Categories
AGENSI SELANGOR

Mais hargai 18 pelatih pusat perlindungan, bantu tingkat keyakinan diri

SHAH ALAM, 19 NOV: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) memberi penghargaan kepada 18 pelatih Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan di Sabak Bernam sebagai penyuntik semangat untuk terus mencapai kejayaan.

Setiausaha Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata inisiatif juga merupakan dorongan serta sokongan kepada pelatih untuk lebih berkeyakinan meskipun tinggal dalam pusat perlindungan.

“Masing-masing menerima anugerah berbeza yang dinilai dari segi sahsiah antaranya kejujuran, kebersihan, kehadiran, kepimpinan dan kerajinan selain berjaya dalam bidang kemahiran dan fardu ain.

“Penghargaan ini memberi peluang kepada mereka untuk membentuk sahsiah diri supaya menjadi insan lebih sempurna dan cemerlang,” katanya menerusi kenyataan.

Ahmad Shahir berkata pihaknya turut memberi penghargaan kepada 20 guru pembimbing yang menjadi tunjang utama kejayaan pelatih terbabit.

Anugerah disampaikan Pengerusi Mais Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada majlis Hari Kecemerlangan ke-13 pusat perlindungan itu semalam.

Ahmad Shahir berkata pihaknya akan terus menganjurkan pelbagai program bermanfaat kepada semua pelatih supaya mereka kembali ke pangkal jalan termasuk bantuan pemulihan, perlindungan, rawatan dan pencegahan.

Categories
AGENSI SELANGOR

Mais sumbang bantuan makanan kepada 445 pengusaha bas sekolah

SHAH ALAM, 21 OKT: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) semalam menyumbangkan makanan asas berjumlah RM44,500 kepada 445 pengusaha di bawah Persatuan Bas Sekolah Negeri Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur (PBSSPKL).

Agensi itu berkata bantuan mengandungi barangan antaranya beras, minyak, tepung dan gula yang bernilai RM100 setiap set.

“Semoga bantuan ini dapat meringankan pengusaha bas sekolah dan mereka terkesan akibat Covid-19,” katanya di Facebook semalam.

Mais semalam turut mengagihkan fidyah berjumlah RM67,000 kepada 225 penduduk terkesan sekitar Petaling, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Masyarakat Islam yang ingin membayar fidyah secara dalam talian boleh berbuat demikian menerusi pautan http://fpx.mais.gov.my/epay/fidyah.php.

Mais memperuntuk sebanyak RM2 juta agihan fidyah bagi membantu 20,000 keluarga Islam yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Bantuan dikhususkan kepada golongan berpendapatan rendah, individu dibuang kerja, cuti tanpa gaji, dikurangkan gaji sehingga 50 peratus atau yang hilang punca pendapatan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Mais: Sumbangan fidyah ringan beban 419 keluarga di Hulu Langat

SHAH ALAM, 7 OKT: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengagihkan sumbangan fidyah berjumlah RM41,900 kepada keluarga sekitar Hulu Langat yang terkesan pandemik Covid-19.

Bantuan makanan asas meliputi beras, tepung, minyak dan gula berharga RM100 memanfaatkan 419 keluarga, menurut agensi itu semalam.

“Mais mengucapkan jutaan terima kasih kepada pembayar fidyah yang budiman. Semoga sumbangan ini dapat membantu meringankan beban semua penerima,” katanya di Facebook.

Agihan melibatkan kerjasama 12 rakan strategik terdiri daripada masjid, surau, Sekolah Rendah Agama Sungai Kantan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan Hulu Langat dan persatuan Cina Muslim.

Pada 29 September, Mais memaklumkan sebanyak RM7.56 juta pemberian bantuan diluluskan menerusi program agihan fidyah yang dilancarkan sejak 28 Disember tahun lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM4.83 juta selesai diagih kepada 33,398 keluarga di seluruh negeri membabitkan bantuan sama.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Mais lulus bantuan RM7.56 juta menerusi agihan fidyah setakat ini

SHAH ALAM, 29 SEPT: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) meluluskan pemberian bantuan bernilai RM7.56 juta menerusi program agihan fidyah yang dilancarkan sejak 28 Disember tahun lalu.

Pengerusinya berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM4.83 juta selesai diagihkan kepada 33,398 keluarga di seluruh negeri setakat ini membabitkan bantuan pek makanan asas bernilai RM100 setiap satu.

Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menjelaskan kelulusan paling banyak diberikan kepada penduduk yang terkesan dengan pandemik di Petaling dan Klang.

“Diharap sumbangan makanan asas seperti beras, tepung, gula dan minyak masak sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban yang perlu ditanggung setiap ahli keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan sumbangan fidyah kepada Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang Se’Malaysia (GTSM) serta masyarakat Orang Asli Islam di Bangunan Sultan Idris Shah di sini semalam.

Abdul Aziz turut mengajak semua umat Islam di negeri ini yang memerlukan bekalan makanan asas untuk menghubungi mana-mana rakan strategik agihan fidyah (RSAFM).

Menurutnya, mereka terdiri daripada Jabatan Agama Islam (Jais), Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras), Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan, masjid dan surau di daerah terlibat.

“Rakan strategik akan berperanan membantu mengemaskini dan mengesahkan maklumat mereka yang memerlukan selain membantu pengagihan fidyah,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Mais: Warga agama enggan ambil vaksin, bakal berdepan tindakan

SHAH ALAM, 23 SEPT: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengenal pasti individu di bawah seliaannya yang enggan mengambil suntikan vaksin Covid-19 untuk dikenakan tindakan tegas mengikut lunas undang-undang.

Pengerusinya berkata tindakan terhadap guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa), anggota jawatankuasa masjid dan surau, penolong pendaftar perkahwinan, perceraian serta rujuk orang Islam itu selaras titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof menjelaskan perbuatan mengingkari, melanggar dan mempertikai perintah baginda sebagai ketua agama Islam merupakan suatu kesalahan.

Katanya individu terbabit boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau dipenjarakan tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya jika disabitkan.

“Mais kecewa dengan tindakan individu berkenaan yang tidak mengambil suntikan vaksin walaupun pelbagai usaha dibuat pihak Jais (Jabatan Agama Islam Selangor) untuk memastikan mereka berbuat demikian.

“Mais memandang serius perkara ini kerana terdapat sejumlah besar golongan berkenaan berada di bawah seliaan Mais sebagai pihak berkuasa utama dalam pentadbiran agama Islam selepas Sultan Selangor,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata keengganan individu berkaitan mengambil suntikan pelalian hanya akan menggagalkan hasrat kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok selain memudaratkan masyarakat.

“Apatah lagi individu berkenaan menjalankan tugas melibatkan masyarakat di masjid, surau dan sekolah termasuk warga emas serta pelajar.

“Mais menyeru semua masyarakat Islam untuk mengambil vaksin seperti saranan Kementerian Kesihatan dalam memerangi penularan Covid-19 seterusnya melancarkan pelaksanaan pelan pemulihan negara,” kata Abdul Aziz lagi.

Semalam, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa dukacita apabila hanya 203 daripada 873 guru Kafa, ahli jawatankuasa masjid serta jurunikah di Selangor hadir ke Program Vaksinasi Khas Covid-19 petugas hadapan Jais anjuran jabatan itu.

Baginda turut kecewa apabila 96 daripada 203 orang menolak suntikan pelalian Covid-19.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Mais sedia dana tambahan RM4 juta bantu keluarga terkesan Covid-19

SHAH ALAM, 25 OGOS: Peruntukan tambahan sebanyak RM4 juta disediakan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) bagi membantu keluarga terkesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sejak Jun lalu.

Pengerusinya Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata dana melalui program agihan fidyah akan memanfaatkan seramai 40,000 keluarga Islam di seluruh Selangor sehingga akhir tahun ini.

“Sebelum ini kita sudah selesai agihkan peruntukan sebanyak RM3.5 juta dan menyediakan bajet tambahan baharu sebanyak RM4 juta yang akan digunakan sehingga hujung tahun ini untuk meringankan beban mereka yang hilang mata pencarian.

“Bantuan berbentuk makanan dan kewangan disalurkan kepada individu ditimpa kesusahan terutama asnaf fakir dan miskin,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan simbolik penyerahan Jalur Gemilang dan melekat bendera pada kenderaan secara pandu lalu sempena Hari Kebangsaan di lobi Bangunan Sultan Idris Shah di sini hari ini.

Turut hadir Setiausahanya Dr Ahmad Shahir Makhtar, Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir dan Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) Dato’ Mohammad Adib Husain.

Sumbangan kepada individu layak dilaksana dengan kerjasama Rakan Strategik Agihan Fidyah yang terdiri daripada Jabatan Agama Islam Selangor, Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd, Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan, masjid dan surau di daerah terlibat.

Orang ramai yang ingin membuat bayaran fidyah boleh layari laman sesawang www.mais.gov.my atau transaksi http://fpx.mais.gov.my/epay/fidyah.php.

Categories
AGENSI SELANGOR

Mais agih fidyah kepada 306 keluarga terkesan pandemik

SHAH ALAM, 8 OGOS: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengagihkan fidyah kepada 306 keluarga di sekitar Petaling dan Klang yang terkesan Covid-19.

Agensi itu dalam kenyataan di Facebook semalam memaklumkan sejumlah RM30,600 diperuntuk dalam bentuk bantuan makanan asas seperti beras, tepung dan minyak masak bernilai RM100.

“Agihan fidyah kepada penerima ini dengan kerjasama lapan rakan strategik Mais terdiri daripada kariah surau dan masjid di sekitar Petaling dan Klang.

“Terima kasih kepada semua pembayar fidyah dan semoga sumbangan yang diberikan ini dapat membantu meringankan bebanan mereka semua,” katanya.

Masyarakat Islam yang ingin membayar fidyah secara dalam talian boleh berbuat demikian menerusi pautan http://fpx.mais.gov.my/epay/fidyah.php.

Mais memperuntuk sebanyak RM2 juta agihan fidyah bagi membantu 20,000 keluarga Islam yang terkesan akibat pandemik.

Bantuan dikhususkan kepada golongan berpendapatan rendah, individu dibuang kerja, cuti tanpa gaji, dikurangkan gaji sehingga 50 peratus atau yang hilang punca pendapatan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kakitangan sekolah antara 401 penerima bantuan pek makanan Mais

SHAH ALAM, 25 JUN: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyumbangkan pek makanan kepada 401 keluarga sekitar Sabak Bernam dan Kuala Langat yang terkesan akibat Covid-19.

Agensi itu memaklumkan bantuan bernilai RM40,100 meliputi makanan asas seperti beras, tepung, gula dan minyak masak menggunakan peruntukan fidyah Mais.

“Sumbangan turut diagihkan kepada kakitangan sekolah termasuk pengusaha dan pekerja kantin, pekerja pembersihan, tukang kebun, pengawal keselamatan serta ahli kariah yang terkesan.

“Agihan mendapat kerjasama Rakan Strategik Agihan Fidyah Mais (RSAFM) daripada masjid, surau sekolah agama fardu ain (Kafa), Sekolah Rendah Agama Integrasi (Srai) dan maahad tahfiz,” katanya menerusi Facebook semalam.

Sebanyak RM2 juta diperuntuk Mais untuk membantu 20,000 keluarga yang terkesan akibat Covid-19 dengan menumpukan mereka yang dibuang kerja, dicutikan tanpa gaji dan hilang punca pendapatan.

Categories
AGENDA AGENSI

Mais seru umat Islam ambil vaksin, yakin halal dan selamat

SHAH ALAM, 24 JUN: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyeru umat Islam di negeri ini untuk mengambil vaksin sebagai perlindungan daripada wabak Covid-19.

Pengerusinya berkata umat Islam perlu yakin bahawa vaksin ditawarkan kerajaan adalah halal dan melalui proses penilaian ketat dari semua aspek.

“Pihak kerajaan juga telah memberi jaminan bahawa ianya selamat digunakan bagi membentuk imuniti kelompok,” kata Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya tindakan kerajaan dan Kerajaan Negeri menyediakan vaksin adalah usaha murni yang perlu disokong seluruh rakyat.

Selain itu beliau berkata peranan ahli jawatankuasa masjid dan surau di negeri ini juga akan diperkasa bagi membantu meningkatkan tahap kesedaran pendaftaran vaksin di kalangan ahli kariah.

Katanya masjid dan surau bukan sahaja tempat beribadah malah pusat rujukan utama ahli kariah serta penyebaran maklumat sahih kepada masyarakat sekitar mengenai kepentingan mengambil vaksin.

“Walaupun aktiviti bersemuka di masjid dan surau terhad namun aktiviti secara atas talian boleh dilaksana secara meluas seperti bacaan al-Quran, ceramah, tazkirah selain seruan berkaitan pengambilan vaksin.

“Pendekatan ini diharap boleh menimbulkan kesedaran dan kefahaman kepada ahli kariah yang tinggal berdekatan masjid atau surau berkaitan kepentingan mengambil vaksin Covid-19,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Serahan bantuan makanan kepada keluarga terjejas PKP selesai Ogos

KUALA SELANGOR, 22 JUN: Serahan bantuan makanan asas kepada keluarga Islam seluruh negeri yang terkesan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dijangka selesai selewat-lewatnya Ogos depan sejak dimulakan minggu lalu.

Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berkata lebih 2,000 keluarga mendapat bekalan seperti beras, minyak masak, gula dan mi segera setakat ini, Hulu Langat mencatat penerima paling ramai.

“Insya-Allah dengan peruntukan sedia ada, bantuan akan sampai kepada golongan berkenaan yang kebanyakannya hilang punca pendapatan, dibuang kerja dan dikurangkan gaji akibat pandemik. Kita faham sumbangan sangat diperlukan mereka ketika ini.

“Agihan akan terus dibuat selepas senarai nama penerima diperoleh daripada masjid dan surau daerah terlibat termasuk Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK),” kata Dr Ahmad Shahir Makhtar.

Beliau berkata demikian pada program agihan pek makanan kepada petugas barisan hadapan di Dewan Berlian Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam di sini hari ini.

Sementara itu, Dr Ahmad Shahir berkata pihaknya akan membantu keluarga yang layak disenarai sebagai asnaf fakir dan miskin dengan memanjangkan perkara terbabit kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk tindakan sewajarnya.

“Kita mengesan ada keluarga berpendapatan sederhana (M40) turut yang terjejas akibat kekurangan pendapatan sehingga masuk golongan berpendapatan rendah (B40) semasa mengagihkan bantuan baru-baru ini,” katanya lagi.

Sebanyak RM2 juta diperuntuk Mais untuk membantu 20,000 keluarga yang terkesan akibat Covid-19 dengan menumpukan mereka yang dibuang kerja, dicutikan tanpa gaji dan hilang punca pendapatan.

Categories
AGENSI SELANGOR

Mais ajak orang ramai sertai munajat, bacaan yasin hindari wabak

SHAH ALAM, 2 JUN: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengajak orang ramai menyertai program munajat dan bacaan yasin yang diadakan pada setiap malam sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Program dalam talian yang diperkenalkan Ramadan lalu bertujuan memanjatkan doa agar individu dijangkiti Covid-19 sembuh dan wabak terbabit dapat dihindari.

“Mais juga mengajak orang ramai berkumpul bersama keluarga untuk bermunajat dan membaca yasin bagi tujuan sama.

“Terima kasih kepada semua yang bersama Mais dalam mengimarahkan lagi program ini, marilah kita semua terus bermunajat dan berdoa kepada Allah agar penularan Covid-19 dapat segera dibendung,” katanya.

Program munajat itu boleh diikuti di platform media sosial Mais seperti Facebook bermula jam 8 hingga 8.30 malam.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih RM30,000 kutipan fidyah diagih kepada 314 individu

SHAH ALAM, 21 APRIL: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengagihkan RM31,400 kutipan fidyah kepada 314 individu yang layak sekitar daerah Petaling dan Hulu Langat.

Sumbangan barangan makanan kering bernilai RM100 disalurkan menerusi 11 rakan strategik termasuk masjid, surau dan pertubuhan Islam bukan kerajaan (PIBK).

“Antara yang terlibat adalah masjid Seksyen 7 Shah Alam, Amanah Ikhtiar Malaysia cawangan Kepong, Masjid Al-Aman, Masjid Raja Muda Musa Semenyih dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) cawangan Selangor.

“Seramai 314 orang telah menerima sumbangan agihan fidyah dalam bentuk barangan makanan kering seperti beras, minyak masak, bihun, kicap, gula dan sebagainya,” kata agensi itu menerusi Facebook.

Mais berharap sumbangan itu dapat meringankan beban golongan yang tidak berkemampuan khususnya fakir miskin.

“Jutaan terima kasih kepada semua pembayar fidyah di Mais. Bayaran fidyah boleh dibuat secara dalam talian melalui e-MAIS. Sila klik pautan ini http://fpx.mais.gov.my/epay/fidyah.php,” katanya.