuan ini dapat meringankan beban kesemua mangsa yang terkesan akibat banjir dan dapat menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Pada 8 Januari lalu dilaporkan, Mais memperuntuk sebanyak RM38.1 juta bagi membantu mangsa banjir negeri ini yang terjejas dalam insiden 17 Disember lalu.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata sumbangan membabitkan wang tunai, set makanan asasi, keperluan asas, pakaian sekolah, peralatan pembersihan dan baik pulih kerosakan.

Selain itu, katanya, agensi itu turut menerima sumbangan dari Majlis Agama Islam Negeri-Negeri dan Pusat Zakat Negeri kepada mangsa banjir di negeri ini.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jumlah kutipan zakat naik tahun lalu, sasar RM1 bilion pada 2022

SHAH ALAM, 4 FEB: Jumlah kutipan zakat di Selangor mencecah RM992 juta pada 2021, meningkat RM79 juta berbanding tahun sebelumnya, umum Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata jumlah agihan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) turut bertambah RM52 juta kepada RM919 juta pada tahun lalu.

“Kita sasarkan LZS mampu mencapai kutipan RM1 bilion tahun ini selepas kecemerlangan dipamerkan tahun lalu,” katanya menerusi ucapan Perutusan Pengerusi Mais baru-baru ini.

Abdul Aziz turut mengucapkan tahniah kepada agensi itu kerana berjaya merangkul anugerah antarabangsa sebagai The Best Company in Asia 2021.

Beliau berkata pengiktirafan dunia itu bukti kecemerlangan LZS sebagai agensi bawah Mais dan wajar dicontohi pihak lain bagi meningkatkan pencapaian.

“Insya-Allah dengan kejayaan itu saya yakin LZS mampu mencapai sasaran memberangsangkan pada tahun ini,” katanya lagi.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Mais terima 33 permohonan nasihat guaman syariah percuma

SHAH ALAM, 4 FEB: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menerima 33 permohonan K-Guam iaitu perkhidmatan nasihat perundangan syariah percuma secara dalam talian sejak dilancar pada 28 Disember tahun lalu.

Setiausahanya Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata permohonan diterima itu membabitkan 18 perundangan syariah manakala selebihnya berkaitan sivil.

“Semua permohonan akan dinilai dan penetapan janji temu secara dalam talian antara pemohon bersama peguam dilakukan dalam masa terdekat,” katanya kepada SelangorKini.

Platform K-Guam merupakan inisiatif membantu masyarakat di negeri ini mendapatkan khidmat nasihat guaman dengan lebih mudah dan pantas serta melibatkan 50 peguam selaku penasihat.

Dua perkhidmatan ditawarkan berkaitan perundangan sivil iaitu perkahwinan, penceraian dan keluarga; buruh dan pekerjaan; wasiat, pemulihan hutang dan jenayah manakala syariah pula seperti hibah, wasiat dan pusaka serta wakaf.

Platform perkhidmatan dalam talian perundangan pertama ditubuhkan Mais dengan kerjasama Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

Perkhidmatan dijalankan secara dalam talian melalui e-mel, WhatsApp, panggilan telefon atau panggilan video tanpa perlu pemohon hadir ke pejabat Mais.

Orang ramai yang ingin mendapatkan perkhidmatan K-Guam, boleh melayari pautan
https://www.mais.gov.my/k-guam/ atau maklumat lanjut berhubung platform itu boleh didapati di laman sesawang Mais di www.mais.gov.my .

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Mais sedia nasihat guaman syariah percuma, secara dalam talian

SHAH ALAM, 27 JAN : Majlis Agama Islam Selangor (Mais) melancarkan platform K-Guam iaitu perkhidmatan nasihat perundangan syariah percuma secara dalam talian.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata inisiatif itu membantu masyarakat di negeri ini mendapatkan khidmat nasihat guaman dengan lebih mudah dan pantas.

“Platform K-Guam menawarkan dua perkhidmatan iaitu berkaitan perundangan sivil dan syariah seperti perkahwinan, penceraian dan keluarga; hibah, hartanah, wasiat dan pusaka; wakaf dan jenayah.

“Kebiasaanya khidmat nasihat dikenakan bayaran, namun kita tawar secara percuma. Ia juga platform perkhidmatan dalam talian perundangan pertama ditubuhkan Mais dengan kerjasama Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM),” katanya.

Beliau berkata dalam sidang media selepas Majlis Perutusan Pengerusi Mais dan Pelancaran Platform K-Guam di Dewan Syarahan dan Muzakarah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Beliau berkata 50 peguam bertindak sebagai penasihat sejak platform itu beroperasi 28 Disember tahun lalu sehingga kini.

“Perkhidmatan ini dijalankan secara dalam talian melalui e-mel, WhatsApp, panggilan telefon atau panggilan video tanpa perlu pemohon hadir ke pejabat Mais,” katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan perkhidmatan K-Guam, boleh melayari pautan
https://www.mais.gov.my/k-guam/ atau maklumat lanjut berhubung platform itu boleh didapati di laman web Mais di www.mais.gov.my.

Categories
AGENSI SELANGOR

Ajaran sesat gerakan akhir zaman, Jais pantau penyebaran

SHAH ALAM, 27 JAN : Majlis Agama Islam Selangor (Mais) memantau penyebaran ajaran sesat Gerakan Akhir Zaman (Gaza) yang didakwa mula disebarkan di negara ini.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata setakat ini Mais dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) belum menerima sebarang aduan berhubung perkara itu di negeri ini.

“Ajaran sesat di Selangor banyak ia sentiasa berkembang dari satu masa ke satu masa. Ajaran sesar Gaza ini mungkin baharu atau datang daripada ajaran lama sebelum ini.

“Kita akan siasat perkara ini, saya sudah berbincang dengan pengarah Jais dan ketua polis negeri untuk menyiasat perkara, kemudian baru kita ambil tindakan susulan jika ada,” katanya.

Beliau berkata dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Perutusan Pengerusi Mais dan Pelancaran Platform K-Guam di Dewan Syarahan dan Muzakarah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Sebelum ini, tular mengenai kumpulan berasal dari Indonesia yang diberi nama Gaza itu mengajak orang ramai mempercayai seorang lelaki dari Pakistan, Muhammad Qasim Abdul Karim yang mendakwa hanya mengikut kehendak Allah dalam mimpinya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Mais salur RM50,000 kepada maahad tahfiz terjejas banjir

SHAH ALAM, 17 JAN: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyalurkan dana berjumlah RM50,000 kepada Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Selangor (Pitas).

Setiausahanya Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata sumbangan itu untuk diagihkan kepada maahad tahfiz seluruh negeri ini yang terjejas banjir 17 Disember tahun lalu.

“Mais amat prihatin dengan keperluan ummah di negeri ini terutama apabila berlaku bencana kita akan segera menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan.

“Kita berharap sumbangan ini membantu dalam menaik taraf maahad tahfiz dan dapat beroperasi seperti biasa serta pelajar pula boleh belajar dengan sempurna,” katanya menerusi kenyataan.

Manakala, Pengerusi Pitas Muhammad Hafiz Muhamad Haneefa turut mengucapkan terima kasih terhadap bantuan diberikan.

“Saya bersyukur bantuan daripada Mais yang begitu cakna kepada institusi tahfiz yang terkesan akibat banjir. Sebanyak 36 Maahad Tahfiz terjejas yang kebanyakannya di daerah Hulu Langat, Kuala Langat, Klang dan Shah Alam.

“Insya-Allah, duit ini akan digunakan untuk membeli perabot seperti katil dan tilam serta keperluan lain. Terima kasih atas sumbangan diberikan,” katanya.

Sumbangan Mais itu akan diserahkan kepada maahad tahfiz yang terjejas antaranya Maahad Tahfiz Pondok Bustanul Arifin, Kuala Langat; Maahad Tahfiz Lil Muttaqin, Hulu Langat dan Maahad Tahfiz Muntazut Taqwa, Kuala Langat.

Mais memperuntukkan RM38.1 juta bagi membantu mangsa banjir di Selangor. Antara penerima sumbangan adalah pusat tahfiz, institusi masjid, surau, sekolah dan individu yang terkesan kerosakan rumah serta harta benda.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Mais sumbang makanan kering, dapur masak kepada mangsa banjir

SHAH ALAM, 9 DIS: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyumbang 200 kotak makanan kering kepada kakitangan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang terkesan banjir.

Agensi memaklumkan bantuan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP) disampaikan oleh EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni Jumaat lalu.

“Dalam pada masa yang sama turut diadakan majlis penyerahan bantuan banjir berupa 30 unit toto dan dapur memasak kepada wakil penduduk Kampung Bukit Lanchong.

“YB Zawawi turut menyumbang 10 periuk nasi elektrik,” tulisnya di Facebook.

Mais berkata pihaknya berharap bantuan tersebut dapat memberikan sedikit kelegaan kepada mangsa banjir untuk memulakan kehidupan baru tahun ini.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Mais belanja RM38.1 juta, agih makanan bantu mangsa banjir

SHAH ALAM, 8 JAN: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) memperuntuk sebanyak RM38.1 juta bagi membantu mangsa banjir negeri ini dalam insiden 17 Disember lalu.

Pengerusinya berkata bantuan diagih ke masjid dan surau, sekolah, pusat tahfiz serta individu yang mengalami kerosakan rumah dan harta benda.

Menurut Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, sumbangan meliputi tunai, set makanan asasi, keperluan asas, pakaian sekolah, pembersihan dan baik pulih kerosakan.

“Mais amat prihatin dengan keperluan ummah dan apabila berlaku ujian seperti ini, Mais dan anak syarikat segera membantu mereka yang memerlukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dana disumbangkan Baitulmal Mais, Lembaga Zakat Selangor (LZS), Yayasan Islam Darul Ehsan, Bakti Suci Holding Sdn Bhd serta Jabatan Agama Islam Selangor.

Jelasnya, Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd pula berperanan membekalkan pek makanan asas kepada mangsa banjir negeri ini bawah peruntukan Mais dan LZS.

“Mais juga bersyukur dan berterima kasih kepada Majlis Agama Islam Negeri-Negeri dan Pusat Zakat Negeri atas sumbangan kepada mangsa banjir di Selangor,” kata Abdul Aziz.

Sumbangan dana dan makanan asas daripada agensi seperti berikut:

  • Majlis Agama Islam Perlis – 200 kotak makanan asas
  • Majlis Ugama Islam Sabah – Dana RM100,000
  • Majlis Agama Islam Johor – 2,000 kotak makanan
  • Majlis Agama Islam Perak – Dana RM150,000
  • Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan – Dana RM3,000,000 bagi membina semula rumah asnaf
  • Lembaga Zakat Negeri Kedah – 12,000 kampit beras
  • Majlis Agama Islam Pulau Pinang & Zakat Pulau Pinang – Dana RM150,000