Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan perkenan MDKS dimasyhur sebagai perbandaran

SHAH ALAM, 7 OGOS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj memperkenan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dimasyhur sebagai perbandaran bermula hari ini.

Yang dipertua Rahilah Rahmat menjelaskan kejayaan mendapat pewartaan itu hasil sokongan dan kepercayaan diberi semua pihak selepas 43 tahun berstatus daerah.

“Tidak dinafikan sepanjang tempoh berkenaan, banyak cabaran didepani namun dianggap sebagai lumrah sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana paling penting memberikan perkhidmatan berorientasikan pelanggan, mesra pelabur dan mengutamakan masyarakat setempat.

“Justeru, saya menghargai usaha ditunjukkan semua warga kerja selama ini, pembaharuan kali ini memerlukan pengurusan perubahan bagi memenuhi tuntutan dan kehendak semasa pemegang taruh,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena menjunjung titah Sultan Selangor bagi pengisytiharan Majlis Perbandaran Kuala Selangor yang disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari secara maya hari ini.

Rahilah berkata beberapa program sambutan sempena penaik tarafan itu terpaksa ditangguhkan sementara berikutan Kuala Selangor masih tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama.

“Insya-Allah, sekiranya daerah ini mencapai imuniti kelompok dan diberi kelonggaran dalam sedikit masa lagi, beberapa program akan dilaksanakan sebagai tanda penghargaan atas sokongan serta kerjasama pelbagai pihak,” katanya.

Pada majlis itu, MPKS turut memperkenalkan logo baharu memaparkan rumah api yang menjadi mercu tanda Kuala Selangor selain lagu bertajuk Majlis Perbandaran Kuala Selangor dan video korporat.

MDKS ditubuhkan pada 6 Februari 1978 melalui gabungan lima majlis tempatan merangkumi Kuala Selangor, Tanjong Karang, Batang Berjuntai, Ijok dan Jeram.

Sejak penubuhannya, PBT itu melalui beberapa siri perluasan kawasan pentadbiran meliputi keluasan 119,452.46 hektar mengikut pelan warta 1414 bertarikh 28 Februari 2006.

Setakat ini penduduk Kuala Selangor dianggarkan berjumlah 273,728 orang dan dijangka meningkat kepada 303,444 pada 2025 berdasarkan unjuran pertumbuhan sebanyak 2.61 peratus setahun.

Categories
PBT SELANGOR

MDKS tambah enam lokasi baharu bazar Ramadan, dua bazar Raya

SHAH ALAM, 31 MAC: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) menambah enam lokasi baharu bazar Ramadan dan dua bazar Raya bagi memenuhi permintaan penduduk setempat menjalankan perniagaan.

Pertambahan itu menjadikan jumlah lokasi bazar Ramadan disediakan pihak berkuasa tempatan tersebut adalah 14 membabitkan 289 petak dan 10 lokasi bazar Raya dengan 345 petak.

“Lokasi baharu bazar Ramadan terletak di hadapan Pasaraya Tesco, Kuala Selangor membabitkan 30 petak; hadapan Pasaraya Sakan, Tanjong Karang (60); Fasa 2, Naluri Sukma dan Fasa 3, Astana Alam, Puncak Alam masing-masing 40 petak; hadapan Pasar Awam Sungai Buloh (10) serta eKitchen Dewan Bandar Baru, Kuala Selangor (20).

“Sebanyak 110 petak lokasi baharu bazar Raya disediakan iaitu 60 daripadanya berhadapan Pasaraya Sakan, Tanjong Karang manakala baki di tapak Pasar Pagi Sungai Buloh,” katanya di Facebook.

Menurut MDKS, keutamaan diberi kepada penjaja berlesen di tapak sedia ada, pemohon bebas daripada sebarang kompaun MDKS dan mendaftar dengan aplikasi Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) jika lulus permohonan.

“Peniaga yang berjaya diingatkan untuk sentiasa menjaga tatacara operasi piawai (SOP) Covid-19 dan sekiranya ingkar, permit perniagaan akan dibatalkan serta-merta,” katanya.

Permohonan kedua-dua bazar dibuka bermula semalam sehingga 2 April melalui sistem dalam talian https://iservices.mdks.gov.my.

Categories
PBT SELANGOR

Lebih 200 sertai pertandingan e-sukan anjuran MDKS

SHAH ALAM, 19 MAC: Kira-kira 300 peserta dijangka sertai Kuala Selangor E-Games Festival 2021 yang bermula esok.

Presiden Dxstream Esports Club, Abdul Aziz Shari berkata sebanyak tiga kategori e-sukan dipertandingkan iaitu Mobile Legends, PlayerUnknown’s Battlegrounds (PuBG) dan FIFA21.

“Setakat ini kita telah terima lebih 200 penyertaan untuk keseluruhan kategori. Bagi PuBG tarikh penyertaan telah ditutup.

“Namun, Mobile Legends dan FIFA21 masih dibuka pendaftaran sehingga tiga hari sebelum pertandingan bermula,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, seramai 144 peserta bakal berentap dalam PuBG esok.

Kuala Selangor E-Games Festival 2021 anjuran Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) itu menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM8,000.

Untuk pendaftaran dan maklumat lanjut boleh menghubungi 011-1192 6202 (Hical) atau klik di pautan berikut:

Mobile Legends: https://www.mesf.gg/…/kuala-selangor-e-games-festival

FIFA21: https://www.mesf.gg/…/kuala-selangor-e-games-festival

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MDKS, UiTM jalin kerjasama laksana program bermanfaat

SHAH ALAM, 25 DIS: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) menjalin kerjasama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi melaksana pelbagai program bermanfaat di daerah itu.

Yang dipertuanya Rahilah Rahmat berkata kerjasama julung kali merangkumi bidang akademik, kebudayaan, penyelidikan, inovasi dan pelancongan.

“Kerjasama MDKS dan UiTM menjadikan Kuala Selangor sebagai sebuah bandar yang mampu mengekalkan kelestarian pembangunan sosial, ekonomi serta fizikal.

“Usaha murni ini medan terbaik memecahkan tembok dan merapatkan jurang antara dua pihak membantu melahirkan generasi serta masyarakat berdaya saing,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Kelmarin, Rahilah mewakili pihak berkuasa tempatan itu menandantangani memorandum persefahaman (MoU) bersama rektor UiTM cawangan Selangor Prof Dato’ Dr Abu Bakar Majeed.

Beliau berkata permeteraian MoU antara kedua-dua pihak diharap mampu membentuk aspirasi pembangunan dan persekitaran kondusif kepada rakyat Kuala Selangor.

Katanya aspek tersebut membabitkan pembangunan ekonomi hijau, pemeliharaan alam sekitar, penyelidikan, pembangunan desa, inovasi, warisan dan sejarah serta pelancongan selaras visi perbandaran lestari masyarakat sejahtera,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

35 belia wanita sertai Kem Motivasi Remaja ‘Zero to Hero’

SHAH ALAM, 27 SEPT: Seramai 35 belia wanita terdiri daripada penuntut Kolej Antarabangsa Inpens dan Kolej Antarabangsa Intra menyertai program Kem Motivasi Remaja ‘Zero to Hero’ di Kem Lambaian Danau, Jasin, Melaka baru-baru ini.

Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) memaklumkan acara tahunan dijalankan oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat MDKS bertujuan melatih ketahanan mental dan fizikal pelajar.

“Kita mahu mereka (wanita) sentiasa berani, tabah, tahan lasak dan berkeyakinan tinggi bagi menghadapi masa hadapan yang mencabar,” katanya dalam kenyataan.

Menurut pihak berkuasa tempatan (PBT) itu lagi, acara tersebut berjaya mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan pelajar berbilang kaum melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan.

“Program ini mampu memupuk semangat kerjasama, tolong-menolong dan setia kawan serta bertolak ansur dalam membuat keputusan yang penting dalam kehidupan mereka,” ujarnya.

 

Categories
PBT SELANGOR

Draf RKK Bandar Malawati dilanjut sehingga 7 September

SHAH ALAM, 21 OGOS: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) mempelawa orang ramai memberi pandangan berhubung draf Rancangan Kawasan Khas (RKK) Bandar Malawati 2025 yang dilanjutkan sehingga 7 September.

MDKS berkata pandangan masyarakat setempat penting bagi memastikan pembangunan dirancang menepati kehendak golongan tersebut selaras matlamat pembangunan lestari dan komuniti mampan.

“MDKS melanjutkan tempoh maklum balas RKK Bukit Malawati selepas menerima permintaan penduduk dan agensi berkaitan. Keputusan ini selaras dengan subseksyen 13(3), Akta 172 yang membenarkan pihak berkuasa perancang tempatan melanjutkan program tersebut dalam tempoh tidak lebih empat minggu selepas majlis perasmian pada 4 Ogos.

“RKK Bandar Malawati mencadangkan sebanyak 52 projek termasuk projek pembangunan, naik taraf, pengindahan dan pelbagai program lain di sekitar Bukit Malawati serta Pekan Lama Kuala Selangor,” katanya menerusi Facebook hari ini.

MDKS berkata orang ramai boleh memberi pandangan, cadangan dan maklum balas dengan memuat turun aplikasi menerusi Google Play iaitu rkkbmks(https://play.google.com/store/apps/details?id=com.nadiimpak.drafrkkbmks2025) atau mengisi borang cadangan di https://forms.gle/6EXDydHtxFBiY1B4A bagi pengguna iPhone.

Pada 4 Ogos, Dato’ Menteri Besar berkata RKK Bandar Malawati Kuala Selangor 2025 meliputi pembangunan 11 projek berimpak tinggi, 24 projek sokongan dan 17 projek jangka pendek.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata projek berimpak besar memberi kesan jangka panjang kepada pertumbuhan ekonomi, selain mewujudkan persekitaran perbandaran kondusif bagi ekonomi hijau, pemeliharaan alam sekitar, warisan dan sejarah serta pelancongan berasaskan komuniti.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Status perbandaran: MDKS tunggu lampu hijau

KUALA SELANGOR, 4 OGOS: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) masih menunggu lampu hijau dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhubung perubahan status majlis daerah kepada perbandaran.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan cadangan perubahan status itu kini dalam proses mendapat persetujuan daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

“Selepas ada persetujuan daripada MMKN barulah ia akan dibawa kepada KPKT untuk diluluskan.

“Namun pada masa sama, ia bergantung kepada tahap kesediaan MDKS sendiri kerana mereka perlu membuat beberapa penelitian termasuk aspek penduduk, pendapatan dan hasil,” katanya selepas merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Draf Rancangan Kawasan Khas Bandar Malawati Kuala Selangor 2025, di sini, hari ini.

Pada 13 November tahun lalu, Amirudin berkata KPKT tidak meluluskan naik taraf status MDKS kepada majlis perbandaran.

Setakat ini Selangor mempunyai tiga majlis bandaraya iaitu Shah Alam dan Petaling Jaya dan Subang Jaya.

Selayang, Ampang Jaya, Klang, Kajang, Kuala Langat dan Sepang pula berstatus majlis perbandaran.

Sementara itu Hulu Selangor, Sabak Bernam dan Kuala Selangor memegang status majlis daerah.

Categories
PBT SELANGOR

MDKS: Empat premis cuci kereta haram diarah tutup

SHAH ALAM, 10 JULAI: Empat premis cuci kereta dipercayai dikendalikan warga asing di sekitar Puncak Alam, Kuala Selangor diarah tutup kelmarin kerana menjalankan operasi tanpa lesen.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Rahilah Rahmat berkata 14 unit peralatan pembersih kenderaan seperti vakum dan pemampat udara turut disita di semua premis terbabit.

“Semua premis dikenakan kompaun mengikut Undang-Undang Kecil Iklan (MDKS) 2007 atas kesalahan mempamerkan iklan tanpa sah.

“Warga asing yang tidak mempunyai sebarang dokumen pula dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan seterusnya,” katanya dalam kenyataan semalam.

Categories
PBT SELANGOR

Penghantar makan di MDKS perlu berdaftar, ambil suntikan tifoid

SHAH ALAM, 29 APRIL: Penghantar makanan yang beroperasi dalam kawasan Majlis Daerah Kuala Selangor perlu berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut, kata yang dipertuanya.

Rahilah Rahmat berkata penghantar makanan perlu mengisi borang menerusi pautan http://www.mdks.gov.my/, selain hanya dibenarkan beroperasi di lokasi yang didaftarkan atau pergerakan tidak melebihi radius 10 kilometer.

“Penghantar makanan juga disyaratkan mendapatkan suntikan tifoid yang mana kos suntikan adalah dalam tanggungan pemohon sendiri. Langkah MDKS ini selaras dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mencegah penularan Covid-19.

“Pemohon yang memenuhi syarat ditetapkan akan diberikan pas pendaftaran makanan yang akan dimaklumkan menerusi e-mel [email protected], ” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Rahilah berkata maklumat lanjut berhubung peraturan tersebut boleh didapati menerusi pautan https://drive.google.com/open id=1sGuNitoSvaKz9hZ5LxOHvg99I7FV0YOk

Categories
PBT SELANGOR

MDKS: Penghantar makanan wajib daftar dalam talian

SHAH ALAM, 24 APRIL: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) mewajibkan semua penghantar makanan persendirian membuat pendaftaran bagi membolehkan mereka menjalankan perkhidmatan itu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Yang Dipertuanya Rahilah Rahmat berkata penghantar makanan tertakluk kepada lokasi didaftarkan sahaja atau tidak melebihi 10 kilometer daripada kawasan operasi di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

“Mereka perlu menjalani saringan Covid-19 di klinik kesihatan kerajaan atau swasta yang menawarkan perkhidmatan ini dan kos (saringan) adalah tanggungjawab pemohon,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya akan memberikan Pas Pendaftaran penghantar makanan kepada pemohon yang mengemukakan borang lengkap dan mematuhi syarat ditetapkan.

“Pas berkenaan akan dihantar melalui e-mel: [email protected],” katanya.

Katanya semua penghantar makanan persendirian turut diingatkan mematuhi masa operasi ditetapkan iaitu bermula 8 pagi hingga 8 malam.

Pendaftaran pemohon boleh dibuat melalui pautan https://forms.gle/H2k5isEG5pvLay4S7

Categories
PBT SELANGOR

MDKS, MPAJ nyahkuman kawasan tumpuan awam

SHAH ALAM, 31 MAC: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) melakukan semburan nyahkuman di lima pasar awam bermula 25 Mac lalu bagi mengekang jangkitan wabak itu di kawasan orang ramai.

Yang Dipertuanya Rahilah Rahmat berkata pasar awam terbabit ialah Sungai Buloh, Ijok, Bestari Jaya, Tanjong Karang dan Pasir Penambang.

“Anggota MDKS akan berpakaian khas dan melakukan semburan selama empat jam bermula 4 petang hingga 8 malam.

“Semua pasar basah disembur secara berjadual bagi memastikan kawasan itu bersih dan selamat,” katanya kepada SelangorKini.

Langkah sama diambil Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang memberi tumpuan di kawasan komersial dan awam seperti pasaraya, premis perniagaan, Town Park, Padang Perbandaran MPAJ termasuk pusat beli belah Ampang Point.

“Untuk semalam pula, kita fokus melakukan semburan di kawasan Keramat AU1 hingga AU5, Pandan Jaya.

“Selain itu, kita juga memberi bantuan logistik bagi membantu proses sekatan jalan raya di empat lokasi iaitu Jalan Cheras Indah, Jalan Ampang (Tiara), Jalan Hulu Kelang (Melawati) dan Jalan Klang Gate,” kata MPAJ dalam kenyataan di Facebook.

Categories
PBT SELANGOR

Covid-19: MDKS pantau premis, arah penjaja tutup

SHAH ALAM, 19 MAC: Susulan Perintah Kawalan pergerakan selama dua minggu hingga 31 Mac yang diumum perdana menteri, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) mengambil tindakan proaktif memantau dan arah penutupan premis kepada penjaja serta peniaga di sekitar daerah terbabit.

Menerusi kenyataan MDKS memaklumkan pemantauan dan arahan itu selaras di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (1988).

“Terima kasih kepada mereka yang mematuhi arahan menutup premis sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dijalankan.

“Namun, mereka yang masih ingkar laporan akan disalurkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. Bagi kesalahan pertama, individu gagal mematuhi arahan boleh dipenjarakan tidak melebihi tempoh dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali,” katanya menerusi hantaran di Facebook.