Categories
PBT SELANGOR

MDKL hargai peranan media sampaikan maklumat

KUALA LANGAT, 29 FEB: Peranan Media Selangor dalam melaporkan berita mendapat penghargaan apabila 12 kakitangan mengungguli Anugerah Media bagi kategori media cetak dan televisyen daripada Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL).

Lima kakitangan itu terdiri daripada akhbar SelangorKini iaitu Penolong Pengarang, Hafizan Taib, Wartawan Kanan, Nazli Ibrahim, Ketua Wartawan, Mohamad Nor Syafiq Mohamad Redzuan serta Wartawan Norhayati Umor dan Wan Muhammad Zareef Muzammil Wan Zulfikri.

Manakala TV Selangor dianugerahkan kepada Penolong Penerbit, Anna Farina Abdul Rauf, Ahmad Nahar Sulaiman dan Ashkhairul Zafrishah Mohd Ashraf termasuk Jurukamera, Hanafi Mohamed, Razif Mat Arbak, Muhammad Naim Abu Bakar serta Wartawan Penyiaran, Siti NoorAminah Othman.

Selain Media Selangor, beberapa media lain turut sama diberikan pengiktirafan pada Majlis Penghargaan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2019 MDKL di Dewan Sri Jugra, Telok Datok di sini semalam.

Mereka menerima sijil penghargaan dan wang saguhati yang disampaikan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pengurusan), Dato’ Zamani Ahmad Mansor dan Yang Dipertuanya, Mohamad Zain A Hamid.

Mohamad Zain dalam ucapan berkata pengiktirafan itu sebagai menghargai agensi media yang banyak membantu dalam menyalurkan maklumat berhubung aktiviti dan program dilaksanakan pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit.

“Tugas pengamal media masa kini amat mencabar seiring dengan kepesatan dan pembangunan negeri serta negara.

“Justeru, mereka wajar diberi penghargaan atas kerjasama dan sokongan terhadap Kerajaan Negeri umumnya dan MDKL khususnya,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MDKL: Bayar cukai, menang hadiah

KUALA LANGAT, 16 JAN: Pemegang harta di Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah keseluruhan bernilai RM60,000 dalam kempen Jom Jelas Cukai Taksiran 2020.

Yang Dipertuanya Mohamad Zain A Hamid berkata tawaran itu diberikan kepada mereka yang melangsaikan cukai taksiran setahun sebelum atau pada 29 Februari ini.

“Pembayaran dibuat di kaunter utama ibu pejabat MDKL dan pejabat cawangan di Bandar Saujana Putra yang dibuka setiap hari bermula 8 pagi hingga 4 petang, manakala Sabtu dan Ahad (9 pagi hingga 1 petang).

“Bayaran juga boleh dibuat secara dalam talian, semua kaunter pihak berkuasa tempatan, pejabat tanah dan daerah seluruh Selangor, pejabat pos, kaunter bank terpilih dan Jompay,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya kutipan cukai membantu MDKL menguruskan kutipan sampah domestik, pembersihan kawasan dan menyelenggara infrastruktur.

Categories
PBT SELANGOR

Dua PBT sedia bina kawasan merokok, tunggu panduan KPKT

SHAH ALAM, 10 JAN: Dua pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini sedia menyediakan kawasan khas merokok seperti yang dicadangkan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin baru-baru ini.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Rahilah Rahmat berkata pihaknya akan mengenal pasti kawasan sesuai untuk dijadikan kawasan khas merokok di tempat awam.

Katanya, model dan konsep yang bersesuaian termasuk projek perintis Senario Ampang dan Santai@Ampang oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) juga akan diteliti.

“MDKS menyambut baik penyaluran peruntukan berkenaan dan akan mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk melaksanakannya,” katanya kepada SelangorKini.

Rahilah bagaimanapun berkata sebarang pembinaan struktur kekal ruangan khas merokok yang mahu didirikan oleh pemilik restoran perlu menggunakan modal sendiri dan memohon kelulusan daripada MDKS.

“Sebarang kelulusan akan tertakluk kepada garis panduan yang bakal dikeluarkan oleh KPKT,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat Mohamad Zain A Hamid berkata pihaknya mengalukan cadangan baharu terbabit dan menunggu garis panduan yang ditetapkan KPKT.

“Setakat ini, kita belum ada apa-apa perancangan untuk menyediakan tempat merokok yang khusus tetapi kita bersedia laksanakannya jika garis panduan dikeluarkan nanti,” katanya.

Manakala, Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam Shahrin Ahmad pula berkata perkara berkenaan akan dibincangkan terlebih dahulu supaya tindakan selanjutnya dapat dilakukan.

Pada 7 Januari lalu KPKT mengumumkan peruntukan sebanyak RM5,000 kepada PBT yang mengemukakan permohonan membina kawasan khas merokok di tempat awam.

Categories
PBT SELANGOR

Mahkamah denda individu bina bangunan tanpa kebenaran RM10,000

BANTING, 9 JAN: Seorang individu didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Telok Datok selepas mengaku bersalah atas kesalahan membina bangunan tanpa kebenaran di lereng bukit di sini.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohamad Zain A Hamid berkata, pengakuan bersalah itu direkodkan di hadapan Pegawai Pendakwa MDKL, Hazrizal Abdul Rahim pada 7 Januari lalu.

Selain denda maksimum, Mohamad Zain berkata kesalahan dibawah Seksyen 70(13)(c) Akta 133, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 terbabit juga memperuntukkan hukuman penjara dua bulan dan arahan merobohkan bangunan terbabit dalam tempoh 12 bulan dari tarikh pendakwaan.

“Mana-mana pemilik, pengusaha atau pemaju yang tidak patuh pada undang-undang wajar diambil tindakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya pendakwaan terbabit perlu dijadikan iktibar bagi mendidik masyarakat supaya patuh pada peraturan ditetapkan, sekali gus menjaga keharmonian sekeliling dan alam sekitar.

“Sehubungan itu, saya menegaskan bahawa sesiapa sahaja yang ingin membina, mendirikan atau mengubah suai bangunan perlu mendapatkan kebenaran MDKL,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

JAKESS anjur Seminar Kefahaman Undang-undang Syariah

SHAH ALAM, 23 NOV: Seramai 500 peserta menyertai Seminar Kefahaman Undang-undang Syariah Siri ketiga peringkat Kuala Langat di Kompleks Sukan Majlis Daerah Kuala Langat, di sini, hari ini.

Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) dalam kenyataan memaklumkan, seminar itu dianjurkan sebagai usaha memberi kesedaran dan kefahaman yang betul berhubung hak diperuntukkan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 dan Akta Keganasan Rumahtangga 1994 [Akta 521].

Katanya, ia juga antara inisiatif JAKESS bagi memberi kefahaman kepada umum bagi membendung kes penganiayaan terhadap wanita dan kanak-kanak.

“Usaha ini diambil berikutan kadar kefahaman masyarakat Islam terhadap perundangan Syariah masih berada di tahap yang sangat rendah.

“Selain itu, ia juga bagi membendung daripada berlakunya penganiayaan khususnya kepada isteri dan anak-anak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Program yang bermula dari jam 8 pagi hingga 12.30 tengahari itu mengupas dua topik utama iaitu Pembubaran Perkahwinan Menurut Undang-undang Keluarga Islam dan Hak-hak Selepas Penceraian.

Selain ceramah, turut diadakan pameran serta kaunter rundingcara berkenaan perundangan dan kehakiman syariah.

Manakala, peserta pula terdiri daripada kalangan penjawat awam dan swasta, guru, imam dan nazir masjid, badan bukan kerajaan, pelajar dan orang awam dari sekitar Kuala Langat.

Categories
AGENSI PBT SELANGOR

Pemilik tanah, kilang diberi tempoh setahun laksana pemutihan

BANTING, 20 NOV: Pemilik tanah dan pengusaha kilang berdaftar di daerah Kuala Langat diberi tempoh selama setahun untuk memulihkan atau membuat permohonan tukar kategori syarat tanah bermula sejak 1 Oktober lalu hingga 30 September tahun hadapan.

Pegawai Daerahnya, Mohd Jusni Hashim berkata, tempoh itu dipersetujui di bawah Program Pematuhan Syarat dan Penguatkuasaan Kilang Tanpa Kebenaran (PPSPKTK) membabitkan beberapa kaedah pelaksanaan.

“Bagi tempoh pemutihan, pemilik perlu memulihkan tanah dengan mengembalikan keadaan tanah mengikut kategori dan syarat nyata seperti dalam hak milik.

“Selain itu, tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) dan agensi berkaitan terhadap semua pemilik berdaftar sama ada berada di dalam atau luar zon perindustrian.

“Tindakan secara bersepadu ini turut dilakukan terhadap kilang yang dibina di atas tanah kerajaan terutama rizab sungai, jalan dan kawasan lapang.

“Insentif sehingga 30 peratus daripada jumlah premium akan diberikan kepada pemilik sekiranya permohonan dibuat mengikut tempoh masa ditetapkan,” katanya pada program PPSPKTK, di Kompleks Sukan MDKL, di sini hari ini.

Mohd Jusni berkata, pihaknya akan mengeluarkan notis supaya menunjukkan sebab, selain tindakan merampas tanah sekiranya didapati pemilik ingkar melakukan pemutihan selepas tamat tempoh setahun itu.

“Saya menyeru semua pemilik berdaftar tanah dan pengusaha kilang mengambil peluang kali ini untuk memutihkan kilang tanpa kebenaran supaya selari dengan dasar Kerajaan Negeri untuk menyediakan ruangan industri yang menepati serta mematuhi segala perundangan terpakai.

“Langkah ini juga bagi meningkatkan produktiviti dan persaingan sihat antara semua pemain industri,” katanya.

Sebelum ini, PPSPKTK dinamakan Program Pemutihan Kilang Tanpa Kebenaran (PPKTK) yang bermula pada Julai 2006 sehingga 31 Disember 2015 dan disambung sebanyak enam kali dalam tempoh itu.

Untuk rekod sepanjang tempoh PPKTK, hanya 630 kilang berjaya diputihkan daripada keseluruhan kira-kira 2,885 kilang yang dibina di atas 2,638 lot tanah pertanian mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Categories
EXCO SELANGOR

MPKL tumpu bina terminal bas serba lengkap

SHAH ALAM, 14 NOV: Selepas mendapat status penaik tarafan sebagai Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), kini tiba masa pihak berkuasa tempatan (PBT) itu memberi sepenuh tumpuan terhadap usaha pembinaan sebuah terminal bas yang dilengkapi pelbagai kemudahan.

Yang Dipertuanya, Mohamad Zain A Hamid berkata, pihaknya sudah mengenal pasti tapak terminal bas itu yang terletak bersebelahan pasar awam Banting.

“Tapak sudah ada, cuma bangunan terminal belum ada lagi dan sekarang kita sedang mengukur tapak berkenaan bagi tujuan pembinaan.

“Kita juga akan berusaha mencari dana pembinaan daripada beberapa pihak termasuk kementerian dan Kerajaan Negeri,” katanya ketika dihubungi SelangorKini, hari ini.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Amirudin Shari ketika di sidang Dewan Negeri Selangor memaklumkan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) berjaya menukar statusnya kepada majlis perbandaran.

Katanya, perkara berkenaan disahkan melalui surat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 31 Oktober lalu.

Mengulas lanjut, Mohamad Zain berkata, pihaknya komited untuk terus meningkatkan segala kemudahan di kawasan pentadbiran terbabit bagi memastikan keselesaan penduduk terjamin sepanjang masa.

“Saya berterima kasih dengan pengumuman dibuat beliau (Amirudin Shari) berhubung status penaik tarafan MDKL kepada MPKL.

“Kita berada pada tahap bersedia sepenuhnya dengan penaik tarafan ini,” katanya.

Sehingga kini, Selangor mempunyai dua majlis bandaraya termasuk Shah Alam dan Petaling Jaya serta enam majlis perbandaran (Subang Jaya, Selayang, Ampang Jaya, Klang, Kajang dan Sepang).

Sementara itu majlis daerah ialah Hulu Selangor, Sabak Bernam, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Categories
PBT SELANGOR

MDKL denda dua pemaju ingkar garis panduan

BANTING, 17 OGOS: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) mendenda dua syarikat pemaju akibat tidak mematuhi garis panduan mendirikan struktur bangunan ditetapkannya, baru-baru ini.

Pihak Berkuasa Tempatan itu mendakwa kedua-dua syarikat pemaju mengikut Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172),

Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid berkata, pihaknya kesal dengan tindakan segelintir mereka tidak bertanggungjawab mendirikan struktur bangunan tanpa kebenaran secara tidak langsung mengabaikan aspek keselamatan.

Katanya, kelulusan itu amat diperlukan bagi memastikan setiap struktur bangunan dibina menepati piawaian atau garis panduan ditetapkan bagi menjamin keselamatan semua.

“MDKL memandang berat aktiviti pembinaan bangunan tanpa kebenaran dan kini kami dalam proses mengambil tindakan terhadap pemilik tanah yang melakukan kesalahan pemajuan bercanggah dengan Rancangan Tempatan Kuala Langat.

“Kami menyeru pihal berkaitan dalam aktiviti pemajuan tanpa kebenaran, untuk hadir ke Jabatan Perancangan Pembangunan, MDKL sebelum tindakan mahkamah diambil,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Terdahulu, dalam kes pertama, Syarikat Green Prosperity International Sdn Bhd didakwa di Mahkamah Majistret Telok Datok, di atas kesalahan mendirikan struktur bangunan tanpa kebenaran mengikut Seksyen 70 (13) (C) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

Syarikat itu dijatuhi hukuman denda oleh mahkamah sebanyak RM8,000 atau satu bulan penjara berserta satu perintah temesti mahkamah untuk merobohkan struktur berkenaan dalam tempoh 10 bulan.

Manakala, bagi kes kedua, Kenwingston Pristine Sdn Bhd didakwa membabitkan kesalahan pemajuan membabitkan tanah dan bangunan tanpa mengikut Rancangan Tempatan bawah Seksyen 18 (1) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) dan disabitkan kesalahan bawah Seksyen 26(1)(a) Akta sama.

Mahkamah Majistret Teluk Datok kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM15,000 ke atas Kenwingston Pristine, atau penjara lapan bulan jika gagal membayar denda.

Categories
PBT SELANGOR

Jom meriahkan Pesta Morib September ini

BANTING, 2 OGOS: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) bakal menganjurkan Pesta Morib 2019 selama tiga hari di Pantai Morib di sini, mulai 14 hingga 16 September ini.

Yang Dipertuanya, Mohamad Zain A Hamid berkata, pesta bermula dari jam 8 pagi sehingga 12 tengah malam turut menyajikan lebih 15 acara menarik berkonsepkan udara, laut, dan darat boleh disertai pelbagai lapisan masyakat yang hadir di pesta terbabit.

Katanya, penganjuran Pesta Morib itu akan merancakkan lagi sektor pelancongan yang terdapat di daerah ini sekali gus memberi peluang kepada pihak majlis dan penduduk beramah mesra.

“Penganjuran Pesta Morib juga memberi peluang meningkatkan ekonomi penduduk setempat melalui peluang perniagaan yang akan diadakan.

“Sebanyak 29 khemah jualan menawarkan pelbagai barangan antaranya seperti makanan, minuman, pakaian dan produk industri kecil sederhana (IKS) yang diharap dapat membantu sedikit sebanyak penduduk di daerah ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, katanya, sambutan Hari Malaysia turut diadakan dengan pelbagai pengisian acara menarik seperti persembahan nyanyian dan kebudayaan manakala keesokan harinya akan dilangsungkan Morib Fun Run 2019.

Mohamad Zain berkata, antara acara yang akan dijalankan adalah seperti gerai jualan pertanian dan IKS, pameran serta jualan hartanah Kuala Langat, soopa doopa, ‘toys fair’, pertandingan beyblade, bola sepak pantai, sukaneka rakyat seperti tarik tali, tuju tin, panjat tiang licin, pukul bantal dan layang-layang.

“Selain itu, turut diadakan pameran motor klasik, persembahan tarian tradisional, kebudayaan, kejohanan paragliding terbuka jugra 2019, pertandingan permainan tradisional seperti congkak, kabadi dan xianggi, pertandingan ragbi 10 sebelah, pertandingan memancing, pertandingan membina istana pasir, pertandingan mewarna, sambutan Hari Malaysia, Morib Fun Run 2019 dan juga pertandingan wau tegak.

“Oleh itu, seluruh masyarakat khususnya penduduk daerah ini dijemput untuk hadir beramai-ramai bagi memeriahkan acara ini,” katanya.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan sebarang maklumat mengenai Pesta Morib 2019 boleh menghubungi Unit Korporat Dan Perhubungan Awam di talian 03-3180 3694 dan Jabatan Pembangunan Masyarakat (03-3180 3140).

Categories
SELANGOR

MDKL: Tiada lagi kutipan sisa pukal dan kebun

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 10 JUL: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) mengumumkan tiada lagi kutipan sisa pukal di kawasan pentadbirannya selepas ini.

MDKL dalam kenyataan memaklumkan, ia berikutan sisa pukal itu tidak termasuk dalam skop kerja kutipan sampah di kawasan terbabit.

Katanya, sisa pukal itu antaranya termasuklah tilam, perabot, barangan elektronik, tayar buruk dan sisa kebun.

“MDKL hanya menyediakan perkhidmatan kutipan sisa domestik yang dilaksanakan setiap tiga kali seminggu.

“Oleh itu, MDKL tidak akan membuat sebarang pembersihan terhadap sisa pukal yang ditinggalkan bersama sisa domestik,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, MDKL turut mengingatkan orang ramai yang ingin membuang sisa pukal dan kebun menghubungi Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan Persekitaran MDKL di talian 03-3180 3154 untuk maklumat lanjut.

Categories
SELANGOR

‘Morib Fun Run 2019’ tawar hadiah wang tunai, telefon pintar

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BANTING, 22 JUN: Orang ramai berpeluang meraih hadiah wang tunai dan telefon pintar menerusi acara larian ‘Morib Fun Run 2019’ anjuran Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) di Dataran Pantai Morib, di sini, pada 16 September.

MDKL dalam kenyataan memaklumkan, penyertaan masih dibuka kepada semua yang berminat sehingga ‪30 Ogos‬ dengan bayaran penyertaan serendah RM30.

“Semua peserta larian sejauh lima kilometer ini akan menerima baju-T dan medal serta hadiah wang tunai bernilai RM150 (pertama) RM100 (kedua) dan RM50 (ketiga).

“Peserta turut berpeluang memenangi sebuah telefon pintar, sebuah televisyen bersaiz 40 inci dan lima buah basikal dalam cabutan bertuah,” katanya.

Pendaftaran secara dalam talian masih boleh dibuat di www.runaway.com.my atau hubungi Jabatan Pembangunan Masyarakat di ‪03-3180 3140‬ untuk sebarang maklumat lanjut.

Categories
PBT SELANGOR

MDKL tawar RM100 lapor aktiviti pembuangan sampah haram

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BANTING, 17 JUN: Ganjaran wang tunai RM100 menanti pemberi maklumat berhubung aktiviti pembuangan sampah haram di kawasan pentadbiran Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL).

Yang Dipertuanya, Mohamad Zain A Hamid berkata, tawaran itu antara lain bagi mengekang aktiviti berkaitan di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit.

“Pemberian ganjaran kepada pemberi maklumat ini terbuka kepada warganegara Malaysia.

“Ganjaran berbentuk wang tunai bernilai RM100 akan diberikan apabila pelaku kesalahan yang membuang sampah secara haram diberikan kompaun dan notis tawaran kompaun berkenaan telah dibayar serta ganjaran ini hanya akan diberikan membabitkan kenderaan berat sahaja seperti lori bermuatan satu tan ke atas,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pemberi maklumat perlu mengisi borang disediakan di Unit Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MDKL serta bersetuju menjadi saksi di mahkamah jika kes terbabit dibawa ke peringkat perbicaraan.

Katanya, sebagai pembuktian, pemberi maklumat perlu mengambil gambar, lokasi, nombor pendaftaran kenderaan, tarikh kejadian, masa kejadian yang jelas bila aktiviti pembuangan sampah haram terbabit dilakukan.

“Maklumat disampaikan kepada MDKL adalah menggunakan asas aduan yang pertama diterima (first-come basis) dengan mengambil kira maklumat lengkap, tepat dan sahih.

“Rondaan bagi pemantauan serta penguatkuasaan dilakukan setiap hari hasil daripada kerjasama orang awam yang memberikan maklumat serta aduan,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Mohamad Zain turut mengingatkan masyarakat untuk sentiasa menjaga dan memelihara kebersihan selain bekerjasama menyalurkan maklumat supaya aktiviti pembuangan sampah haram dapat dibendung.

Katanya, mentaliti dan sikap tidak bertanggungjawab amat mendukacitakan banyak pihak dalam usaha memastikan penduduk menikmati satu kehidupan yang bersih serta terhindar daripada pencemaran alam sekitar.

“Kita akan meneruskan segala tenaga dan usaha bagi menangkap serta mendakwa mereka yang didapati membuang sampah haram.

“Hanya dengan tindakan maksimum tanpa kompromi diharapkan dapat membebaskan daerah ini daripada masalah berkenaan,” katanya.