Categories
PBT SELANGOR

MBSA tawar bayaran kompaun letak kereta RM30 hari ini

SHAH ALAM, 24 APRIL: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menawarkan bayaran kompaun RM30 bagi kesalahan tempat letak kereta menerusi program Hari Bertemu Pelanggan hari ini.

Program bermula 11 pagi hingga 4 petang di Plaza Shah Alam, Seksyen 9 turut menawarkan diskaun 50 peratus bagi kompaun terpilih.

Menurut MBSA, orang ramai juga boleh membuat semakan dan bayaran cukai taksiran, kompaun khususnya kompaun trafik serta menerima semakan aduan permohonan ubah suai premis.

“Anda juga boleh merebut peluang membayar kompaun tertunggak dengan diskaun bagi kompaun MBSA ialah 50 peratus (hanya kompaun terpilih sahaja).

“RM30 untuk kompaun perintah pengangkutan jalan (peruntukan tempat letak kereta) MBSA 2007,” maklum agensi di Facebook.

Selain itu, 40 orang yang terawal mendaftar program berkenaan layak menerima cenderahati mangkuk tingkat.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBSA lancar aplikasi periksa kebersihan kedai makan

SHAH ALAM, 6 APRIL: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melancarkan aplikasi pemeriksaan kebersihan kendiri premis makanan berlesen (i-GRED) dalam usaha memastikan restoran sentiasa bersih serta makanan selamat.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata aplikasi itu melibatkan pemeriksaan bersepadu tiga pihak iaitu pengusaha premis, pelanggan dan pegawai pemeriksa majlis.

“Menerusi i-GRED, pengusaha premis perlu mendapatkan maklum balas 30 pengunjung berhubung kebersihan kedai mereka setiap bulan dan menghantar laporan berkenaan kepada MBSA.

“Langkah ini menggalakkan pemilik premis sentiasa peka terhadap tahap kebersihan kedai serta membolehkan penambahbaikan dibuat lebih cepat,” kata Shahrin Ahmad menerusi kenyataan hari ini.

Majlis pelancaran disempurnakan pemangku Datuk Bandar Shah Alam Mohd Rashidi Ruslan.

Jelas Shahrin, MBSA akan mempromosikan premis yang catat kebersihan cemerlang secara konsisten di portal serta laman sosial MBSA.

“Kita sasar 200 premis akan menggunakan aplikasi ini. Setakat ini sebahagian darinya telah menyatakan hasrat untuk menggunakan aplikasi ini.

“MBSA akan terus meningkatkan kesedaran dan ilmu pengetahuan kepada pengusaha premis makanan dan berharap penggunaan aplikasi ini membantu,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MBSA kompaun lima peniaga Pasar Moden Sri Muda

SHAH ALAM, 5 APRIL: Lima kompaun dikeluarkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) terhadap lima peniaga di Pasar Moden Sri Muda Seksyen 25 di sini semalam.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA berkata mereka didapati bersalah kerana gagal mempamerkan label dan tanda harga pada barangan jualan.

Menurut Shahrin Ahmad individu tersebut juga tidak mempamerkan lesen perniagaan dan menjaja di kawasan yang tidak dibenarkan.

“Operasi bersepadu ini bertujuan memastikan pematuhan dari segi kebersihan, kesihatan dan syarat lesen yang ditetapkan agar dipatuhi oleh penyewa pasar.

“Selain itu, peniaga ini juga perlu mengguna alat timbang sukat yang ditentusahkan,” katanya dalam kenyataan.

Shahrin berkata pihaknya berharap penyewa premis mematuhi arahan, menguruskan pasar dengan baik sekali gus dapat membangun ekonomi disamping memberi peluang kepada peniaga kecil kembangkan perniagaan.

“MBSA mengingatkan semua pihak patuhi tatacara operasi piawai (SOP) sepanjang pandemik dan pada masa sama berusaha memutuskan rantaian Covid-19,” katanya.

Operasi semalam turut disertai pegawai dan anggota daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Shah Alam serta Ahli Majlis MBSA.

Categories
EXCO SELANGOR

MBSA PBT pertama wujud pusat transit warga emas

SHAH ALAM, 22 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di negara ini mewujudkan pusat transit untuk warga emas.

EXCO Kesejahteraan Bandar berkata pusat meliputi 12 unit rumah dijangka dibina awal tahun hadapan atas tanah seluas 0.8943 hektar dalam kawasan Kompleks Warga Emas Seksyen 24, di sini.

Rodziah Ismail menjelaskan pusat itu dilengkapi kemudahan seperti pusat riadah, aktiviti keagamaan, sosial dan tempat berehat dengan pengawasan rapi.

“Kita mahu warga emas yang selama ini tinggal bersendirian di rumah dapat melakukan aktiviti di pusat ini selain mengurangkan kebimbangan anak-anak terhadap keselamatan orang tua mereka semasa bekerja.

“Apabila siap kelak, pusat ini mampu menempatkan hampir 100 penghuni pada satu-satu masa membabitkan (warga emas) dari seluruh bandar raya ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis pecah tanah pusat transit berkenaan di sini hari ini yang turut dihadiri Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Haris Kasim dan pengerusi Kelab Warga Emas Shah Alam Dato’ Emran Kadir.

Rodziah yang juga ahli dewan negeri Batu Tiga berkata tiada sebarang bayaran dikenakan kepada anak atau ahli keluarga yang mahu menempatkan orang tua mereka di pusat transit berkenaan.

“Ini merupakan salah satu program tanggungjawab sosial MBSA yang diharap boleh dikembangkan ke seluruh PBT Selangor supaya akhirnya menjadi contoh serta rujukan kepada pihak luar.

“Sekiranya sambutan menggalakkan, kita sedia untuk bangunkan (pusat transit) di zon utara dan selatan Selangor,” katanya.

Rodziah berkata pusat tersebut dijangka memulakan operasi pada 2022.

Categories
PBT SELANGOR

MBSA periksa 4,113 premis, 783 dikompaun

SHAH ALAM, 24 NOV: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memantau 4,113 premis perniagaan bagi memastikan tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dipatuhi.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata daripada jumlah itu sebanyak 104 notis amaran dikeluarkan dan 783 premis dikompaun mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

“Premis tersebut juga dikenakan tindakan mengikut Undang-Undang Kecil (UUK)  Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian, UUK Iklan, UUK Pengendali Makanan  dan UUK Establisymen Makanan, ” kata Shahrin Ahmad ketika dihubungi.

Shahrin berkata MBSA turut memperluaskan aktiviti nyah cemar di premis kediaman, balai polis, pusat komersial sebagai usaha mengekang penularan Covid-19.

Menurutnya, MBSA berharap masyarakat cakna terhadap langkah pencegahan penularan jangkitan Covid-19 demi menjaga kesejahteraan penduduk.

Categories
PBT SELANGOR

Langgar syarat MBSA, dua premis diarah tutup

SHAH ALAM, 16 OKT: Dua premis di Jalan Bukit Naga, Seksyen 32 di sini diarah tutup kerana didapati melanggar syarat dan peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ketua bahagian korporat dan perhubungan awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berkata arahan dibuat ketika pemeriksaan membabitkan sembilan premis perniagaan di kawasan berkenaan.

“Premis pertama disyaki dikendalikan oleh warga asing berikutan pemilik tiada di premis semasa pemeriksaan manakala premis kedua beroperasi tanpa lesen,” kata Shahrin Ahmad dalam kenyataan.

Menurut Shahrin lagi, sebanyak 13 kompaun dikeluarkan antaranya tindakan mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian dan UUK Establisyemen Makanan.

Selain itu, Shahrin berkata MBSA akan terus meningkatkan pemantauan dan kawalan di kawasan pentadbirannya sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Ini bagi memastikan orang ramai mematuhi garis panduan dan tatacara operasi piawai (SOP),” katanya.

Categories
AGENSI PENDIDIKAN SELANGOR

Unisel anjur sambutan Hari Kebangsaan, peluang pelajar hayati merdeka

SHAH ALAM, 27 OGOS: Universiti Selangor (Unisel) menganjurkan sambutan Hari Kebangsaan supaya pelajar generasi baharu dapat menghayati erti kemerdekaan.

Naib Canselornya berkata ia dijalankan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi program Semangat Merdeka Unisel 2020 di kampusnya di sini Selasa lalu.

“Walaupun sudah 63 tahun merdeka, pengisian sambutan harus dilakukan dengan aktiviti bermanfaat termasuk pengisian membina peribadi insan. Malah, kita juga perlu sentiasa ingat tarikh keramat 31 Ogos iaitu bebasnya negara daripada penjajah,” kata Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman menerusi kenyataan di Facebook.

Beliau mengucapkan tahniah kepada pelajar baharu kemasukan Ogos dan menasihatkan mereka mematuhi peraturan serta menumpukan perhatian kepada pelajaran untuk mencipta kecemerlangan.

“Semoga pelajar terus berdisiplin dan tidak mensia-siakan harapan ibu bapa untuk melihat mereka menjadi pelajar cemerlang satu hari nanti,” katanya.

Program diadakan dengan simbolik perasmian majlis iaitu acara memotong riben dan nyanyian lagu Jalur Gemilang oleh kakitangan dan pelajar di perkarangan tempat letak kereta kampus Shah Alam.

Turut hadir Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, wakil MBSA dan pengurusan tertinggi Unisel.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBSA seru pasang Jalur Gemilang bermula 16 Ogos

SHAH ALAM, 7 OGOS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyeru pemilik premis perniagaan, sekolah, kawasan perumahan, bangunan kerajaan dan swasta memasang Jalur Gemilang bermula 16 Ogos ini sempena sambutan bulan kemerdekaan.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata ia bertujuan memupuk semangat patriotik dan cintakan negara dalam kalangan warga kerja dan komuniti.

“Orang ramai dilarang menggunakan bendera yang lusuh dan koyak bagi menerapkan rasa bangga dan cintakan negara,” kata Shahrin Ahmad dalam kenyataan.

Shahrin berkata, bagi menyemarakkan sambutan kemerdekaan kali ke-63, MBSA turut melancarkan Kempen Kibarkan Jalur Gemilang 2020 dengan memasang bendera pada 30 kenderaan milik majlis dan pelbagai agensi.

Ia termasuk Jabatan Kerja Raya Selangor, Jabatan Pengairan dan Saliran, Tourism Selangor, Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara Selangor, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Hospital Shah Alam dan Bomba Selangor.

Kempen berkenaan dirasmikan Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Haris Kasim di Dataran Shah Alam, Seksyen 14, di sini, semalam.

Categories
PBT SELANGOR

Conteng mural: MBSA buat laporan polis, cat semula dinding bangunan

SHAH ALAM, 20 JULAI: Satu laporan polis dibuat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini susulan kejadian vandalisme membabitkan lukisan mural pemimpin negara di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12, di sini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata laporan dibuat jam 11 pagi tadi di Balai Polis Seksyen 6 untuk tindakan lanjut.

“MBSA kesal kerana mural tersebut diabadikan sebagai menghargai peranan dan sumbangan mereka yang bekerja keras menangani wabak Covid-19.

“Laporan polis dibuat pagi tadi, kami turut mengecat semula bangunan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mural tersebut memaparkan wajah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ketua pengarah kesihatan.

Turut dipaparkan dalam barisan tersebut ialah Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Hal Ehwal Agama Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib mengesahkan laporan dan siasatan dibuka mengikut Seksyen 504/427 Kanun Keseksaaan.

“Orang awam yang mempunyai maklumat boleh hubungi Asisten Superintendan Yong Meng Heng di talian 019-5753399,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBSA: Unit Road Gang pantau, atasi jalan rosak

SHAH ALAM, 6 JULAI: Aduan jalan rosak dan berlubang skala kecil di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) diselesaikan petugas dari Unit Road Gang pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Ketua bahagian korporat dan perhubungan awamnya berkata pasukan itu dibekalkan alat pemadat tangan (hand compactor) dan batu tar sejuk (coldmix) untuk kerja tampalan sementara.

“Pasukan yang ditugaskan memantau aduan ini terdiri daripada pegawai di Jabatan Kejuruteraan kami. Mereka akan membuat kerja tampalan jalan berlubang berskala kecil menggunakan peralatan disediakan,” kata Shahrin Ahmad.

Bagi kerosakan besar, Shahrin berkata MBSA melantik kontraktor secara tender atau sebut harga bagi menyelesaikan aduan.

“Kita sentiasa memberi tumpuan terhadap aduan berkaitan perkhidmatan perbandaran termasuk jalan berlubang yang perlu diperbaiki,” katanya.

Sebarang aduan berhubung kerosakan jalan di sekitar Shah Alam boleh hubungi talian bebas tol 1-800-88-4477.

Categories
PBT SELANGOR

Operasi tanpa permit, lima premis warga asing diarah tutup

SHAH ALAM, 10 MEI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengarahkan lima premis milik warga asing ditutup serta-merta dalam operasi di Kampung Baru Hicom, Seksyen 26 hari ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya Shahrin Ahmad berkata penutupan membabitkan dua kedai runcit, kedai makan (satu), kedai gunting rambut (satu) dan kedai jam (satu) yang diuruskan warga asing tanpa permit.

“Sebanyak 12 kompaun dikeluarkan, lapan kompaun mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), tiga kompaun dikeluarkan di bawah Undang-Undang Pelesenan Tred, Perniagaan Dan Perindustrian (MBSA) 2007 dan satu kompaun di bawah Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan (MBSA) 2007,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrin berkata operasi disertai anggota dari Ibu Pejabat Polis Shah Alam, Balai Polis Sri Muda dan Pondok Polis Taman Alam Megah turut membawa kepada penahanan 11 warga asing untuk siasatan lanjut.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua pihak mematuhi arahan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) supaya dapat memutuskan rantaian Covid-19 dan mematuhi peraturan serta syarat ditetapkan MBSA.

Categories
PBT SELANGOR

Ingkar arahan PKP, 54 individu termasuk 14 wanita ditahan

SHAH ALAM, 12 APRIL: Seramai 54 individu ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa lokasi sekitar Sungai Buloh lewat malam tadi.

Mereka yang terdiri daripada 40 lelaki serta 14 wanita diberkas sekitar kawasan Kampung Merbau Sempak, Kampung Kubu Gajah dan Kampung Paya Jaras dalam Operasi Bersepadu Pematuhan PKP fasa dua.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berkata semua individu tersebut dibawa ke balai polis Sungai Pelong dan ibu pejabat polis daerah Sungai Buloh.

“Kesemua mereka dikenakan kompaun mengikut Akta 171 Seksyen 109 kerana gagal mematuhi notis atau perintah.

“MBSA menasihatkan warga Shah Alam untuk kekal berada di rumah dan patuh kepada PKP,” kata MBSA dalam kenyataan di Facebook.