Categories
AGENSI SELANGOR

Penguat kuasa menyamar penghantar barang kesan pesalah buang sampah di tapak haram

SHAH ALAM, 1 NOV: Penyamaran penguat kuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebagai penghantar barang berjaya mengesan pesalah membuang sampah di tapak haram di SS5A/3, Petaling Jaya.

Agensi itu berkata suspek terbabit antara tiga individu dikesan melakukan kesalahan berkenaan dan dikompaun RM1,000 pada 28 Oktober lalu.

Menurutnya penyamaran bagi siasatan satu daripada kes itu berjaya mengesan pesalah yang tinggal di Kampung Baru Subang yang terletak luar kawasan pentadbiran MBPJ.

“Berdasarkan maklumat pesalah mengaku bahawa sampah itu adalah miliknya dan perbuatan berkenaan dilakukan anaknya,” katanya di Facebook semalam.

MBPJ berharap tindakan kompaun berkenaan menjadi iktibar kepada orang awam supaya menjaga kebersihan dan membuang sampah di kawasan sepatutnya.

Aduan boleh dibuat menerusi e-mel [email protected], hotline 03 7954 2020, Facebook mbpjaduan, laman sesawang https://embpj.mbpj.gov.my/ aplikasi eAduan MBPJ dan WhatsApp 011 1201 7914 (waktu bekerja sahaja).

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ santuni keluarga asnaf, warga emas dan OKU

SHAH ALAM, 25 APRIL: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyantuni lebih 60 keluarga asnaf, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) sepanjang April ini.

Golongan berkenaan diberi wang tunai RM250, barangan keperluan harian, makanan kesihatan, lampin pakai buang, tilam dan hamper biskut raya.

“Penganjuran program amal ini bertujuan membantu mereka menyambut bulan Ramadan dengan penuh keceriaan terutamanya ketika mengharungi pandemik Covid-19.

“Program ini juga merupakan sebahagian tanggungjawab sosial korporat MBPJ dalam menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan selain mengeratkan hubungan silaturrahim,” katanya di Facebook.

Pada 12 April lalu, MBPJ menyampaikan sumbangan kepada penduduk terpilih di sekitar Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara, PPR Lembah Subang, Desa Mentari, Taman Medan, Taman Dato Harun, Damansara Damai dan beberapa kawasan sekitar Petaling Jaya.

Manakala, Datuk Bandar MBPJ, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar turut menyantuni dan memberi sumbangan kepada empat keluarga asnaf di PPR Kota Damansara.

MBPJ juga akan berkunjung ke PPR Lembah Subang untuk menyumbang kepada tiga keluarga asnaf terpilih minggu depan.

Setiap penerima terpilih ini merupakan golongan B40 yang mempunyai pendapatan kurang RM2,000 dan pemegang status ibu tunggal, warga emas, keluarga yang mempunyai anak ramai serta mempunyai ahli keluarga atau OKU terlantar.

Categories
PBT SELANGOR

PKP: MBPJ tutup taman awam, hutan pendidikan

SHAH ALAM, 14 JAN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menutup semua taman awam dan hutan pendidikan dibawah seliaan mereka.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menerusi kenyataan berkata ia melibatkan Hutan Pendidikan Bukit Gasing, taman awam, taman permainan, taman tasik, padang rekreasi dan Urban Park 1-5.

“Penutupan ini selaras dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bermula semalam hingga 26 Januari,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Senarai taman-taman awam ditutup:

1. Taman Bandaran Kelana Jaya
2. Taman Tasik Komuniti Kelana Jaya
3. Taman Jaya
4. Taman Aman
5. Taman PJS 10
6. Taman Rimba Riang, Kota Damansara
7. Taman Railway
8. Taman Bandar Tasik Mutiara Damansara
9. Taman Padang Kota, Kota Damansara
10. Taman Seksyen 8, Kota Damansara
11. Taman Ara Damansara
12. Taman Ara PJU 1A/29
13. Taman Centre Spine, Bandar Sri Damansara
14. Taman Seksyen 6 Kota Damansara

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ sedia tiga saluran adu masalah jalan rosak

SHAH ALAM, 11 JAN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyediakan tiga saluran aduan kepada orang awam untuk mengemukakan masalah kerosakan jalan raya.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu berkata antara saluran disediakan ialah aplikasi i-Tegur yang dilaksanakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Aplikasi itu boleh dimuat turun menerusi Google Play dan App Store. Kedua, aduan boleh dikemuka menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam.

“Sistem itu boleh dilayari menerusi portal moh.spab.gov.my dan ketiga ialah Waze Smart Pothole Selangor,” kata MBPJ menerusi Twitter.

PBT itu turut memaklumkan orang awam boleh terus mengemukakan aduan kepada hotline MBPJ di talian 03-79542020 atau aplikasi eAduan MBPJ.

“Sementara aduan pada talian WhatsApp iaitu 01112018914 pula dibuka pada waktu dan hari bekerja sahaja,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ kompaun ahli jawatankuasa JMB gagal serah dokumen, laporan kewangan

SHAH ALAM, 19 DIS: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama negeri ini mengenakan kompaun terhadap Badan Pengurusan Bersama (JMB) yang gagal menyerahkan dokumen dan laporan kewangan beraudit kepada Perbadanan Pengurusan (MC).

Unit komunikasi korporatnya berkata menerusi Unit Pesuruhjaya Bangunan (COB), majlis mengkompaun dua ahli jawatankuasa JMB mengikut Peraturan-Peraturan Pengurusan Strata (Pengkompaunan Kesalahan) 2019 dengan nilai kompaun RM12,500 seorang.

“Ini menjadikan COB MBPJ yang pertama di Selangor dan kedua di seluruh Malaysia menjalankan penguatkuasaan kompaun bagi kesalahan mengikut Akta 757.

“Akta ini melalui Pengurusan Strata 2013 menetapkan kompaun boleh dikenakan tidak lebih 50 peratus daripada denda maksimum,” katanya menerusi kenyataan.

Menurutnya lagi tindakan diambil selepas pihaknya menerima aduan kegagalan JMB berkenaan melakukan penyerahan dokumen serta laporan kewangan dalam tempoh ditetapkan.

“Jika kompaun dibayar, maka tiada prosiding akan dikenakan namun jika sebaliknya Pesuruhjaya Bangunan boleh memulakan pendakwaan tanpa notis selanjutnya.

“Penguatkuasaan ini dapat mendidik, memberi kesedaran dan peringatan kepada pemaju, JMB, MC, ejen pengurusan serta pemilik petak supaya menjalankan amanah serta tanggungjawab dengan telus dan berintergriti, mematuhi undang – undang seperti yang termaktub dalam akta tersebut,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ: Pemegang lesen tred, iklan digesa perbaharui permit

SHAH ALAM, 8 DIS: Pemegang lesen tred perniagaan dan iklan di kawasan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) digesa memperbaharui permit 2021 sebelum akhir tahun ini bagi mengelak dikenakan tindakan.

Sekretariat media unit komunikasi korporatnya berkata MBPJ akan mengenakan caj pemprosesan sebanyak RM50 jika pemegang lesen tred dan usahawan mikro berbuat demikian selepas 31 Disember ini.

Jabatan itu menjelaskan pembatalan lesen pula akan dilaksanakan sekiranya pembaharuan lesen tidak dibuat selepas 30 Jun 2021.

“Bagi aktiviti iklan luaran, pemegang lesen yang memperbaharui lesen pada April hingga Jun 2021 dikenakan caj satu peratus daripada kadar lesen dan caj dua peratus sekiranya (Julai hingga September).

“Tindakan mahkamah akan dikenakan sekiranya pembaharuan lesen tidak dibuat sehingga Oktober 2021,” katanya dalam kenyataan semalam.

Pihak berkuasa tempatan itu menambah tindakan dan semakan penguatkuasaan bermula pada 4 Februari tahun hadapan dengan memfokuskan premis tanpa lesen dan pematuhan syarat permit.

Katanya tindakan penguatkuasaan seperti kompaun, notis, sitaan dan pendakwaan akan dilaksanakan jika gagal memenuhi peraturan tersebut.

Sebanyak 28,618 pemegang lesen tred perniagaan dan iklan serta 9,348 lesen penjaja di kawasan MBPJ perlu memperbaharui permit 2021.

Pemegang boleh membuat pembaharuan dan cetakan secara dalam talian menerusi sistem Smart Lesen dengan melayari pautan elesen.mbpj.gov

MBPJ juga menyediakan kaunter perkhidmatan pelanggan di 18 lokasi terpilih bagi membantu pemegang lesen yang mempunyai masalah berkaitan.

Kaunter perkhidmatan seperti berikut:

1. Starling Mall 1 Disember 2020 11 pagi-3 petang
2. 3 Damansara (Tropicana City Mall) 9 Disember 2020 11 pagi-3 petang
3. Giant Kelana Jaya Mall 15 Disember 2020 11 pagi-3 petang
4. Tesco Ara Damansara 18 Disember 2020 11 pagi-3 petang
5. Paradigm Mall 21 Disember 2020 11 pagi-3 petang
6. Jaya Shopping Centre Mall 23 Disember 2020 11 pagi-3 petang
7. One Utama 29 Disember 2020 11 pagi-3 petang
8. Amcorp Mall 31 Disember 2020 11 pagi-3 petang
9. Pasar Awam Kg. Cempaka 2 Disember 2020 9 pagi-12 tengah hari
10. Pasar Malam Taman Medan, PJS 2D 3 Disember 2020 4 petang-7 malam
11. Pasar Awam Jalan Othman 8 Disember 2020 9 pagi-12 tengah hari
12. Pasar Malam SS 2/6 Chow Yang 10 Disember 2020 4 petang-7 malam
13. Pasar Malam Sg Way 14 Disember 2020 4 petang-7 malam
14. Pasar Malam Lorong Masjid 1, Kayu Ara 17 Disember 2020 4 petang-7 malam
15. Pasar Malam Sek 17/1A 22 Disember 2020 4 petang-7 malam
16. Pasar Pagi SS 2 24 Disember 2020 9 pagi-12 tengah hari
17. Pasar Malam SS 2/6 28 Disember 2020 4 petang-7 malam
18. Pasar Malam Medan, Jalan 9 30 Disember 2020 4 petang-7 malam

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ sita 604 premis kendalian warga asing

SHAH ALAM, 30 NOV: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyita dan menutup 604 premis perniagaan dikendalikan warga asing menerusi 100 operasi penguatkuasaan sejak awal tahun sehingga kini.

Datuk Bandar Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata daripada jumlah itu, sebanyak 13 sitaan dan penutupan dibuat ke atas premis berkaitan menerusi lapan operasi penguatkuasaan sepanjang bulan ini.

“MBPJ melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi membanteras aktiviti perniagaan dikendalikan warga asing di sekitar Petaling Jaya.

“Semakan (pemeriksaan) yang dilaksanakan merangkumi aktiviti perniagaan tred tanpa lesen, penjaja dan pasar awam,” katanya dalam perutusan Mesyuarat Majlis Bil.11/2020 hari ini.

Mohd Sayuthi berkata pihaknya akan meneruskan operasi penguatkuasaan bagi memastikan tiada penglibatan warga asing dalam aktiviti perniagaan yang dilarang.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Program kejiranan Petaling Jaya berjaya turunkan kes jenayah

SHAH ALAM, 24 SEPT: Program Pasukan Keselamatan Kejiranan Petaling Jaya (PKKPJ) berjaya menurunkan jumlah kes jenayah sebanyak 5.69 peratus di kawasan terlibat pada 2019.

Statistik yang diperolehi melalui Sistem Pemantauan Bandar Selamat (SPBS) di kawasan Petaling Jaya menunjukkan sebanyak 3,117 kes direkodkan pada tahun lalu berbanding 3,305 kes pada 2018.

“Statistik ini membuktikan bahawa program PKKPJ ini memberikan impak positif terhadap keselamatan kejiranan di Petaling Jaya,” maklum Unit Komunikasi Korporat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dalam kenyataan.

MBPJ menjelaskan PKKPJ ditubuhkan untuk mewujudkan suasana kejiranan setempat yang selamat dengan menggalakkan penglibatan Persatuan Penduduk (RA), Rukun Tetangga (RT) dan Badan Pengurusan Bersama (JMB) dalam program-program serta peka dengan isu keselamatan menerusi pemberian insentif sebanyak RM3,000.

Menurutnya, sebanyak 150 permohonan diterima tahun ini membabitkan 94 RA, 31 RT dan 25 JMB.

Selain itu, MBPJ turut menyampaikan Geran Komuniti Petaling Jaya Mampan kepada Persatuan Penduduk Seksyen 3, Petaling Jaya, Rukun Tetangga (Kejiranan) SS 25 Taman Mayang, KRT SS 25A Petaling Jaya dan Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Samad.

MBPJ berkata pihaknya menerima 158 permohonan geran berkenaan daripada persatuan penduduk, institusi, sekolah, universiti dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Setakat ini sebanyak empat permohonan telah diluluskan dengan jumlah geran sebanyak RM69,500 telah diberikan kepada organisasi yang layak,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ: Rebat cukai taksiran untuk pemilik rumah mesra alam

SHAH ALAM, 17 JULAI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menawarkan Skim Rebat Cukai Taksiran sehingga 100 peratus atau RM500 bagi pemilik rumah mesra alam berkarbon rendah bermula 15 Julai lalu.

Sekretariat Media Unit Komunikasi Korporatnya memaklumkan pemilik rumah yang menjadikan kediaman mereka berkonsep sebegitu daripada aspek tenaga, air, kepelbagaian biologi, pengurusan sisa buangan serta pengangkutan bakal menikmati rebat tersebut.

“Skim ini berlangsung sehingga 16 Oktober depan dengan setiap permohonan dinilai panel penilai bebas dilantik MBPJ dan pemohon layak akan menerima rebat yang akan dikreditkan terus ke dalam akaun cukai taksiran pada tahun hadapan,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, program itu dipilih kerajaan untuk dijadikan sebagai projek perintis pelaksanaan ‘Green Technology Application For Low Carbon Cities’ (GTALCC) iaitu projek pembangunan inisiatif teknologi hijau di Malaysia bersama United Nation Development Programme (UNDP) selama lima tahun.

Ia bertujuan untuk kerajaan Persekutuan merangka strategi memperluaskan pelaksanaan inisiatif berkenaan ke seluruh negara.

MBPJ merupakan satu-satunya pihak berkuasa tempatan (PBT) menawarkan inisiatif itu sejak 2011 dengan jumlah keseluruhan rebat dalam tempoh sembilan tahun sebanyak RM652,068.17.

Sehubungan itu, mereka yang berminat boleh mendapatkan borang permohonan melalui laman sesawang MBPJ: www.mbpj.gov.my atau di kaunter Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam di tingkat 20, Menara MBPJ.

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ: Penduduk akur, tingkatkan jarak sosial

SHAH ALAM, 22 MAC: Kebanyakkan penduduk di Petaling Jaya akur dan mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan berdasarkan pemantauan yang dilakukan sehingga semalam, kata datuk bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata pihaknya mengingatkan semua pihak mematuhi jarak sosial ketika berada di tempat awam terutama ketika berada di pasar dan membungkus makanan di restoran.

“Kesedaran orang ramai melakukan jarak sosial secara sukarela amat penting untuk kita sama-sama mengekang wabak ini,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Setakat ini, Malaysia merekodkan 1,183 kes positif Covid-19 dengan lapan kematian, manakala 114 pulih selepas menjalani rawatan serta kuarantin.

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ edar 38,058 notis beg plastik dicaj 20 sen

PETALING JAYA, 10 FEB: Sebanyak 38,058 notis pemberitahuan kutipan caj beg plastik 20 sen diedarkan di pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya sejak Disember lalu, kata datuk bandarnya.

Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata langkah itu bagi mengelakkan pengusaha membekalkan beg plastik  percuma kepada pelanggan sekali gus mengurangkan penggunaanya.

“Penggunaan beg plastik secara berleluasa tanpa kawalan penyumbang utama dalam penjanaan sampah sisa plastik terutama sektor komersil dan MBPJ membelanjakan RM8. 6 juta bagi kos pelupusan sampah pada tahun lalu,” katanya dalam kenyataan.

Kerajaan Selangor meluluskan pelaksanaan kutipan caj beg plastik melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) bermula 1 Januari 2020 dan disalurkan ke Tabung Amanah negeri untuk program alam sekitar.

Semua premis perniagaan berdaftar di bawah program kutipan caj beg plastik boleh mendapatkan borang di PBT masing-masing dan nombor pendaftaran serta sijil wajib dipamerkan di kawasan mudah dilihat sebagai rujukan kepada pengguna.

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ lancar van, bantu operasi Skuad Pantas

PETALING JAYA, 31 JAN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melancarkan sebuah van bagi kegunaan operasi kecemasan dan bencana Pasukan Tindakan Segera (Pantas).

Van pelbagai guna boleh memuatkan lima orang pada satu masa itu diubah suai ruang dalamannya menjadi pejabat supaya petugas boleh bermesyuarat dari mana-mana lokasi tapak bencana.

“Van ini turut dilengkapi almari penyimpanan pakaian seragam, ruang simpanan dokumen, sistem kamera litar tertutup dan peralatan kelengkapan asas bencana,” kata Datuk Bandarnya Dato’ Mohd Sayuthi Bakar.

Seramai 19 orang anggota Pantas berdaftar di MBPJ dan skuad ini mempunyai sebuah lagi van pelbagai guna, sebuah kenderaan pancuan empat roda, empat buah motorsikal berkapasiti 250 dan 150 cc.

Antara kes kecemasan dan bencana yang dikendalikan skuad itu ialah banjir kilat, tanah runtuh, ribut, pokok tumbang, kemalangan dan kebakaran.